Jenain bersalah, dipenjara lima tahun – Utusan


Jenain bersalah, dipenjara lima tahun

 

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

 

SHAH ALAM 15 Sept. – Anggota polis, Koperal Jenain Subi dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar tingkatan tiga, Aminulrasyid Amzah yang ditembak di kepala pada April tahun lalu.

Hakim Latifah Mohd. Tahar memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa tertuduh dan dua saksi yang dipanggil bagi pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.

Beliau bagaimanapun membenarkan hukuman penjara ke atas Jenain ditangguhkan sehingga rayuannya selesai didengar dan diputuskan dengan jumlah jaminan RM10,000 yang dikenakan sebelum ini dikekalkan.

Dalam penghakiman ringkas, Latifah berkata, tembakan yang dilepaskan oleh Jenain dilakukan dalam keadaan tidak munasabah selain mempunyai niat untuk menyebabkan kematian remaja berusia 15 tahun itu berdasarkan jumlah tembakan yang dilepaskan.

Katanya, selain keterangan saksi-saksi pendakwaan, Jenain sendiri mengaku melepaskan 21 das tembakan dan tindakan itu dilakukan ketika kereta yang dipandu Aminulrasyid tidak lagi dalam keadaan berbahaya serta tidak berkeupayaan melarikan diri.

Berdasarkan keterangan anggota-anggota peronda polis yang berada di tempat kejadian, beliau juga berpendapat anak peluru yang menembusi kepala mangsa datang dari submesingan Heckler & Koch MP5 yang didaftar keluar atas nama tertuduh.

“Keadaan persekitaran di Jalan Tarian tidak lagi berbahaya kepada mana-mana pihak dan tidak perlu lagi dilepaskan tembakan pada kereta yang dipandu mangsa lebih-lebih lagi dengan 21 das tembakan.

“Sebagai anggota polis, tertuduh seharusnya sedar bahawa tembakan secara automatik dengan menggunakan submesingan amat berbahaya kerana peluru akan keluar secara berterusan,” kata beliau.

Berhubung keterangan bekas Ketua Bahagian Tempat Kejadian Jenayah (CSI) Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Amidon Anan, Latifah berpendapat beliau memberi keterangan hanya berdasarkan pengalaman dalam bidang forensik dan bukan sebagai saksi pakar.

Sementara saksi pembelaan ketiga, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang dan Pendakwaan, Bukit Aman, Datuk Razali Basri pula mengesahkan senjata api hanya boleh digunakan dalam keadaan yang munasabah.

“Mahkamah bukan sahaja bersimpati dengan keluarga mangsa tetapi juga kepada tertuduh yang telah berkhidmat sebagai anggota polis selama 25 tahun

“Bagaimanapun, mahkamah perlu mengambil kira bahawa kes ini melibatkan penggunaan senjata api terhadap pelajar dan kes ini melibatkan kepentingan awam,” kata beliau.

Jenain, 49, yang berkopiah putih serta memakai jaket sukan dilihat tenang, manakala isteri dan beberapa ahli keluarga tidak dapat menahan perasaan sedih sebaik hukuman dijatuhkan.

Dia yang bertugas di Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April tahun lalu.

Bapa kepada empat anak itu dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 12 Oktober tahun lalu, pihak pendakwaan memanggil 39 saksi manakala pihak pembelaan menampilkan tiga saksi termasuk tertuduh.

Terdahulu, Peguam Salim Bashir merayu agar Jenain dikenakan hukuman ringan kerana dia tidak berniat menyebabkan kematian Aminulrasyid selain tidak mengetahui mangsa hanya seorang budak.

Katanya, tertuduh juga bertindak demikian bagi melaksanakan tugasnya sebagai anggota polis yang sedang berkhidmat untuk negara, selain tidak mempunyai sebarang rekod jenayah mahupun tatatertib.

”Lapan bulan sebelum kejadian, tertuduh adalah salah seorang anggota polis yang mengawal kawasan ini. Ketika kita sedang nyenyak tidur, tertuduh yang bertugas mengawal keselamatan.

”Bagi mahkamah, 30, 15 atau 10 tahun hanya satu angka, tetapi tertuduh yang terpaksa menjalani hukuman itu. Anak-anak juga akan kehilangan kasih sayang ayah,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani pula memohon hukuman yang mampu memberi pengajaran kepada tertuduh mahupun anggota polis lain agar lebih berhati-hati serta tidak melepaskan tembakan sewenang-wenangnya di masa hadapan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s