Subjek sejarah di sekolah kurang tepat: Dr M – Bernama


Subjek sejarah di sekolah kurang tepat: Dr M 

2011/09/11

ALOR SETAR: Subjek Sejarah yang diajar di sekolah-sekolah dilihat kurang tepat kerana tidak mempunyai latar belakang perjuangan kemerdekaan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, subjek itu tidak begitu tepat kerana salah satunya cerita mengenai peranan Tunku Abdul Rahman yang memperjuangkan kemerdekaan negara tidak banyak disebut dalam silibus subjek berkenaan.

“Ramai daripada generasi muda tidak begitu faham dengan sejarah dan asal-usul negara kerana ada percubaan untuk mengubah sejarah daripada fakta kepada khayalan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Dewan Centennial KSAH-SAHOCA di sini hari ini.

Beliau berkata, kerana itulah kerajaan perlu menumpukan apa sebenarnya berlaku supaya tulisan mengenai sejarah negara tidak dipengaruhi oleh kepentingan politik semasa.

“Bukan mengkaji semula sejarah tetapi perlu balik kepada benda yang benar. Sejarah sudah berlaku dan kita tidak boleh ubah sejarah dan apa yang berlaku dahulu…berlakulah,” katanya mengulas kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Jumaat.

Mohamed Khaled berkata, sukatan pelajaran subjek sejarah peringkat sekolah akan dikaji semula selepas didapati beberapa fakta sebelum ini tidak lengkap dan terdapat percanggahan fakta mengenainya hasil kajian ahli falsafah dan teologi negara, Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas di dalam buku terbarunya ‘Historical fact and fiction’.

Dr Mahathir berkata, sekarang ini generasi muda menganggap bahawa perjuangan untuk kemerdekaan itu perkara biasa kerana mereka dilahirkan dalam sebuah negara yang sudah merdeka dan makmur.
“Jadi mereka (generasi muda) menganggap bahawa dalam mana-mana negara pun akan berlaku demikian, tapi kalau kita buat lawatan ke negara-negara lain yang mencapai kemerdekaan semasa kita mencapai kemerdekaan, kita akan dapati bahawa mereka tak dapat bangunkan negara mereka seperti Malaysia,” katanya. – BERNAMA

Kerajaan akan pilih 15 sekolah perintis program asas vokasional – Berita Harian


Kerajaan akan pilih 15 sekolah perintis program asas vokasional 

2011/09/11

IPOH: Kementerian Pelajaran akan memilih 15 sekolah menengah di seluruh negara bagi menjadi sekolah perintis bagi pelaksanaan program asas vokasional pada 2013, kata Timbalan Menterinya, Dr Puad Zarkashi pada sidang media di sini, pagi tadi.

Dibelasah bongkar rahsia bapa poligami – Metro


Dibelasah bongkar rahsia bapa poligami

Laporan SHAMSUL MUNIR SAFINI
shamsulmunir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KANGAR: Seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun parah dibelasah bapanya yang juga warga Amerika Syarikat (AS) selepas dia membongkar rahsia lelaki berkenaan yang berkahwin baru di Thailand, beberapa bulan lalu.

Dalam kejadian jam 3.30 petang Rabu lalu, mangsa yang berketurunan Siam berada di rumah ibu tirinya yang juga isteri kedua bapanya di Taman Guru Jaya, di sini.
Mangsa adalah anak isteri pertama lelaki itu yang diceraikan sebaik perkahwinannya dengan isteri kedua terbongkar.

 

Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa memberitahu ibu tirinya bahawa suspek berkahwin untuk kali ketiga beberapa bulan lalu.
Difahamkan, selepas menceraikan isteri pertama, si bapa memeluk Islam dan bekerja sebagai pensyarah di sebuah pusat pengajian dekat sini dan sudah tinggal lama di negeri ini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, mangsa yang belajar di Phuket tinggal di rumah ibu tiri selepas pulang bercuti sebelum berlaku pertengkaran dengan bapa.

 

 

Menurutnya, suspek yang berang selepas rahsianya terbongkar kemudian mencederakan mangsa dengan memukulnya bertubi-tubi di muka dan dan kepala.
“Ibu tiri mangsa berusia 33 tahun dan bekerja dengan sebuah syarikat swasta cuba menghalang, namun mangsa terus dipukul.

 

“Selepas kejadian itu, ibu tiri mangsa membawanya ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi mendapatkan rawatan,” katanya.
Mangsa yang cedera di muka dan telinga dilaporkan dalam keadaan stabil.
Suspek direman hingga 13 September ini dan disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

Tersilap makan pil – Metro


Tersilap makan pil

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA BHARU: Akibat tersilap makan pil selesema, seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Teknik, Pengkalan Chepa, di sini, terpaksa mendapatkan rawatan kira-kira empat jam di wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), kelmarin.

Nur Izzati Abdul Rahman, 17, dikejarkan pengurusan sekolah jam 3 petang kelmarin selepas anak sulung daripada enam beradik itu ditemui dalam keadaan tidak bermaya sebelum pengsan.
Mengulas kejadian yang menimpa anaknya, Abdul Rahman Abu Bakar berkata, dia dimaklumkan oleh isteri bahawa anaknya memakan ubat selesema pada petang kejadian.

 

Berikutan itu, dia terkena alahan terhadap ubat terbabit sebelum dikejarkan ke hospital dan dirawat di wad kecemasan.
“Saya difahamkan oleh gurunya, anak saya demam sejak Rabu lalu dan mungkin penyakit dialami tidak sembuh sebelum dijangkiti selesema, menyebabkan dia memakan dua biji pil sebelum menerima kesan alahan dan dikejarkan ke hospital,” katanya ketika ditemui di HRPZ, di sini, semalam.
Dia difahamkan, akibat kejadian itu, anaknya tidak sedarkan diri sejam sebelum stabil semula selepas menerima rawatan di wad kecemasan.

Arwah penyeri rumah – Metro


Arwah penyeri rumah

Oleh RASHIDI KARIM
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KANGAR: Jenazah tiga kanak-kanak termasuk sepasang kembar yang lemas di sebuah terusan, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad dengan dihadiri ratusan penduduk di Tanah Perkuburan Islam Guar Sanji, dekat sini, jam 11 pagi semalam.

Abdul Hakam Zulkifli dan kembarnya, Abdul Hakim bersama rakan karib mereka, Muhammad Akmal Abdu Razak, disembahyangkan di Surau Kampung Banat, sebelum dibawa ke tanah perkuburan menaiki tiga van jenazah.
Bapa pasangan kembar, Zulkifli Mat Isa, 46, isterinya, Che Norma Seman, 42, dan bapa Muhammad Akmal, Abdul Razak Mohamad, 39, hadir pada pengkebumian itu.

 

Datuk kepada pasangan kembar, Seman Md Isa, 71, berkata kehilangan serentak dua daripada 11 cucunya sangat dirasai kerana sebelum ini kembar berkenaan menjadi penyeri kehidupan keluarganya.
“Kedua-dua arwah menetap bersama saya di rumah ini dan hampir setiap malam rumah menjadi riuh rendah dengan gelagat mereka.
“Namun semuanya tinggal kenangan selepas pemergian mereka,” katanya ketika ditemui selepas pengkebumian di rumahnya di Kampung Banat, Arau, dekat sini, semalam.

 

 

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Md Isa Sabu dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Jafperi Othman, selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guar Sanji.
Seman berkata, tiga jam sebelum kejadian, kembar terbabit meminta wang daripada nenek mereka, Zainab Chik untuk membeli makanan dan mereka pergi bersama rakan akrab, Muhammad Akmal ke kedai runcit berhampiran.

 

“Isteri saya memberi tiap seorang RM2 dan mereka membeli coklat sebelum pulang bermain di bawah pokok di tepi terusan bersama beberapa rakan sebaya yang lain.
“Saya terkilan apabila dimaklumkan gula-gula getah masih dalam mulut Abdul Hakam ketika mayatnya dibawa naik ke tebing selepas ketiga-tiga mereka lemas dalam terusan yang terletak 100 meter dari rumah,” katanya.
Dalam kejadian jam 5.15 petang kelmarin, mayat ketiga-tiga mangsa yang juga pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Arau, dekat sini, ditemui dalam keadaan berpelukan oleh seorang penduduk kampung.
Mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Tunku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat.
Seman berkata, beliau tiada di rumah ketika kejadian berlaku dan terus bergegas ke terusan terbabit selepas dimaklumkan penduduk kampung sebelum mendapati mayat ketiga-tiga mangsa berada di tebing.
Sementara itu, Che Norma pula berkata, walaupun nakal, kembarnya yang juga anak bongsu daripada lima beradik kuat beribadat dan mampu berpuasa cukup sebulan pada Ramadan lalu.
“Kedua-dua arwah hendak menyambung puasa enam hari selepas Aidilfitri lalu tetapi kami sekeluarga meminta mereka menangguhkan dulu. Sejak akhir ini, kedua-dua arwah asyik bergomol (bergaduh nakal),” katanya yang masih sugul.

Syukur anak selamat – Metro


Syukur anak selamat

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BACHOK: Hanya perasaan syukur mampu dipanjatkan seorang pengawal keselamatan apabila anak bongsunya berusia tujuh tahun terselamat selepas rumah papan diduduki 20 tahun lalu dijilat api di Kampung Kandis, di sini, petang kelmarin.

Kejadian jam 6 petang itu mengakibatkan keluarga Mohd Sidek Awang, 54, tinggal sehelai sepinggang kerana semua peralatan, termasuk perabot dan barangan berharga, gagal diselamatkan berikutan api marak dalam tempoh 15 minit.
Menceritakan detik cemas dilalui, Mohd Sidek berkata, dia yang ketika itu minum di sebuah kedai bergegas pulang ke rumahnya sejauh 500 meter selepas mendapati kediamannya terbakar.

 

“Panik bila dapat tahu rumah terbakar dan ketika itu hanya terbayang keadaan anak bongsu, Mohd Hilmi. Dalam keadaan cemas, saya hanya terbayangkan anak sebab ditinggalkan seketika di rumah dengan pengawasan jiran.
“Alhamdulillah, anak saya selamat dan di bawah jagaan jiran. Biarpun rumah dijilat api, saya bersyukur kerana bantuan jiran membolehkan anak saya terselamat,” katanya ketika di temui di rumahnya, semalam.
Mohd Sidek berkata, dia tidak tahu bagaimana kebakaran berlaku kerana isteri bersama dua lagi anaknya tiada di rumah ketika kejadian.

 

 

“Kebetulan pada petang kejadian, dua anak saya menemani ibu mereka bekerja di kilang tembakau, tiga kilometer dari rumah kami, manakala anak bongsu bermain bersendirian di rumah dengan dipantau jiran,” katanya.

Meninggal di sisi ayah – Metro


Meninggal di sisi ayah

Oleh MOHD HUSNI MOHD NOOR
mhusni@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
DETIK AKHIR... Che Tom  bersama Samsudin menyiram dan menabur bunga mawar di pusara arwah anaknya.
DETIK AKHIR… Che Tom bersama Samsudin menyiram dan menabur bunga mawar di pusara arwah anaknya.

KAMUNTING: “Adik penat… penat sangat, tolong ayah… tolong adik,” itu kata-kata terakhir penghidap barah tulang kronik, Nurul Atikah Bazilah Samsudin, 14, sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi bapanya, Samsudin Hasbullah, 50, di kediaman mereka di Taman Mewah, di sini, malam kelmarin.

Anak bongsu pasangan Samsudin dan Che Tom Osman, 45, itu meninggal dunia jam 11.05 malam selepas menderita barah berkenaan sejak tiga tahun lalu.
Kisah penderitaan arwah mendapat perhatian meluas media pada pertengahan Ramadan lalu apabila impiannya untuk berbual dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berjaya ditunaikan hasil usaha pertubuhan bukan kerajaan, Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia (CWS).

 

Perbualan menerusi telefon bimbit selama lima minit dengan pemimpin negara itu sedikit sebanyak memberi ‘kelegaan’ kepada perit derita ditanggung remaja berkenaan biarpun pakar perubatan menjangkakan hayatnya tidak begitu panjang serta tidak sempat menyambut Aidilfitri.
Bagaimanapun, berkat doa orang ramai membolehkan Nurul Atikah merasai kemeriahan Aidilfitri buat kali terakhir dalam hidupnya sebelum meninggal dunia.
Samsudin berkata, dia sekeluarga bersedia dengan pemergian arwah memandangkan anaknya sudah lama menderita, malah barah dihidapi tidak menunjukkan pemulihan.

 

 

“Saya menerima kehilangannya sejak tiga tahun lalu selepas dia disahkan menghidap barah itu. Namun, berkat doa dan rawatan diberi, dia mampu bertahan seketika sebelum menghembuskan nafas terakhir semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Seberang, di sini, pagi semalam.
Bagaimanapun, katanya, arwah menunjukkan tahap kesihatan memberangsangkan sepanjang 10 hari lalu selepas mengambil beberapa ubat-ubatan, malah anaknya juga semakin kurang bergantung kepada ubat tahan sakit.

 

Menurutnya, dia juga gembira dengan perkembangan itu memandangkan selera makan arwah bertambah, banyak bercakap dan kurang mengadu sakit.
“Namun, episod gembira itu hanya seketika sebelum arwah pergi meninggalkan kami sekeluarga. Malah, sejak seminggu lalu arwah sangat rapat dengan saya. Kami sering berbual dan makan bersama selain menonton bersama rancangan televisyen diminatinya iaitu Mr Bean,” katanya.
Sementara itu, Che Tom berkata, dia tiada di sisi ketika arwah menghembuskan nyawa terakhir kerana keluar mendapatkan bekalan ubat di pekan Taiping.
Beliau berkata, dalam perjalanan pulang ke rumah, suami menghubunginya memaklumkan arwah mengadu kepenatan sebelum menghubunginya semula beberapa minit kemudian untuk memaklumkan arwah sudah meninggal dunia.
“Selama ini saya tidak pernah berenggang dengan arwah, malah sentiasa di sisinya sepanjang masa kerana kami sangat rapat.
“Sebelum keluar rumah jam 9.30 malam semalam (kelmarin), saya mandikannya serta menyiapkannya dengan pakaian tidur. Itu kali terakhir saya melihatnya,” katanya sedih.

2 guru cedera diserang bapa, rakan pelajar – Utusan


2 guru cedera diserang bapa, rakan pelajar

KUCHING 10 Sept. – Dua guru lelaki sebuah sekolah menengah di Santubong, di sini cedera selepas diserang sekumpulan lelaki termasuk bapa seorang pelajar yang menceroboh masuk ke kawasan sekolah pagi kelmarin.

Motif serangan dipercayai ekoran rasa tidak puas hati pelajar itu yang berselisih faham dengan salah seorang mangsa kerana dikenakan tindakan disiplin beberapa hari sebelum kejadian.

Difahamkan, selepas insiden itu, pelajar berkenaan bersama bapa dan beberapa rakannya yang lain, dipercayai bekas pelajar sekolah itu bertindak menceroboh masuk ke sekolah untuk mencari guru berkenaan.

Bapa pelajar terbabit kemudian menumbuk mangsa yang sedang mengajar di kelas serta mencederakan seorang lagi guru yang cuba meleraikan pergaduhan.

Berikutan itu, mangsa yang cedera di kepala membuat laporan polis sebelum empat daripada penyerang, termasuk pelajar terbabit dan bapanya ditahan di rumah mereka, pukul 1 pagi semalam.

Sementara itu, guru lelaki berusia 30-an tersebut enggan ditemu ramah kerana masih trauma di samping bimbang dengan keselamatan dirinya.

“Baik anda datang ke sekolah dan bertemu pengetua Isnin nanti kerana saya tidak akan cerita apa-apa,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mun Kock Keong mengesahkan pihaknya menerima aduan kejadian tersebut tetapi enggan mengulas lanjut kerana masih dalam siasatan.

Lelaki ugut tembak tiga anak dengan senapang patah direman empat hari – Utusan


Lelaki ugut tembak tiga anak dengan senapang patah direman empat hari

SUNGAI PETANI 10 Sept. – Polis menahan reman seorang penoreh getah yang mengamuk dan mengugut untuk menembak tiga anak mereka dengan senapang patah di Kampung Teluk Wang Dalam, dekat sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supritendan Ong Aik Chang berkata, perintah tahanan reman selama empat hari sehingga Isnin ini dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Sungai Petani, semalam.

Katanya, siasatan kes itu dilakukan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat).

“Polis akan mengambil keterangan ahli keluarga suspek terlibat bagi melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan seorang lelaki mengamuk dan mengugut menembak anak-anaknya dipercayai selepas gagal memujuk bekas isterinya untuk berkahwin semula dengannya.

Dalam kejadian mencemaskan pukul 3 petang di rumah suspek di Kampung Teluk Wang Dalam, Sungai Pasir dekat sini, polis terpaksa memanggil bekas isterinya untuk memujuk lelaki berusia 37 tahun itu.

Bagaimanapun kanak-kanak berusia lima hingga 10 tahun itu berjaya diselamatkan oleh bapa suspek yang membawa keluar cucu-cucunya selepas dua jam dikurung di rumah tersebut.

Aik Chang berkata, siasatan awal polis menunjukkan suspek mengalami tekanan perasaan akibat masalah keluarga.

“Bagaimanapun, kita akan serahkan kes itu kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, seorang kenalan suspek yang enggan dikenali memberitahu, rakannya itu sebelum ini telah dua kali memfailkan permohonan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kuala Muda untuk berkahwin semula dengan bekas isterinya.

Bagaimanapun, kata lelaki itu, bekas isteri suspek yang berusia awal 30-an dan kini tinggal di Kangar, Perlis, tidak berminat untuk merujuk kes.

“Mungkin disebabkan kecewa, dia mengalami tekanan perasaan. Malah sejak akhir-akhir ini, dia cepat menjadi panas baran dan tidak boleh bergurau senda seperti biasa,” katanya.

Dua budak dilarikan lelaki Nepal – Utusan


Dua budak dilarikan lelaki Nepal

 

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

 

KENDERAAN pacuan empat roda yang dilarikan seorang lelaki Nepal melanggar tembok asrama SMK Dato’ Mohd. Yunos Sulaiman, Pekan Nanas, kelmarin.

LELAKI warganegara Nepal yang cedera setelah kenderaan dilarikannya melanggar tembok asrama sekolah di Pekan Nanas, kelmarin.

 

PONTIAN 10 Sept. – Kecuaian seorang ibu meninggalkan kenderaannya dengan enjin masih hidup di Jalan Sawah, Pekan Nanas semalam untuk membeli kuih, nyaris menyebabkan dua anaknya dilarikan penjenayah.

Kejadian berlaku pukul 1.30 petang, apabila seorang suspek warga Nepal, bertindak melarikan kenderaan pacuan empat roda milik wanita itu selepas melihatnya ditinggalkan begitu sahaja.

Mujurlah kenderaan dipandu suspek terbabas dan merempuh tembok asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mohd. Yunos Sulaiman, kira-kira 800 meter dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Zahaliman Jamin berkata, siasatan mendapati wanita berusia 40 tahun bersama dua anaknya berhenti membeli kuih di situ, tanpa mematikan enjin Toyota Hilux.

“Suspek yang melihat peluang itu, melarikan kenderaan tersebut bersama dua anak perempuan mangsa berusia sembilan dan 11 tahun.

“Wanita itu kemudian mengejarnya dengan menaiki kereta orang awam yang melalui jalan berkenaan.

“Setibanya di hadapan asrama sekolah, kenderaan itu gagal dikawal dan merempuh tembok. Suspek ditahan oleh orang ramai,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua anak mangsa tidak mengalami kecederaan dan siasatan mendapati suspek yang cedera ringan dalam keadaan mabuk.

Zahaliman menasihatkan orang ramai berhati-hati dan sentiasa mematikan enjin semasa meninggalkan kenderaan masing-masing.