Adil membangunkan pendidikan – Najib – Utusan


Adil membangunkan pendidikan – Najib

 

Oleh ROKIAH ABDULLAH
dan AZELI ALI
utusanpenang@yahoo.com.

 

PULAU PINANG 25 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi mengulangi komitmen kerajaan untuk sentiasa mengamalkan dasar adil dan saksama dalam membangunkan bidang pendidikan negara ini.

Perdana Menteri berkata, komitmen tersebut telah menjadi teras dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga ke hari ini yang terus memberi tumpuan terhadap pendidikan tanpa meminggirkan mana-mana kaum termasuk untuk sekolah jenis kebangsaan Cina.

Menurut beliau, bantuan dan sokongan itu diberi kerajaan secara berterusan sejak negara mencapai kemerdekaan lagi sebagai sebahagian daripada program membangunkan negara ini.

‘‘Bila kita bercakap soal pendidikan untuk anak-anak, kita kena ketepikan falsafah dan fahaman politik yang mungkin mempunyai perbezaan kerana setiap anak ini adalah aset dan warisan masa depan negara.

‘‘Sama ada sekolah Cina, India atau sekolah agama, semuanya kita perlu bantu untuk berjaya. Hanya menerusi pendidikan sahaja kita boleh mengatasi semua halangan yang datang dan mencapai kemakmuran yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menamatkan kayuhan sejauh enam kilometer dari Straits Quay ke persimpangan Jalan Gurney di sini hari ini.

Sebanyak RM16 juta berjaya dikutip pada program anjuran bersama 1Malaysia Development Berhad itu yang dianjurkan bagi mengutip dana membantu 10 buah sekolah menengah jenis kebangsaan dan lima buah sekolah menengah persendirian Cina di seluruh Pulau Pinang.

Najib berkata, dalam menjadikan pendidikan lebih baik di Malaysia terutamanya untuk sekolah Cina, beliau telah membuat langkah berani dengan memansuh Seksyen 21 (2) Akta Pendidikan 1961 semasa menjadi Menteri Pelajaran.

Menurut beliau, pemansuhan itu adalah atas keprihatinannya terhadap bantahan kuat masyarakat Cina kerana akta tersebut memberi kuasa kepada menteri untuk menukar status sekolah jenis kebangsaan (SJK) kepada sekolah kebangsaan (SK).

‘‘Ternyata, tindakan berani saya itu telah berjaya menghasilkan satu anjakan kepada pendidikan negara khususnya sekolah Cina. Salah satu hasil positif berkenaan termasuklah kemampuan sekolah aliran itu menarik hampir 56,000 pelajar bumiputera daripada jumlah keseluruhan pelajarnya sebanyak 612,000 orang ketika ini.

‘‘Nampaknya, pada hari ini, lebih ramai orang Melayu sudah boleh bertutur dalam bahasa Mandarin jika dibandingkan sebelum ini. Transformasi yang berlaku ini sebenarnya amat baik dalam membantu kita menerokai perniagaan dengan China yang merupakan antara kuasa besar ekonomi global,” katanya.

Kata Perdana Menteri, beliau amat berbangga dengan kejayaan berkenaan yang turut dicapai hasil daripada peranan dan sumbangan yang telah dimainkan kaum Cina negara ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s