Kes Aminulrasyid: Koperal Jenain failkan rayuan – Bernama


Kes Aminulrasyid: Koperal Jenain failkan rayuan

2011/09/19

SHAH ALAM: Koperal Jenain Subi, anggota polis yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian remaja lelaki berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah pada April tahun lalu, hari ini memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman itu.

Peguam Salim Bashir dan Halim Ashgar Mohd Hilmi yang mewakili tertuduh memfailkan rayuan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, tengah hari tadi. Jenain yang turut hadir ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata, rayuan difailkan kerana beliau tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah dan ingin membersihkan namanya.

Pada Khamis lalu, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas mendapati Jenain, 49, yang bertugas di Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid antara 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda. Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepala.

Hakim Latifah Mohd Tahar bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi dan mengekalkan wang jaminan ke atas Jenain iaitu RM10,000. – BERNAMA

Guru penolong kanan hadapi tuduhan pecah amanah – Bernama


Guru penolong kanan hadapi tuduhan pecah amanah

2011/09/19

KANGAR: Seorang guru penolong kanan hal ehwal murid sebuah sekolah rendah di sini, hari ini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas tuduhan pecah amanah.

Farida Ariani Fadzil, 49, dituduh melakukan pecah amanah wang dari Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) berjumlah RM5,400 yang sepatutnya dibayar kepada 12 murid tahun satu pada 4 November 2008 di pejabat Sekolah Kebangsaan Behor Empiang, di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, guru yang tidak diwakili peguam itu tidak mengaku bersalah dan memohon dibicarakan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A. Hafiizh Abu Bakar mencadangkan mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 kepada tertuduh.

Bagaimanapun tertuduh merayu jumlah jaminan itu dikurangkan kerana beliau adalah seorang ibu tunggal dan mempunyai tanggungan seorang anak.
Hakim Mahkamah Sesyen, Wan Norzanuar Wan Ahmad memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes. Tertuduh membayar ikat jamin itu. – BERNAMA

Rakan karib buat pusingan U maut dirempuh SUV – Berita Harian


Rakan karib buat pusingan U maut dirempuh SUV

2011/09/19

ALOR SETAR: Dua remaja yang juga rakan karib maut selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) ketika membuat pusingan U di Jalan Langgar, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, motosikal ditunggangi Mohd Syahman Johari, 16, dan Mohd Fathullah Mohd Yasin, 15, sedang membuat pusingan U ke arah Pokok Sena sebelum dirempuh SUV jenis BMW itu, menyebabkan mereka tercampak dan mengalami kecederaan parah.

Kedua-dua mangsa terbabit yang dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) oleh orang awam dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3 pagi.

Pemandu SUV terbabit, seorang lelaki berusia 26 tahun turut dibelasah orang awam yang berada di situ ketika kejadian berlaku.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah, berkata polis menahan pemandu SUV berkenaan untuk membantu siasatan.

Katanya, kedua-dua remaja terbabit dipercayai tidak memakai topi keledar berdasarkan siasatan polis tidak menemui peralatan berkenaan di lokasi kejadian.

“Ketika kejadian motosikal terbabit dipercayai datang dari arah Pokok Sena dan membuat pusingan U, manakala SUV terbabit datang dari arah bandar raya menuju ke Pokok Sena.
“Pemandunya dipercayai tidak sempat mengelak dan merempuh motosikal terbabit, menyebabkan penunggang dan pemboncengnya tercampak dan cedera parah,” katanya di sini, semalam.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan berbahaya hingga menyebabkan kematian.

Sementara itu, bapa Mohd Syahman, Johari Ahmad, 52, dari Taman Pulai Jaya yang ditemui berkata, dia reda dengan kejadian yang menimpa anaknya itu walaupun amat terasa kehilangannya kerana mereka amat rapat seperti kawan.

Budak korban tiang gol – Metro


Budak korban tiang gol

Oleh Ahmad Isyafiq Mad Desa
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MUHAMMAD FAKHRUL AMIN...parah di kepala
MUHAMMAD FAKHRUL AMIN…parah di kepala

KLANG: “Arwah sebelum ini minta dibelikan kasut bola baru, saya terkilan tak sempat memenuhi hasratnya,” kata Abdul Rahman Sarbaini, 41.

Anaknya, Muhammad Fakhrul Amin Abdul Rahman, 11, maut selepas cedera parah di bahagian kepala akibat dihempap tiang gol ketika bermain bola sepak, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jawa 2 itu mengalami pendarahan teruk selain retak tempurung kepala.

Abdul Rahman berkata, dia yang berada di rumah terkejut apabila dipanggil seorang jiran memberitahu anaknya kemalangan ketika bermain bola sepak di padang kira-kira 50 meter dari kediamannya di Kuarters Guru Kampung Jawa.

 
“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya terkejut melihat banyak darah keluar dari kepalanya dan dia (Muhammad Fakhrul) sudah terbaring tidak sedarkan diri.

“Melihat kecederaan yang parah, saya terus menghantarnya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (Klang) untuk mendapatkan rawatan namun dia gagal diselamatkan,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, arwah tidak menunjukkan sebarang perangai pelik, kecuali meminta sepasang kasut bola baru daripada ibunya, Faizah Ayob, 41, yang memintanya bersabar.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Abdullah Mat Derus ketika dihubungi berkata, beliau masih belum menerima laporan kerana ketika kejadian berada di luar negara.

“Mungkin pihak jabatan sudah pergi ke lokasi kejadian, namun jika sudah menerima laporan, siasatan akan segera dilakukan,” katanya.

>Kronologi maut dihempap tiang 

  • 7 Mac 2000

    KUANTAN: Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di daerah ini mati selepas dihempap tiang gol yang diperbuat daripada besi sewaktu bermain di padang sekolahnya.

  • 30 Januari 2008

    SUNGAI PETANI: Seorang murid tahun empat maut selepas dihempap tiang gol ketika bermain di tepi padang Sekolah Kebangsaan Taman Sri Wang (SKTSW) selepas waktu persekolahan sementara menunggu kedatangan bapanya.

  • 4 November 2010 

    KEPALA BATAS: Seorang murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Kepala Batas di sini, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat cedera parah selepas dihempap tiang gol di padang sekolahnya.

Dua beradik lemas bersama – Metro


Dua beradik lemas bersama

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUANTAN: Kegembiraan dua beradik yang sedang bercuti bersama keluarga bertukar tragedi apabila ditemui lemas di dasar kolam sebuah resort di Beserah, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari itu, mangsa, Mohd Firdaus Samsol, 7, dan adiknya, Mohd Ridzuan Hakim, 5, dikatakan bermain dalam kolam renang tanpa menyedari memasuki kawasan dewasa yang agak dalam.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama keluarga mendaftar masuk ke resort berkenaan jam 12.25 tengah hari.

 

Menurutnya, bapa mangsa kemudian keluar membeli minuman manakala mangsa ditemani ibunya yang berada dalam bilik sambil menyusukan adik bongsu mangsa berusia setahun.
Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa disedari hilang selepas bapanya pulang dari kedai sebelum bergegas mencari sekitar resort berkenaan.
“Selepas hampir lima minit mencari, lelaki terbabit menemui dua anaknya dalam dasar kolam sebelum memanggil pengurusan pusat peranginan itu untuk membawa mangsa keluar.

 

 

“Dua beradik itu diberikan bantuan oleh Pembantu Perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke rumah mayat HTAA untuk dibedah siasat dan polis sudah mengambil keterangan berhubung kejadian itu daripada keluarga mangsa.

 

Katanya, siasatan awal mengesahkan kejadian itu tidak mempunyai unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Beliau berkata, jenazah dua beradik terbabit dibawa pulang ke Felda Kemayan, Bera untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kemayan, kira-kira jam 8.10 malam kelmarin.

Dua pelajar maut dirempuh kenderaan SUV – Utusan


Dua pelajar maut dirempuh kenderaan SUV

ALOR SETAR 18 Sept. – Dua pelajar termasuk seorang calon yang bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) bulan depan maut selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (SUV) di Jalan Langgar, di sini awal pagi ini.

Mangsa, Mohd. Syahman Johari, 16, dan rakannya, Mohd. Fatullah Yassin, 15, yang cedera parah di kepala meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, pukul 3 pagi.

Menurut Ketua Trafik Kota Setar, Deputi Supritendan Mohd. Sham Abdullah, kejadian berlaku pukul 1.15 pagi apabila motosikal itu dikatakan membuat pusingan U di jalan tersebut.

Katanya, motosikal itu bagaimanapun tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu dirempuh kenderaan BMW X5 yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat rempuhan SUV yang dipandu laju itu, kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan dan cedera parah di kepala. Siasatan mendapati mangsa tidak memakai topi keledar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, pemandu SUV yang berusia 26 tahun itu tidak mengalami kecederaan akibat kemalangan namun cedera dipukul orang awam di tempat kejadian.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar mengawasi pergerakan anak-anak mereka setiap masa dan tidak membenarkan golongan itu menunggang motosikal tanpa lesen dan topi keledar.

Sementara itu suasana pilu menyelubungi bilik mayat HSB hari ini ketika keluarga kedua-dua mangsa hadir untuk menuntut jenazah.

Menurut bapa Mohd. Syahman, Johari Ahmad, 52, anaknya yang merupakan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Teknik Alor Setar keluar rumah mereka di Taman Hidayah di sini, kira-kira pukul 11 malam bersama seorang rakan.

Menurut Mohd. Faqih Yassin, 22, adiknya, Mohd. Fatullah, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Dato’ Syed Omar tidak menunjukkan perubahan sebelum kejadian.

“Cuma semalam arwah beria-ia mengajak saya dan bapa saudaranya keluar bermain boling tetapi saya menolak kerana waktu itu sudah pukul 11.30 malam,” katanya dari Taman Pulai Jaya di sini.

Dua kanak-kanak mati lemas di kolam – Utusan


Dua kanak-kanak mati lemas di kolam

KUANTAN 18 Sept. – Kegembiraan percutian lima beranak berakhir dengan tragedi apabila dua ahli keluarga itu mati lemas di kolam mandi sebuah resort dekat Beserah, di sini semalam.

Mangsa ialah murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lepar Utara 8, Mohd. Firdaus Samsol, 7, dan adiknya, Mohd. Ridzuan Hakim, 5,

Kejadian pukul 12.35 tengah hari itu berlaku sejurus bapa kedua-dua mangsa, Samsol Ibrahim meninggalkan anaknya selama 15 minit untuk membeli minuman.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, keluarga itu dari Felda Lepar Utara, Maran, baru mendaftar masuk di resort tersebut pukul 12.10 tengah hari.

“Ketika keluar dari bilik, kedua-dua kanak-kanak itu mengikut bapanya, sementara isterinya berusia 30-an menyusukan bayi mereka berusia setahun di dalam bilik.

“Samsol keluar dengan menaiki kereta untuk membeli minuman tanpa membawa kedua-dua anak lelakinya. Kira-kira 10 minit kemudian, dia pulang dan mendapati anak-anaknya tiada,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kamaruzzaman berkata, lelaki itu bergegas mencari anak-anaknya di sekitar kolam mandi resort terbabit dan tergamam melihat mereka lemas di dasar kolam.

“Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat. Mereka disahkan meninggal dunia akibat lemas,” jelasnya.

Katanya, mayat kedua-dua kanak-kanak itu dibawa pulang ke rumah keluarga mereka di Felda Kemayan, Bera, pukul 8 malam tadi dan selamat dikebumikan tengah hari ini.

Pelajar tahun lima mati dihempap tiang gol – Utusan


Pelajar tahun lima mati dihempap tiang gol

KLANG 18 Sept. – Seorang pelajar tahun lima maut setelah cedera parah di kepala akibat dihempap tiang gol ketika bermain bola sepak di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa 1, Klang, di sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 6 petang itu, mangsa, Mohd. Fakrul Amin Abdul Rahman (gambar), 11, murid Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Jawa 2, mengalami pendarahan teruk selain retak tempurung kepala.

Bapa Allahyarham, Abdul Rahman Sarbaini, 41, berkata, dia mendapat tahu insiden malang itu setelah dimaklumkan rakan-rakan anaknya yang bergegas ke rumahnya di Kuarters Guru Kampung Jawa.

Dia yang terus ke padang sekolah berkenaan melihat anaknya terbaring dan tidak bergerak, dengan kesan darah di kepala.

“Saya segera mengangkat Mohd. Fakrul Amin dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Doktor kemudian memaklumkan anak saya telah meninggal dunia, pukul 7 petang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Abdul Rahman yang bekerja sebagai operator kilang di Seksyen 16, Shah Alam, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Jati, di sini selepas solat Zohor hari ini.

Abdul Rahman berkata, Allahyarham yang merupakan anak keempat daripada lapan beradik itu merupakan seorang yang aktif dan meminati sukan bola sepak.

“Anak saya selalu bermain bola sepak pada waktu petang di padang sekolah berkenaan dan amat meminati pasukan bola sepak Inggeris, Liverpool,” ujarnya.

Abdul Rahman sedih kerana Allahyarham tidak sempat membeli kasut bola setelah mengumpul duit raya sebanyak RM120 baru-baru ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Abdullah Mat Derus ketika dihubungi hari ini memberi jaminan akan mengadakan siasatan apabila mendapat laporan lengkap mengenai perkara itu.