Pesara guru cipta rekod berbasikal – Berita Harian


Pesara guru cipta rekod berbasikal
Oleh Faiza Zainudin

2011/09/25

ADNAN ketika membuat latihan terakhir semalam  bakal mengayuh hampir 20,000 kilometer dari Kuala Lumpur ke London  berlepas dari  Taman Jaya, Petaling Jaya,  hari ini.

ADNAN ketika membuat latihan terakhir semalam bakal mengayuh hampir 20,000 kilometer dari Kuala Lumpur ke London berlepas dari Taman Jaya, Petaling Jaya, hari ini.

KUALA LUMPUR: Pesara guru, Adnan Osman, 69, yang bakal mencatat rekod sebagai warga Malaysia tertua berbasikal secara solo merentasi Kuala Lumpur ke London, teruja memulakan kayuhan sejauh 20,000 kilometer merentasi 15 negara selama 10 bulan, mulai hari ini.

Adnan yang memulakan kembara dari Taman Jaya, Petaling Jaya, dengan seorang rakan pagi ini, mula berkayuh menuju utara Semenanjung Malaysia, sebelum meneruskan perjalanan ke Thailand; Loas; China; India; Bangladesh; Pakistan; Iran; Turki dan beberapa negara Eropah.

Adnan dijangka tiba di London ketika berlangsungnya upacara pembukaan rasmi Sukan Olimpik 2012, Julai tahun depan.

Adnan ketika dihubungi Berita Minggu mengakui sudah bersedia dari aspek mental dan fizikal untuk menyempurnakan misi mencabar itu.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat menyembunyikan kerisauan jika menghadapi masalah kesihatan, kerenah birokrasi atau risiko laluan merbahaya membabitkan negara bergolak seperti Iran, Afghanistan dan Pakistan.

Apa pun boleh berlaku, perkara ini tidak diduga walaupun kita sudah bersedia segala-galanya termasuk dari segi tekanan mental dan fizikal selain memiliki peralatan dan bekalan mencukupi. Dari aspek kesihatan, saya sihat, tidak ada masalah, malah rasa teruja, cuma bimbang keadaan cuaca menjejaskan kesihatan.

Saya juga diberi maklumat mengenai kawasan panas dan berbahaya. Ini dikhuatiri mengganggu perjalanan yang sudah dijadualkan. Jika jadual terganggu, khuatir visa tamat tempoh pula, katanya yang sibuk membuat persiapan terakhir sebelum memulakan misinya.

Kembara Adnan berbasikal secara solo ke London adalah bertujuan mengumpul dana untuk Yayasan AIDS Malaysia (MAF).

Adnan yang sebelum ini gagal dalam misi berbasikal dari Kuala Lumpur ke China pada 2008 berikutan masalah visa berkata, mengembara menggunakan basikal agak mencabar berbanding misi lain yang menggunakan kenderaan bermotor.

Kalau tidak ada tenaga, susah. Saya memperuntukkan perjalanan sejauh 100 hingga 120 kilometer sehari, tidak boleh berkayuh terus menerus, kena berehat sehari dalam seminggu, katanya.

Beliau yang tidak menghadapi masalah dengan persekitaran di Eropah kerana pernah melanjutkan pengajian di benua itu, berharap misinya kali ini berjaya.

Doakan saya berjaya, keluarga pun memahami niat saya dan menyokong penuh, katanya, Adnan akan memuatkan perkembangan pengembaraannya berbasikal secara solo merentasi 15 negara melalui laman blognya di http://oadnanxtreme.blogspot.com.

Bonus ikut kemampuan: Najib – Berita Harian


Bonus ikut kemampuan: Najib
Oleh Jalal Ali Abdul Rahim, Shamsul Kamal Amarudin dan Nurhayati Abllah

2011/09/25

TANJUNG TUALANG: Pemberian bonus dan kenaikan gaji kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan awam masih menjadi teka-teki apabila Datuk Seri Najib Razak, semalam enggan mengesahkan atau menafikan kesediaan kerajaan berbuat demikian dalam Bajet 2012.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata sebarang keputusan pemberian bonus dan kenaikan gaji bergantung kepada kemampuan kerajaan.

Saya punya pendirian, apa-apa yang akan diumumkan dalam bajet tidak akan dibocorkan lebih awal lagi. Kalau kita mampu (berikan bonus dan kenaikan gaji), kita buat, kalau kita tak mampu kita tak buat, katanya selepas membuat tinjauan mesra dan merasmikan Karnival 1Malaysia Tanjung Tualang di sini, sempena lawatan turun padang sehari ke Perak, semalam.

Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli, beberapa Menteri Kabinet serta Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Kampar, Datuk Lee Chee Leong.

Perdana Menteri ditanya sama ada kerajaan berada dalam kedudukan berkemampuan untuk memberikan bonus dan kenaikan gaji dan elaun seperti diperkatakan beberapa pihak.

Semalam, akhbar ini melaporkan kakitangan sektor awam dijangka sekali lagi menikmati kenaikan gaji tahun ini, dan kemungkinan perkara itu antara berita baik yang akan diumumkan Najib dalam Bajet 2012 di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini.

Ditanya pula sama ada bajet kali ini akan memberi banyak kejutan, Najib berkata: Saya tidak tahu, tunggulah dulu, saya gemar membuat kejutan, katanya.
Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan kerajaan melalui bajet berkenaan akan memberi tumpuan mengukuhkan permintaan dalaman berikutan persekitaran luaran yang lemah dan tidak menentu.

Kita perlu bersandar kepada permintaan dalaman, jadi bajet ini mesti merangsangkan pelaburan dan mesti membawa kepada keyakinan pengguna untuk terus belanja dengan secara berhemah supaya ekonomi domestik atau dalaman kita ini terus berpaksi kepada permintaan yang kukuh sama ada dari segi pelaburan mahupun dari segi penggunaan.

Keduanya, kita telah menetapkan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) untuk memerangi kenaikan harga dan kos hidup rakyat, jadi kita tengah tengok bagaimana kita boleh bantu melindungi rakyat daripada kesan negatif, katanya.

Budak maut jatuh 6 tingkat – Metro


Budak maut jatuh 6 tingkat

Oleh ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
zatuliffah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
AHMAD SAFUAN... maut
AHMAD SAFUAN… maut

MARANG: “Walaupun masih terkejut dengan apa yang berlaku, saya reda dengan pemergian arwah,” kata Koperal Shafik Afandi Ahmad, 44, bapa kepada seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima kuarters kediaman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, semalam.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi, Ahmad Safuan Shafik Afandi dipercayai terjatuh dari tingkat lima sebelum ditemui anggota polis wanita, Koperal Marina Jaafar, 37, yang dalam perjalanan menghantar anaknya ke rumah pengasuh yang tinggal di blok sama dengan mangsa.
Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di belakang kepala, patah tangan dan kaki kiri sebelum jenazahnya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HNSZ), Kuala Terengganu untuk pemeriksaan lanjut.

 

Jelas Shafik Afandi yang bertugas di Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam IPD Marang, kejadian dipercayai berlaku jam 7.50 pagi selepas arwah kali terakhir dilihat berada di lif tingkat enam sebelum turun melalui tangga ke tingkat lima, 10 minit sebelum ditemui jatuh di tingkat bawah kuarters.
“Saya tidak pasti bagaimana kejadian berlaku. Ketika kejadian, isteri, Roslina Mohd Yusof, 44, memasak manakala tiga anak lain menonton televisyen sebelum isteri dikejutkan dengan kejadian yang menimpa arwah,” katanya ketika ditemui di Surau An Nur, IPD Marang, di sini, semalam.
Ketika ditanya sikap arwah di rumah, Shafik Afandi berkata, arwah tidak menunjukkan sikap pelik selain manja dan rapat dengan keluarga.

 

 

“Walaupun arwah anak istimewa yang menghidap Sindrom Down dan hyperaktif, dia tidak menyusahkan dan faham jika kita menyuruh dia melakukan sesuatu.
“Ketiadaannya pasti memberikan kesan mendalam terhadap kami sekeluarga,” katanya yang tiga tahun menetap di tingkat lapan kuarters berkenaan.

 

Sementara itu, Marina berkata, dia menyedari kejadian itu ketika mendukung anaknya berusia tiga tahun untuk dihantar ke rumah pengasuh yang tinggal di blok sama dengan mangsa.
“Ketika itu saya terdengar bunyi kuat dan menyangka ia sampah yang dibuang memandangkan tidak mendengar bunyi jeritan.
“Sebaik menjenguk ke dalam longkang, saya tergamam melihat seorang kanak-kanak berlumuran darah sebelum memaklumkan kejadian itu kepada seorang rakan berhampiran yang kebetulan menghidupkan enjin motosikal.
“Saya tidak pasti mangsa masih bernyawa atau tidak, cuma matanya ketika itu tertutup sebelum orang ramai mengangkat mangsa ke atas kerusi berhampiran,” katanya yang bertugas di Balai Polis Marang.
Ketua Polis Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa ditemui di tingkat enam jam 7.40 pagi dan mungkin jatuh sama ada dari tingkat enam, lima atau empat yang mana siasatan lanjut mengenai kejadian ini akan dijalankan bagi mengetahui punca kejadian,” katanya.

Jeritan terakhir – Metro


Jeritan terakhir

Oleh AHMAD TAJOL ANSAR IBRAHIM
ahmadtajol@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BATU PAHAT: “Cepat buka pintu ni boboy, ayah panas,” itulah jeritan terakhir seorang ayah, Hassan Dg Patangga, 68, ketika terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan kediamannya di Kampung Parit Jabar Laut, Senggarang di sini, sebelum mangsa ditemui rentung, awal pagi semalam.

Mangsa dikatakan memanggil anak bongsunya, Ahmad Borhan, 15, selepas gagal keluar dari rumah kerana api marak dengan pantas.
Dalam kejadian pada jam 1.30 pagi, mangsa yang bekerja mengambil upah di kebun kelapa sawit maut apabila rumahnya yang diperbuat daripada papan hangus dijilat api.

 

Metro Ahad difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama isteri, Rohana Md Amin, 53, dan anaknya nyenyak tidur sebelum Rohana yang mengalami penyakit angin ahmar di sebahagian tubuh menyedari satu daripada wayar elektrik rumahnya terbakar.
Katanya, sebaik menyedarinya, dia mengejutkan arwah dan memaklumkan perkara itu sebelum arwah menyimbah api dengan air.
“Malangnya, api makin marak menyebabkan kami bertiga keluar menyelamatkan diri. Bagaimanapun, arwah tiba-tiba meluru ke dalam rumah dipercayai bagi mengambil dokumen penting,” katanya.

 

 

Menurutnya, dia mendengar jeritan mangsa meminta anaknya membuka pintu sebelum pintu ditendang, namun arwah tidak kelihatan berikutan asap tebal.
Katanya, arwah adalah punca pendapatan keluarga kerana dia tidak sihat untuk bekerja, manakala Nor Ummi menghadapi masalah penglihatan.

 

“Pada malam sebelum kejadian, arwah kelihatan gelisah dan hendak tidur di bilik lain kerana panas. Dia masuk tidur awal, sedangkan saya masih menonton televisyen hingga tengah malam.
“Kami tidak menyangka ia petanda dia akan pergi meninggalkan kami sekeluarga,” katanya.
Ketika kejadian, dua lagi anak mereka, Norashima, 20, penuntut Kolej Teknikal Yayasan Melaka dan Nor Ummi, 17, pelajar Sekolah Menengah Vokasional Inderapura, Kulaijaya masing-masing berada di pusat pengajian mereka.
Kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke rumah bersebelahan dalam tempoh 15 minit dan dipadamkan sejam kemudian.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut dijalankan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zarkashi melawat dan menyampaikan bantuan kepada keluarga Rohana.

Padah tiru aksi ‘panas’ – Metro


Padah tiru aksi ‘panas’

Oleh RAJA NORAINA RAJA RAHIM
rnoraina@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

HULU SELANGOR: Gara-gara mahu meniru aksi melakukan hubungan seks ketika bermain ‘pondok-pondok’ bersama sepupunya, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan polis selepas mencabul kanak-kanak itu yang berusia empat tahun, kelmarin.

Difahamkan, remaja lelaki terbabit ditahan polis selepas keluarga kanak-kanak itu membuat laporan dan pemeriksaan mendapati ada kesan cabul pada bahagian kemaluan mangsa.
Sumber menyatakan dalam kejadian tengah hari itu, kedua-duanya bermain di rumah mangsa.

 

“Ketika bermain, remaja terbabit dipercayai menyuruh mangsa membuka pakaiannya sebelum melakukan aksi tidak senonoh dan mencabul mangsa.
“Selepas selesai bermain, remaja itu pulang ke rumahnya. Namun, mangsa yang berasa sakit pada kemaluannya menangis dan memberitahu ibunya,” katanya.
Kata sumber, ibu mangsa kemudian bertanyakan anak kecilnya yang menceritakan perbuatan remaja terbabit.

 

 

Terkejut mendengar cerita itu, wanita berkenaan pergi ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.
Mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut sebelum polis menahan suspek di rumahnya.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy mengesahkan penahanan remaja itu.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Bapa buntu nasib anak – Metro


Bapa buntu nasib anak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA BHARU: Akibat dihimpit kemiskinan, seorang bapa kini buntu memikirkan nasib lima daripada sembilan anaknya yang keciciran dalam pelajaran apabila bersekolah hanya ‘separuh jalan’.

Lebih memeritkan, bagaikan ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila rumah pusaka didiami sejak 10 tahun lalu musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.
Wan Bakar Wan Mohamad, 57, berkata empat anak perempuannya, Wan Noraini, 18, Wan Norizan, 16, Wan Nasrah, 15, dan Wan Nur Atikah, 12, masing-masing hanya bersekolah setakat darjah enam, manakala seorang anak lelakinya, Wan Mohd Amin pula hanya bersekolah sehingga tingkatan satu.

 

Katanya, anak sulungnya, Wan Azmirawati, 25, kini bekerja kilang di Kuala Lumpur, manakala anak kedua, Wan Maliki, 21, bekerja di sini sebagai pencanting batik.
“Hanya seorang anak saya, Wan Mustaqim kini bersekolah dalam darjah satu di Sekolah Kebangsaan Merbau dan seorang lagi anak, Wan Mohd Faizal yang berusia enam tahun, belum bersekolah.
“Saya berharap ada pihak membantu supaya lima anak saya dapat bersekolah semula demi masa depan mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), dekat sini, semalam.

 

 

Menurut Wan Bakar, pekerjaan sebagai tukang kebun dengan pendapatan RM500 sebulan tidak mencukupi untuk menanggung keluarganya yang besar.
Katanya, demi menambah pendapatan, isterinya, Sophiah Musa, 44, terpaksa bekerja sebagai tukang sapu, namun tetap tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan sekolah anak.

 

“Pendapatan diperoleh hanya cukup untuk keperluan makan, minum dan keperluan harian. Itupun, kami sekeluarga kerap ‘ikat perut’ apabila wang habis di pertengahan bulan,” katanya.
“Dalam keadaan miskin, rumah didiami pula terbakar, menyebabkan saya sekeluarga bertambah tertekan mengenangkan nasib kami pada masa depan,” katanya.
Wan Bakar berkata, dia mengharapkan bantuan pihak yang prihatin bagi membolehkan rumahnya yang musnah dalam kebakaran dibina semula.