KUALA KANGSAR: Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, meminta keluarga Nur Shafiqa Ismail, 11, yang dilaporkan hilang sebelum disyaki mati dibunuh kejam supaya ‘menghormati’ jasad si mati terutamanya jika ia benar-benar milik mangsa.
Shukri berkata, polis hanya boleh mengesahkan mayat hampir reput ditemui kelmarin adalah mangsa selepas mendapat sampel bagi ujian Deoxyribonucleic acid (DNA) yang dilakukan tengah hari semalam dan dijangka diketahui tiga hari lagi.
Katanya, sekalipun keluarga mangsa yakin ia adalah mayat Nur Shafiqa atau mesra dipanggil ‘adik’, mereka sepatutnya bersedih, bukannya ‘berperang’ menyalahkan antara satu sama lain kerana selain dilihat tidak beradab, ia juga boleh mengganggu siasatan polis.
“Saya difahamkan ada berlaku sedikit perselisihan faham antara keluarga ibu mangsa dan bekas suaminya selepas bertemu di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar pagi tadi (semalam) selepas ada antara mereka dipanggil untuk diambil keterangan,” katanya, semalam. “Saya menasihatkan mereka supaya banyak istigfar atau sekurang-kurangnya bersabar sehingga jenazah selamat dikebumikan dan kes selesai bagi kesejahteraan semua pihak selain dibimbangkan boleh mengganggu siasatan,” katanya kepada Harian Metro, semalam.