Kaji jumlah guru buat kerja luar
KUALA LUMPUR 3 Sept. – Kajian perlu dilakukan untuk memastikan jumlah sebenar guru yang terlibat membuat kerja luar supaya sistem pendidikan negara tidak terjejas.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai perkara itu, tetapi tiada statistik sebenar dan berharap bilangan guru yang terlibat tidak ramai.
“Kajian harus dilaksanakan bagi mengetahui kenapa dan mengapa guru-guru tersebut perlu membuat kerja luar sedangkan mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab yang berat dalam mendidik anak bangsa.
“Sekiranya guru mahu mencari pendapatan lain sekali pun, mereka perlu patuh kepada etika dan tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai pendidik,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas dakwaan mengenai fenomena guru membuat kerja luar boleh mengganggu dasar pendidikan negara.
Sementara itu tokoh akademik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad berkata, pihak sekolah perlu menggariskan sasaran yang harus dicapai oleh guru-guru bagi memastikan mereka sentiasa menjalankan amanah mendidik dengan baik.
“Penilaian terhadap guru harus dibuat untuk melihat prestasi mereka ketika mengajar murid di kelas.
“Secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan perbuatan guru membuat kerja luar kerana mereka sepatutnya menggunakan masa selepas waktu persekolahan dengan menyediakan bahan mengajar untuk hari esok pula,” katanya.
Dalam pada itu Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, bilangan guru yang melakukan tugas luar seperti mengajar di kelas tambahan dan menjadi ejen insurans adalah sedikit dan ia masih terkawal.
“Memang ada segelintir guru yang melakukan tugas luar tetapi mereka akan pastikan tanggungjawab di sekolah selesai terlebih dahulu,” katanya.