Kanak-kanak perempuan yang ditemui mati – Bernama


Kanak-kanak perempuan yang ditemui mati

26/09/2011 9:44pm

IPOH 26 Sept. — Seorang kanak-kanak perempuan yang dilapor hilang pada 16 Sept lepas ditemui mati, dipercayai dibunuh di kawasan ladang kelapa sawit, Kati, Kuala Kangsar, 55 km dari sini hari ini.

Mayat Nur Shafiqa Ismail, 11, ditemui pada pukul 10.30 pagi oleh pemilik ladang kelapa sawit itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supt. Abdul Ghaffar Muhammad berkata mayat kanak-kanak malang itu ditemui dalam keadaan terbaring dengan kesan jerutan di leher.

Keluarga mangsa mengesahkan mayat itu ialah Nur Syafiqa ketika membuat pengecaman di tempat penemuan mayat itu di ladang berkenaan, katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata mayat Nur Syafiqa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

Nur Shafiqa yang tinggal bersama ibu saudaranya di Kampung Talang Masjid, Kuala Kangsar sejak awal Januari lepas setelah ibu bapanya berpisah, dikatakan keluar rumah pada 12 Sept lepas.

Selepas empat hari tidak pulang ke rumah, ibu saudaranya membuat laporan polis mengenai kehilangan kanak-kanak itu pada 16 Sept, kata Abdul Ghaffar. — Bernama

KSSR bakal diperluas – Metro


KSSR bakal diperluas

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) untuk murid tahun satu bermula sesi persekolahan Januari lalu menunjukkan perkembangan positif selepas ia meningkatkan minat mereka mempelajari mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Kementerian Pelajaran, Profesor Dr Khair Mohamad Yusof, berkata menerusi sukatan pelajaran yang menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) itu, pelajar lebih seronok kerana ia menekankan pendekatan belajar secara interaktif dan tidak bergantung buku teks semata-mata.
“Malah, kebanyakan guru gembira dengan pendekatan mendidik sambil berhibur yang diperkenalkan dalam KSSR kerana ia bukan saja mementingkan penguasaan bahasa, tetapi juga cara berkomunikasi.

 

“Selain menggunakan buku, guru menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran lain seperti permainan dan muzik ketika mengajar bahasa Inggeris,” katanya, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan kira-kira 35 guru dari Selangor yang menyertai Konvoi Bermotor 1Malaysia dari Shah Alam ke pekarangan Kementerian Pelajaran.
KSSR yang baru diperkenalkan itu memfokuskan empat teknik pembelajaran dikenali 4M iaitu membaca, mengira, menulis dan menaakul (keupayaan berfikir secara kritis, kreatif, menilai dan menganalisis).

 

 

Dengan kurikulum berbentuk modular itu setiap murid berpeluang melalui proses pembelajaran mengikut kemampuan sendiri.
Malah, ia memupuk sikap bertanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri menerusi aktiviti eksplorasi yang dapat menyerlahkan potensi pelajar, selain menekankan kreativiti, inovasi dan keusahawanan merentasi semua mata pelajaran.

 

Dr Khair berkata, sebagai susulan kurikulum berkenaan akan diperkenalkan untuk murid tahun dua di sekolah rendah dan pelajar tingkatan satu di sekolah menengah mulai tahun depan.
Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Presiden Persatuan Mengajar Bahasa Inggeris Malaysia, Dr S Ganakumaran yang mendakwa kurikulum bahasa Inggeris di sekolah ketinggalan zaman, beliau berkata kenyataan Ganakumaran tidak merujuk kepada KSSR.
“Beliau mungkin merujuk kepada kurikulum lama iaitu kaedah pembelajaran yang lebih tradisional.
“Namun, sekarang kementerian sudah memperkenalkan kurikulum baru iaitu KSSR yang akan dilaksanakan secara berperingkat di semua sekolah,” katanya.

Ibu perdagang dua anak – Metro


Ibu perdagang dua anak

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Georgie Joseph
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
OPERASI...kawasan rumah kedai terbabit.
OPERASI…kawasan rumah kedai terbabit.

KUALA LUMPUR: “Ibu yang mengajar saya teknik urutan batin dan menyuruh saya menjadi pelacur.” Itu pengakuan mengejutkan seorang remaja berusia 16 tahun yang ditemui di sebuah premis urut yang menyediakan khidmat seks, di sini.

Mahu dikenali sebagai Ziela, remaja itu berkata, dia tidak rela melakukan pekerjaan itu, tapi tiada pilihan kerana ibunya yang juga pelacur memaksanya berbuat demikian.

“Saya tak mahu (melacur). Sebelum ini kakak menjadi pelacur kerana disuruh ibu, tapi selepas dia malas untuk terus melakukannya, saya pula dipaksa ibu menjadi pelacur sejak dua bulan lalu,” katanya.

Ziela ditemui wartawan Harian Metro yang menyamar pelanggan di rumah pelacuran dikendalikan ibunya di satu kawasan rumah kedai di pinggir ibu negara.

 
Wanita berusia 40-an yang dikenali sebagai Kak K itu mempunyai empat anak yang semuanya tinggal di premis itu bersama beberapa warga Indonesia yang turut menjual tubuh.

Balun kepala – Metro


Balun kepala

Oleh Nor Adila Ab Kadir
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA PILAH: “Saya tersentak melihat remaja bersenjatakan dahan itu berada di dalam rumah dan cuba merampas gelang emas saya,” kata Khalijah Idris, 61.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang Jumaat lalu, warga emas itu menempuh detik menakutkan apabila cedera di kepala selepas diserang penyamun yang memukulnya dengan objek keras dipercayai dahan rambutan di kediamannya di Kampung Pilah Tengah, Senaling, di sini.

Mengimbas kejadian itu, Khalijah berkata, dia yang sedang membasuh pakaian dikejutkan dengan bunyi bising kambing peliharaannya di luar rumah.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya memeriksa namun tidak menemui apa-apa yang mencurigakan dan masuk semula ke dalam rumah.

 
“Selepas menutup pintu depan, saya terkejut apabila melihat seorang lelaki berusia belasan tahun yang memegang dahan pokok berada dalam rumah dipercayai masuk melalui pintu belakang.

Si cilik sempat berkelah – Metro


Si cilik sempat berkelah

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BETONG: Seorang murid tahun empat dipercayai menjadi ketua satu geng pecah rumah dianggotai enam remaja yang memecah masuk rumah sepasang suami isteri dan melarikan pelbagai barangan kemas bernilai RM5,000.

Budak lelaki itu dan lima rakannya yang berusia antara 12 hingga 14 tahun melakukan kegiatan itu di rumah mangsa di kompleks kediaman kakitangan kerajaan di sini, 17 Oktober lalu, sebelum mereka ditahan polis pada Jumaat dan kelmarin.
Pemilik rumah berkenaan yang berusia 34 tahun membuat laporan polis sebaik menyedari kejadian itu selepas dia dan isterinya pulang bercuti dari Kanowit, kira-kira jam 8 malam Jumaat lalu.

 

Polis menahan seorang anggota kumpulan terbabit berusia 13 tahun di rumahnya beberapa jam selepas mangsa membuat laporan sebelum lima yang lain ditahan bersama pelbagai barangan kemas keesokannya.
Sumber polis berkata, semua suspek kejadian pecah rumah itu mudah diselesaikan apabila mereka dikesan memakai minyak wangi yang mempunyai bau sama dipercayai yang dicuri dari rumah mangsa. “Kumpulan penyamun cilik itu dipercayai sempat ‘berkelah’ di rumah pasangan terbabit sambil menjamu selera bijirin dan coklat sebelum mencuri pelbagai barangan kemas dan barang berharga,” katanya.
Menurutnya, sebaik mangsa pulang dari bercuti, mereka terkejut apabila mendapati dapur rumah berselerak dengan bijirin serta coklat sebelum melakukan pemeriksaan.

 

 

“Pasangan terbabit kemudian memeriksa bahagian atas dan mendapati laci almari terbuka, manakala barang kemas serta barangan berharga lain hilang sebelum mangsa membuat laporan polis, kira-kira jam 7.30 malam.
“Susulan laporan itu, polis menggerakkan operasi bagi memburu anggota kumpulan terbabit dan berjaya menahan seorang suspek berusia 13 tahun di rumahnya beberapa jam kemudian dan lima lagi rakannya pada keesokan hari,” katanya.

 

Sumber itu berkata, berikutan penahanan itu, polis menemui semula barangan berharga seperti rantai, gelang, cincin dan subang dicuri suspek.
“Kita turut mendapat maklumat mengenai gerak-geri kumpulan terbabit melalui penduduk yang kebetulan terserempak kelibat mereka di sekitar rumah berkenaan pada hari kejadian,” katanya.
Menurutnya, semua suspek direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 457, Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan ibu bapa remaja terbabit sudah dimaklumkan mengenai penahanan anak mereka.

Bapa 5 anak rogol gadis OKU – Berita Harian


Bapa 5 anak rogol gadis OKU
Oleh Zatul Iffah Zolkiply

2011/09/26

Pengait buah kelapa sawit kena hukuman penjara 14 tahun, 10 sebatan

KUALA TERENGGANU: Seorang bapa lima anak dihukum penjara 14 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah merogol seorang remaja kurang upaya (OKU) di sebuah bangsal kebun limau pada 21 Ogos lalu.

Hakim, Wan Fadhilah Nor Wan Idris menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang bekerja sebagai pengait buah kelapa sawit selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa yang turut mempunyai ikatan kekeluargaan dengannya.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman atas alasan dia mempunyai anak yang ramai selain mengaku insaf atas perbuatannya.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 13 tahun satu bulan di bangsal kebun limau pada jam 4 petang.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

KSSR berjaya tingkat minat belajar bahasa Inggeris – Utusan


KSSR berjaya tingkat minat belajar bahasa Inggeris

PUTRAJAYA 25 Sept. – Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang dilaksanakan mulai tahun ini untuk murid tahun satu berjaya meningkatkan minat mereka untuk mempelajari bahasa Inggeris.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Kementerian Pelajaran, Prof. Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, kurikulum tersebut akan dilaksanakan bagi murid tahun kedua di sekolah rendah dan pelajar tingkatan satu di sekolah menengah mulai tahun depan.

“Para guru juga gembira dengan pendekatan hibur didik yang diperkenalkan dalam KSSR yang bukan sahaja mementingkan penguasaan bahasa tetapi juga cara berkomunikasi murid.

“Selain menggunakan buku, cara pengajaran dan pembelajaran lain seperti permainan dan muzik turut digunakan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan kira-kira 35 guru dari Selangor yang menyertai Konvoi Bermotor 1Malaysia dari Shah Alam ke Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Sepanjang perjalanan itu, guru-guru tersebut singgah di tempat tertentu untuk mengedarkan Jalur Gemilang dan risalah 1Malaysia.

Adil membangunkan pendidikan – Najib – Utusan


Adil membangunkan pendidikan – Najib

 

Oleh ROKIAH ABDULLAH
dan AZELI ALI
utusanpenang@yahoo.com.

 

PULAU PINANG 25 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi mengulangi komitmen kerajaan untuk sentiasa mengamalkan dasar adil dan saksama dalam membangunkan bidang pendidikan negara ini.

Perdana Menteri berkata, komitmen tersebut telah menjadi teras dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga ke hari ini yang terus memberi tumpuan terhadap pendidikan tanpa meminggirkan mana-mana kaum termasuk untuk sekolah jenis kebangsaan Cina.

Menurut beliau, bantuan dan sokongan itu diberi kerajaan secara berterusan sejak negara mencapai kemerdekaan lagi sebagai sebahagian daripada program membangunkan negara ini.

‘‘Bila kita bercakap soal pendidikan untuk anak-anak, kita kena ketepikan falsafah dan fahaman politik yang mungkin mempunyai perbezaan kerana setiap anak ini adalah aset dan warisan masa depan negara.

‘‘Sama ada sekolah Cina, India atau sekolah agama, semuanya kita perlu bantu untuk berjaya. Hanya menerusi pendidikan sahaja kita boleh mengatasi semua halangan yang datang dan mencapai kemakmuran yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menamatkan kayuhan sejauh enam kilometer dari Straits Quay ke persimpangan Jalan Gurney di sini hari ini.

Sebanyak RM16 juta berjaya dikutip pada program anjuran bersama 1Malaysia Development Berhad itu yang dianjurkan bagi mengutip dana membantu 10 buah sekolah menengah jenis kebangsaan dan lima buah sekolah menengah persendirian Cina di seluruh Pulau Pinang.

Najib berkata, dalam menjadikan pendidikan lebih baik di Malaysia terutamanya untuk sekolah Cina, beliau telah membuat langkah berani dengan memansuh Seksyen 21 (2) Akta Pendidikan 1961 semasa menjadi Menteri Pelajaran.

Menurut beliau, pemansuhan itu adalah atas keprihatinannya terhadap bantahan kuat masyarakat Cina kerana akta tersebut memberi kuasa kepada menteri untuk menukar status sekolah jenis kebangsaan (SJK) kepada sekolah kebangsaan (SK).

‘‘Ternyata, tindakan berani saya itu telah berjaya menghasilkan satu anjakan kepada pendidikan negara khususnya sekolah Cina. Salah satu hasil positif berkenaan termasuklah kemampuan sekolah aliran itu menarik hampir 56,000 pelajar bumiputera daripada jumlah keseluruhan pelajarnya sebanyak 612,000 orang ketika ini.

‘‘Nampaknya, pada hari ini, lebih ramai orang Melayu sudah boleh bertutur dalam bahasa Mandarin jika dibandingkan sebelum ini. Transformasi yang berlaku ini sebenarnya amat baik dalam membantu kita menerokai perniagaan dengan China yang merupakan antara kuasa besar ekonomi global,” katanya.

Kata Perdana Menteri, beliau amat berbangga dengan kejayaan berkenaan yang turut dicapai hasil daripada peranan dan sumbangan yang telah dimainkan kaum Cina negara ini.