Dana bantu sekolah vernakular – Berita Harian


Dana bantu sekolah vernakular
Oleh Syuhada Choo Abdullah

2011/09/27

KUALA LUMPUR: Institusi pembelajaran terutama sekolah vernakular dan mubaligh, kini berpeluang mendapatkan bantuan kewangan daripada satu lagi sumber tanpa bergantung kepada peruntukan kerajaan untuk membiayai inisiatif pembangunan serta peningkatan mutu pendidikan melalui pelancaran Dana Kebajikan Pendidikan The Community Chest.

Dana itu dibiayai oleh keuntungan daripada Pan Malaysian Pools Sdn Bhd (PMP), pulangan daripada hasil pelaburannya dan sumbangan orang ramai di mana ia disasar akan menyalurkan bantuan sekurang-kurang RM100 juta setahun mulai tahun depan kepada sektor pendidikan negara.

Bantuan dana yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam terbuka kepada institusi pembelajaran untuk memohon pembiayaan projek khas, selain menawarkan pemberian biasiswa kepada pelajar berprestasi tinggi dan amat memerlukan bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti utama seluruh dunia.

Jana Pendidikan Malaysia Sdn Bhd (JPM) yang membeli PMP daripada Tanjong Public Limited Company pada 9 Ogos lalu, berikrar mendermakan semua dividen diperoleh daripada PMP kepada dana berkenaan selepas melangsaikan segala obligasi hutang dan perbelanjaannya.

Ini sekali gus menjadikan dana berkenaan sebuah organisasi kebajikan bebas bukan kerajaan tanpa matlamat keuntungan yang ditubuhkan sektor swasta dan diuruskan oleh Lembaga Pemegang Amanah terdiri daripada sekumpulan lapan hartawan serta peneraju korporat.

Lembaga Pemegang Amanah itu dipengerusikan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay, dengan ahlinya meliputi Tun Mohammed Hanif Omar, Tan Sri Quek Leng Chan, Tan Sri William Cheng, Tan Sri Chua Ma Yu, Tan Sri G Gnanalingam, Tan Sri Lee Lam Thye dan Tan Sri Leonard Linggi Jugah.

Najib ketika berucap pada majlis pelancaran di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Confucian di sini, berkata inisiatif itu mencerminkan satu bentuk pendekatan amat kreatif daripada sektor korporat untuk membantu memacu kemajuan bidang pendidikan negara.
Walaupun kerajaan meletakkan keutamaan tinggi dengan memperuntukkan satu pertiga daripada bajet tahunan kepada pendidikan, Perdana Menteri berkata, perbelanjaan itu masih belum mencukupi berikutan keperluan bidang itu amat besar selaras peningkatan bilangan sekolah dan penduduk.

Justeru, sekiranya kita bergantung kepada sumber kerajaan semata-mata, kita tidak mungkin dapat memenuhi keperluan dan tuntutan masyarakat dalam bidang pendidikan. Kita perlu mencari jalan memperkenalkan model lain yang boleh melengkapi usaha kerajaan selama ini.

Pendidikan amat penting untuk masa depan Malaysia dan kita mesti terus melabur dalam bidang ini. Namun, pendidikan yang bergantung sepenuhnya pembiayaan kerajaan tidak boleh berjaya di mana-mana negara sekali pun.
Sebaliknya, ia perlu disokong komuniti, ibu bapa, individu dan sektor korporat yang sanggup menyumbangkan sebahagian keuntungan mereka untuk kemajuan bidang pendidikan negara, katanya.

Sementara itu, Kok Thay dalam ucapannya berkata, sebagai permulaan, sebanyak 61 sekolah terpilih menjadi kumpulan pertama menerima dana terbabit berjumlah RM26.1 juta.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s