Tiga sahabat satu liang lahad – Metro


Tiga sahabat satu liang lahad

Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SEDIH...ahli keluarga melihat mayat mangsa di Bilik Mayat HTF, semalam.
SEDIH…ahli keluarga melihat mayat mangsa di Bilik Mayat HTF, semalam.

KANGAR: “Mayat mereka saya temui dalam keadaan berpelukan di dasar terusan. Ketiga-tiganya sudah tidak bernyawa ketika saya naikkan ke tebing,” kata Mohd Husna Idris, 28, selepas cuba menyelamatkan tiga kanak-kanak yang lemas di sebuah terusan di Kampung Banat, di sini, petang semalam.

Mangsa dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu ialah pasangan kembar Abdul Hakam dan Abdul Hakim Zulkifli serta Muhammad Akmal Abdul Razak.
Ketiga-tiga mereka berusia lapan tahun.
Mohd Husna berkata, sebelum kejadian dia melarang ketiga-tiga mangsa mandi di terusan di hadapan rumahnya kerana kawasan itu agak dalam iaitu melebihi dua meter.

 

“Tidak lama kemudian, saya terdengar jeritan kanak-kanak lain di atas terusan menyatakan tiga budak lemas. Saya terjun untuk menyelamatkan mereka tapi gagal,” katanya ketika ditemui.

Bapa pasangan kembar, Zulkifli Mat Isa, 46, berkata ketika kejadian, dia berada di Kompleks Bernas berhampiran rumahnya sebelum bergegas ke tempat kejadian dan mendapati kembarnya terbujur kaku di tepi terusan bersama rakan akrabnya, Muhammad Akmal.

Tindakan disiplin diambil – Utusan


Tindakan disiplin diambil

ALOR SETAR 9 Sept. – Tindakan disiplin terhadap seorang pelajar senior yang terbabit dalam kes membelasah seorang pelajar di asrama sekolah agama di Jitra pada April lalu, akan ditentukan selepas siasatan selesai.

Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat berkata, siasatan tersebut akan melibatkan pihak sekolah, mangsa dan polis.

Kata Mansor, pihaknya akan memanggil pihak sekolah termasuk pengurusan asrama, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta keluarga mangsa untuk mendapat maklumat terperinci berhubung kes tersebut.

“Kita akan jalankan siasatan terperinci. Kes ini melibatkan jenayah dan polis juga sedang siasat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang klip video aksi seorang pelajar tingkatan tiga sekolah agama terbabit yang membelasah pelajar tingkatan dua di asrama sekolah itu yang dirakam melalui telefon bimbit rakannya dipercayai pada 2 April lalu.

Klip video tersebut didedahkan oleh bapa mangsa semalam yang mendakwa anaknya itu kini mengalami trauma akibat insiden tersebut.

Kata Mansor, siasatan juga akan dijalankan membabitkan klip video tersebut dan bagaimana perkara tersebut gagal dilaporkan oleh pihak sekolah walaupun selepas beberapa bulan ia berlaku.

“Kita juga akan teliti klip video ini dan mengambil maklumat daripada pihak asrama,” katanya.

Dua beradik kembar, rakan sebaya lemas – Utusan


Dua beradik kembar, rakan sebaya lemas

ARAU 9 Sept. – Dua beradik kembar berusia lapan tahun bersama seorang lagi rakan sebaya mereka mati lemas selepas terjatuh di sebatang terusan di Kampung Banat di sini, hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku ketika ketiga-tiganya, pasangan kembar Abdul Hakim dan Abdul Hakam Zulkifli serta Mohd. Akmal Abdul Razak bermain di terusan tersebut pukul 5.15 petang.

Ia disedari oleh seorang penduduk kampung yang melalui kawasan tersebut selepas ternampak hanya kasut dan basikal kanak-kanak itu tanpa kelibat mereka.

Selepas mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku, penduduk berkenaan turun ke dalam terusan tersebut dan mendapati mayat ketiga-tiga kanak-kanak itu dalam keadaan berpelukan.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Nadzri Hussain ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian tersebut.

Mayat ketiga-tiga kanak-kanak tersebut dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan akan dikebumikan pagi esok.

Tiga budak lemas berpelukan – Berita Harian


Tiga budak lemas berpelukan
Oleh Adha Ghazali

2011/09/10

MAYAT tiga kanak-kanak  lemas   dituntut keluarga masing-masing di Hospital Tuanku Fauziah, Arau, semalam.

MAYAT tiga kanak-kanak lemas dituntut keluarga masing-masing di Hospital Tuanku Fauziah, Arau, semalam.

Lelaki temui mayat pasangan kembar, rakan dalam terusan

ARAU: Tiga kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, termasuk pasangan kembar lemas ketika bermain di sebuah terusan di Kampung Banat di sini, petang semalam.
Ketiga-tiga mangsa, Mohd Akmal Abdul Razak dan pasangan kembar Abdul Hakim dan Abdul Hakam Zulkifli, disahkan meninggal dunia selepas mayat mereka ditemui dalam keadaan berpelukan antara satu sama lain di dasar terusan terbabit.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Husin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan yang mengorbankan nyawa pasangan kembar dan rakan rapatnya itu, semalam. Beliau berkata, mayat mangsa ditemui seorang penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan terusan terbabit, terletak kira-kira 100 meter dari kediaman keluarga mereka, kira-kira jam 5.30 petang.

Lelaki itu dikatakan curiga dengan penemuan basikal serta beberapa barang, termasuk selipar milik kanak-kanak di pinggir terusan. Dia kemudian terjun ke dalam air sebelum mengesan mayat ketiga-tiga mangsa di dasarnya.

Mayat ketiga-tiga mangsa yang juga rakan sekelas di Sekolah Kebangsaan Arau itu kemudian dihantar ke Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, sebelum dituntut oleh keluarga masing-masing, katanya.

Sementara itu, bapa pasangan kembar terbabit, Zulkifli Mat Isa, 48, ketika ditemui berkata anaknya serta Akmal memang rapat sehinggakan ketiga-tiga mereka dianggap seolah-olah adik beradik.
Mereka bukan saja sekelas ketika di tadika.

Malah, di sekolah rendah pun mereka sekelas. Apa pun, saya reda dengan pemergian mereka, katanya yang mengesahkan ketiga-tiga mangsa akan dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Guar Sanji, di sini, jam 10 pagi ini.

Sementara itu, bapa kepada Akmal, Abdul Razak Mohamad, 39, berkata kelakuan anaknya itu sedikit pelik sejak dua tiga malam lepas, kerana lebih gemar tidur di ruang tamu di hadapan televisyen, berbanding di dalam bilik.

Dia begitu manja sekali dengan saya sejak akhir-akhir ini, sehinggakan meminta saya menemaninya tidur di ruang tamu. Mungkin itu petanda sebelum dia pergi meninggalkan kami, katanya.

Kurikulum vokasional ikut spesifikasi luar negara – Utusan


Kurikulum vokasional ikut spesifikasi luar negara

LONDON 9 Sept. – Kurikulum baru pendidikan vokasional yang akan dikuatkuasakan pada 2013 mempunyai spesifikasi dan standard yang diiktiraf oleh pelbagai agensi dalam dan luar negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, kurikulum itu bersifat modular, berasaskan kecekapan, mengutamakan aspek amali dan anjal.

Selain itu, jelasnya, kurikulum yang akan dikenali sebagai Kurikulum Kolej Vokasional (KKV) itu merangkumi elemen kreativiti dan inovasi, keusahawanan, kemahiran insaniah dan kemahiran teknologi yang digabung jalin dengan keperluan industri serta badan profesional.

“Kita memperkenalkan sistem dan kurikulum baru ini kerana tidak berpuas hati dengan kurikulum sedia ada,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, KKV adalah kurikulum pendidikan khusus untuk pelajar yang mengikuti pendidikan dan latihan vokasional peringkat menengah atas dalam persekitaran pembelajaran berorientasikan pekerjaan yang menekankan kepada keperluan industri sejajar dengan perkembangan pembangunan negara.

Katanya, ia dibangunkan berteraskan kecekapan yang dihurai dalam bentuk standard kandungan (content standards), standard pembelajaran (learning standards) dan kriteria pencapaian (performance criteria).

Menjelaskan lebih lanjut katanya, standard kandungan adalah pernyataan spesifik yang pelajar patut ketahui dan boleh lakukan dalam satu tempoh pengajian merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai.

“Standard pembelajaran pula satu penetapan kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan. Kriteria pencapaian pula adalah pernyataan yang mengkhususkan kepada perkara yang perlu ditaksir dan tahap pencapaian yang diperlukan,” katanya.

Jelasnya, struktur KKV mengandungi dua komponen iaitu akademik dan vokasional dengan komponen akademik meliputi pengajian Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, bahasa-bahasa perniagaan antarabangsa seperti Mandarin dan Perancis, Sejarah Malaysia, Matematik, Sains, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.

“Penumpuan jam kredit komponen akademik pada tahap sijil adalah 30 peratus dan penumpuan jam kredit komponen akademik pada tahap diploma adalah 20 peratus. Jam kredit komponen vokasional memberikan penumpuan jam kredit 70 peratus pada tahap sijil dan 80 peratus pada tahap diploma.

“Konsep KKV juga memberi fokus kepada Production Based Education (PBE), Competency Based Education (CBE) dan On-Job Training (OJT) untuk membolehkan lulusan vokasional mendapat permintaan dalam pasaran kerja,” katanya.

Malah, tegas beliau, penekanan juga diberikan kepada konsep School Enterprise (SE) untuk menyediakan pelajar menjadi usahawan sekiranya mereka ingin bekerja sendiri.

Beliau memberitahu, pendekatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam KKV dijalankan mengikut sistem Semester Anjal yang membenarkan seseorang murid menamatkan pengajian Tahap 4 (Diploma Kolej Vokasional) dalam tempoh sama ada tiga tahun setengah atau empat tahun berasaskan saringan.

Menyentuh tentang peperiksaan katanya, Pentaksiran Berasaskan Standard Kompetensi Vokasional (PBSKV) adalah kaedah untuk mengukur pelbagai kecekapan sebagaimana yang ditetapkan oleh kurikulum itu. – utusan

Sistem baru pendidikan vokasional – Utusan


Sistem baru pendidikan vokasional

Muhyiddin Yassin ditemani isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman bersalaman dengan Pengetua London College of Fashion, Prof. Frances Corner di kolej berkenaan di London, semalam.

 

LONDON 9 Sept. – Sistem dan kurikulum baru pendidikan vokasional yang membolehkan pelajar memilih jurusan kemahiran seawal usia 13 tahun, dan mendapat diploma secara jalan pintas melalui pewujudan Kolej Vokasional (KV) selepas tingkatan tiga, akan dikuatkuasakan pada 2013.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkembangan baru yang dijangka mengubah landskap pendidikan negara itu bukan sahaja mengarusperdanakan aliran kemahiran vokasional, malah akan mengubah komposisi modal insan daripada yang berorientasikan lepasan akademik sekolah menengah harian kepada lepasan aliran vokasional, sesuai dengan amalan di negara maju.

“Komposisi akademik akan dikurangkan dan kita akan menambah amalan industri atau amali teknikal kepada pelajar kita,” katanya yang juga Menteri Pelajaran.

Ketika mengumumkan perkara itu kepada wartawan di sini hari ini, apa yang beliau istilahkan sebagai Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) itu akan melibatkan dua aspek penting iaitu program Pendidikan Asas Vokasional (PAV) dan KV.

Katanya, PAV akan ditawarkan kepada pelajar menengah rendah seawal tingkatan satu sehingga tingkatan tiga, iaitu lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang cenderung kepada pendidikan bercorak amali.

Sistem PAV, ujarnya, akan dilaksanakan selama tiga tahun di sekolah menengah kebangsaan (SMK) tepilih berdasarkan beberapa tahap.

Ujarnya, tahap tingkatan satu, pelajar PAV akan mengikut asas pendidikan vokasional seterusnya pelajar tingkatan dua dibenarkan memilih satu program khusus sehingga mencapai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu.

Pelajar tingkatan tiga pula boleh meneruskan program yang dipilih sehingga mencapai SKM tahap dua.

Lepasan PAV, kata Muhyiddin, boleh menyambung pelajaran ke institusi latihan kemahiran awam (ILKA), swasta (ILKS) atau Kolej Vokasional (KV) yang direka bentuk untuk pelajar menengah atas.

Tambahnya, ia akan dilaksanakan selama empat tahun sehingga peringkat diploma mengguna pakai sistem semester dengan kurikulumnya adalah berasaskan kemahiran yang ketat.

“Kurikulumnya nanti akan merujuk kepada Piawaian Kemahiran Guna Tenaga Kebangsaan (NOSS), SKM dan lain-lain bentuk persijilan yang diiktiraf pihak industri,” katanya.

Menurut Muhyiddin, kurikulum KV mempunyai dua komponen iaitu 70 peratus kemahiran vokaisonal dan 30 peratus akademik bagi memenuhi falsafah pendidikan kebangsaan.

Pada akhir tahun keempat, pelajar sudah memperolehi Diploma Kolej Vokasional, iaitu selari dengan kepatuhan SKM Tahap 4, ujarnya.

“KV akan memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran insaniah dan kemahiran keusahawanan. Latihan industri akan diperkenalkan pada beberapa peringkat pengajian, iaitu asas pendidikan berasaskan pengeluaran selama sebulan, diikuti tambahan tiga hingga enam 6 bulan untuk praktikal di syarikat industri,” katanya.

Bagi meningkatkan lagi kebolehpasaran pelajar, jelasnya, Kementerian Pelajaran juga akan memperkenalkan Bahasa Mandarin atau Arab Komunikasi di bawah TPV.

Bagi memantapkan dan melestarikan penerimaan keseluruhan sistem dan kurikulum di bawah TPV itu, Muhyiddin menegaskan, mulai sesi persekolahan 2012 kementerian akan melaksanakan projek rintis PAV di 15 buah SMK dan KV di 15 buah SMV.

“Selepas itu, PAV dan KV akan diperluas pada tahun 2013, dengan 150 buah SMK menawarkan PAV dan78 buah SMV akan dinaik taraf kepada KV,” katanya. – utusan

Remaja hidap barah tulang kronik meninggal dunia – Bernama


Remaja hidap barah tulang kronik meninggal dunia

10/09/2011 2:17am

 

Nurul Atikah Bazilah Samsudin menjawab panggilan telefon daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika di rumahnya di Kamunting, Perak pada 19 Ogos lepas. Dia meninggal dunia pada pukul 11.05 malam semalam. 10 Sept. 2011. – Utusan/ROY AZIS ABD. AZIZ

 

KUALA LUMPUR 10 Sept. – Remaja yang menghidap barah tulang kronik, Nurul Atikah Bazilah Samsudin, 14, yang impiannya untuk berbual dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi kenyataan bulan lepas, meninggal dunia pada pukul 11.05 malam semalam.

Menurut pegawai dari pejabat Perdana Menteri, jenazah Nurul Atikah kini berada di rumahnya di No 9, Lorong 4, Taman Mewah Kamunting Taiping dan akan dikebumikan esok.

Pada 19 Ogos lalu, Nurul Atikah berpeluang berbual dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menjadi impiannya.

Nurul Atikah berpeluang berbual selama lima minit dengan Najib, menggunakan telefon bimbit Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang mengunjungi beliau di rumahnya di Taman Mewah, Kamunting, Taiping Perak. – Bernama