Muhyiddin sedih pelajar dihalang ambil UPSR – Utusan


Muhyiddin sedih pelajar dihalang ambil UPSR

20/09/2011 4:05pm

 

 

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB

 

DUNGUN 20 Sept. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa dukacita dengan insiden beberapa pelajar dari sebuah sekolah rendah di bandar Bintangor dekat Sarikei baru-baru ini yang tidak dibenarkan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana faktor disiplin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menyifatkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku sambil memohon maaf kepada ibu bapa mereka dan menjamin pelajar terlibat tetap akan diberi peluang menduduki peperiksaan berkenaan.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat Sempena Sambutan Aidilfitri Parlimen Dungun di Padang Dewan Merdeka di sini tengah hari ini. – Utusan

3 murid dikurung akan duduki semula UPSR: Muhyiddin – Berita Harian


3 murid dikurung akan duduki semula UPSR: Muhyiddin

2011/09/20

DUNGUN: Tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor di Bintangor, Sarawak yang tidak dibenarkan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana dianggap lemah, dibenarkan menduduki peperiksaan awam itu dalam tempoh empat minggu lagi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil meluahkan rasa dukacita terhadap pentadbiran sekolah terbabit yang menyekat hak tiga murid berkenaan untuk menduduki UPSR, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata setiap pelajar yang mendaftar untuk mengambil peperiksaan awam dalam Kementerian Pelajaran mesti diberikan peluang untuk menduduki peperiksaan itu.

“Sama ada murid itu cemerlang, kurang cemerlang atau lemah, itu soal kedua. Hak dia untuk ambil peperiksaan itu tidak boleh disekat atau dihalang oleh pentadbir sekolah.

“Sebagai Menteri Pelajaran, ini adalah kuasa saya di bawah Akta Pendidikan dan saya putuskan pelajar ini dibenarkan menduduki UPSR. Saya juga sudah menerima laporan daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) bahawa ini boleh dilakukan.

“Biasanya ia mengambil masa empat minggu daripada tarikh keputusan saya untuk murid berkenaan menduduki peperiksaan itu,” katanya selepas majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat Aidilfitri di Padang Merdeka, Sura, di sini, hari ini yang dihadiri lebih 15,000 penduduk setempat.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Datuk Za’abar Mohd Adib; Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Datuk Seri Ismail Sabri

Muhyiddin berkata, LPM akan mengolah soalan peperiksaan itu supaya ia setara dengan kertas peperiksaan UPSR yang baru selesai diduduki calon pada 15 September lalu.
Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan pentadbir sekolah supaya tidak terlalu ghairah untuk mencapai kecemerlangan sekolah, hingga bertindak di luar perkara yang sepatutnya.

“Dalam hal ini, pihak sekolah mungkin bimbang kalau murid itu menduduki UPSR, ia akan menurunkan paras kecemerlangan sekolah. Tetapi ini hak pelajar (menduduki peperiksaan awam). Ibu bapa pun berhak tahu tahap pencapaian anak mereka.

“Walaupun kita ada buat tawaran baru yang diberikan Kementerian Pelajaran di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), jangan sampai ke peringkat hak dan keupayaan murid untuk mengambil peperiksaan awam dihalang,” katanya sambil meminta maaf kepada ibu bapa murid berkenaan.

Muhyiddin berkata, beliau juga telah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran untuk melakukan siasatan mendalam dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pentadbir sekolah yang terbabit terutama guru besar.

Akhbar hari ini melaporkan, tiga murid SK Bandar Bintangor dikurung di dalam bilik pemulihan sekolah ketika rakan lain menduduki peperiksaan berkenaan pada 13 dan 14 September lalu dipercayai kerana bimbang murid berkenaan yang lemah akan menjejaskan pencapaian sekolah.

Ketiga-tiga murid lelaki terbabit, Idie Ganyol, Edward Ujoh Augustine dan Richmend Mangi hanya dibenarkan menduduki peperiksaan pada 15 September, iaitu pada hari terakhir UPSR, selepas ibu bapa mereka membuat aduan kepada polis.

Jenain fail rayuan ketepi hukuman – Utusan


Jenain fail rayuan ketepi hukuman

SHAH ALAM 19 Sept. – Anggota polis, Koperal Jenain Subi yang dihukum penjara lima tahun bagi kesalahan menyebabkan kematian remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, hari ini memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman tersebut.

Permohonan itu difailkan dua peguamnya, Salim Bashir dan Halim Ashgar Mohd. Hilmi di Kaunter Pendaftaran Jenayah, Kompleks Mahkamah di sini, pada 12.45 tengah hari ini.

Jenain yang tidak terus menjalani hukuman selepas permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara tersebut dibenarkan hadir semasa rayuan berkenaan difailkan.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar turut memfailkan rayuan pada hari ini kerana tidak berpuas hati dengan hukuman tersebut.

Pada 15 September lalu, Jenain dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid yang ditembak di kepala pada April tahun lalu.

Dia dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Disebat getah paip sebelum disamun – Metro


Disebat getah paip sebelum disamun

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PETALING JAYA: Seorang remaja mendakwa disebat menggunakan getah paip ketika menunggang motosikal sebelum disamun sekumpulan Mat Rempit ketika melalui Lebuh Raya Persekutuan, berdekatan Wisma O’connors, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa yang berusia 17 tahun dikatakan menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan ke Kuala Lumpur selepas berjumpa dengan rakannya di Shah Alam.
Menurut sumber, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa yang tidak menggunakan laluan motosikal dihampiri lebih 20 motosikal sebelum dua daripadanya menghimpit dan menendang motosikal ditungganginya sambil menjerit mengarahkannya supaya berhenti.

 

“Mangsa kemudiannya dipukul dengan getah paip.
“Kumpulan terbabit turut berhenti 50 meter dari motosikal mangsa sebelum mangsa terpaksa menyerahkan dompet miliknya,” katanya.
Menurutnya, kumpulan terbabit kemudian beredar meninggalkan mangsa yang kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran.

 

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Hilang lepas ponteng 61 hari – Metro


Hilang lepas ponteng 61 hari

Oleh Anas Hassan
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang remaja yang taksub dengan permainan komputer hingga sanggup ponteng sekolah selama 61 hari turut nekad melarikan dari rumah dengan alasan ingin hidup bebas dan tidak mahu dikongkong.

Difahamkan, Teo Guo Wei, 17, yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah di Pandan Indah , hujung tahun ini lari dari rumah sejak Sabtu lalu selepas meninggalkan nota kecil kepada ibunya, Yoong Sau Lin, 46.
Menurut Sau Lin, dia hanya menyedari anaknya hilang apabila Guo Wei tidak pulang ke rumah hingga malam sebelum menemui sekeping nota tulisan tangan yang ditinggalkan dalam biliknya.

 

“Dalam nota itu, anak saya mengadu tertekan dengan keluarga kami yang serba kekurangan dan mahu keluar mencari kerja selain mahu hidup bebas.
“Saya cuma berharap agar anak saya itu dapat pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat dan berjanji akan memberikan kebebasan penuh kepadanya selepas ini,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini semalam.
Dalam perkembangan lain, seorang wanita yang dipercayai mengalami tekanan perasaan akibat masalah rumah tangga dihadapinya turut didakwa lari dari rumahnya di Perling, Johor sejak 9 Jun lalu.

 

 

Tan Hun Ni, 36, dipercayai lari dari rumah selepas kali terakhir berada di sebuah kafe siber berdekatan kawasan rumahnya.
Menurut ibunya, Geok Loo, 64, anaknya yang baru pulang dari Amerika Syarikat itu dipercayai lari dari rumah akibat tertekan dengan masalah rumah tangga dengan seorang suaminya yang juga warga Indonesia yang dikahwini lebih 10 tahun.

 

“Saya risaukan keadaan emosinya yang tidak stabil dan khuatir akan berlaku perkara yang tidak diingini terhadapnya,” katanya.
Dalam satu lagi kes, seorang warga emas berusia 71 tahun berasal dari China turut hilang dari rumah tumpangan di Jalan Petaling, di sini.
Sheng Xiao Zeng, dipercayai hilang sejak setahun lalu dan masih belum dijumpai hingga kini sejak kali terakhir dilihat berkeliaran di Stesen LRT Ampang Park, di sini.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima 47 kes aduan kehilangan ahli keluarga sepanjang tahun ini.
“Daripada jumlah terbabit, 27 kes membabitkan kehilangan remaja perempuan dan wanita serta selebihnya adalah lelaki,” katanya.

Belasah ibu tak tahan dileter – Metro


Belasah ibu tak tahan dileter

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: Hanya kerana menasihati anak lelakinya yang sering menghabiskan masa di kafe siber, seorang ibu cedera dipukul dengan kayu, kelmarin.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang berusia 40 tahun bersama suaminya berada di dalam rumah mereka di Pandan Mewah, di sini, sebelum anak mereka pulang.
“Remaja berusia 16 tahun itu mengadu kurang sihat sebelum dinasihati mangsa supaya tidak menghabiskan masa di kafe siber.

 

“Berang mendengar ‘leteran’ si ibu, remaja terbabit naik angin lalu memaki hamun dan memukul ibunya,” katanya.
Sumber berkata, mangsa yang marah dengan tindakan anak lelakinya itu mengambil kayu untuk mempertahankan diri dan memarahi anaknya supaya tidak bertindak sedemikian.
Bagaimanapun, anak mangsa yang dipercayai tidak berpuas hati bertindak lebih kejam apabila mengambil kayu berkenaan dan memukul mangsa.

 

 

Malah, remaja terbabit turut menendang mangsa menyebabkan dia terjatuh sebelum remaja itu melarikan diri.
Difahamkan, suami mangsa cuba meleraikan pergaduhan itu, namun tidak berhasil.

 

Menurutnya, mangsa dibawa suaminya untuk rawatan di hospital berhampiran sebelum ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan kejadian itu.

3 murid dikurung ketika UPSR – Berita Harian


3 murid dikurung ketika UPSR
Oleh Misiah Taib
misiah@bharian.com.my
2011/09/20

Dilarang ambil peperiksaan kerana bimbang jejas prestasi sekolah

KUCHING: Tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor di Bintangor, dalam Bahagian Sarikei, tidak dibenarkan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana mereka dianggap lemah dan dibimbangi boleh menjejas prestasi keseluruhan sekolah itu.

Ketiga-tiga murid lelaki terbabit, Idie Ganyol, Edward Ujoh Augustine dan Richmend Mangi dikurung di bilik pemulihan sekolah, sementara rakan sekelas lain menduduki peperiksaan berkenaan pada 13 dan 14 September lalu.

Mereka hanya dibenarkan menduduki peperiksaan pada 15 September, iaitu pada hari terakhir UPSR, selepas ibu bapa mereka membuat aduan kepada polis.

Difahamkan ketiga-tiga murid terbabit dikunci di dalam bilik pemulihan mulai jam 8 pagi hingga tengah hari pada kedua-dua hari berkenaan. Pasukan polis yang tiba di sekolah itu pada 15 September menemui murid terbabit dikurung dalam bilik berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Bintangor, Deputi Superintendan (DSP) Mohd Hafifi Mohd Salim, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada ibu bapa murid terbabit.

“Kita mendapati ketiga-tiga murid itu dikunci dalam bilik untuk mengelak mereka daripada menduduki peperiksaan kerana pihak sekolah mendakwa murid terbabit lemah dalam pelajaran dan boleh menjejas pencapaian sekolah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan kes itu sudah ditutup kerana ibu bapa murid terbabit bersetuju menarik balik laporan polis yang dibuat.

“Pihak Jabatan Pelajaran juga sudah dimaklumkan. Kami dimaklumkan tindakan akan diambil terhadap guru besar sekolah terbabit,” katanya.

Mengulas perkembangan sama, Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah, kesal dengan tindakan pengurusan sekolah terbabit.

“Saya belum menerima laporan secara rasmi. Kita serahkan kepada polis untuk menyiasat. Bagaimanapun, kejadian seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana semua murid Tahun Enam berhak menduduki UPSR, tak kira sama ada mereka bijak atau lemah,” katanya.

Guru besar sekolah itu dan Jabatan Pelajaran Sarawak bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk komen.

10 pelajar bertuah temu bual PM – Berita Harian


10 pelajar bertuah temu bual PM
Oleh Rosli Abdul Jalil
bhnews@bharian.com.my
2011/09/20

Suasana mesra, santai Najib perjelas soalan hilangkan rasa gementar

PEKAN: Peluang menemuramah Perdana Menteri dalam suasana yang mesra dan santai mungkin menjadi pengalaman tidak mungkin dapat dilupakan 10 pelajar yang terpilih dalam temuramah khas di kediaman pemimpin nombor satu negara itu di sini, kelmarin.

Ini jelas terbukti apabila pelajar terbabit yang berumur antara 13 dan 16 tahun bergilir-gilir mengajukan pelbagai soalan kepada Datuk Seri Najib Razak, termasuk konsep 1Malaysia dan yang bersifat peribadi.

Seperti biasa, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menjawab setiap soalan yang diajukan dalam suasana mesra.

Malah, beliau turut memberi panduan kepada mereka bagaimana untuk mengatasi rasa gementar ketika berada di atas pentas dan cara berkomunikasi yang berkesan ketika menyampaikan ucapan.

Menjawab soalan seorang pelajar, Mohammed Nor Syahmi Saadan, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ahmad, Najib berkata mereka harus melatih diri untuk mengelakkan rasa gemuruh.

“Jika anda tahu bagaimana cara berkomunikasi dengan hadirin, anda akan lebih bersemangat, seterusnya dapat menghilangkan rasa gementar,” katanya.
Syahmi, anak ketiga daripada lima beradik mengakui agak gementar untuk bertanyakan soalan, tetapi perasaan itu lenyap apabila berdepan Perdana Menteri yang mesra.

Anis Marjan Azmi Murah, 16, dari SMK Tengku Abdullah, berkata dia yakin dapat menerangkan konsep 1Malaysia kepada rakannya di sekolah selepas dijelaskan sendiri Najib.

“Konsep 1Malaysia adalah berkaitan perpaduan dan kerajaan akan melindungi kepentingan setiap rakyat negara ini seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan,” katanya.

Dia yang bercita-cita menjadi ahli geologi marin berkata, ramai kalangan rakannya di sekolah kurang memahami konsep 1Malaysia.

Bagi Muhammad Abdullah al-Azam Abdul Rahman, 16, menyifatkan peluang bertemu dan bersemuka dengan Perdana Menteri sebagai impian yang menjadi kenyataan.

Katanya, selepas terpilih untuk menyertai program itu, dia menyediakan soalan dengan bantuan ibu bapa dan guru.

Pelajar terbabit dipilih daripada kalangan peserta bengkel kreatif dianjurkan New Straits Times melalui akhbar sisipannya, Niexter yang diterbitkan setiap Khamis.

Bengkel itu juga adalah sebahagian Program Penggalakan Bahasa Inggeris bagi Parlimen Pekan membabitkan 80 sekolah rendah dan menengah.

Calon SPM nahas kemalangan – Utusan


Calon SPM nahas kemalangan

PULAU PINANG 19 Sept. – Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November depan maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah bas di Jalan Datuk Ismail Hashim, Sungai Ara di sini malam tadi.

Mohammad Al-Amin Nordin, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Maung meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas cedera parah di kepala dan seluruh anggota badan.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.40 malam ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave keluar dari simpang lampu isyarat di Kampung Baru sebelum dirempuh bas yang datang dari arah Sungai Ara.

Rempuhan kuat menyebabkan mangsa dan motosikalnya melambung sehingga terkena cermin hadapan bas berkenaan sebelum diseret kira-kira 10 meter.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Barat Daya, Cif Inspektor Mohd. Zin Mat Ali berkata, pihaknya masih menyiasat punca kemalangan itu dan memaklumkan keadaan lampu isyarat ketika itu berfungsi dengan baik.

Menurutnya, polis akan mengambil keterangan para penumpang bas bagi membantu siasatan.

Namun, beliau percaya kemalangan berlaku disebabkan salah sebuah kenderaan terbabit gagal mematuhi lampu isyarat.

Mayat mangsa dibawa ke HPP untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang menyaksikan kemalangan berkenaan boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Zulkifli Ahmad di talian 019-5489418 bagi membantu siasatan.