Muhyiddin ke Terengganu Selasa depan – Bernama


Muhyiddin ke Terengganu Selasa depan

2011/09/14

KUALA TERENGGANU: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan melakukan lawatan kerja sehari ke Terengganu Selasa depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata Tan Sri Muhyiddin dijadual tiba di Lapangan Terbang Kertih, Kemaman pada pada pagi hari itu dan terus ke Politeknik Sultan Mizan Zainal Abuidin (PSMZA), Dungun.

“Semasa di PSMZA, Timbalan Perdana Menteri akan mengadakan perjumpaan dan berdialog dengan pemimpin masyarakat tempatan dan pegawai kanan kerajaan,” kata Ahmad ketika menghadiri majlis Sambutan Hari Raya Persatuan Bekas Pegawai Tadbir negeri Terengganu di sini.

Beliau berkata, pada tengah hari, Muhyiddin akan menghadiri majlis ramah mesra dan jamuan hari raya membabitkan 15,000 tetamu di Dataran Merdeka, Dungun.

Pada sebelah petang, Timbalan Perdana Menteri dijadual merasmikan Pasar Baru Kedai Buloh dan majlis hari raya Parlimen Marang.

Sebelum mengakhiri lawatannya ke Terengganu, Muhyiddin dijadual mengadakan perjumpaan dengan imam, bilal dan guru agama di Sekolah Menengah Imtiaz di sini sebelum berlepas pulang melalui Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada sebelah malam. – BERNAMA

Ibu bapa turut gementar – Metro


Ibu bapa turut gementar

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Biarpun masih dalam suasana Aidilfitri, namun kebanyakan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekitar ibu kota dilihat bersemangat memulakan peperiksaan pertama mereka, semalam.

Malah, sebagai tanda sokongan yang tidak berbelah bagi, ramai ibu bapa turut serta mengambil kesempatan menemani anak- anak mereka sepanjang peperiksaan berlangsung.
Di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Damansara di sini, kebanyakan calon UPSR tiba seawal jam 7 pagi bersama ibu bapa masing-masing.

 

Menurut Muhammad Adam Muhd Idzam, 12, dia yakin persediaan akhir yang dibuat dalam tempoh tiga hari lalu mampu membantunya menjawab soalan dengan baik.
“Ketika menduduki peperiksaan percubaan, saya kurang bernasib baik kerana mendapat keputusan kurang memberangsangkan.
“Justeru, kali ini saya akan berusaha gigih untuk menebus semula kesilapan ketika melalui peperiksaan percubaan lalu,” katanya.

 

 

Dia yang hadir ditemani ibunya, Ruby Daud, 45, mengakui tidak berasa gementar berdepan peperiksaan kerana yakin boleh meraih keputusan cemerlang.
Bagi Kareena Kaur Parmar, 12, dia bersemangat dan yakin mampu menjawab soalan peperiksaan dengan baik, apalagi ditemani ibu bapa serta adik lelakinya.

 

“Hari ini, bapa mengambil cuti untuk bersama ibu dan adik menemani saya di sekolah. Melihat kehadiran mereka, saya yakin mampu memberi yang terbaik untuk peperiksaan kali ini,” katanya.
Perasaan sama turut dirasai sahabat baiknya, Puteri Nur Inarah Mohamad Shukri, 12, yang hadir ditemani ibunya, Tengku Shaliza Tengku Shamsul Bahari, 39.
Puteri Nur Inarah berkata, dia memperuntukkan masa selama tiga bulan untuk melakukan persediaan penuh sebelum menghadapi UPSR.
Menurut Tengku Shaliza, dia terlalu gementar dengan peperiksaan dilalui anaknya hingga sukar menumpukan perhatian pada kerjaya.
“Saya bercuti seminggu untuk memberi sokongan moral pada Puteri Nur Inarah di samping meluangkan lebih banyak masa berharga dengannya,” katanya.
Bermula semalam, seramai 497,691 murid tahun enam menduduki UPSR di 8,235 pusat peperiksaan di seluruh negara. Daripada jumlah berkenaan, seramai 23,467 calon berdaftar di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata daripada jumlah calon berdaftar, seramai 1,400 murid tergolong dalam kategori berkeperluan khas.
“Kita harap calon peperiksaan dapat menumpukan sepenuh perhatian dan menjaga kesihatan sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung,” katanya.

Program Tawaran Baru catat hasil luar jangkaan – Metro


Program Tawaran Baru catat hasil luar jangkaan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Program Tawaran Baru yang diperkenalkan kepada pengetua dan guru besar di bawah sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan berjaya mencatat kecemerlangan di luar jangkaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, program itu yang diperkenal tahun lalu bagi meningkatkan kualiti keberhasilan murid menerusi peningkatan prestasi pemimpin sekolah, hanya meletakkan sasaran dua peratus sekolah cemerlang.
Namun katanya, penilaian Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti sepanjang tempoh berkenaan pula mencatat keputusan berbeza apabila lebih empat peratus pemimpin sekolah mengambil bahagian layak diberi ganjaran.

 

“Bermakna lebih 100 peratus pencapaian daripada jangkaan awal kita dan diharap masa akan datang, jauh lebih tinggi kerana terdapat ruang untuk kita perbaiki.
“Untuk membantu supaya tahap pencapaian sekolah ini meningkat dengan lebih tinggi, kita juga perkenalkan program penambahbaikan sekolah (SIP) supaya kita dapat membantu sekolah yang terkebelakang,” katanya selepas Majlis Anugerah Tawaran Baru Kepada Pengetua dan Guru Besar NKRA Pendidikan 2010 di Auditorium Bahagian Teknologi Pendidikan di Persiaran Bukit Kiara, semalam. Mengulas lanjut beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata menerusi pelbagai program diatur itu juga kerajaan berharap tempoh 2012 akan memperlihatkan prestasi sekolah yang lebih cemerlang dengan jurang sekolah di bandar dan luar bandar dapat dirapatkan.
“Kita perkenalkan SIP supaya kita dapat membantu mana-mana sekolah. Kita kenal pasti kelemahan mereka dan beri bantuan tertentu dari segi latihan, khidmat sokongan dan infrastruktur supaya mereka dapat penuhi kriteria sekolah cemerlang,” katanya.

Kaji SPM wajib lulus BI – Metro


Kaji SPM wajib lulus BI

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membuat keputusan sama ada semua pelajar tingkatan lima wajib lulus Bahasa Inggeris bagi memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi, kata Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Menurutnya, ketika ini kementerian masih meneliti cadangan yang mewajibkan pengambil SPM lulus mata pelajaran terbabit dan ia masih lagi dalam fasa kajian menyeluruh sebelum sebarang pengumuman dapat dibuat. “Kita sedang meneliti dan kaji perkara ini. Kalau kita punyai guru Bahasa Inggeris mencukupi dan boleh dihantar ke semua sekolah di seluruh negara dengan kurikulum pembelajarannya baru….mungkin kita akan letakkan sasaran wajib lulus.
“Keputusannya tidak lama lagi selepas kita menilai prestasi sedia ada,” katanya selepas Majlis Anugerah Tawaran Baru Kepada Pengetua dan Guru Besar Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan 2010 di Auditorium Bahagian Teknologi Pendidikan, semalam. Cadangan mewajibkan lulus Bahasa Inggeris bagi memperoleh sijil SPM antara lain mahu memastikan pelajar Malaysia mampu menguasai bahasa Inggeris dengan lebih cemerlang.

 

Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun berkata, proses pembelajaran Bahasa Inggeris perlu dinilai sepanjang masa dan bukan hanya ketika musim peperiksaan.
Katanya, usaha meningkatkan kecemerlangan murid dalam mata pelajaran berkenaan sedang dipergiatkan, malah kementerian sudah mula meneliti aspek berkaitan sejak mengkaji balik kurikulum dan memperkenalkan kandungan baru.
“Kita masukkan pelbagai kandungan yang menyeronokkan, komponen tatabahasa, sastera dan menambah waktu untuk belajar dan yang penting kita tekankan aspek tenaga pengajar terlatih.

 

 

“Sebab itu diadakan skim membawa masuk adi guru atau ‘master teacher’ dari United Kingdom yang kita tempatkan di zon seluruh negara untuk memantau cara guru Bahasa Inggeris mengajar di sekolah.
“Ini dah kita laksana…,tapi saya belum dapat lagi laporan bagaimana prestasi hasil pelaksanaan program pertama ini,” katanya.

 

Beliau berkata, tahun depan kerajaan akan menokok usaha terbabit dengan membawa masuk pakar Bahasa Inggeris di bawah program Fulbright English Teaching Assistant (Fulbright ETA) dari Amerika Syarikat.
“Ini adalah sasaran Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dulu dan mereka sudah bersetuju. Awal tahun ini seramai 50 orang tenaga pengajar akan dibawa masuk, tapi jangkaannya sehingga 300 guru dari Amerika Syarikat,” katanya. Muhyiddin turut meminta supaya semua pihak tidak gopoh menilai kejayaan program dilaksana dalam tempoh singkat, sebaliknya keberhasilannya perlu dinilai menjelang dua atau tiga tahun akan datang.

20 disebat pengawas – Metro


20 disebat pengawas

Oleh Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
BERBEKAS...kesan sebatan pada bahagian kaki dan badan dua pelajar.
BERBEKAS…kesan sebatan pada bahagian kaki dan badan dua pelajar.

BUTTERWORTH: Seramai 20 pelajar sebuah sekolah menengah di Seberang Perai Utara (SPU) di sini, kesal dengan tindakan pengawas sekolah mereka yang mengambil alih kuasa guru disiplin dengan merotan mereka atas kesalahan merokok.

Berikutan tindakan itu, ada antara pelajar terbabit mendakwa terpaksa tidur meniarap kerana mengalami kesakitan di bahagian kaki dan belakang badan.
Pelajar terbabit berkata, mereka tidak mempertikaikan jika hukuman dilakukan guru disiplin secara tertutup dan bukannya oleh pengawas yang terikat dengan peraturan sekolah. Seorang daripada pelajar terbabit berkata kejadian itu bermula apabila gelagat mereka menghisap rokok di luar kawasan sekolah dikesan pengawas kira-kira jam 3 petang, Ahad lalu.

 

Berikutan itu, katanya, mereka dipanggil ke sebuah bilik oleh empat pengawas ketika berada di asrama sekolah kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin.
“Kami diberitahu mengenai kesalahan merokok itu sebelum seorang daripada pengawas terbabit tiba-tiba merotan di kaki dan anggota badan kami.
“Ada rakan saya ditumbuk sebelum seorang pengawas mengarahkan beberapa pelajar memakan tembakau rokok.

 

 

“Kejadian berlaku lebih sejam sebelum kami diarah masuk ke bilik asrama masing-masing dan kejadian itu tidak diketahui guru disiplin sehinggalah pagi kelmarin,” katanya. Pelajar berkenaan mendakwa dia disebat sekurang-kurangnya enam kali di kaki hingga terpaksa tidur meniarap kerana kesakitan.
“Memang kami melakukan kesalahan tetapi kesal kerana pengawas bertindak sendiri melebihi kuasa guru disiplin,” katanya.

 

Seorang lagi pelajar berkata, ketika dipanggil masuk ke bilik berkenaan dia melihat beberapa pelajar sedang ditumbuk seorang daripada pengawas terbabit. “Saya dirotan kira-kira 10 kali di bahagian kaki dan badan hingga meninggalkan kesan,” katanya.
Seorang waris pelajar yang enggan dikenali pula berkata laporan polis dibuat berhubung kejadian itu petang kelmarin, sebelum ditarik balik kerana tidak mahu kes itu berpanjangan.
Bagaimanapun, difahamkan polis meneruskan siasatan kes itu walaupun laporan sudah ditarik balik.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata beliau sudah mengarahkan pihak sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah SPU menyediakan laporan berhubung kejadian itu.

Ustaz ghairah ‘kebun emas’ – Metro


Ustaz ghairah ‘kebun emas’

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: Seorang isteri dan tiga anaknya kini terpaksa hidup bagai pelarian selepas diancam along berikutan tindakan suaminya meminjam wang sehingga RM20,000 untuk membeli ‘kebun pokok emas’ berkeluasan sembilan hektar yang kononnya terletak di alam ghaib.

Malah, suami wanita itu yang juga guru agama berzikir di tengah padang sekolahnya pada tengah malam kerana tindakan itu dikatakan membolehkannya mendapatkan kemewahan dengan lebih cepat.

Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Lela, 42, berkata akibat tindakan suaminya yang dipanggil Ustaz Man, 45, dia terpaksa menggadai barangan berharga selain menjalani kehidupan umpama pelarian selepas diburu along sejak hampir sebulan lalu.

“Sebelum ini, sepanjang 15 tahun berumah tangga dia amat bertanggungjawab, malah menjadi rujukan beberapa individu untuk mendalami ilmu agama.

 
“Namun, sikapnya mula berubah sejak beberapa bulan lalu selepas menyertai satu kumpulan dipercayai menyebar ajaran sesat di Senai yang kononnya mampu menyedut kemewahan dari kebun emas yang wujud di alam ghaib,” katanya ketika ditemui.

Pengawal keselamatan dalang rompak restoran mamak? – Utusan


Pengawal keselamatan dalang rompak restoran mamak?

SHAH ALAM 13 Sept. – Kumpulan penjenayah yang merompak dua restoran mamak 24 jam di sini dan aksi jenayah mereka itu disiarkan dalam laman video YouTube baru-baru ini, tumpas selepas lapan anggotanya termasuk dua pelajar dan dua pengawal keselamatan berjaya diberkas polis.

Kesemua suspek ditahan dalam lima operasi di sekitar Shah Alam, Gombak dan Rawang termasuk di Pangsapuri Rimba Jaya, Seksyen 16 di sini bermula 8 September lalu hingga kelmarin.

Difahamkan, salah seorang pengawal keselamatan yang ditahan adalah dalang penjenayah terbabit.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, turut dirampas dalam kesemua serbuan adalah sebuah motosikal yang dipercayai dicuri, beg komputer bimbit dan topi keledar serta jaket yang dipercayai digunakan semasa rompakan.

Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

“Hampir kesemua suspek yang berusia antara 17 hingga 27 tahun memiliki rekod jenayah lampau dan kita percaya telah menumpaskan kumpulan itu serta menyelesaikan dua kes rompakan itu,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Polis Selangor di sini, hari ini.

Pada 28 Ogos lalu, sekumpulan lelaki merompak dua restoran mamak di Seksyen 15 di sini dan turut melarikan barangan berharga milik pelanggan yang sedang makan di situ.

Rakaman kejadian rompakan tersebut kemudian disebarkan di YouTube sehingga menimbulkan rasa bimbang orang ramai, terutama yang menjadi pelanggan restoran mamak yang beroperasi 24 jam.

Tidak sampai dua minggu selepas kejadian iaitu semalam, kumpulan yang sama dipercayai merompak sebuah lagi restoran mamak di Seksyen 24 di sini dan beberapa pelanggan turut menjadi mangsa.

Kedua-dua rompakan dilakukan pada awal pagi iaitu pada pukul 4 pagi dan 5.30 pagi di mana jumlah pelanggan restoran ketika itu tidak terlalu ramai.

Tun Hisan berkata, pihaknya sedang memburu lima lagi anggota kumpulan penjenayah itu yang masih bebas dan salah seorang daripadanya dikenali sebagai S. Veeramuthu, 19, berasal dari Kapar, Klang.

Murid OKU tetap tabah – Utusan


Murid OKU tetap tabah

Murid cacat penglihatan dari Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota, Muhammad Haziq Azmi menggunakan kamera litar tertutup khas bagi membaca soalan peperiksaan ketika menduduki UPSR di Kuantan, semalam. – bernama

 

KUALA LUMPUR 13 Sept. – Bergelar orang kurang upaya (OKU) tidak menjejaskan semangat calon-calon dari sekolah pendidikan khas menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas sekitar ibu negara mendapati murid-murid yang cacat penglihatan dan pendengaran serta bermasalah dalam pelajaran yang merupakan sebahagian daripada 497,491 calon UPSR tahun ini tenang menduduki peperiksaan.

Murid Sekolah Kebangsaan Khas Kampung Baru, Nur Kamila Rahayu Mohd. Radzi, 14, (gambar) yang bermasalah pendengaran dan percakapan berkata, dia tidak gementar menghadapi peperiksaan itu kerana yakin dengan persediaan yang dibuat sebelum ini.

“Saya membahagikan masa mengulang kaji pelajaran, menonton televisyen dan bermain setiap hari. Pada waktu petang, saya akan bermain dan menonton televisyen manakala mengulang kaji pelajaran dan membuat latihan pada waktu malam,” katanya.

Nur Kamila ketika ditemui Utusan Malaysia berkomunikasi melalui bahasa isyarat yang diterjemahkan oleh seorang guru sekolah berkenaan.

Anak kedua daripada lima beradik itu berharap memperoleh 5A untuk mengejar cita-cita menjadi seorang guru.

Guru Besar sekolah itu, Salim Napiah ketika ditemui berkata, calon-calon diberi kelas tambahan dan motivasi sebagai persediaan menghadapi peperiksaan itu.

“Mereka juga mempunyai semangat dan harapan untuk berjaya serta mendapat tempat dalam masyarakat. Golongan ini agak sensitif. Mereka perlu diberi tunjuk ajar dengan kaedah khusus bagi membolehkan menerima pelajaran serta terus bersemangat.

“Jika diberi tunjuk ajar dan persiapan yang secukupnya dengan kaedah yang betul, mereka pasti dapat menguasai pelajaran,” katanya.

Menurutnya, walaupun terdapat sesetengah murid berkenaan bermasalah dalam akademik, tetapi mereka dididik untuk menguasai kemahiran bagi membolehkan mendapat tempat sewajarnya dalam masyarakat.

Sementara itu, ibu kepada seorang calon dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Peel, Maimunah Abdullah, 47, berkata, dia bangga dengan usaha dan keprihatinan guru-guru sekolah pendidikan khas yang sabar dalam mendidik kanak-kanak kurang upaya.

“Mengajar murid kurang upaya perlu kesabaran kerana mereka sukar untuk menerima dan mengingati sesuatu mata pelajaran. Mereka perlu diberi perhatian dan kasih sayang yang lebih untuk mendorong mereka terus belajar,” katanya.

Dia berharap anaknya, Meor Shamil Meor Razi, 14, berjaya dan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan itu.

Sementara itu di PULAU PINANG, seorang murid Sekolah Kebangsaan Balik Pulau, Ahmad Khalil Khusairi Fazli yang dirawat di kepala akibat kecederaan kerana kemalangan mengambil UPSR di Hospital Pantai Bayan Baru.

Banjir tak jejas UPSR – Utusan


Banjir tak jejas UPSR

 

Oleh ZAINU’L AZHAR ASH’ARI
pengarang@utusan.com.my

 

Guru dan murid terpaksa meredah banjir menuju ke Sekolah Kebangsaan Seri Indera di Kangar, semalam. – utusan/Faizal Abu Hassan

 

KANGAR 13 Sept. – Banjir yang berlaku sejak beberapa hari lalu tidak menjejaskan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di negeri ini berikutan persediaan awal telah dibuat dengan menempatkan mereka di beberapa pusat peperiksaan.

Ia melibatkan lebih 100 calon yang terlibat dengan banjir dari Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Melangit, 36 orang, SK Seri Indera (36 orang), SK Panggas (22 orang) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Kangar (14 orang).

Keseluruhannya, seramai 4,594 calon menduduki peperiksaan tersebut yang melibatkan 75 pusat peperiksaan di seluruh negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azizan Hamid, Pengarah Pelajaran Perlis, Dun Kasa dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Ir. Nishad Mohamed Mohd. Shaffy melawat sekolah-sekolah yang terlibat dengan banjir hari ini.

Menurut Md. Isa, bantuan sewajarnya telah dilakukan untuk membantu mangsa banjir termasuk murid-murid yang menduduki UPSR berikutan banjir tersebut.

Setakat petang ini, banjir di Perlis kembali reda dengan hanya 10 pusat pemindahan beroperasi di Kangar manakala pusat-pusat pemindahan di Padang Besar dan Arau telah ditutup.

Mangsa-mangsa yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan sekitar Kangar juga berkurangan dengan cuma 119 keluarga melibatkan 467 mangsa masih berada di situ.

Bagaimanapun, empat buah sekolah di Kangar masih ditutup kerana dinaiki air iaitu SK Padang Melangit, SK Seri Indera, Sekolah Menengah Vokasional Kangar dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Syed Ahmad.

40,000 guru jadi jurulatih sukan – Utusan


40,000 guru jadi jurulatih sukan

 

Oleh OOI CHOON JOO
pengarang@utusan.com.my

 

KUALA LUMPUR 13 Sept. – Kira-kira 40,000 guru akan diberi latihan dan pendedahan untuk menjadi jurulatih sukan di semua peringkat persekolahan termasuk prasekolah dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, latihan itu penting supaya impian dasar 1Murid 1Sukan dapat direalisasikan sepenuhnya.

“Kementerian akan bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam memberi latihan atau kursus kepada guru-guru yang terpilih di semua peringkat persekolahan.

“Kita akan melatih 40,000 guru untuk menjadi jurulatih bagi pelbagai jenis sukan yang akan bermula dari peringkat prasekolah dahulu,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program Kindergym di Kompleks Sukan Negara di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Prof. Datuk Dr. Zakaria Ahmad dan Pengarah Kindergym, Niko Kau Git Kaur.

Ka Siong berkata, bukan semua guru pendidikan jasmani ialah jurulatih sukan kerana mereka tidak diberi latihan yang sistematik dalam bidang tersebut.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pembukaan program Kindergym bertujuan melatih murid prasekolah untuk menjadi atlet pelapis negara pada masa depan.

“Menerusi program ini, semua murid yang terlibat akan diberi latihan asas dan pendedahan awal terhadap bidang sukan sebelum mereka dipilih mengikuti latihan dalam acara tertentu.

“Modul latihan ini telah digunakan oleh China di kesemua 12,058 prasekolah di negara itu dan kita akan membangunkan modul ini di Malaysia untuk mencungkil bakat pemain di peringkat prasekolah lagi,” katanya.

Tambah beliau, harapan kementerian supaya program itu dapat melahirkan lebih ramai atlet yang berkualiti dan pada masa sama dapat mengurangkan masalah obesiti dalam kalangan pelajar.