Pelajar tahun lima mati dihempap tiang gol – Utusan


Pelajar tahun lima mati dihempap tiang gol

KLANG 18 Sept. – Seorang pelajar tahun lima maut setelah cedera parah di kepala akibat dihempap tiang gol ketika bermain bola sepak di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa 1, Klang, di sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 6 petang itu, mangsa, Mohd. Fakrul Amin Abdul Rahman (gambar), 11, murid Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Jawa 2, mengalami pendarahan teruk selain retak tempurung kepala.

Bapa Allahyarham, Abdul Rahman Sarbaini, 41, berkata, dia mendapat tahu insiden malang itu setelah dimaklumkan rakan-rakan anaknya yang bergegas ke rumahnya di Kuarters Guru Kampung Jawa.

Dia yang terus ke padang sekolah berkenaan melihat anaknya terbaring dan tidak bergerak, dengan kesan darah di kepala.

“Saya segera mengangkat Mohd. Fakrul Amin dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Doktor kemudian memaklumkan anak saya telah meninggal dunia, pukul 7 petang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Abdul Rahman yang bekerja sebagai operator kilang di Seksyen 16, Shah Alam, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Jati, di sini selepas solat Zohor hari ini.

Abdul Rahman berkata, Allahyarham yang merupakan anak keempat daripada lapan beradik itu merupakan seorang yang aktif dan meminati sukan bola sepak.

“Anak saya selalu bermain bola sepak pada waktu petang di padang sekolah berkenaan dan amat meminati pasukan bola sepak Inggeris, Liverpool,” ujarnya.

Abdul Rahman sedih kerana Allahyarham tidak sempat membeli kasut bola setelah mengumpul duit raya sebanyak RM120 baru-baru ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Abdullah Mat Derus ketika dihubungi hari ini memberi jaminan akan mengadakan siasatan apabila mendapat laporan lengkap mengenai perkara itu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s