Sekolah Agama Rakyat diajak sertai ‘keluarga’ SABK – Utusan


Sekolah Agama Rakyat diajak sertai ‘keluarga’ SABK

JOHOR BAHRU 29 Sept. – Kementerian Pelajaran menjemput semua Sekolah Agama Rakyat (SAR), khususnya di negeri ini agar menjadi ‘ahli keluarga’ Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di bawah kementerian itu untuk meningkatkan lagi tahap pembelajaran dan prasarana sekolah.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu akan dapat memenuhi permintaan tinggi ibu bapa untuk memasukkan anak mereka ke sekolah aliran agama dan membolehkan lebih ramai pelajar berpeluang mengikuti proses pembelajaran menggunakan dwikurikulum, kebangsaan dan Dini/Azhari.

Katanya, Kerajaan Pusat akan menyediakan peruntukan bersesuaian jika SAR menjadi SABK, contohnya skim gaji guru yang sama dengan tenaga pengajar di sekolah kebangsaan.

Di samping itu, katanya, pelbagai bantuan seperti guru terlatih, kemudahan pembelajaran, buku teks, biasiswa dan pembangunan infrastruktur turut akan diberi.

“Jika sekolah-sekolah agama di negeri ini dapat dilengkapkan dengan kemudahan terkini, ia boleh menjadi daya tarikan kepada pelajar bukan sahaja di negeri ini malah dari negeri lain,” katanya dalam ucapan pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Hijrah SABK Madrasah Al-Alattas Arabiah Johor di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Ali Hassan dan Nazir Keenam SABK Madrasah Al-Alattas Arabiah Johor, Syed Ali Mohamed Alattas.

Menurut Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri, Madrasah Al-Alattas adalah antara SAR di Johor yang terawal menandatangani Perjanjian Persefahaman dengan kementerian untuk berdaftar di bawah SABK.

“Penyertaan madrasah ini amat dialu-alukan demi memartabatkan sekolah agama agar mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan sekolah aliran perdana lain,” katanya.

Beliau pada masa sama turut mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM270,000 bagi membantu penambahbaikan prasarana SABK Madrasah Al-Alattas Arabiah Johor bersempena 100 tahun penubuhannya.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, kini tinggal 27 SAR di negeri ini yang dalam peringkat akhir penelitian sebelum mendaftar sebagai SABK dan sedang menunggu kelulusan.

“Pendaftaran SABK akan memberi banyak faedah, kemudahan dan bantuan kepada guru, murid serta pembangunan infrastruktur berbanding keadaan sekarang,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Johor mempunyai 19 sekolah menengah agama (SMA) dengan 577 guru dan 5,563 pelajar selain lapan sekolah rendah agama (SRA) dengan 208 guru dan 3,227 murid.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s