Kaji jumlah guru buat kerja luar – Utusan


Kaji jumlah guru buat kerja luar

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Kajian perlu dilakukan untuk memastikan jumlah sebenar guru yang terlibat membuat kerja luar supaya sistem pendidikan negara tidak terjejas.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai perkara itu, tetapi tiada statistik sebenar dan berharap bilangan guru yang terlibat tidak ramai.

“Kajian harus dilaksanakan bagi mengetahui kenapa dan mengapa guru-guru tersebut perlu membuat kerja luar sedangkan mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab yang berat dalam mendidik anak bangsa.

“Sekiranya guru mahu mencari pendapatan lain sekali pun, mereka perlu patuh kepada etika dan tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai pendidik,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan mengenai fenomena guru membuat kerja luar boleh mengganggu dasar pendidikan negara.

Sementara itu tokoh akademik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad berkata, pihak sekolah perlu menggariskan sasaran yang harus dicapai oleh guru-guru bagi memastikan mereka sentiasa menjalankan amanah mendidik dengan baik.

“Penilaian terhadap guru harus dibuat untuk melihat prestasi mereka ketika mengajar murid di kelas.

“Secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan perbuatan guru membuat kerja luar kerana mereka sepatutnya menggunakan masa selepas waktu persekolahan dengan menyediakan bahan mengajar untuk hari esok pula,” katanya.

Dalam pada itu Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, bilangan guru yang melakukan tugas luar seperti mengajar di kelas tambahan dan menjadi ejen insurans adalah sedikit dan ia masih terkawal.

“Memang ada segelintir guru yang melakukan tugas luar tetapi mereka akan pastikan tanggungjawab di sekolah selesai terlebih dahulu,” katanya.

Nurusyahamah jadi anak angkat UMNO Besut – Utusan


Nurusyahamah jadi anak angkat UMNO Besut

NURUSYAHAMAH Taqiah Nurunnajmi menunjukkan sijil penyertaan tilawah di Qatar kepada Idris Jusoh (kanan) yang mengunjunginya di Kampung Alor Keladi, Besut, Terengganu, semalam.

 

BESUT 3 Sept. – Pemenang tempat ketiga pertandingan akhir Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak Peringkat Antarabangsa di Doha, Qatar pada 26 Ogos lalu, Nurusyahamah Taqiah Nurunnajmi, 12, akan menjadi anak angkat UMNO Bahagian Besut.

Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, penghargaan itu sebagai pengiktirafan atas kegigihan Nurusyahamah yang berjaya mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

Menurutnya, ia juga sebagai dorongan kepada pelajar lain untuk mengetengahkan bakat dan kebolehan yang ada pada diri mereka.

“Langkah itu juga bagi menggalakkan lebih ramai golongan muda berusaha mencapai kecemerlangan di peringkat global sejajar dengan hasrat menjadikan Besut sebagai Bumi Ulul Albab,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan tentang kehebatan Nurusyahamah apabila berjaya meletakkan diri dalam kalangan 63 peserta dari seluruh dunia yang layak ke peringkat akhir tilawah itu sebelum dipilih sebagai pemenang tempat ketiga.

Kemenangan itu membolehkan Nurusyahamah memperoleh hadiah berupa sijil dan barangan termasuk wang tunai berjumlah RM39,800.

Pertandingan anjuran Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar dan TV Saluran Kanak-Kanak Al-Jazeera itu turut disaksikan Menteri Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam, Qatar, Sheikh Saleh Abdul Aziz Ibrahim Al-Sheikh dan Duta Besar Malaysia ke Qatar, Ahmad Jazri Mohd. Johar.

Dalam pada itu, bapa Nurusyahamah, Nurunnajmi Yaakob, 40, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alur Keladi dekat sini berkata, anaknya itu tidak dapat membuat bacaan dengan baik dan lancar kerana selesema.

Katanya yang menemani Nurusyahamah ke Qatar, suasana studio di stesen televisyen yang sejuk dengan pendingin hawa merupakan satu cabaran buat anaknya apabila terpaksa menunggu hampir empat jam sebelum tiba giliran memperdengarkan bacaannya.

“Nurusyahamah juga tidak dibenarkan memakai baju tebal oleh pihak penganjur menyebabkan dia dijangkiti selesema dan ketika pertandingan, dia mengalami sedikit masalah sehingga terpaksa memberhentikan bacaannya semasa membaca,” katanya.

Lawat ayah di penjara – Metro


Lawat ayah di penjara

Oleh ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
zatuliffah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: “Walaupun hasrat saya untuk bersalam dan mencium tangan ayah tidak kesampaian, sekurang-kurangnya saya dapat berjumpa dan bertentang mata dengannya walaupun hanya melalui cermin,” kata Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 9, selepas melawat bapanya, Mat Haizan Mat Yassin, 33, di Penjara Marang, semalam.

Dia yang menjadi mangsa simbahan asid oleh bapa kandung mengakui gembira apabila dimaklumkan ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 29, mereka sekeluarga akan melawat bapanya yang menjalani hukuman penjara 10 tahun akibat perbuatannya di Penjara Marang.
“Saya memang hendak sangat salam dan cium tangan ayah. Hari ini (semalam), ibu menunaikan permintaan saya walaupun bukan pada pagi Aidilfitri.

 

“Saya turut membawa baju Melayu berwarna hijau untuk ayah dan kuih tart nanas kegemarannya. Walaupun masa diberi hanya 45 minit, ia cukup untuk saya menghilangkan rasa rindu terhadap ayah.
“Ini tahun kedua saya tidak dapat beraya bersama ayah tetapi saya bersyukur kerana masih berkesempatan memanggil dan menatap wajahnya memandangkan bukan senang untuk bertemunya sekarang.
“Ketika melawatnya, saya sempat berbual dengan ayah dan memohon maaf. Ayah juga sempat berpesan kepada saya supaya sentiasa bersabar dan belajar bersungguh-sungguh,” katanya yang juga anak kedua daripada empat beradik.

 

 

Sementara itu, Che Ku Zaimah melahirkan rasa gembira kerana dapat menunaikan permintaan anaknya, apatah lagi Nurul memang rapat dengan ayahnya.
“Dia antara paling gembira apabila dimaklumkan mengenai pertemuan itu. Ketika berbual dengan ayahnya, Nurul menitiskan air mata. Mungkin ada sesuatu disebut ayahnya sehingga menyentuh hatinya.

 

“Malah, bekas suami juga gembira melihat kedatangan kami. Ketika saya menunjukkan kuih raya dan baju Melayu, dia kelihatan sebak kerana tidak menyangka kami menyediakan pakaian dan kuih untuknya.
“Ketika berbual, bekas suami sempat bertanya bila Nurul akan menjalani pembedahan muka dan dia melahirkan rasa gembira apabila saya memaklumkan mengenai kewujudan Tabung Pulih Wajah Nurul Dahyatul Fazlinda-Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu yang ditubuhkan untuk membantu Nurul memulihkan wajahnya,” katanya.
Dalam kejadian 15 Ogos tahun lalu di rumah keluarga Che Ku Zaimah di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu, Nurul cedera parah di hampir keseluruhan wajah dan beberapa anggota badan akibat terkena simbahan asid oleh ayahnya manakala Che Ku Zaimah, seorang lagi anaknya, Muhammad Irfan Firdaus, 3, dan ibunya, Minah Omar, 57, turut terkena simbahan asid tetapi hanya cedera ringan.

3 beradik maut kemalangan di lebuhraya PLUS – Berita Harian


3 beradik maut kemalangan di lebuhraya PLUS

2011/09/04

BATU PAHAT: Tiga beradik anak anggota polis maut selepas Perodua Kancil yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah Proton Saga, dalam kejadian di Kilometer 113.6 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu pemandu kereta berkenaan, Ahmad Zakwan Patah Raji, 19, mati di tempat kejadian, manakala dua adiknya, Ahmad Zainuddin, 18, dan Ahmad Zarif, 12, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Batu Pahat.

Ketiga-tiga mangsa adalah anak kepada Koperal Patah Raji Muhamad, yang juga anggota polis di cawangan kereta peronda Balai Simpang Renggam, Kluang.

2 remaja mati lemas di Laguna Semerak – Bernama


2 remaja mati lemas di Laguna Semerak

2011/09/04

PASIR PUTEH: Dua remaja mati lemas manakala tiga lagi terselamat dalam kejadian pasir jerlus di Laguna Semerak di sini, petang semalam ketika mereka mencari siput laut ketika berkelah di kawasan teluk itu.

Kejadian pasir jerlus kira-kira 3.30 petang itu meragut nyawa Nik Norfatin Izati Nik Mohd Noor, 15, dan Nik Norhidayah Nik Man, 11, yang secara kebetulan berada di kawasan yang sama ketika mencari siput laut.

“Kedua-dua mangsa dipercayai terjerlus dan terperangkap di kawasan curam ketika kejadian itu,” kata Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharuddin Yahya ketika ditemui di sini, hari ini.

Kedua-dua mangsa itu yang menetap di Pasir Puteh bagaimanapun tidak mempunyai pertalian persaudaraan.

Nik Norfatin Izati adalah murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gaal dan Nik Norhidayah pula ialah pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Awang di Pasir Puteh.

Menurut Kaharuddin, tiga saudara sepupu Nik Norhidayah, yang menyertai acara berkelah bersamanya dan keluarga sempena cuti Hari Raya Aidilfitri, bagaimanapun sempat diselamatkan oleh orang ramai yang turut berada di kawasan tersebut.

Mangsa yang terselamat ialah Norhayati Shamsuddin, 14, dari Pasir Puteh, Mohd Halim Mohd Zahid, 12, dari Johor, dan Nabila Mohd Azmi, 15, dari Bangi, Selangor.
Norhayati dan Mohd Halim diberi rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Anis di sini manakala Nabila pula dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk mendapat rawatan lanjut.

Kaharuddin berkata, 14 anggota bomba dan penyelamat serta Unit Skuba dari Kota Bharu menjumpai mangsa yang terperangkap dalam pasir jerlus itu kira-kira pukul 5 petang semalam tidak jauh dari tempat kejadian.

Dengan kematian tersebut menjadikan mereka mangsa ke-28 yang terkorban di kawasan teluk berkenaan sejak lebih 10 tahun lepas, katanya.

Sementara itu, bapa Nik Norfatin, Nik Mohd Noor Junoh, 39, ketika ditemui di Hospital Tengku Anis di sini hari ini berkata, ketika kejadian beliau berada tidak jauh dari tempat anaknya mencari siput.

“Saya sedar (kejadian itu) apabila terdengar suara riuh rendah suara orang menjerit dan setelah mendekatinya rupa-rupanya anak saya hilang ditelan arus,” katanya.

Beliau menerima kejadian itu sebagai takdir ketentuan Ilahi. – BERNAMA