Lelaki ugut tembak tiga anak dengan senapang patah direman empat hari – Utusan


Lelaki ugut tembak tiga anak dengan senapang patah direman empat hari

SUNGAI PETANI 10 Sept. – Polis menahan reman seorang penoreh getah yang mengamuk dan mengugut untuk menembak tiga anak mereka dengan senapang patah di Kampung Teluk Wang Dalam, dekat sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supritendan Ong Aik Chang berkata, perintah tahanan reman selama empat hari sehingga Isnin ini dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Sungai Petani, semalam.

Katanya, siasatan kes itu dilakukan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat).

“Polis akan mengambil keterangan ahli keluarga suspek terlibat bagi melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan seorang lelaki mengamuk dan mengugut menembak anak-anaknya dipercayai selepas gagal memujuk bekas isterinya untuk berkahwin semula dengannya.

Dalam kejadian mencemaskan pukul 3 petang di rumah suspek di Kampung Teluk Wang Dalam, Sungai Pasir dekat sini, polis terpaksa memanggil bekas isterinya untuk memujuk lelaki berusia 37 tahun itu.

Bagaimanapun kanak-kanak berusia lima hingga 10 tahun itu berjaya diselamatkan oleh bapa suspek yang membawa keluar cucu-cucunya selepas dua jam dikurung di rumah tersebut.

Aik Chang berkata, siasatan awal polis menunjukkan suspek mengalami tekanan perasaan akibat masalah keluarga.

“Bagaimanapun, kita akan serahkan kes itu kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, seorang kenalan suspek yang enggan dikenali memberitahu, rakannya itu sebelum ini telah dua kali memfailkan permohonan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kuala Muda untuk berkahwin semula dengan bekas isterinya.

Bagaimanapun, kata lelaki itu, bekas isteri suspek yang berusia awal 30-an dan kini tinggal di Kangar, Perlis, tidak berminat untuk merujuk kes.

“Mungkin disebabkan kecewa, dia mengalami tekanan perasaan. Malah sejak akhir-akhir ini, dia cepat menjadi panas baran dan tidak boleh bergurau senda seperti biasa,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s