Lagi pelajar cedera main mercun di Kelantan – Bernama


Lagi pelajar cedera main mercun di Kelantan

06/09/2011 4:10pm

 

KOTA BAHARU 6 Sept. – Seorang pelajar cedera parah di bahagian muka apabila disambar serbuk mercun yang dibakarnya dalam satu kejadian di Kampung Banggul Ara, Chicha, Pasir Mas, semalam.

Pelajar Sekolah Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim 2, Pasir Mas, Mohd. Shafiq Mohd Laili, 9, cedera selepas belerang mercun yang dibakar tiba-tiba menyambar mukanya dalam kejadian yang berlaku di luar rumahnya pukul 6 petang.

“Mercun roket itu asalnya dijumpai anak saya ketika pulang sekolah semalam yang dipercayai dibuang seseorang selepas tidak meletup.

“Tiba-tiba petang semalam seorang lagi anak saya Maisarah (kakak Mohd Shafiq) maklumkan dia kena mercun yang dibawa pulang itu,” kata bapa mangsa, Mohd Laili Che Abdul Rahim, 43, di Wad Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, hari ini.

Katanya, Mohd Shafiq kemudiannya dibawa ke Hospital Pasir Mas tetapi terpaksa dihantar ke HRPZII untuk menerima rawatan lanjut.

Ketika kejadian, Mohd. Laili yang merupakan seorang pekerja di pelantar minyak di Terengganu berada di rumah bersama isteri, Masnizawati Abdul Manaf, 28.

“Saya tidak tahu Mohd Shafiq dapat mana mancis api dan mahu bermain mercun yang dijumpainya itu,” katanya.

Beliau berkata, Mohd. Shafiq merupakan seorang kanak-kanak yang mengalami masalah “hiper aktif”.

“Keadaan anak saya kini stabil dan doktor pakar mahu memeriksa bahagian mata yang terkena mercun itu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZII Zaid Ahmad berkata ini merupakan kes kecederaan ke-10 akibat mercun yang dilaporkan di hospital itu sepanjang perayaan ini. – Bernama

Semakan Keputusan Permohonan bagi Program Pensiswazahan Guru Ambilan Khas 2011


KLIK SINI  

e-PERMOHONAN PPG
Kalendar Program Pensiswazahan Guru Ambilan Khas – Kemasukan September 2011
Bil
Keterangan
Tarikh
Tindakan
1.
 Permohonan dalam talian
 27 Julai 2011 – 10 Ogos 2011
 Pemohon
2.
 Sokongan dalam talian
 13 Ogos 2011 – 18 Ogos 2011
 Guru Besar/Pengetua
3.
 Pengesahan dalam talian
 19 Ogos 2011
 JPN
4.
 Semakan permohonan
 09 September 2011
 Pemohon

 

 

 

 

Permohonan Kemasukan Tahun 2012 – Kolej Vokasional, Sekolah Menengah Teknik dan Sekolah Menengah Vokasional


Klik di sini

TARIKH TUTUP : 19 DISEMBER 2011

Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional
Kementerian Pelajaran Malaysia
Aras 5 & 6, Blok E14 Kompleks E
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62604 Putrajaya


03-88845154

‘Ayah kata saya akan terkenal’ – Metro


‘Ayah kata saya akan terkenal’

Oleh Adnan Mohamad
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PASIR MAS: “Ketika bersekolah rendah dulu, rakan sering memanggil saya ‘Merdeka’ sebelum mereka ketawa. Saya tahu mereka sebenarnya mengejek kerana nama saya amat berlainan dengan nama murid lain.

“Namun, bagi saya, nama yang diberikan ayah itu amat istimewa kerana saya diberitahu dengan nama itulah saya akan menjadi terkenal suatu hari nanti,” kata Mohd Merdaka Che Soh, 54, yang diberikan nama unik oleh ayahnya kerana dilahirkan pada tarikh keramat 31 Ogos 1957.
Mohd Merdaka yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tendong, di sini, berkata, disebabkan nama itulah dia sentiasa berbangga setiap kali tibanya sambutan Hari Kemerdekaan dan bersemangat menyambutnya berbanding orang lain yang tidak mempunyai keistimewaan sepertinya.

 

Katanya, masih terngiang-ngiang di ingatannya ketika ayahnya memberitahu nama Mohd Merdaka akan terkenal satu hari nanti.
“Kata-kata ayah itu terbukti dan menjadi kenyataan apabila saya sendiri bangga memiliki nama yang unik ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jias, Kasa, di sini, semalam.
Mengimbas kembali zaman remajanya, Mohd Merdaka mengakui namanya itu sering menjadi perhatian rakan sebaya untuk bergurau serta membuat ejekan berikutan memiliki nama pelik dan tidak pernah difikirkan orang lain.

 

 

“Bagaimanapun, sebaik berjaya menjejaki menara gading dengan melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM), semua ejekan hilang, sebaliknya bertukar bangga,” katanya. Bapa enam anak itu berkata, berkat nama dan tarikh lahirnya itu menyebabkan dia semakin dikenali dan setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan akan dijemput banyak pihak untuk meraikan hari bersejarah itu bersama-sama.
“Saya tidak akan lupakan kenangan sambutan Jubli Emas sempena 50 tahun kemerdekaan kerana semua yang dilahirkan pada 31 Ogos 1957 dan mempunyai nama ‘Merdeka’ diraikan dalam suasana penuh meriah.

 

“Rasanya nama diberikan ayah dulu memang mendatangkan tuah, malah kami yang lahir pada 31 Ogos 1957 direkodkan dalam ‘Malaysia Book Of Records’ sebagai sambutan hari jadi paling ramai dalam sejarah negara ini,” katanya.

Remaja rempuh dinding dapur – Metro


Remaja rempuh dinding dapur

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

RANTAU PANJANG: Tindakan remaja lelaki berusia 15 tahun cuba mengalihkan kereta milik bapa saudaranya mengundang padah apabila kenderaan itu merempuh dapur rumahnya, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang di Kampung Tasek Bakong, di sini, remaja itu, Mohd Azuan Yahaya turut membawa bersama sepupu perempuan berusia 11 tahun ketika cuba mengalihkan kereta Proton Wira bapa saudaranya, Arif Ariffin, 33, dari halaman rumah ke garaj kereta dengan alasan hujan.
Bagaimanapun, kereta dipandu secara mengundur itu merempuh dapur rumahnya.

 

Nenek Mohd Azuan, Mek Esah Abdullah, 55, berkata, dia sudah melarang cucunya itu mengalihkan kereta berkenaan tetapi tidak diendahkan.
Ibu Mohd Azuan, Roslinani Fauzi, 33, berkata, ketika kejadian dia bersama anak sulungnya makan di dapur sebelum mendengar dentuman kuat dan dinding dapur rumahnya runtuh.
“Mujur, kereta itu tersekat pada dinding batu yang runtuh, jika tidak mungkin akan berlaku perkara lebih buruk,” katanya. Menurut Roslinani, ketika kejadian, suaminya yang bekerja sebagai pemandu bas ekspres tiada di rumah kerana keluar bekerja.

 

 

Katanya, akibat kejadian itu dia menanggung kerugian RM5,000 kerana perlu membaik pulih semula bahagian dapur yang rosak selain menanggung kos membaiki kereta adik iparnya.
“Selain dapur rosak teruk, lebih 100 koleksi pinggan mangkuk dan cawan yang digunakan ketika berniaga dulu pecah, manakala almari dan dua mesin basuh turut rosak,” katanya.

 

Bagi Arif, kemalangan itu benar-benar dugaan buat dirinya, kerana seminggu sebelum Aidilfitri dia terbabit kemalangan di Bachok ketika menunggang motosikal dan kelmarin pula, keretanya rosak teruk.

Baju kurung lepas rindu anak hilang – Metro


Baju kurung lepas rindu anak hilang

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA BHARU: Hanya sepasang baju kurung hijau menjadi pengubat rindu pasangan suami isteri dari Kampung Siti Manis, Kedai Buloh, Pengkalan Chepa, dekat sini, selepas anak perempuan mereka berusia 15 tahun hilang, dipercayai melarikan diri dari rumah pada 12 Ogos lalu.

Kejadian kira-kira jam 4 pagi itu disedari Che Muhamad Ibrahim, 48, dan isterinya, Hasmah Mamat, 45, selepas mendapati anak kedua mereka, Nurul Izzati Che Muhamad, 19, hilang dari tempat tidurnya ketika mereka mahu mengejutkannya bersahur.
Hasmah berkata, dia bagaikan tidak percaya kejadian itu menimpa keluarganya, lebih-lebih lagi anak perempuannya itu seorang yang baik, mendengar kata dan pendiam.

 

“Sebab itu, bila kejadian ini berlaku, jiwa saya bagaikan tersentap. Kali terakhir dia dilihat kira-kira jam 3 pagi ketika mahu membuang air kecil sebelum tidur semula di dalam biliknya, tetapi berlaku sebaliknya sejam kemudian.
“Ketika mahu mengejutkannya bersahur pada jam 4 pagi, saya dapati Nurul Izzati sudah tiada dalam biliknya, manakala pintu dapur rumah dilihat dalam keadaan tidak berkunci,” katanya hiba.
Menurut Hasmah, pelbagai usaha dilakukan untuk menjejaki anak gadisnya itu termasuk menghubungi rakan terdekat, namun hampa.

 

 

“Kejadian itu menyebabkan perasaan saya bercampur-baur. Saya bimbang keselamatannya kerana dia anak perempuan sulung, selain tidak pernah buat hal. Tidak tahu apa puncanya tiba-tiba dia menghilangkan diri dari rumah dalam keadaan sehelai sepinggang.
“Bermula pada pagi itu, pelbagai usaha kami sekeluarga lakukan termasuk menjejakinya di rumah rakan terdekatnya di kampung serta rakan tempatnya bekerja di sebuah hotel di bandar ini, namun semuanya gagal,” katanya.

 

Hasmah berkata, selepas kejadian, dia dapat berhubung dengan anaknya sebanyak dua kali melalui panggilan telefon, namun hanya dapat bercakap seketika sebelum talian terputus.
“Kali pertama, Nurul Izzati memberitahu dia meminta saya supaya tidak runsing dan akan pulang segera. Kali kedua dia beritahu kami yang dia berada di stesen bas di Kota Bharu, sebelum talian terputus. “Kami sekeluarga segera mencarinya di stesen bas itu, namun hampa kerana tidak menemuinya. Saya tidak menolak kehilangannya mungkin disebabkan hasratnya mahu bekerja di Kuala Lumpur kerana pernah menyuarakannya dua bulan lalu,” katanya.
Menurut Hasmah, bimbang dengan keselamatan anaknya, dia membuat laporan di Balai Polis Badang, dekat sini, pada jam 8.32 pagi, 16 Ogos lalu.
“Bila terkenangkan dirinya, hanya sepasang kurung hijau yang ditempahnya sebelum hilang menjadi tatapan kami di pagi 1 Syawal lalu. Aidilfitri tahun ini tiada serinya.
“Sebagai ibu, saya merayu kepada orang ramai yang terlihat anak kami supaya dapat menghubungi suami di talian 019-9472001 atau maklumkan di balai polis berdekatan,” katanya.

Usia 7 tahun, tinggi 56sm – Berita Harian


Usia 7 tahun, tinggi 56sm
Oleh Azman Mahmood
azmanm@bharian.com.my
2011/09/06

KAMA Mirezzanial dengan ketinggian 56sm bersama adiknya Kamarya Myzara.

KAMA Mirezzanial dengan ketinggian 56sm bersama adiknya Kamarya Myzara.

Zanial hidap Sindrom Sackle budak terpendek di dunia

KUALA TERENGGANU: Berikutan tumbesarannya terhenti sejak berusia lima tahun, Kama Mirezzanial Kama Rezmee, 7, dengan ketinggian 56 sentimeter mungkin lelaki terpendek di dunia, mengatasi rekod dipegang Junrey Balawing, 18, dari Filipina dan Khagendra Thapa Magar, 19, dari Nepal yang masing-masing setinggi 60 dan 67 sentimeter.

Kama Mirezzanial yang dilahirkan pada 2 Mac 2004, adalah cahaya mata kepada pasangan Kama Rezmee Kamaruddin, 36, dan Masitah Md Yusof, 34, anak Terengganu yang kini mengusahakan perniagaan penyediaan makanan di Seri Kembangan, Selangor.

Penulis yang berkunjung ke rumah nenek Kama Mirezzanial, Rajemah Sheikh Ahmad, 67, di Taman Permint Jaya, Chendering di sini, terpegun melihat keletah dan keadaan fizikal si kenit itu yang lebih mesra dengan panggilan Zanial.

Walaupun sudah memasuki usia Tahun Satu, keadaan fizikal Zanial tidak seperti rakan sebayanya, malah dia hanya berdiri setakat pinggang adiknya Kamarya Myzara, empat tahun, sekali gus setiap yang melihat pasti menyangka Zanial yang hanya seberat 4.8 kilogram adalah adik.

Kama Rezmee berkata, Zanial tidak ada masalah kesihatan dan dia seorang yang periang kecuali agak pemalu dengan orang yang belum pernah ditemuinya.

Dengan keadaan fizikal yang menyamai bayi berusia dua tahun, Kama Rezmee berkata, Zanial sentiasa menjadi perhatian ramai apabila mereka keluar bersiar-siar dan ramai yang akan mengambil kesempatan mendukung anak sulung daripada dua beradik itu.
“Zanial dilahirkan di Hospital Putrajaya menerusi pembedahan ketika kandungan isteri saya lapan bulan.

“Selepas dilahirkan, Zanial hanya sebesar tapak tangan dan beratnya 550 gram, manakala jari tangan sebesar batang mancis dengan kepala sebesar bola tenis,” katanya yang mengakui berasa bangga mempunyai seorang cahaya mata dikategorikan sebagai insan istimewa.

Kama Rezmee yang juga anak kepada pasangan atlit olahraga negara Allahyarham Kamaruddin Maidin dan Rajemah, kini berada di rumah ibunya di Terengganu bagi merayakan Aidilfitri.

Selepas dilahirkan, Zanial ditempatkan dalam wad khas selama 10 hari dan kemudian diletakkan dalam inkubator selama 75 hari dan ketika itu keluarga dimaklumkan peluang untuk Zanial hidup sekitar 35 peratus saja.

Rejemah pula berkata, keluarga dimaklumkan doktor tumbesar Zanial terbantut kerana menghidap ‘Sindrom Sackle’ dan mereka mengalami gejala itu mempunyai wajah hampir serupa.

“Saya terpanggil untuk memberitahu kepada media apabila membaca akhbar Berita Harian sebelum ini yang melaporkan mengenai Khagendra, lelaki kedua terpendek di dunia kerana saya juga mempunyai cucu lelaki yang mana dari segi saiz fizikal dan rupa parasnya hampir sama dengan Khagendra.

“Zanial tidak ada masalah kesihatan dan sentiasa riang dan boleh berkomunikasi dengan baik walaupun percakapannya seperti kanak-kanak baru belajar bercakap,” katanya sambil menambah Zanial kini mengikuti pembelajaran dari rumah kerana bimbang keselamatannya jika dihantar ke sekolah.

Sementara itu, The Malaysia Book of Records yang dihubungi berkata, pihaknya akan memeriksa kriteria ditetapkan sama ada Zanial layak menyandang status lelaki terpendek di dunia.

Menurut wartawan penyelidiknya, Myra Dzaman, usia Zanial masih kanak-kanak berbanding Junrey dan Khagendra yang dalam lingkungan umur belasan tahun.

Sebelum ini, status lelaki terpendek di dunia dipegang He Ping Ping dari China yang tinggal di Inner Monggolia dengan ketinggian 74.6 sentimeter. Bagaimanapun, beliau sudah meninggal pada Mac lalu ketika berusia 22 tahun.