Dua pelajar maut dirempuh kenderaan SUV
ALOR SETAR 18 Sept. – Dua pelajar termasuk seorang calon yang bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) bulan depan maut selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (SUV) di Jalan Langgar, di sini awal pagi ini.
Mangsa, Mohd. Syahman Johari, 16, dan rakannya, Mohd. Fatullah Yassin, 15, yang cedera parah di kepala meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, pukul 3 pagi.
Menurut Ketua Trafik Kota Setar, Deputi Supritendan Mohd. Sham Abdullah, kejadian berlaku pukul 1.15 pagi apabila motosikal itu dikatakan membuat pusingan U di jalan tersebut.
Katanya, motosikal itu bagaimanapun tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu dirempuh kenderaan BMW X5 yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat rempuhan SUV yang dipandu laju itu, kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan dan cedera parah di kepala. Siasatan mendapati mangsa tidak memakai topi keledar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, pemandu SUV yang berusia 26 tahun itu tidak mengalami kecederaan akibat kemalangan namun cedera dipukul orang awam di tempat kejadian.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar mengawasi pergerakan anak-anak mereka setiap masa dan tidak membenarkan golongan itu menunggang motosikal tanpa lesen dan topi keledar.
Sementara itu suasana pilu menyelubungi bilik mayat HSB hari ini ketika keluarga kedua-dua mangsa hadir untuk menuntut jenazah.
Menurut bapa Mohd. Syahman, Johari Ahmad, 52, anaknya yang merupakan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Teknik Alor Setar keluar rumah mereka di Taman Hidayah di sini, kira-kira pukul 11 malam bersama seorang rakan.
Menurut Mohd. Faqih Yassin, 22, adiknya, Mohd. Fatullah, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Dato’ Syed Omar tidak menunjukkan perubahan sebelum kejadian.
“Cuma semalam arwah beria-ia mengajak saya dan bapa saudaranya keluar bermain boling tetapi saya menolak kerana waktu itu sudah pukul 11.30 malam,” katanya dari Taman Pulai Jaya di sini.