Dua kanak-kanak mati lemas dalam kolam mandi – Bernama


Dua kanak-kanak mati lemas dalam kolam mandi

2011/09/18

KUANTAN: Dua kanak-kanak ditemui lemas di kolam mandi sebuah resort di Jalan Beserah, dekat sini, hanya kira-kira selepas 25 minit bapa mangsa mendaftar masuk ke resort berkenaan.

Mangsa, pelajar Sekolah Kebangsaan Lepar Utara 8, Mohd Firdaus Samsol, 7, dan adiknya, Mohd Ridzuan Hakim Samsol, 5, ditemui terbaring di dasar kolam oleh bapa mereka, Samsol Ibrahim, 30-an, kira-kira 12.35 tengah hari semalam.

Menurut Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Pahang Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, DSP Kamaruzzaman Jaafar, mereka sekeluarga dari Felda Lepar Utara, Maran baru tiba di sini untuk bercuti di resort tersebut.

“Samsol yang bekerja sebagai penyelia sebuah syarikat, baru saja mendaftar masuk ke resort tersebut kira-kira 12.10 tengah hari dan keluar sebentar untuk membeli minuman pada 12.25. Ketika keluar dari bilik, kedua-dua
kanak-kanak itu mengikuti bapanya, sementara isterinya, 30-an berada di dalam bilik.

“Samsol keluar dengan menaiki kereta untuk membeli minuman tanpa membawa kedua-dua anak lelakinya. Sepuluh minit kemudian, dia balik dan mendapati anaknya tiada,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kamaruzzaman berkata, penyelia tersebut bergegas mencari anaknya di sekitar kolam mandi resort terbabit dan tergamam apabila ternampak kedua-dua mangsa terbaring kaku di dasar kolam.
Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat. Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas, katanya.

Beliau berkata, mayat Mohd Firdaus dan Mohd Ridzuan dibawa balik ke rumah keluarga mereka di Felda Kemayan, Bera kira-kira 8 malam semalam dan selamat dikebumikan tengah hari tadi. – BERNAMA

Calon PMR bersama seorang rakan maut dalam kemalangan – Bernama


Calon PMR bersama seorang rakan maut dalam kemalangan 

2011/09/18

ALOR SETAR: Seorang calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) bersama rakannya maut dalam kemalangan awal hari ini selepas dilanggar sebuah jip semasa membuat pusingan U di Batu 2 Jalan Langgar di sini.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah, berkata mangsa meninggal dunia di HSB jam 3 pagi.

Kejadian itu berlaku jam 1.15 pagi semasa mangsa Mohd Fatullah Yassin, 15, bersama rakannya dikenali sebagai Mohd Shahman, 16, yang menunggang motosikal, sedang dalam perjalanan ke rumah kawan mereka di Taman Pulai Jaya di sini.

Mohd Fatullah adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Syed Omar manakala Mohd Shahman pula pelajar Sekolah Menengah Teknik Jalan Stadium di sini.

Abang Mohd Fatullah, Mohd Faqeh Yassin, 22, berkata adiknya ke rumah jiran selepas pulang dari rumah bapa saudara mereka di Kem Tentera Udara Diraja Malaysia di Kepala Batas dekat sini.

Bercakap kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, beliau berkata, keluarganya tidak tahu bila Fatullah keluar dari rumah jirannya untuk pergi mengambil Shahman.

Katanya, mayat adiknya akan dibawa ke kampung mereka di Parit, Perak untuk dikebumikan. – BERNAMA

Budak 10 tahun lemas terjatuh longkang – Utusan


Budak 10 tahun lemas terjatuh longkang

JOHOR BAHRU 17 Sept. – Seorang murid tahun empat ditemui mati lemas setelah terjatuh ke dalam longkang ketika hujan lebat di Jalan Bacang, Kota Masai di sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 2 petang, mangsa, Abdul Malik Mohd. Shafarri, 10, ditemui oleh orang awam yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat kira-kira pukul 4.30 petang.

Mayat mangsa yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Kota Masai 2 itu ditemui tersangkut pada akar pokok kira-kira tiga kilometer dari tempat dia tergelincir.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, usaha mencari dan menyelamat mangsa dilakukan sejurus menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

“Mangsa yang menetap di Taman Kota Masai serta dua rakannya yang lain dikatakan keluar berhari raya di kawasan sekitar. Sebaik sahaja terjatuh, rakan mangsa cuba membantu namun gagal kerana arus kuat,” katanya.

Menurut Roslan, pasukan mencari dan menyelamat yang disertai Bomba dan Penyelamat Balai Pasir Gudang, Unit Penyelam serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) turut mencari mangsa di beberapa lokasi termasuk longkang, parit dan kawasan takungan air.

Sementara itu, orang awam yang menemui mayat mangsa, Samsudin Jamil, 29, berkata, dia mula mencari dengan menyusuri tebing sungai berhampiran Jalan Kota Masai menghala ke Pasir Putih.

“Ketika mencari bersama seorang rakan, saya ternampak susuk tubuh seseorang dengan bahagian pinggang hingga kaki berada di dalam air dan tersangkut di akar pokok yang tumbang.

“Saya terus memanggil anggota menyelamat yang lain untuk membawa mayat kanak-kanak lelaki itu naik ke darat,” katanya.

Pusat sedia bayar gaji guru agama – Berita Harian


Pusat sedia bayar gaji guru agama
Oleh Fazli Abdullah, Amin Ridzuan Ishak, Pettah Wazzan Iskandar dan Faridzwan Abdul Ghafar

2011/09/18

MUHYIDDIN menyerahkan bantuan kepada wakil Madrasah Tahfiz Al-Quran Masjid Banggali, 
Seberang Prai Utara, Rezuan Ahmad di Pulau Pinang, semalam.

MUHYIDDIN menyerahkan bantuan kepada wakil Madrasah Tahfiz Al-Quran Masjid Banggali, Seberang Prai Utara, Rezuan Ahmad di Pulau Pinang, semalam.

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan Pusat sedia mengambil alih pembayaran gaji guru sekolah agama naungan beberapa kerajaan negeri supaya setaraf jumlah diterima guru di bawah seliaan Kementerian Pelajaran.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya sudah berbincang dengan beberapa kerajaan negeri untuk menjalin kerjasama supaya sistem pendidikan peringkat negeri bukan saja mengikuti kurikulum ditetapkan malah mampu melahirkan warga berkemahiran.

Kerajaan Pusat sedia membantu kerajaan negeri dengan mengambil tanggungjawab membayar gaji guru supaya setanding dengan guru di bawah Kementerian Pelajaran, terserah sama ada kerajaan negeri terbabit sedia membantu dengan cara bekerjasama.

Kementerian Pelajaran terutama Kerajaan Pusat tidak ada niat untuk mengambil alih tanggungjawab (sekolah agama). Tanggungjawab kita adalah menyokong supaya tenaga pengajar dapat menjalankan tugas mereka lebih baik kerana saya sedar sesetengah negeri tidak mampu membayar imbuhan setimpal.

Ramai guru berdepan masalah itu dan sebab itu kerajaan memutuskan kalau ada hasrat kerajaan (negeri) berkenaan untuk dapatkan sokongan, kita pada peringkat Kerajaan Pusat sedia membantu, katanya berucap pada majlis perjumpaan khas dengan guru sekolah agama dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Permatang Pauh, dekat sini, semalam. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran enggan menyebut negeri terbabit.

Pada majlis berasingan, Timbalan Perdana Menteri berkata, Bajet 2012 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bulan depan, diharap mampu meringankan beban rakyat.

Beberapa perkara dalam penelitian kerajaan dan Perdana Menteri akan mengumumkan dalam bajet nanti. Mudah-mudahan sesuatu yang membantu rakyat dan mengurangkan beban rakyat, katanya pada majlis Kenduri Rakyat Merdeka Raya anjuran UMNO Bahagian Nibong Tebal, di sini.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin menyambut baik tindakan UMNO Pulau Pinang menghantar notis tuntutan meminta Ketua Menteri, Lim Guan Eng memohon maaf dan menarik balik tuduhan kononnya UMNO terbabit dalam kes kebakaran di ibu pejabat DAP negeri, bulan lalu.

UMNO bukan parti tidak bermaruah. Kalau ada sesiapa yang membuat tohmahan di khalayak ramai kononnya UMNO terbabit dalam perbuatan membakar bangunan (pejabat DAP), ini kenyataan buruk sangka dan fitnah, katanya.

Lawatan sehari Timbalan Perdana Menteri ke Pulau Pinang semalam membawa berita gembira apabila peruntukan dan insentif bernilai RM21.3 juta diluluskan Kerajaan Pusat untuk pelbagai keperluan.

Muhyiddin mengumumkan RM7.1 juta disalurkan kepada 35 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR). Beliau juga meluluskan peruntukan RM1.4 juta bagi menaik taraf Pasar Awam Tasek Gelugor dan mengecat semula empat blok flet di Taman Retina, Tasek Gelugor. Sebanyak RM2.5 juta pula untuk menaik taraf Masjid Sungai Acheh yang berusia 120 tahun, manakala RM1 juta bagi menaik taraf Jeti Nelayan Sungai Udang serta RM500,000 disumbang kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Tek, Nibong Tebal.

Muhyiddin juga meluluskan peruntukan tambahan RM1.5 juta bagi pembinaan projek perumahan mangsa banjir di Kampung Manggis, Bukit Mertajam serta RM6.1 juta bagi pembinaan semula Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Batu Kawan.