Polis lebih stres berbanding guru – Berita Harian


Polis lebih stres berbanding guru
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi dan Muhd Amirul Faiz Ahmad

2011/09/27

pix_gal0

Kerap bertugas luar waktu pejabat punca ramai anggota alami tekanan

KUALA LUMPUR: Lambakan beban kerja dan kerap mendapat tugasan di luar waktu pejabat atau on call menyebabkan ramai anggota polis mengalami tekanan atau stres, berbanding penjawat awam di sektor lain, iaitu doktor, jururawat, guru serta bomba.

Lambakan beban kerja termasuk kerja lebih masa yang perlu mereka lakukan kerana menyertai pelbagai operasi dan serbuan yang kebiasaannya dilakukan di luar waktu pejabat, iaitu antara jam 5 petang sehingga 6 pagi.

Hasil kaji selidik Jabatan Kesihatan Masyarakat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) juga mendapati responden merasai tekanan apabila dihantar ke sesuatu lokasi untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman serta menyertai pasukan pengaman di luar negara atau sering diarahkan bertugas ketika cuti umum, termasuk musim perayaan.

Kajian pada tahun 2007 hingga 2009 itu mendapati 53.7 peratus daripada 453 sampel kajian di enam balai polis di Wilayah Persekutuan, dipercayai mengalami stres di tempat kerja. Angka itu menunjukkan polis berada di kedudukan teratas mengatasi enam organisasi lain, iaitu bomba (47.3 peratus), guru (45.8 peratus), jururawat (42.3 peratus) serta doktor (40.7 peratus).

Hasil kajian juga menunjukkan 61.1 peratus anggota polis berpangkat sarjan ke atas mengalami kadar stres lebih tinggi berbanding anggota pangkat rendah, iaitu koperal dan konstabel dengan peratusan masing-masing 56 peratus dan 51.3 peratus.

Pakar Kriminologi, Datuk Akhbar Satar yang juga penganalisis jenayah, berkata stres yang dihadapi anggota polis berpunca daripada tiga sebab utama, iaitu profesion kepolisan, peraturan atau polisi dalam organisasi serta masalah individu.

Bekerja tanpa ketentuan masa atau 24 jam sehari dengan panggilan on call pada bila-bila masa, selain perlu mengikut arahan pegawai lebih tinggi boleh mengganggu kesihatan dan kehidupan anggota polis. Malah, sesetengah kes yang disiasat seperti kes bunuh atau yang membabitkan golongan berpengaruh ada kalanya memberikan tekanan terutama tahap kerisauan yang harus diterima serta risiko ancaman terhadap diri dan keluarga, katanya.
Akhbar berkata, anggota polis yang mengalami stres boleh menghadapi masalah sakit jiwa berpanjangan dan mengakibatkan banyak perkara tidak diingini berlaku, termasuk pembunuhan sesama rakan atau bunuh diri serta salah guna kuasa sehingga menyebabkan nyawa orang lain terancam.

Malah, dikhuatiri, jika tahap tekanan yang dihadapi begitu kritikal, senjata yang dimiliki digunakan sebagai alat untuk melakukan ugutan atau sebarang aktiviti jenayah termasuk rasuah, katanya.

Namun, katanya, stres dalam kerjaya kepolisan juga boleh berlaku kerana mereka sering dilabel sebagai perasuah dan prasangka negatif masyarakat terhadap mereka.

Sedangkan mereka menjalankan tugas, tetapi tuduhan sesetengah pihak kononnya pasukan polis korup sama sekali tidak berasas kerana jumlah yang terbabit adalah kecil. Di Malaysia, masyarakat jarang memuji polis, sedangkan merekalah yang menjaga keselamatan sehingga kita selesa untuk bergerak ke mana-mana. Jika dibandingkan di Amerika Syarikat, ia tidak sama seperti apa pasukan polis kita nikmati di negara ini.

Walaupun tidak dinafikan masih ada jenayah kecil berlaku di negara ini, keseluruhannya masih terkawal, mungkin disebabkan banyak rondaan polis di kebanyakan lokasi, termasuk yang menjadi tumpuan penjenayah, katanya yang pernah menginap dua tahun di Detroid, Amerika Syarikat, iaitu bandar yang mempunyai kadar jenayah tertinggi di negara itu.

Pendidikan perlu sokongan


Pendidikan perlu sokongan

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

NAJIB Tun Razak disambut meriah ketika tiba untuk merasmikan ‘The Community Chest’ di SRJK (C) Confucian, Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur,semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Sektor pendidikan negara memerlukan sokongan pembiayaan daripada pelbagai pihak terutama korporat meskipun kerajaan menyediakan peruntukan besar bagi tujuan pembangunannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tiada kerajaan yang mampu menyediakan peruntukan bagi sektor pendidikan secara bersendirian tanpa bantuan pihak lain.

“Meskipun kerajaan sudah menyediakan peruntukan yang besar (untuk pendidikan), namun keperluannya lebih besar lagi dan tidak mungkin apa yang dibelanjakan kerajaan selama ini ditakrifkan sebagai mencukupi.

“Banyak lagi peruntukan yang perlu disediakan di semua peringkat jika mahu menjadikan bidang pendidikan kita yang terbaik,” katanya ketika berucap merasmikan Dana Kebajikan Pendidikan ‘Community Chest’ di sini hari ini.

Dana tersebut dibangunkan oleh sektor korporat daripada pelbagai bidang bertujuan menyalurkan bantuan kepada sekolah vernakular termasuk menyediakan biasiswa kepada pelajar cemerlang.

Pada majlis sama, Najib turut menyerahkan dana daripada tabung itu kepada sebahagian daripada 61 buah sekolah vernakular yang layak membabitkan peruntukan RM26.1 juta.

Setiap sekolah menerima peruntukan RM25,000 hingga RM2.5 juta antaranya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Salak South, SJKC Kun Min, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Batu Caves dan SJKT Slim River.

Najib menetapkan sasaran supaya dana itu mampu menyalurkan bantuan kepada sektor pendidikan negara berjumlah RM100 juta setahun bermula tahun depan.

Untuk itu kata beliau, kerajaan akan memberi pengecualian cukai kepada sektor korporat yang sanggup mengetepikan keuntungan untuk menyumbang kepada pembangunan dana tersebut.

“Ia juga sebagai galakan kepada lebih banyak pihak untuk tampil dengan penyelesaian yang kreatif dan inovatif dalam sesuatu perkara,” kata beliau.