Banjir di Perlis: UPSR tetap diteruskan esok – Utusan


Banjir di Perlis: UPSR tetap diteruskan esok

12/09/2011 12:22pm

 

KANGAR 12 Sept. – Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tetap diteruskan esok walaupun beberapa kawasan di negeri ini mula dilanda banjir.

Pengarah Pelajaran Negeri, Dun Kasa berkata, sehingga pagi ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan dari Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) untuk membatalkan peperiksaan tersebut.

“Sehingga kini keadaan banjir di pusat peperiksaan masih terkawal dan kita telah mengarahkan Guru Besar sekolah terlibat untuk mengadakan peperiksaan itu di tingkat satu atau kawasan yang lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. – Utusan

3M untuk pelatih PLKN – Metro


3M untuk pelatih PLKN

Oleh Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Satu modul bertujuan membantu peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang tidak mampu menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) diperkenal bermula tahun ini sebagai usaha membantu golongan berkenaan.

Program Literasi Membaca dan Menulis dikenali sebagai i-Smart menjadi modul tambahan dan dikhususkan untuk pelatih PLKN yang mempunyai kesukaran menguasai kemahiran berkenaan diasaskan menerusi kerjasama antara kakitangan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), jurulatih serta Kementerian Pelajaran.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad berkata, program berkenaan dimulakan sejak beberapa tahun lalu namun tidak melalui proses penstrukturan secara komprehensif menyebabkan ia diperkenalkan semula selepas mendapat persetujuan Kabinet.

 

Katanya, masalah itu timbul selepas kumpulan pelatih berkenaan dikesan tidak dapat menguasai kemahiran asas pembelajaran ketika mengikuti latihan di beberapa siri PLKN sebelum ini mendorong Kabinet mengambil keputusan supaya satu modul mengatasinya diperkenalkan.
“Kami bentangkan kertas Kabinet hasil kajian dalam program latihan kumpulan 3 siri 7, tahun lalu dan jemaah menteri mengarahkan JLKN menubuhkan jawatankuasa Pemandu antara jabatan serta Kementerian Pelajaran.
“Ia akan menjadi satu kebanggaan bagi kami kerana modul ini dapat mendidik pelajar berusia 18 tahun yang tidak dapat menguasai 3M dan disesuaikan mengikut umur mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pelepasan PLKN Kumpulan 3 Siri 8/2011 di sini, semalam.

 

 

Hadir sama, Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kecil.
Abdul Latif berkata, modul itu dijalankan dalam tempoh 30 jam kredit dan tidak mengganggu kelancaran susunan modul sedia ada kerana dibuat di luar waktu latihan yang memakan masa 85 hari.

 

“Modul ini terbukti berkesan dan diuji sepenuhnya. Insya-Allah, selepas habis latihan, sekurang-kurangnya mereka dapat membaca, menulis dan mengira,” katanya.

Cium pipi ibu berulang kali – Metro


Cium pipi ibu berulang kali

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

GEORGETOWN: “Hasrat arwah mahu pulang ke rumah untuk bersama-sama menghantar abangnya ke lapangan terbang untuk ke Jordan nampaknya tidak kesampaian,” kata Siti Rohani Lawi, 59, ibu kepada Ahmad Izzat Ismail, 17, yang maut selepas van yang dinaiki bersama tujuh rakannya dihempap pokok di Kilometer 23.5 Jalan Kilang Gula, Padang Besar, di sini, semalam.

Menurutnya, arwah beria-ia mahu pulang Khamis ini bagi menghantar abang ketiganya, Ammar, 23, yang akan kembali menyambung pengajiannya ke negara Timur Tengah itu.
Katanya, arwah bersungguh-sungguh menyatakan hasratnya itu ketika pulang cuti pada hujung minggu lalu.

 

“Saya tidak sangka sikap manja arwah berbaring di atas riba sambil berbual manja sebelum pulang semula ke sekolahnya Ahad minggu lalu adalah kali terakhir sebelum dia pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.
Menurutnya, anaknya itu menunjukkan perubahan perangainya ketika pulang cuti hujung minggu termasuk terlupa untuk membawa bersama pas nama dan alat tulis.
“Pada mulanya saya menerima panggilan kira-kira 10 pagi daripada suami yang memberitahu anak saya itu cedera dalam kemalangan. Saya tidak mampu berkata apa-apa selepas setengah jam kemudian diberitahu dia disahkan meninggal dunia.

 

 

“Sebagai ibu, perasaan amat sedih apabila masih lagi teringat sikap manjanya sewaktu hendak menaiki bas untuk pulang ke sekolahnya, arwah sempat mengucup pipi saya berkali-kali seolah-olah tidak puas,” katanya ketika ditemui di Tanjung Tokong, di sini, malam tadi.
Turut terkorban dalam kejadian itu Hazman Bakhtiar Sharizan, 14, dari Kulim, Kedah dan pemandu van, Shahidan Ali, 67, dari Beseri, Perlis, sementara seorang lagi rakannya Ahmad Ahnaf Anis Soffian, 14, dari Kuala Lumpur dilaporkan parah.

 

Siti Rohani berkata, anaknya bercita-cita menjadi jurutera dan arwah anak yang rajin dan amat bertanggungjawab kerana sering membantunya menjaga adik bongsunya, Afiff, 15, yang menghidap sindrom down.
Ammar pula berkata dia amat rapat dengan adiknya itu dan masih tidak percaya bahawa Ahmad Izzat sudah pergi meninggalkannya.
Menurutnya, dia masing lagi terbayang kenangan mereka bermesra bersama-sama dua lagi abangnya yang kurang upaya, Muhammad Zubir, 27, dan Muhammad Zulkifli, 25, pada 1 Syawal lalu.
Sementara itu, jenazah Ahmad Izzat dijangkakan dibawa pulang bapanya, Ismail Abdul Kadir, 60, dari Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Islam di Tanjong Tokong.

Dilanggar sepupu – Metro


Dilanggar sepupu

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR GAJAH: Akibat salah faham, seorang lelaki cedera di kepala, leher, dada dan kaki selepas dilanggar dengan motosikal oleh sepupunya ketika memasang bendera di balai raya sebuah kampung di Masjid Tanah, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, Mohd Syukri Hamdan, 34, berada di balai raya berkenaan untuk membantu beberapa rakan sekampung memasang bendera sambil tangan kanannya memegang pisau.
Mangsa mendakwa dia terkejut apabila dilanggar motosikal ditunggangi sepupu yang tidak berpuas hati terhadapnya disebabkan masalah keluarga.

 

Difahamkan, berlaku salah faham antara mereka apabila mangsa disangkakan melarikan anak perempuan sepupunya itu yang berusia 16 tahun hingga remaja berkenaan ponteng sekolah sejak beberapa hari lalu.
“Kami bergelut di dalam longkang dalam keadaan saya di bawah badannya yang terjatuh bersama motosikalnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin, ketika ditemui mengesahkan laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

‘Tolong tarik aku keluar Zul’ – Metro


‘Tolong tarik aku keluar Zul’

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
REMUK...pokok besar yang menghempap van di Kilometer 23.5 Jalan Kilang Gula, Padang Besar, semalam.
REMUK…pokok besar yang menghempap van di Kilometer 23.5 Jalan Kilang Gula, Padang Besar, semalam.

MERAUNG...ibu bapa seorang mangsa menatap jenazah anak mereka di bilik mayat HTF.
MERAUNG…ibu bapa seorang mangsa menatap jenazah anak mereka di bilik mayat HTF.

PADANG BESAR: “Ya Allah sakitnya, tolong tarik aku keluar Zul.” Itulah rintihan Hazman Bakhtiar Sharizan, 14, sebelum menghembuskan nafas terakhir akibat tersepit dalam van yang dihempap pokok besar hingga meragut tiga nyawa semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu di Kilometer 23.5 Jalan Kilang Gula, di sini, Hazman bersama tujuh pelajar lain dari Maahad Tarbiyah Islamiyah (Matri) di Beseri dalam perjalanan melakukan lawatan sambil belajar ke Kilang Gula Felda di Chuping.

Malang menimpa apabila sebatang pokok tumbang lalu menimpa van dinaiki kumpulan pelajar itu kira-kira 50 meter dari pintu masuk kilang berkenaan ketika hujan lebat disertai ribut.

Turut maut dalam kejadian itu ialah seorang lagi pelajar Matri, Ahmad Izzat Ismail, 17, dari Tanjung Tokong, Pulau Pinang, dan pemandu van, Shahidan Ali, 67, dari Beseri, di sini.

 
Ahmad Ahnaf Anis Soffian, 14, juga pelajar Matri yang berasal dari Kuala Lumpur, mengalami kecederaan parah.

Ada fakta sejarah tercicir – Berita Harian


Ada fakta sejarah tercicir
Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar

2011/09/12

Subjek diajar tiada latar belakang, perjuangan: Dr M

ALOR SETAR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ada beberapa fakta dalam mata pelajaran Sejarah yang diajar di sekolah tercicir terutama dalam hal perjuangan kemerdekaan negara.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri berkata, hakikatnya sejarah tidak boleh diubah kerana ia adalah peristiwa sudah berlaku, dan perkara itu penting untuk memastikan generasi muda mengetahui apa sebenarnya berlaku di tanah air mereka.

Saya berpendapat bahawa subjek Sejarah yang diajar di sekolah tidak mempunyai latar belakang kemerdekaan serta perjuangan ke arah mencapai kemerdekaan, selain tidak menyebut peranan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.

Kebanyakan generasi muda ketika ini tidak memahami sejarah negara mereka selain memandang mudah mengenainya. Ini kerana mereka dilahirkan dalam negara yang sudah mencapai kemerdekaan, katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah Dewan Centennial KSAH-SAHOCA di sini, semalam.

Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah berkenan berangkat mencemar duli ke majlis pecah tanah berkenaan.

Dr Mahathir ketika ditanya mengenai mengapa baru sekarang perkara itu dibangkitkan berkata, ia dibuat selepas melihat ada percubaan pihak tertentu untuk merubah sejarah daripada fakta kepada khayalan.

Kita perlu menyatakan perkara sebenar untuk memastikan sejarah negara tidak dipengaruhi oleh keadaan politik semasa, katanya.
Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin berhubung kemungkinan sukatan pelajaran Sejarah peringkat sekolah akan dikaji semula selepas didapati beberapa fakta sebelum ini tidak lengkap dan terdapat percanggahan fakta mengenainya.

Perkara itu dibuat selepas meneliti kajian ahli falsafah dan teologi negara, Prof Tan Sri Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam buku terbarunya Historical fact and fiction.

I-Smart bantu pelatih buta huruf kuasai 3M – Utusan


I-Smart bantu pelatih buta huruf kuasai 3M

Abdul Latif Ahmad (kanan) bertanya sesuatu kapada Masitah Noorhizan (kiri) dan Rahma Yuni Ali Azhar sambil diperhatikan oleh Abdul Hadi Awang Kechil semasa melepaskan pelatih PLKN Kumpulan 3 Siri 8/2011 ke kem masing-masing di Bangunan Zetro, Wangsa Maju, semalam.

 

KUALA LUMPUR 11 Sept. – Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) memperkenalkan Program Literasi Membaca dan Menulis, I-Smart bermula tahun ini bagi membantu pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang buta huruf menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira) sepanjang menjalani latihan itu.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad berkata, modul baru itu dilaksanakan setelah pihaknya mengesan ada di kalangan pelatih kumpulan ketiga siri 7/2010 PLKN tidak boleh mengenal huruf berikutan tercicir dari persekolahan.

Menurut beliau, pelaksanaan modul itu dilakukan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran.

“JLKN mengesan kira-kira 1,000 daripada 11,000 pelatih kumpulan tiga (tahun lepas) yang bukan sahaja langsung tidak tahu membaca dan menulis, malah menunaikan solat.

“Ada usaha dijalankan oleh pihak jabatan untuk membantu mereka, tetapi ia kurang efektif. Jadi, kami membuat keputusan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran yang mempunyai kepakaran dalam hal ini,” katanya selepas melepaskan pelatih PLKN kumpulan tiga siri 8/2011 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Seramai 19,418 pelatih PLKN berlepas ke tujuh kem PLKN di seluruh negara dengan menaiki 307 buah bas.

Menurut Abdul Latif, kumpulan pelatih terbaru ini adalah yang pertama menjalani program itu melibatkan mereka yang buta huruf sahaja yang akan diberi ‘kelas tambahan’ dan perlu melengkapkan tempoh kredit 30 jam selama 85 hari latihan.

Katanya, seramai 30 tenaga pengajar bertauliah telah ditempatkan di semua kem PLKN seluruh negara bagi tujuan melaksanakan modul itu supaya pelatih terlibat boleh membaca, menulis dan mengira apabila menamatkan latihan kelak.

“Modul ini telah direka khas sesuai dengan usia peserta iaitu 17 hingga 18 tahun supaya mereka seronok mempelajarinya. Program ini juga merupakan salah satu transformasi dalam PLKN sejak ia mula dilaksanakan pada 2004,” jelasnya.

Kem Cekap Cukai tingkat pemahaman pelajar – Utusan


Kem Cekap Cukai tingkat pemahaman pelajar

MOHD. Shukor Mahfar (empat dari kiri) dan Abd. Ghafar Mahmud (tiga dari kiri) bersama guru dan pelajar sekolah harian sekitar Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan dan Lembah Klang yang menyertai Kem Cekap Cukai 2011 di Akademi Percukaian Malaysia, Bangi, kelmarin.

 

KUALA LUMPUR 11 Sept. – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menganjurkan Kem Cekap Cukai (KCC) 2011 bertujuan meningkatkan pemahaman pelajar sekolah mengenai kepentingan dan fungsi pentadbiran cukai negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Mohd. Shukor Mahfar berkata, kem yang julung-julung kali diadakan itu juga diharap dapat menerapkan kesedaran tanggungjawab membayar cukai dalam kalangan generasi muda.

Katanya, selain itu, program usaha sama dengan Kementerian Pelajaran itu turut memberi pendedahan kepada pelajar tentang peluang kerjaya dalam bidang percukaian.

“Kem selama tiga hari ini disertai 205 pelajar tingkatan enam dan 51 guru dari sekolah harian sekitar Wilayah Persekutuan, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Kem ini adalah sebagai perintis yang mana jika ia berjaya mencapai matlamatnya, LHDN akan menganjurkan program ini dengan skala yang lebih besar sehingga ke peringkat kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan KCC 2011 di Akademi Percukaian Malaysia, Bangi dekat sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud yang turut hadir pada majlis itu berkata, KCC merupakan aktiviti kokurikulum yang dapat meningkatkan pengetahuan peserta.

“Ia juga membantu perkembangan mental, bakat dan pembentukan nilai estetika serta nilai sosial yang positif.

“Diharapkan melalui program ini, pelajar dapat menggunakan sepenuhnya pengetahuan yang diperoleh dan memanfaatkannya pada masa hadapan,” katanya.

Perinci fakta tuntut kemerdekaan di sekolah – Utusan


Perinci fakta tuntut kemerdekaan di sekolah

ALOR SETAR 11 Sept. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, fakta sejarah mengenai perjuangan menuntut kemerdekaan negara perlu ditekankan di sekolah kerana ia tidak disebut secara mendalam dalam sukatan pelajaran subjek Sejarah pada masa ini.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan ramai generasi muda tidak benar-benar memahami asal usul negara serta menganggap perjuangan untuk kemerdekaan adalah perkara biasa kerana mereka lahir dalam negara yang sudah merdeka dan makmur.

“Sejarah yang diajar di sekolah tidak begitu tepat kerana tidak memberikan latar belakang kemerdekaan dan perjuangan untuk mencapai kemerdekaan. Tidak banyak yang disebut mengenai peranan Tunku Abdul Rahman dan lain- lain.

“Ketika ini, ramai generasi muda yang tidak faham sejarah dan asal usul negara mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pecah tanah projek pembinaan Dewan Centennial, Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) yang disempurnakan oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di kolej berkenaan di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kelmarin bahawa sukatan pelajaran subjek Sejarah akan disemak bagi memastikan tidak ada fakta berkaitan Alam Melayu yang tertinggal atau tidak lengkap agar selaras dengan hasil kajian tokoh intelektual, Prof. Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam buku terbarunya Historical Fact and Fiction.

Ditanya kenapa isu berkenaan dibangkitkan ketika ini, Dr. Mahathir berkata, ia berikutan wujud cubaan pihak tertentu untuk mengubah fakta sejarah kepada khayalan.

Sebab itulah, kata beliau, kerajaan perlu menumpukan apa sebenarnya berlaku supaya tulisan tentang sejarah negara tidak dipengaruhi oleh kepentingan politik semasa.

“Bukan mengkaji semula sejarah tetapi perlu balik kepada benda yang benar. Sejarah sudah berlaku dan kita tidak boleh mengubahnya. Apa yang berlaku dahulu, berlakulah,” katanya.