TPM arah siasatan murid dihalang duduki UPSR – Bernama


TPM arah siasatan murid dihalang duduki UPSR

2011/09/29

PONTIAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Jemaah Nazir melakukan siasatan terhadap dakwaan lima murid Sekolah Kebangsaan Telok Sira, Baling, Kedah, tidak dibenarkan mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) oleh guru mereka.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran berkata, beliau berasa amat dukacita jika dakwaan itu terbukti benar dan akan mengambil tindakan terhadap guru besar atau pengetua sekolah berkenaan.

“Jikalau (dakwaan) benar, saya amat dukacita,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra rakyat di perkarangan Masjid Jamek Kampung Sungai Bunyi di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau akan menggunakan kuasanya di bawah akta sebagai Menteri Pelajaran bagi memberi peluang kepada murid berkenaan untuk mengambil peperiksaan UPSR pada tarikh yang akan ditentukan kelak.

Katanya, dalam keghairahan pengetua dan guru besar mengejar pencapaian sekolah, mereka tidak boleh berkompromi dengan hak pelajar untuk mengambil peperiksaan.

Timbalan Perdana Menteri mengulas laporan akhbar hari ini bahawa lima murid sekolah berkenaan diarah oleh guru mereka supaya tidak mengambil peperiksaan UPSR.

Ia menyusul kejadian yang sama di Bintangor, Sarawak baru-baru ini apabila enam murid di sebuah sekolah rendah dikurung oleh guru mereka bagi mengelakkan mereka daripada mengambil peperiksaan UPSR.
Bagaimanapun, Muhyiddin mengarahkan keenam-enam murid berkenaan mengambil peperiksaan terbabit pada tarikh terdekat ini. – BERNAMA

Pendidikan vokasional, teknikal bukan lagi kelas kedua – Bernama


Pendidikan vokasional, teknikal bukan lagi kelas kedua

29/09/2011 4:19pm

 

PUTRAJAYA 29 Sept. – Pendidikan vokasional dan teknikal tidak lagi boleh dianggap sebagai pendidikan kelas kedua, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, ibu bapa dan pelajar perlu mengubahkan persepsi negatif terhadap pendidikan vokasional dan teknikal yang menjanjikan pekerjaan dan gaji lumayan di merata dunia ketika ini.

“Kerajaan sedang berusaha menjadikan pendidikan teknikal dan latihan vokasional sebagai pilihan utama pelajar terbaik negara seperti yang diamalkan oleh negara-negara maju.

“Ia bukan lagi pendidikan kelas kedua, ia sudah menjadi aliran pendidikan utama terutamanya di negara-negara maju. Kerajaan mahukan lebih ramai pelajar mengikuti pendidikan teknikal dan vokasional,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) fasa kedua di sini hari ini. – Bernama

Vitamin 1Malaysia untuk setengah juta murid Oktober ini – Bernama


Vitamin 1Malaysia untuk setengah juta murid Oktober ini

29/09/2011 6:16pm

 

KOTA BHARU 29 Sept. – Kerajaan akan melaksanakan Program Vitamin 1Malaysia bermula Oktober ini dalam usaha meningkatkan pembangunan mental dan mengukuhkan sistem imunisasi murid sekolah rendah golongan miskin di negara ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, program yang akan memanfaatkan 516,520 murid di seluruh negara itu akan dibiayai menerusi peruntukan sebanyak RM19.6 juta yang diluluskan dalam bajet tahun ini.

“Melalui program itu, Malaysia Development Berhad (1MDB) akan menyediakan multi vitamin berbentuk tablet dan berperisa nenas untuk murid terbabit.

“Bagaimanapun, hanya sekolah yang terlibat dengan rancangan makanan tambahan (RMT) terutama di kawasan luar bandar sahaja akan terbabit dengan program ini,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, program itu akan dilaksanakan untuk tempoh dua tahun sehingga 30 September 2013, dan setiap murid akan diberi multi vitamin tiga kali seminggu di bawah pemantauan guru. – Bernama

Murid prasekolah lemas – Kosmo


Murid prasekolah lemas

 

Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
norlida.idros@kosmo.com.my

 

RAMLI AHMAD menunjukkan tempat anak saudaranya, Muhammad Saiful mati lemas di Sungai Langgar, Kampung Limbong, Alor Setar ketika ditemui semalam.

 

ALOR SETAR – Hajat seorang murid prasekolah untuk menghadiahkan ikan pekasam kepada dua gurunya tidak kesampaian apabila dia ditemui lemas di Sungai Langgar di Kampung Limbong di sini Isnin lalu.

Mayat mangsa, Muhammad Saiful Sudin, 6, ditemui penduduk kampung pada pukul 9.05 malam iaitu selepas dua jam dia diketahui terjatuh ke dalam sungai sedalam lima meter itu.

Ibu mangsa, Zaitun Man, 50, memberitahu, sebelum kejadian, dia dan anak bongsunya itu pergi memancing ikan di satu saliran air di kawasan sawah tidak jauh dari rumahnya.

“Selepas sejam memancing dan mendapat empat ekor ikan sepat, kami berdua pulang ke rumah dengan menaiki motosikal pada pukul 7 petang.

“Bagaimanapun, tiba di simpang menghala ke rumah, Saiful ternampak lima rakannya bermain di atas titi sungai lalu dia terus turun dari motosikal,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, dia melarang Saiful bermain di sungai tetapi dia terus berlalu pergi dan memberitahu hendak pergi ke rumah saudaranya.

“Tidak lama kemudian seorang rakannya datang ke rumah beritahu Saiful terjatuh ke dalam sungai,” tambahnya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Noda umpan rokok dadah – Metro


Noda umpan rokok dadah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang gadis sunti dipaksa menghisap sebatang rokok yang dipercayai mengandungi dadah sebelum pengsan dan dirogol seorang lelaki berusia 20 tahun yang juga abang angkatnya di sebuah flat di Pantai Dalam, di sini, awal Julai lalu.

Mangsa iaitu murid berusia 12 tahun diugut supaya merahsiakan kejadian itu. Disebabkan takut, mangsa mendiamkan diri menyebabkan dia terus dinodai suspek dan dipercayai dirogol lebih lima kali dalam tempoh hampir dua bulan lalu.
Tidak tahan dengan kejadian itu, mangsa mengadu kepada sepupu suspek berusia awal 20-an pada hujung Ogos lalu, namun aduannya itu sia-sia apabila lelaki terbabit pula merogolnya.

 

Bagi mengakhiri penderitaannya, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Pantai, di sini, kelmarin.
Menceritakan kejadian itu, sumber polis berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 2 petang awal Julai lalu, mangsa yang bersendirian ketika menaiki lif untuk pulang ke rumahnya di tingkat tujuh flat itu terserempak dengan abang angkatnya.
“Suspek kemudian memaksa mangsa mengekorinya pulang ke rumah. Lelaki terbabit seterusnya memaksa mangsa menghisap sebatang rokok menyebabkan dia pengsan.

 

 

“Sebaik tersedar mangsa menyedari dia dirogol. Suspek kemudian mengugut untuk mencederakan mangsa jika memberitahu kejadian itu kepada orang lain termasuk ibunya,” katanya.
Sumber berkata, mangsa dirogol suspek lebih lima kali dan dipercayai dipaksa menghisap rokok sebelum dinodai.

5 murid Tahun Enam ditegah ambil UPSR – Berita Harian


5 murid Tahun Enam ditegah ambil UPSR

Oleh Safuri Kamarudin
bhnews@bharian.com.my
2011/09/29

LIMA murid Sekolah Rendah Kebangsaan Telok Sira, (dari kiri) Mohd Zulidham, Mohd Fazli, Mohd Hakim, Mohd Zulhilmi  dan Mohd Zulfikar sedih selepas  mereka dilarang menduduki UPSR baru baru ini.

LIMA murid Sekolah Rendah Kebangsaan Telok Sira, (dari kiri) Mohd Zulidham, Mohd Fazli, Mohd Hakim, Mohd Zulhilmi dan Mohd Zulfikar sedih selepas mereka dilarang menduduki UPSR baru baru ini.

Dilarang ke sekolah pada 13 hingga 15 September kerana dianggap bodoh

BALING: Lima murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Telok Sira, dekat sini, mengalami nasib sama seperti yang berlaku ke atas tiga murid sebuah sekolah di Sarawak baru-baru ini apabila dilarang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pertengahan bulan ini.

Mereka mendakwa dilarang ke sekolah dan mengambil peperiksaan itu pada 13 hingga 15 September lalu kerana disifatkan lemah dalam pelajaran serta boleh menjejaskan prestasi sekolah jika menduduki peperiksaan berkenaan.

Perkara itu terbongkar apabila ibu bapa murid terbabit tampil mendedahkan perkara itu semalam kepada media dan kesal dengan sikap pengurusan sekolah menganiaya anak mereka.

Lima murid terbabit ialah Mohd Fazli Md Isa, Mohd Zulfikar Mohd Fauzi, Mohd Zulhilmi Abd Mizan, Mohd Hakim Hasan dan Mohd Zulidham Yusof yang semuanya berusia 12 tahun.

Bapa Mohd Fazli, Md Isa Che Lah, 43, berkata dia hanya mengetahui perkara itu apabila diberitahu anaknya, seminggu selepas UPSR berakhir.

Katanya, Mohd Fazli beritahu seorang guru sekolah itu memaklumkan kepada lima pelajar terbabit supaya tidak datang mengambil UPSR kerana mereka dikatakan `bodoh’ dan lemah dalam pelajaran.
“Saya kesal dengan tindakan guru terbabit yang menghalang anak saya menduduki peperiksaan, sedangkan saya bertungkus-lumus menghantarnya ke sekolah sejak Tahun Satu lagi.

“Anak saya turut mengalami tekanan perasaan dan sering murung apabila pihak sekolah terbabit tidak membenarkan dia mengambil peperiksaan itu,” katanya di sini sambil mendakwa beliau tidak tahu apa sepatutnya dilakukan apabila dimaklumkan perkara itu oleh anaknya sehinggalah mengambil keputusan untuk melaporkan kepada media bersama ibu bapa murid lain yang terbabit, semalam.

Seorang lagi waris, Raziah Yahya, 50, berkata beliau dikunjungi seorang guru sekolah berkenaan dan memaklumkan anaknya, Mohd Zulhilmi tidak perlu ke sekolah ketika UPSR itu berlangsung.

“Guru terbabit mendakwa jika anak saya mengambil peperiksaan itu, dia akan mendapat keputusan `E’ sehingga menjejaskan peratus kelulusan sekolah.

“Dia juga mendakwa anak saya bodoh tidak boleh membaca, sedangkan Mohd Zulhilmi hanya lembam tetapi boleh membaca.

“Saya kasihan melihat sikapnya yang sering termenung dan mengasingkan diri sejak beberapa hari lalu, mungkin kerana malu dengan rakannya yang lain,” katanya.

Norziah Wateh, 42, ibu kepada Mohd Zulfikar pula berkata, anaknya itu menangis ketika pulang ke rumah selepas diarahkan guru supaya tidak datang ke sekolah mengambil peperiksaan itu.

“Dia amat sedih kerana cikgu mengatakan dia bodoh, selain diejek rakan sekelas,” katanya.

Mereka bagaimanapun belum membuat laporan polis.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Kedah, Mansor Lat ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan itu dengan merujuknya kepada guru besar sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

“Saya masih menunggu laporan lengkap mengenai perkara itu dan akan menyiasat dakwaan itu dengan telus,” katanya.

Pada 20 September lalu, akhbar melaporkan tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor di Bintangor, Sarawak tidak dibenarkan menduduki UPSR kerana mereka dianggap lemah dan dibimbangi boleh menjejas prestasi keseluruhan sekolah itu.