Sistem pendidikan perlu diperkemas – Metro


Sistem pendidikan perlu diperkemas

Oleh Jasni Majid
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SAUDARA Malek Murad dalam rencananya ‘Krisis disiplin di kalangan penuntut sekolah’, Dewan Masyarakat April 1975, antara lain menyentuh tentang pentingnya sekolah mengenakan hukuman berat terhadap pelajar yang melakukan kesalahan di sekolah jika mahu mengekalkan peranan tradisionalnya sebagai tempat menimba ilmu pengetahuan.

Rencana itu sudah lama ditulis, tetapi gaya dan permasalahan yang dibangkitkan masih sama dengan apa yang masih diperkatakan sampai sekarang.
Ini bermakna masalah disiplin dan moral anak muda bukan masalah baru cuma pendekatannya saja berbeza. Memang anak muda zaman dulu tidak merempit, tidak melawan guru atau tidak memecahkan harta benda awam dan sebagainya, tetapi kes lain seperti pergaduhan, mencuri, mencederakan rakan telah berlaku dan masih dalam ruang lingkup yang sama iaitu salah laku membabitkan pihak tersebut.

 

Krisis nilai yang berlaku di kalangan anak muda kini membimbangkan pelbagai pihak. Bukan saja ibu bapa yang pening memikirkan anak-anak mereka terutamanya ketika di luar rumah, masyarakat sekeliling turut bimbang dengan pelbagai keadaan yang berlaku membabitkan remaja.
Boleh dikatakan saban hari kita disogokkan dengan berita atau cerita membabitkan kanak-kanak mahupun remaja dan kebanyakannya masih di bangku sekolah. Kita tidak hairan jika berita atau cerita tersebut mengenai kejayaan mereka dalam sesuatu bidang, tetapi agak malang jika kita didedahkan dengan berita penangkapan mereka atas sesuatu kesalahan yang mereka lakukan. Paparan media massa mengenai pelbagai salah laku termasuk jenayah memang cepat mempengaruhi kanak-kanak. Sejak kecil lagi mereka sudah dipengaruhi norma-norma hidup yang mengelirukan dalam menjalani kehidupan harian dan menempuh masa depan.
Segala kemelut ini mesti diberi perhatian malah diatasi dengan penekanan nilai-nilai murni lewat subjek dan aktiviti luar bilik darjah yang membentuk jiwa mereka supaya menjadi masyarakat yang mampu bertahan dengan segala macam cabaran di luar kelak.

 

 

Di sekolah, antara subjek yang mengandungi penekanan nilai-nilai murni termasuk Kesusasteraan, Bahasa, Pendidikan Moral dan Agama. Subjek ini dirasakan sudah cukup membimbing murid ke arah kemantapan jiwa dan sahsiah.
Bagi pelajar sekolah menengah, pengenalan Komponen Sastera (Komsas) sejak 2000 menambahkan lagi khazanah atau pendedahan nilai-nilai murni di kalangan pelajar sejak mereka di tingkatan satu lagi. Hasil sastera baik prosa moden dan tradisional, puisi, novel dan drama menyelitkan pelbagai nilai murni yang boleh digarap pelajar.

 

Keberkesanan Komsas bukan hanya untuk melatih pelajar menjadi penulis, tetapi memantapkan pemahaman dan kepatuhan mereka terhadap nilai-nilai murni yang disogokkan kepada mereka melalui karya sastera kemudian diterjemah dalam kehidupan seharian.
Pelbagai aktiviti luar bilik darjah seperti persatuan, unit pakaian seragam dan sukan juga tidak kurang penting memainkan peranan membentuk murid menjadi insan yang mengamalkan nilai kerjasama, bantu-membantu, tabah, sabar dan rajin dalam menjalankan sesuatu tugas yang diamanahkan.
Sekolah mesti memastikan setiap aktiviti dilibatkan pelajar dan tindakan yang mendidik perlu dikenakan jika ada pelajar enggan memberi kerjasama atau memperlekeh usaha untuk mengisi masa mereka dengan perkara berfaedah. Sekolah juga perlu mengambil kira jalinan hubungan dengan ibu bapa sekiranya ada pelajar memandang rendah setiap peraturan yang ditetapkan di sekolah. Sekolah tidak boleh berlembut dengan ibu bapa yang selalu menyebelahi anak- anak mereka walaupun anak-anak mereka ternyata melanggar peraturan sekolah.
Jika sekolah berlembut, sampai bila segala peraturan di sekolah akan dipandang tinggi oleh pelbagai pihak yang mahu mengukuhkan imej institusi pendidikan sebagai tempat untuk menimba ilmu dan membina sahsiah pelajar.
Jadi, apabila akhir-akhir ini kita kerap didedahkan dengan pelbagai salah laku di kalangan remaja seperti kes buang bayi, dadah, pergaduhan dan sebagainya, kita tidak perlu menyalahkan sistem pendidikan sedia ada di negara kita. Kita pernah mendengar berita mengenai pelajar yang menyamun di sebuah kedai serbaneka menggunakan pistol mainan dan parang panjang, kita pernah mendengar pelajar mencederakan guru, merosakkan kereta guru yang memperlihatkan kepada kita bahawa jenayah dan salah laku ini bukan hanya dilakukan orang dewasa, tetapi juga oleh golongan yang sedang menimba ilmu pengetahuan. Sebenarnya, pemahaman dan pembabitan murid dalam aktiviti yang telah ditetapkan di sekolah sudah cukup menjadi benteng untuk menghalang mereka daripada melakukan pelbagai salah laku berkenaan.
Persoalannya, mengapa ada antara mereka ini yang masih melakukan pelbagai salah laku termasuk melawan guru, merosakkan harta benda sekolah, dadah dan jenayah lain.
Sikap sesetengah pelajar yang mempunyai kefahaman cetek atau memandang ringan terhadap aktiviti luar bilik darjah menjadikan mereka liar dan tidak memahami apa tujuan setiap aktiviti yang dijalankan.
Kedangkalan mereka tentang pelbagai nilai yang terkandung dan terselindung di sebalik kebanyakan subjek di sekolah menjadikan mereka lepas tangan atau tidak mengambil kisah tujuan sebenar setiap subjek yang mereka belajar.
Ironinya, boleh kita fikirkan sendiri bahawa setiap pelajar itu, jika kita kira sejak bersekolah di peringkat sekolah rendah hingga tamat persekolahan di peringkat menengah, mungkin hampir seratus orang guru yang mengajar mereka.
Jika difikirkan lagi, tidak ada guru yang menyuruh anak muridnya mencuri, merompak, menipu orang, tetapi setiap guru memberi ajaran yang positif ke arah kecemerlangan individu dalam mengharungi masa depan mereka.
Oleh yang demikian, kebejatan sosial kini perlu dilihat sebagai ancaman yang boleh menjejaskan pelbagai aspek hidup. Selain ibu bapa dan masyarakat sekeliling, sekolah mesti melihat masalah ini sebagai masalah yang perlu diberi perhatian lebih serius, termasuk berusaha memperkemas sistem pendidikan ke arah melahirkan insan yang lebih bijak menilai mana kaca dan mana permata. Sejak tahun 70-an lagi kita sudah menyedari sistem pendidikan kita condong ke arah kecemerlangan akademik. Ia dikatakan menjadi salah satu penghalang untuk membentuk sahsiah murid. Kita agak ketinggalan kerana sampai kini kita masih melaungkan perkara sama sedangkan sudah lebih tiga puluh tahun perkara ini diungkit.
Sampai masanya kita mengubah sistem dan persepsi tersebut supaya kita dapat mengurangkan pelbagai masalah yang mengitari hidup pelajar di negara ini. Penulis ialah guru

Konvoi bawa kertas UPSR kemalangan – Metro


Konvoi bawa kertas UPSR kemalangan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUCHING: “Dia beria-ia meminta saya bergambar dengannya pada hari ketiga Aidilfitri. Saya hairan dengan permintaan itu dan kini hiba kerana gambar itu menjadi kenangan terakhir saya dan suami,” kata Mariah Ali, 38, isteri kepada Khusaini Sulong, 39, yang maut dalam kemalangan di Jalan Sibu-Bintulu, semalam.

Khusaini yang bertugas sebagai pemandu di Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri di Kuching dipercayai bersama konvoi menghantar kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari Sibu ke Bintulu, maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya bertembung sebuah Toyota Hilux.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.45 pagi, setengah jam selepas mangsa bertolak dari hotel penginapan di Sibu yang turut diiringi polis serta sembilan lagi kenderaan termasuk yang dinaiki pegawai daripada Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Sarawak.

 

Menurut Mariah, dia tidak menyangka permintaan terakhir suami untuk bergambar berdua ketika Aidilfitri baru-baru ini menjadi kenangan terakhir dengan arwah. “Saya menerima berita sedih yang menimpa arwah selepas dihubungi seorang ahli keluarga jam 9.30 pagi tadi (semalam) dan ketika itu, barulah saya sedar mengapa arwah beriya-iya mahu bergambar dengan saya. “Malah, paling sedih apabila mengenangkan kata-kata kemungkinan ini (bergambar) yang terakhir baginya,” katanya yang mempunyai lima anak berusia antara lapan hingga 17 tahun serta seorang cucu itu.

Wanita tahu teman lelaki noda anak – Metro


Wanita tahu teman lelaki noda anak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

HULU SELANGOR: Seorang wanita berusia 30 tahun dan teman lelakinya yang berusia 44 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kejadian memperkosa seorang remaja perempuan dalam sebuah pangsapuri di Rawang, di sini.

Difahamkan, wanita terbabit yang juga ibu remaja perempuan berusia 13 tahun itu dipercayai mengetahui tindakan keji teman lelakinya yang bertindak memperkosa anak gadisnya sebelum melarikan diri.
Menurut sumber, wanita itu ditahan di sebuah rumah di Balakong, Kajang, awal pagi semalam, manakala teman lelakinya pula ditahan di Kampung Gajah, Perak lewat malam kelmarin.

 

“Bertindak atas laporan dibuat mangsa, polis menjalankan siasatan lanjut sebelum menahan kedua-dua mereka untuk siasatan lanjut.
“Ibu mangsa dikatakan bertindak melarikan diri bersama seorang lagi anak perempuannya berusia empat tahun dengan meninggalkan mangsa seorang diri,” katanya.
Sumber berkata, kedua-dua mereka kini ditahan reman selama tujuh hari hingga 13 September ini bagi membantu siasatan.

 

 

“Mangsa kini berada di bawah jagaan neneknya di Bukit Sentosa, di sini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy mengesahkan penahanan kedua-dua suspek itu.

 

Semalam Harian Metro melaporkan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dirogol teman lelaki ibunya sejak dua tahun lalu nekad membuat laporan polis berhubung tindakan keji lelaki terbabit, Jumaat lalu.

Tersenyum kaki tersepit – Metro


Tersenyum kaki tersepit

Oleh Azlan Hafeedz
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PASIR PUTEH: Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun masih mampu tersenyum walaupun kaki kirinya tersepit dalam lubang tandas kira-kira 30 minit dalam kejadian di rumahnya di Kampung Sungai Seligi, dekat sini, semalam.

Sebelum kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Ahmad Aminuddin Mohammad mandi sambil menyanyi dalam bilik air sebaik pulang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Abal.

Bagaimanapun, ketika asyik menyanyi, kaki kirinya tergelincir lalu termasuk dalam lubang tandas menyebabkan anak bongsu daripada lapan beradik itu meraung meminta bantuan ibunya.

Ibunya, Rogayah Mat Isa, 45, berkata, ketika kejadian dia berada di ruang tamu dan mulanya tidak mengendahkan jeritan anak bongsunya itu memandangkan Ahmad Aminuddin gemar menjerit dalam bilik air.

 
“Saya hairan apabila jeritannya seolah-olah menanggung kesakitan sebelum bergegas ke bilik air melihat keadaannya. Nasib baik dia tidak mengunci pintu sebelum terkejut melihat dia terduduk dengan kaki kirinya tersepit dalam lubang tandas.

70 murid SK Othman Shawal keracunan selepas minum susu sekolah – Utusan


70 murid SK Othman Shawal keracunan selepas minum susu sekolah

MELAKA 7 Sept. – Seramai 70 murid Sekolah Rendah Kebangsaan Othman Shawal, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah di sini mengalami keracunan makanan selepas meminum susu kotak yang dibekalkan pihak sekolah pagi ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Azmi Hashim berkata, sebanyak 23 pelajar perempuan dan 47 pelajar lelaki mengalami sakit perut dan muntah pada pukul 10.30 pagi.

“Semua pelajar yang terlibat telah dirawat sebagai pesakit luar dan semua mereka telah dibenarkan pulang.

“Terdapat tanda-tanda awal keracunan pada susu itu apabila ia didapati berasa masam dan kita telah menghentikan pemberian susu itu serta-merta,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 681 lagi kotak susu telah disita dan pemantauan lanjut sedang dilakukan.

Pada Jun lalu, keracunan sama berlaku melibatkan 97 murid di tiga sekolah rendah di Melaka yang mengalami sakit perut, muntah dan cirit-birit selepas tiga jam meminum susu kotak berperisa coklat berjenama Dutch Lady yang diproses pada suhu tinggi (UHT) itu.

Tiga sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Selandar, Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka As-Syakirin, Selandar dan SK Lendu di Alor Gajah.

Budak cemas, kaki terperosok dalam mangkuk tandas – Utusan


Budak cemas, kaki terperosok dalam mangkuk tandas

Anggota bomba membantu mengeluarkan kaki kiri Ahmad Aminuddin Mohamed yang terperosok dalam lubang mangkuk tandas di Kampung Sungai Kelong, Pasir Puteh, semalam.

 

PASIR PUTEH 7 Sept. – Seorang budak lelaki berusia 10 tahun cemas dan hanya mampu menjerit kesakitan apabila kaki kirinya terperosok dalam lubang mangkuk tandas di rumahnya di Kampung Sungai Kelong, dekat sini, hari ini.

Kejadian berlaku pada pukul 3.30 petang, apabila Ahmad Aminuddin Mohamed, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Bukit Abal, Selising dekat sini, tergelincir akibat lantai bilik air yang licin menyebabkan kaki kirinya terus terperosok ke lubang mangkuk tandas cangkung berkenaan.

“Pada mulanya saya menganggap ia sebagai kejadian biasa, tidak rasa takut kerana hanya sebelah kaki sahaja yang tergelincir masuk ke dalam lubang tandas.

“Namun, selepas beberapa kali saya cuba menarik untuk melepaskan kaki kiri gagal, saya mula takut dan menjerit sekuat hati meminta pertolongan,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Bapanya, Mohamed Yaacob, 51, berkata, menyedari jeritan kuat anaknya itu, mereka sekeluarga bergegas memecahkan pintu tandas dan menghubungi pihak Bomba dan Penyelamat untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, ketua operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Juhan Abd. Ghani berkata, pihaknya mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan kaki kiri Ahmad Aminuddin dengan kaedah yang selamat bagi memastikan kakinya tidak luka, patah atau terseliuh.

“Kami menggunakan sejenis alat untuk memudahkan proses melepa dan memecahkan mangkuk tandas serta mengeluarkan kaki mangsa dengan selamat,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu merupakan kes ketiga di daerah ini dan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika menggunakan tandas terutama melibatkan penggunaan air sabun.

PM, TPM hadir rumah terbuka Kementerian Pelajaran – Utusan


PM, TPM hadir rumah terbuka Kementerian Pelajaran

Najib Tun Razak diiringi Muhyiddin Yassin bersalaman dengan tetamu dan warga Kementerian Pelajaran pada majlis Aildilfitri di Putrajaya semalam.
Kira-kira 5 ribu tetamu yang hadir di majlis tersebut.

 

PUTRAJAYA 7 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia di sini, hari ini.

Ketibaan Perdana Menteri disambut Muhyiddin yang juga juga Menteri Pelajaran bersama isterinya, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah hampir kesemua menteri dan timbalan menteri.

Najib menghabiskan masa lebih satu jam pada majlis yang dihadiri lebih 5,000 tetamu terdiri daripada kakitangan Kementerian Pelajaran, bekas-bekas pegawai kanan kementerian dan tetamu jemputan.

Pada majlis sama, Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 20 pelajar dari Sekolah Pendidikan Khas Seremban 1 dan 2 serta Sekolah Kebangsaan Sepang dan Sekolah Kebangsaan Kota Warisan, Selangor.

Turut menerima sumbangan ialah 20 pelajar Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin dari Sekolah Kebangsaan Dewan Beta, Kelantan.