Menteri selar tindakan – Metro


Menteri selar tindakan

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Perkara ini tak patut berlaku. Mereka tak ada kuasa dan tak boleh sewenang-wenangnya nak pukul pelajar. Kes ini kena siasat segera dan diambil tindakan,” kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau mengulas kenyataan 20 pelajar sebuah sekolah menengah di Seberang Perai Utara, Butterworth, Pulau Pinang yang mendakwa dirotan pengawas sekolah yang bertindak mengambil alih tugas guru disiplin atas kesalahan merokok.
Menyelar perbuatan itu, Dr Mohd Puad berkata, kementerian sangat memandang serius kejadian berkenaan apatah lagi perlembagaan pendidikan tidak pernah memberi kuasa kepada pengawas sekolah untuk menghukum pelajar.

 

“Pengawas sekolah hanya membantu guru dan mereka sepatutnya sedar serta faham tugas yang perlu dilakukan, tidak termasuk menghukum rakan pelajar yang didapati melakukan kesalahan tertentu.
“Memang tak boleh (merotan pelajar). Malah, dia sendiri tak faham prosedur standard operasi (SOP) merotan macam mana….tak boleh main pukul, hayun rotan saja….ada caranya yang tertentu,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.
Berikutan itu, beliau mahu Pengarah Jabatan Pelajaran negeri dan pihak sekolah segera menyiasat kes itu dan menghantar laporan lengkap kepada kementerian secepat mungkin.

 

 

Beliau yang enggan mengulas lanjut sebelum menerima laporan penuh tidak menolak sekiranya perbuatan pengawas terbabit merotan pelajar bersalah didasari unsur mahu membuli.
“Sebab itu, perkara ini perlu disiasat dengan sepenuhnya, sebab kita tak tahu apa niat mereka (pengawas sekolah)….adakah mahu membuli atau sebaliknya? Kena periksa (tak mungkin mereka tak faham tugas) sebab ini mesti ada perkara di sebaliknya,” katanya.

Malaysia hab pendidikan – Metro


Malaysia hab pendidikan

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Keupayaan negara mengurus aspek perbelanjaan secara efektif memberi kelebihan dalam merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia, khususnya ibu negara sebagai hub pendidikan antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, beliau percaya pengurusan perbelanjaan yang baik membolehkan sektor pendidikan dijana termasuk menerusi penawaran kemudahan berkualiti tinggi.
“Kami sedar dan percaya kos pendidikan ketika ini tinggi, tetapi Malaysia sangat efektif dalam mengurus soal perbelanjaan dan sekiranya dibandingkan dengan negara lain, kos pendidikan di sini masih murah.

 

“Ini secara tidak langsung dimanfaatkan sepenuhnya kerajaan dan swasta yang bekerjasama menjadikan Malaysia hub pendidikan pilihan dunia,” katanya dalam sesi dialog bersama Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majalah Forbes, Steve Forbes.
Dalam sesi temu bual hampir sejam itu, beliau yang juga Menteri Pelajaran ditanya beberapa isu berkait usaha kerajaan menaik taraf sektor pendidikan negara; memperkasakan peranan wanita; keganasan termasuk pemerdagangan manusia selain aspek pembangunan sektor perusahaan kecil dan sederhana (SME). Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa mengamal polisi terbuka bagi menggalakkan pelaburan ke negara ini, lebih-lebih lagi membuka institusi pendidikan tinggi dan universiti.
“Untuk itu, kami menyediakan segala keperluan dan sokongan diperlukan mereka. Kami beri insentif tertentu termasuk pencukaian dilonggarkan sedikit supaya ia dilihat lebih menggalakkan.

 

 

“Yang utama, kami ada kemudahan terbaik, kos murah dan suasana pembelajaran lebih selesa. Sekarang pun ramai penuntut asing dari China, Afrika, sebahagian besar dari Nigeria dan ada juga Iran belajar di sini,” katanya.
Beliau berkata, usaha memantapkan pendidikan negara diteruskan menerusi pelan pembangunan setiap lima tahun.

Remaja koma dibaling topi keledar meninggal – Metro


Remaja koma dibaling topi keledar meninggal

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR SETAR: “Salah tetap salah. Buat masa ini saya serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” kata Che Kassim Darus, 49, bapa Mohd Solihin, 14, yang meninggal dunia pagi semalam, selepas lebih sebulan koma akibat cedera parah di kepala terkena topi keledar dipercayai dibaling anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, dekat Perlis, 6 Ogos lalu.

Che Kassim berkata, anak keduanya itu disahkan meninggal dunia di Hospital Tunku Fauziah (HTF), Kangar pada jam 7.43 pagi semalam selepas dipindahkan dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, Selasa lalu.
Harian Metro pada 10 Ogos lalu melaporkan Mohd Solihin cedera parah di kepala selepas terjatuh dari motosikalnya akibat terkena topi keledar berkenaan. Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, remaja yang sudah tidak bersekolah dikatakan menunggang motosikal sendirian manakala dua rakannya menunggang motosikal di belakang apabila dia terjatuh. Rakannya mendakwa ternampak seorang daripada dua anggota polis di situ membaling objek dipercayai topi keledar.

 

Berikutan itu, mangsa dipercayai terpelanting dan menyebabkan bahagian belakang kepalanya bengkak dan tidak sedarkan diri ketika dibawa ke HTF sebelum dipindahkan ke HSB selepas keadaannya kritikal.
Che Kassim berkata, walaupun sedih tetapi dia reda dengan pemergian anak kedua daripada sembilan beradik itu kerana jika dia terus hidup, keadaannya teruk kerana terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
Ditanya mengenai sebarang tindakan yang akan diambil berhubung kejadian itu, Che Kassim enggan mengulas kerana belum mahu memikirkan perkara itu. Jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felcra Lubuk Sireh petang semalam.

 

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Deros mengesahkan menerima laporan mengenai kematian mangsa.
Katanya, pasukan forensik polis akan menyiasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa dan sehingga kini mengklasifikasikan kes kematian mengejut.

 

“Mengenai laporan keluarga mangsa kononnya mangsa maut akibat dibaling topi keledar anggota polis, kamimenyerahkan laporan berkenaan kepada penasihat undang-undang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman,” katanya.

Guru AS tak bantu kuasai BI – Berita Harian


Guru AS tak bantu kuasai BI
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar, Mohd Roji Kawi dan Nik Sukry Ramli
bhnews@bharian.com.my
2011/09/15

NGO bimbang pengajar dari Amerika Syarikat bawa budaya Barat

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pendidikan menyarankan Kementerian Pelajaran mewujudkan sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris (BI) lebih menarik bagi membolehkan murid memperoleh asas linguistik kukuh pada peringkat rendah.

Kesatuan Guru-Guru Malaysia Barat (KGGMB), meminta penggunaan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dengan memanfaatkan makmal komputer supaya subjek berkenaan lebih menyeronokkan.

Pelajar terpinga-pinga mendengar dialek bahasa Inggeris yang disampaikan ETA kerana sebutannya sukar difahami. – Hashim Adnan, Presiden NUTP

Presidennya, Mohd Sabri Arsad, berkata langkah membawa masuk guru dari Amerika Syarikat (AS) bukan tindakan bijak kerana guru asing dikhuatiri membawa masuk budaya Barat yang bercanggah dengan cita rasa tempatan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, maklum balas daripada guru dan pelajar di Terengganu yang mempunyai English Teaching Assistant (ETA) menunjukkan kehadiran ETA dari AS tidak banyak membantu meningkatkan penguasaan BI pelajar.

“Pelajar terpinga-pinga mendengar dialek bahasa Inggeris yang disampaikan ETA kerana sebutannya sukar difahami, ” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin berkata BI akan dijadikan syarat wajib lulus. Syarat itu bagi melayakkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima sijil penuh selepas gurunya mencukupi dan pengenalan kurikulum baru.
Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) pula meminta pelaksanaan syarat wajib lulus dalam SPM itu dilakukan secara berhati-hati dan tidak tergesa-gesa sehingga membebankan pelbagai pihak.

Presidennya, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata cadangan mengambil tenaga pengajar luar negara bukan penyelesaian terbaik.

Kementerian, katanya perlu melatih lebih ramai guru tempatan dan mengoptimumkan kemahiran mereka untuk dimanfaatkan bersama.

Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula silibus mata pelajaran BI di sekolah menengah bagi meningkatkan minat pelajar untuk menguasai mata pelajaran itu.

Yang Dipertuanya, Ahmad Malie, berkata ketika ini pelajar terpaksa mempelajari komponen sastera sebagai elemen tambahan dalam silibus pembelajaran BI.

Koperal Jenain bersalah sebabkan kematian Aminulrasyid – Bernama


Koperal Jenain bersalah sebabkan kematian Aminulrasyid 

2011/09/15

Koperal Jenain Subi

Koperal Jenain Subi

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini, sebentar tadi mendapati Koperal Jenain Subi bersalah menyebabkan kematian adik Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati di Shah Alam, April tahun lalu.

Jenain, 48, sebelum ini diperintah membela diri atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, antara jam 1.10 pagi dan jam 2 pagi di Jalan Tarian 11/2 di sini, pada 26 April 2010.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda. Aminulrasyid dilaporkan meninggal dunia kerana luka tembakan di kepala.

MAPIM minta syarat wajib lulus Bahasa Inggeris bagi SPM diteliti kesannya – Bernama


MAPIM minta syarat wajib lulus Bahasa Inggeris bagi SPM diteliti kesannya

2011/09/15

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) meminta Kementerian Pelajaran meneliti secara terperinci kesan syarat wajib lulus Bahasa Inggeris (BI) bagi melayakkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima sijil penuh.

Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata MAPIM tidak yakin bahawa syarat tersebut saja akan membolehkan negara bersaing di peringkat global dalam banyak bidang seperti perniagaan, pendidikan, politik dan penyelidikan.

“Dan jika alasan untuk memudahkan mendapat pekerjaan hanya dengan BI bermakna kementerian tidak lagi memberi perhatian mengukuhkan penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam sektor swasta dan bahasa ini akan diperlekehkan.

“Dalam jangka masa panjang agenda meletakkan taraf penggunaan Bahasa Kebangsaan ke tahap yang lebih tinggi dalam dunia perniagaan akan terus meleset,” tegasnya.

Dalam satu kenyataan di sini, hari ini Mohd Azmi berkata, MAPIM tidak menafikan pentingnya penguasaan BI, namun yang menjadi persoalan utama ialah proses pengajaran dan pembelajaran yang masih lemah dan ia tidak ada kaitan dengan soal wajib lulus untuk mendapat sijil penuh.

Beliau berkata, penguasaan bahasa adalah pada teknik pengajaran dan bukannya terletak kepada wajib lulus atau tidak.

“Sehubungan itu MAPIM bimbang jika syarat wajib lulus boleh menyebabkan seseorang itu tidak memperolehi sijil, maka seluruh peluangnya untuk meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi akan terjejas.
“Apakah hanya kerana tidak lulus BI pelajar terbabit tidak boleh mendapat sijil penuh SPM di samping menyekat peluangnya melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi,” katanya.

Mohd Azmi berkata, di samping itu pihak kementerian perlu terlebih dulu mengatasi masalah tidak cukup guru BI terutama di kawasan luar bandar, dalam masa sama suatu alternatif hendaklah diambil untuk memastikan pelajar masih boleh menguasai BI dalam SPM tanpa menjadikannya syarat wajib lulus.

Beliau berkata, kementerian perlu menimbangkan bahawa penguasaan BI untuk mendapat kerja bagi setiap bekas pelajar harus dilihat secara menyeluruh terutama kesan kepada mengutamakan Bahasa Kebangsaan dalam sektor swasta.

Beliau juga berkata, penguasaan ilmu tidak boleh berlaku hanya melalui pengantar BI semata-mata, sebaliknya ilmu yang berkembang melalui bahasa lain seperti bahasa Arab, Jepun, China, Russia dan Perancis mempunyai kekuatan untuk berkembang maju. – BERNAMA

Koperal Jenain dipenjara lima tahun – Bernama


Koperal Jenain dipenjara lima tahun

15/09/2011 1:43pm

 

SHAH ALAM 15 Sept. – Seorang anggota polis berpangkat Koperal, Jenain Subi dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, 15, pada April tahun lepas.

Hakim Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Jenain, 48, didakwa melakukan kesalahan itu antara 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepala.

Seramai 39 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani, Mohd Dusuki Mokhtar dan Adilla Ahmad sementara Jenain diwakili peguam M.Athimulan, Salim Bashir dan Halim Ashgar Mohd Hilmi. – Bernama

Kerajaan tidak pinggir pembangunan SJKC dan SJKT – Bernama


Kerajaan tidak pinggir pembangunan SJKC dan SJKT

15/09/2011 1:38pm

 

MUAR 15 Sept. – Kerajaan tidak pernah meminggirkan pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negara ini, malah ia sentiasa memberi bantuan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menolak pandangan sesetengah pihak yang mendakwa kerajaan dan kementerian kurang memberi perhatian kepada pembangunan SJKC dan SJKT di negara ini.

“Kerajaan telah membina 1,200 Sekolah Kebangsaan Jenis Cina dan 600 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil setakat ini. Pembangunan ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah pembinaan pusat aktiviti serbaguna Sekolah Tinggi Chung Hwa Muar hari ini.

Kerajaan katanya, menyediakan peruntukan yang besar terhadap pembangunan SJKC dan SJKT kerana menyedari ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan terhadap sektor pendidikan negara ini.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata, negara mempunyai dasar pendidikan kebangsaan di mana ia memberi keutamaan bagi membina sekolah-sekolah rendah dan menengah kebangsaan.

“Walaupun begitu, kita (kerajaan) tidak menyekat atau menghalang (terhadap pembangunan SJKC dan SJKT) bagi membolehkan kita menjadi hab pendidikan,” kata beliau.

Katanya, setiap sekolah yang didirikan mempunyai tujuan yang baik iaitu untuk memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak bagi kemajuan negara ini pada masa depan.

Malaysia kata Timbalan Perdana Menteri, amat memberi perhatian kepada pendidikan rakyatnya, dengan 26 peratus daripada belanjawan tahunannya disalurkan kepada bidang pendidikan.

Bidang pendidikan katanya, turut diberikan perhatian mendalam oleh kerajaan dalam Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) seperti meningkatkan pendidikan pra-sekolah dan lain-lain.

Muhyiddin juga berkata, penguasaan pelbagai bahasa oleh murid-murid seperti Bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa dan bahasa-bahasa lain termasuk Mandarin amat baik dan boleh memberi kelebihan kepada penuturnya.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan pemberian peruntukan RM1 juta kepada Sekolah Tinggi Chung Hwa Muar bagi pembinaan pusat aktiviti serbaguna yang keseluruhannya berharga RM10 juta. – Bernama

Kesatuan guru sokong syarat wajib lulus BI peringkat SPM – Bernama


Kesatuan guru sokong syarat wajib lulus BI peringkat SPM

KUCHING 14 Sept. – Kesatuan Guru Sarawak (STU) menyokong syarat wajib lulus dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris (BI) bagi melayakkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima sijil penuh.

Presidennya, William Ghani Bina berkata, ia akan membolehkan negara bersaing di peringkat global dalam banyak bidang seperti perniagaan, pendidikan, politik dan penyelidikan.

“Graduan kita boleh bekerja di mana saja kerana pekerjaan adalah terhad di peringkat tempatan,” katanya kepada Bernama.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan syarat baru tersebut semalam bagaimanapun berkata, ia hanya akan dilaksanakan apabila jumlah guru Bahasa Inggeris mencukupi untuk dihantar ke semua sekolah di seluruh negara selain pengenalan kurikulum baru yang memantapkan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran tersebut.

Ghani juga berkata, perkara tersebut hanya boleh dilakukan apabila terdapat guru Bahasa Inggeris yang terlatih yang sanggup mengajar di mana sahaja termasuk di kawasan luar bandar di Sarawak dan Sabah.

Di Besut, Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM) turut menyokong inisatif yang dikemukakan Muhyiddin.

Presidennya, Profesor Madya Dr. Hashim Othman berkata, langkah itu sesuai dengan resolusi yang dibuat PPBMM dalam beberapa seminar yang diadakan di dalam dan luar negara pada tahun ini dan tahun lalu.

Beliau berkata, langkah tersebut merupakan langkah bijak dan bertepatan dengan usaha memperkasakan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Pada masa yang sama, beliau menyaran agar ditetapkan kelulusan minimum untuk subjek tersebut bagi berlaku adil kepada pelajar di luar bandar.

“Dengan menetapkan tahap kelulusan minimum, ia bukan sahaja dapat memberi motivasi kepada pelajar di luar bandar malah memudahkan mereka untuk mencari pekerjaan atau menyambung pelajaran di pusat pengajian tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, Dr. Hashim berkata, PPBMM menentang sebarang usaha bagi menghidupkan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kerana ia bukan cara untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Pakar bahasa Profesor Awang Sariyan pula meminta Kementerian Pelajaran supaya tegas apabila membuat sesuatu keputusan berkaitan pendidikan. – BERNAMA