Subjek Sejarah akan dikaji semula: Khaled – Bernama


Subjek Sejarah akan dikaji semula: Khaled

2011/09/09

KUALA LUMPUR: Silabus subjek sejarah peringkat sekolah akan dikaji semula selepas didapati beberapa fakta sebelum ini tidak lengkap dan terdapat percanggahan fakta mengenainya hasil kajian ahli falsafah dan Teologi Negara, Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas di dalam buku terbarunya ‘Historical fact and fiction’.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin, berkata sehubungan dengan itu satu kajian mendalam mengenainya akan diadakan oleh fakulti sejarah.

“Lepas itu macam mana nak sebarkannya, nak jadikan silabus sekolah menengah atau universiti ke kita akan fikirkan, soalnya sekarang kita nak kaji dulu apakah sejarah sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran buku tulisan Syed Naquib di kampus Universiti Teknologi Malaysia Kampus Antarabangsa di sini, hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Sultanah Johor yang juga Canselor bagi universiti itu, Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah.

Khaled berkata, Syed Naquib dalam kajiannya mewujudkan beberapa persoalan kemungkinan beberapa sejarah penting tidak dicatitkan sebelum pemerintahan Melaka dan kemungkinan beberapa fakta juga adalah berat sebelah.

“Sejarah yang seperti dirujuk kita sebelum ini mungkin diambil daripada penulisan Barat, jadi apa yang ada sebelum tertulis oleh Barat, maknanya sebelum kedatangan mereka, tidak tercatat apa-apa fakta.
“Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa sejarah tidak diputar belit, cuma terdapat beberapa fakta yang tidak ditulis.

“Jadi dalam hal ini mungkin sejarah boleh dicungkil bukan semata-mata maknanya ada putar belit sejarah, tapi ia lebih kepada mencari kebenaran, ia telah ditulis secara tidak betul,” katanya.

Walau bagaimanapun, Khaled memaklumkan bahawa buku itu tidak akan digunakan bagi mengganti buku teks sedia ada di peringkat sekolah, namun akan dijadikan sebagai rujukan bagi kajian yang lebih mendalam.

Sementara itu, Naib Canselor UTM, Datuk Ir Zaini Ujang, berkata buku Syed Naquib yang diterbitkan oleh UTM Press itu memberikan satu interpretasi yang baru terhadap sejarah negara.

Beliau mengambil contoh satu fakta di dalam buku itu yang menyatakan bahawa nama “Melaka” adalah diambil daripada perkataan arab yang membawa maksud “pelabuhan” berbanding sejarah awal yang kita sedia fahami bahawa nama Melaka datangnya dari pokok Melaka. – BERNAMA

Maut ketika hantar kertas UPSR – Utusan


Maut ketika hantar kertas UPSR

 

Oleh MOHD. ZAAIN MD. ZIN
utusansarawak@utusan.com.my

 

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengeluarkan Khusaini Sulong yang maut selepas tersepit dalam kemalangan di Jalan Osman, Sibu, semalam. – UTUSAN/ZAAIN MD. ZAIN

 

SIBU 8 Sept. – Seorang pemandu di Jabatan Perdana Menteri (JPM) maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dipandunya bertembung dengan sebuah lagi kenderaan jenis sama ketika mengiringi konvoi pegawai Jabatan Pelajaran negeri menghantar kertas Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) ke Bintulu, semalam.

Kejadian berlaku pukul 8.40 pagi ketika mangsa, Khusaini Sulong, 39, bersama dua rakannya, Ranno Mainor, 24, dan Mohd. Khairul Sharizan, 27, melalui Jalan Tunku Osman di sini.

Kushaini yang berkhidmat di Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Negara, JPM, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Ranno pula cedera parah dan dihantar ke Hospital Sibu.

Pemandu sebuah lagi 4WD jenis Toyota Hilux dan Mohd. Khairul, cedera ringan di bahagian kepala dan turut dihantar hospital sama untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shafie Ismail berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan itu gagal mengawal kenderaannya.

“Ia melanggar pembahagi jalan dan bertembung dengan kenderaan dipandu Kushaini sebelum melanggar dua kenderaan lain yang mengikuti dari belakang.

“Bagaimanapun kenderaan lain termasuk yang dinaiki pegawai Jabatan Pelajaran negeri itu terselamat,” katanya di sini.

Anak yatim dakwa diliwat – Utusan


Anak yatim dakwa diliwat

 

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

 

SUNGAI PETANI 8 Sept. – Seorang anak yatim berusia 11 tahun mendakwa diliwat oleh rakan sebayanya di atas siling dan tandas sebuah rumah kebajikan, di sini, baru-baru ini.

Selain menjadi mangsa liwat, anak yatim lelaki terbabit turut mendakwa diugut supaya tidak menghebohkan perkara itu.

Berikutan kejadian itu, ibu kepada mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani, Ahad lalu.

Menurut mangsa, kali pertama dia diliwat oleh rakannya di atas siling asrama setelah dipaksa naik ke tempat itu.

“Siling bilik asrama itu dipecahkan. Saya dipaksa naik ke atas ketika rakan-rakan lain menonton televisyen.

“Kejadian kedua pula berlaku semasa saya membasuh pakaian di bilik air. Kawan saya itu memanggil masuk ke dalam tandas dan memaksa saya menanggalkan seluar.

“Dia juga mengugut supaya saya tidak memberitahu sesiapa mengenai perkara itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Ibu mangsa berkata, dia mendapat tahu kejadian itu selepas dimaklumkan oleh anaknya semasa melawatnya di sekolah Ahad lalu.

“Saya terkejut apabila anak saya mengaku diliwat oleh rakan asramanya sambil menangis. Dia juga memberitahu saya bahawa dia tidak mahu pulang semula ke asrama anak yatim terbabit kerana takut,” katanya.

Berikutan itu, dia telah menghantar anaknya ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menjalani pemeriksaan.

Sementara itu, Pengarah HSAH, Dr. Harif Fadzilah Che Hashim ketika dihubungi hari ini berkata, mangsa kini ditempatkan di wad khas dan berada bawah penjagaan rapi.

“Pihak kita menjalankan pemeriksaan fizikal dan ujian darah. Selepas selesai pemeriksaan, kita akan serahkan kanak-kanak itu kepada Pegawai Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supritendan Ong Aik Cheang ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu.

Katanya, suspek direman sehingga 12 September ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan iaitu melakukan perhubungan seks yang bertentangan dengan aturan tabie.

PEPERIKSAAN UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH TAHUN 2011


PEPERIKSAAN UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH TAHUN 2011

PEPERIKSAAN UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH TAHUN 2011

Peperiksaan bertulis UPSR 2011 akan berlangsung pada 13, 14 dan 15 September 2011.
Pada tahun ini seramai 497,691 orang calon telah mendaftar untuk menduduki UPSR di 8,235 pusat peperiksaan di seluruh negara. UPSR kali ini melibatkan 48,560 petugas peperiksaan.
Lembaga Peperiksaan ingin mengingatkan semua calon agar merujuk kepada Jadual Waktu Peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan tersebut berlangsung.
Lembaga Peperiksaan
Kementerian Pelajaran Malaysia
6 SEPTEMBER 2011

Makluman Peruntukan Tambahan Elaun Guru Ganti


Makluman Peruntukan Tambahan Elaun Guru Ganti

Makluman:

Untuk makluman dan perhatian tuan/puan, bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran di semua sekolah dapat dilaksanakan dengan lancar, di samping menjaga kebajikan guru dan kakitangan, Bahagian Kewangan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menurunkan peruntukan tambahan sebanyak RM17,449,280.00 pada 25 Julai 2011 kepada semua Bahagian/Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) yang terlibat dengan pengambilan dan pelantikan Guru Ganti.

Sehubungan dengan itu, semua Guru Besar dan Pengetua dipohon untuk berhubung terus dengan pihak JPN berkaitan perkara ini bagi memsatikan pengambilan dan pelatikan Guru Ganti dapat dibuat mengikut keperluan sekolah masing-masing.

Diterbitkan Oleh: Bahagian Kewangan

Sumber: Laman web KPM

Bapa berang lihat video anak kena buli – Berita Harian


Bapa berang lihat video anak kena buli

2011/09/09

ANTARA rakaman video dalam kad sim telefon bimbit milik Danial Wafiy (kiri) dibelasah senior.

ANTARA rakaman video dalam kad sim telefon bimbit milik Danial Wafiy (kiri) dibelasah senior.

ALOR SETAR: Seorang bapa kecewa dengan pihak pengurusan sebuah sekolah agama bantuan kerajaan di Jitra yang didakwa gagal mengambil tindakan tegas ke atas seorang pelajar senior yang membuli anaknya sehingga meninggalkan kesan trauma melampau.

Abu Bakar Mohd Salleh, 43, yang menetap di Kampung Kubang Bonggor, Alor Janggus mendakwa anaknya, Danial Wafiy Nuruddin Abu Bakar, 14, dibelasah tanpa belas kasihan oleh seorang pelajar tingkatan tiga di asrama lelaki Sekolah Menengah Agama Hidayah Islamiah, Jitra, pada 2 April lalu dipercayai bermotifkan cemburu.

Abu Bakar berkata, anaknya dibelasah bertubi-tubi termasuk ditendang di perut, disepak sehingga rebah sebelum dipukul dengan sebatang kayu kerusi di kepala berulang kali sehingga mendatangkan kecederaan termasuk bengkak, lebam dan luka seluruh badan.

Difahamkan, pelajar senior terbabit berang kerana tidak berpuas hati selepas mendapat tahu mangsa dijadikan adik angkat oleh seorang pelajar perempuan tingkatan empat sekolah itu.

Lebih memeranjatkan, aksi buli itu seolah-olah menjadi ‘hiburan’ kepada rakan pelajar senior terbabit yang turut merakamkan kejadian hampir 20 minit dengan telefon bimbit sebelum menghantar rakaman itu ke telefon bimbit mangsa.

Katanya, kejadian itu hanya disedarinya awal Julai lalu selepas anak keduanya, Nurul Ainin Sofia, 20, melihat rakaman kejadian buli itu menerusi kad sim milik Danial Wafiy yang dipasang menerusi telefon bimbitnya ketika pelajar itu pulang bercuti.

“Jika tidak kerana kad sim itu, pastinya saya tidak tahu anak saya dibuli teruk oleh pelajar senior terbabit, selain didera mental dan fizikal sehingga keputusan peperiksaannya dan prestasi pembelajarannya merosot. Tambahan pula Danial Wafiy tidak memaklumkan kepada kami, mahupun ibunya mungkin kerana takut diperlakukan lebih teruk lagi.
“Selepas menyaksikan rakaman video itu saya terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu pada 9 Julai lalu. Namun, saya kecewa kerana sehingga kini tiada tindakan diambil ke atas pelajar senior terbabit oleh pihak berkuasa mahupun pihak sekolah.

“Pihak sekolah ada memanggil saya untuk berbincang mengenai kes berkenaan dan lebih mengecewakan mereka meminta saya menarik balik kes itu,” katanya. sambil menambah dia difahamkan pelajar senior itu hanya dikenakan tindakan dibuang asrama.

Trio perkosa pelajar kena hukum – Metro


Trio perkosa pelajar kena hukum

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: Seorang lelaki berstatus suami dihukum penjara tujuh tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas didapati bersalah merogol pelajar tingkatan empat di sebuah rumah kosong di Klang dekat sini, tiga tahun lalu.

Hakim Slamat Yahya membuat keputusan itu terhadap Mohamad Firdaus Esa, 26, dan memerintahkan hukuman bermula dari 1 April 2008.
Bagaimanapun, dua rakannya yang juga remaja bawah umur pelajar tingkatan empat didapati bersalah atas kesalahan sama masing-masing dan dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan jaminan RM5,000 setiap seorang.

 

Terdahulu, Slamat pada penghakimannya berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan. Sepanjang perbicaraan, seramai 10 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan tampil memberi keterangan. Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga didakwa merogol mangsa di sebuah kondominium di Taman Sejahtera, Klang, pada 3 dan 6 Mac 2008. Bagi setiap pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Maisarah Kamal, manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Pritam Singh Deol dan Aminuddin Mohd Ramli. Terdahulu, pihak pembelaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan mengambil kira latar belakang anak guam mereka. Menurut mereka, tiada bukti menunjukkan bahawa kecederaan dialami oleh mangsa.
Nurul Maisarah bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana perbicaraan kes itu yang sudah melewati tiga tahun dan memakan kos pendakwaan yang banyak.
Beliau berkata, mahkamah juga harus mengambil kira bahawa peruntukan undang-undang melindungi mangsa bawah umur dalam kejadian rogol meskipun perbuatan itu dilakukan atas kerelaan. “Saya pohon satu hukuman berbentuk pengajaran supaya semua tertuduh insaf,” katanya. Difahamkan, mangsa yang lari dari rumah meminta bantuan tertuduh kedua yang juga teman lelakinya. Kekasihnya itu menempatkan teman wanitanya itu di sebuah rumah kosong, sebelum dia dan dua rakannya merogol mangsa.