Noda umpan rokok dadah – Metro


Noda umpan rokok dadah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang gadis sunti dipaksa menghisap sebatang rokok yang dipercayai mengandungi dadah sebelum pengsan dan dirogol seorang lelaki berusia 20 tahun yang juga abang angkatnya di sebuah flat di Pantai Dalam, di sini, awal Julai lalu.

Mangsa iaitu murid berusia 12 tahun diugut supaya merahsiakan kejadian itu. Disebabkan takut, mangsa mendiamkan diri menyebabkan dia terus dinodai suspek dan dipercayai dirogol lebih lima kali dalam tempoh hampir dua bulan lalu.
Tidak tahan dengan kejadian itu, mangsa mengadu kepada sepupu suspek berusia awal 20-an pada hujung Ogos lalu, namun aduannya itu sia-sia apabila lelaki terbabit pula merogolnya.

 

Bagi mengakhiri penderitaannya, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Pantai, di sini, kelmarin.
Menceritakan kejadian itu, sumber polis berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 2 petang awal Julai lalu, mangsa yang bersendirian ketika menaiki lif untuk pulang ke rumahnya di tingkat tujuh flat itu terserempak dengan abang angkatnya.
“Suspek kemudian memaksa mangsa mengekorinya pulang ke rumah. Lelaki terbabit seterusnya memaksa mangsa menghisap sebatang rokok menyebabkan dia pengsan.

 

 

“Sebaik tersedar mangsa menyedari dia dirogol. Suspek kemudian mengugut untuk mencederakan mangsa jika memberitahu kejadian itu kepada orang lain termasuk ibunya,” katanya.
Sumber berkata, mangsa dirogol suspek lebih lima kali dan dipercayai dipaksa menghisap rokok sebelum dinodai.

5 murid Tahun Enam ditegah ambil UPSR – Berita Harian


5 murid Tahun Enam ditegah ambil UPSR

Oleh Safuri Kamarudin
bhnews@bharian.com.my
2011/09/29

LIMA murid Sekolah Rendah Kebangsaan Telok Sira, (dari kiri) Mohd Zulidham, Mohd Fazli, Mohd Hakim, Mohd Zulhilmi  dan Mohd Zulfikar sedih selepas  mereka dilarang menduduki UPSR baru baru ini.

LIMA murid Sekolah Rendah Kebangsaan Telok Sira, (dari kiri) Mohd Zulidham, Mohd Fazli, Mohd Hakim, Mohd Zulhilmi dan Mohd Zulfikar sedih selepas mereka dilarang menduduki UPSR baru baru ini.

Dilarang ke sekolah pada 13 hingga 15 September kerana dianggap bodoh

BALING: Lima murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Telok Sira, dekat sini, mengalami nasib sama seperti yang berlaku ke atas tiga murid sebuah sekolah di Sarawak baru-baru ini apabila dilarang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pertengahan bulan ini.

Mereka mendakwa dilarang ke sekolah dan mengambil peperiksaan itu pada 13 hingga 15 September lalu kerana disifatkan lemah dalam pelajaran serta boleh menjejaskan prestasi sekolah jika menduduki peperiksaan berkenaan.

Perkara itu terbongkar apabila ibu bapa murid terbabit tampil mendedahkan perkara itu semalam kepada media dan kesal dengan sikap pengurusan sekolah menganiaya anak mereka.

Lima murid terbabit ialah Mohd Fazli Md Isa, Mohd Zulfikar Mohd Fauzi, Mohd Zulhilmi Abd Mizan, Mohd Hakim Hasan dan Mohd Zulidham Yusof yang semuanya berusia 12 tahun.

Bapa Mohd Fazli, Md Isa Che Lah, 43, berkata dia hanya mengetahui perkara itu apabila diberitahu anaknya, seminggu selepas UPSR berakhir.

Katanya, Mohd Fazli beritahu seorang guru sekolah itu memaklumkan kepada lima pelajar terbabit supaya tidak datang mengambil UPSR kerana mereka dikatakan `bodoh’ dan lemah dalam pelajaran.
“Saya kesal dengan tindakan guru terbabit yang menghalang anak saya menduduki peperiksaan, sedangkan saya bertungkus-lumus menghantarnya ke sekolah sejak Tahun Satu lagi.

“Anak saya turut mengalami tekanan perasaan dan sering murung apabila pihak sekolah terbabit tidak membenarkan dia mengambil peperiksaan itu,” katanya di sini sambil mendakwa beliau tidak tahu apa sepatutnya dilakukan apabila dimaklumkan perkara itu oleh anaknya sehinggalah mengambil keputusan untuk melaporkan kepada media bersama ibu bapa murid lain yang terbabit, semalam.

Seorang lagi waris, Raziah Yahya, 50, berkata beliau dikunjungi seorang guru sekolah berkenaan dan memaklumkan anaknya, Mohd Zulhilmi tidak perlu ke sekolah ketika UPSR itu berlangsung.

“Guru terbabit mendakwa jika anak saya mengambil peperiksaan itu, dia akan mendapat keputusan `E’ sehingga menjejaskan peratus kelulusan sekolah.

“Dia juga mendakwa anak saya bodoh tidak boleh membaca, sedangkan Mohd Zulhilmi hanya lembam tetapi boleh membaca.

“Saya kasihan melihat sikapnya yang sering termenung dan mengasingkan diri sejak beberapa hari lalu, mungkin kerana malu dengan rakannya yang lain,” katanya.

Norziah Wateh, 42, ibu kepada Mohd Zulfikar pula berkata, anaknya itu menangis ketika pulang ke rumah selepas diarahkan guru supaya tidak datang ke sekolah mengambil peperiksaan itu.

“Dia amat sedih kerana cikgu mengatakan dia bodoh, selain diejek rakan sekelas,” katanya.

Mereka bagaimanapun belum membuat laporan polis.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Kedah, Mansor Lat ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan itu dengan merujuknya kepada guru besar sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

“Saya masih menunggu laporan lengkap mengenai perkara itu dan akan menyiasat dakwaan itu dengan telus,” katanya.

Pada 20 September lalu, akhbar melaporkan tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor di Bintangor, Sarawak tidak dibenarkan menduduki UPSR kerana mereka dianggap lemah dan dibimbangi boleh menjejas prestasi keseluruhan sekolah itu.

Calon peperiksaan PMR diingatkan rujuk jadual peperiksaan – Bernama


Calon peperiksaan PMR diingatkan rujuk jadual peperiksaan

28/09/2011 5:31pm

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Lembaga Peperiksaan mengingatkan semua calon Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mengetahui masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

Menurut kenyataan lembaga tersebut, jadual waktu peperiksaan PMR telah diedarkan ke sekolah dan boleh juga dimuat turun dari laman web Lembaga Peperiksaan, http://www.moe.gov.my/lpm.

Pada tahun ini, seramai 481,147 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan bertulis PMR yang akan berlangsung pada 4,5,6,10 dan 11 Oktober. – Bernama

MTUC, MEF setuju – Metro


MTUC, MEF setuju

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum memutuskan had umur persaraan pekerja sektor swasta, namun secara dasarnya bersetuju jika had mandatori bersara dilanjutkan sehingga 60 tahun berbanding guna pakai ketika ini iaitu 55 tahun.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata perbincangan mengenai perkara itu dengan wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) masih diteruskan mengambil kira implikasi pelaksanaannya dalam bentuk akta baru.
“Saya tak kata tidak bersetuju (dengan perlanjutan umur persaraan), tapi kami masih dalam proses menentukan had mandatori, namun kedua-dua, MTUC dan MEF bersetuju jika tetapan umur dilanjutkan.

 

“Apabila kesepakatan sudah dicapai, kami akan umumkan termasuk bila akta mengenainya sedia dibawa ke Parlimen dan dibentangkan. Jika semuanya berjalan lancar mungkin pada sesi (Parlimen) akan datang,” katanya pada sidang media, semalam.
Beliau sebelum itu merasmikan Persidangan Sumber Manusia 2011 anjuran Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini, yang dihadiri Presiden FMM, Tan Sri Mustafa Mansur.
Mengenai Majlis Perundingan Gaji Negara, Dr Subramaniam berkata, akan mengumumkan senarai 25 anggotanya pada mesyuarat kali pertama pada hari ini di kementeriannya di Putrajaya.

 

 

“Seramai 25 orang dilantik menganggotai majlis yang akan mempunyai seorang pengerusi, timbalan pengerusi dan setiausaha selain lima wakil kerajaan, lima wakil bebas dan masing-masing enam wakil pekerja serta majikan.
“Semuanya akan diumumkan esok (hari ini), sama ada pengerusinya di kalangan wakil kerajaan, pekerja mahupun majikan, malah kementerian tidak akan campur tangan sebaliknya semua perbincangan mengenai penetapan gaji minimum akan diputuskan majlis ini,” katanya. Dalam pada itu, beliau meminta majikan supaya menggunakan langkah lebih inovatif dan menarik khususnya bagi menggalakkan tenaga kerja wanita berpengalaman kembali berkhidmat dalam pasaran pekerjaan.

 

Katanya, kerajaan sedia maklum terdapat sebilangan besar kakitangan wanita yang pakar dalam satu-satu bidang hilang daripada pasaran berikutan terikat dengan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.
“Mereka ini golongan yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran, tetapi akhirnya hilang daripada pasaran kerja. Jadi saya cadangkan supaya inisiatif yang inovatif dan kreatif dibuat majikan sektor swasta bagi menarik mereka,” katanya.

Asmara terbantut – Metro


Asmara terbantut

Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BESUT: Tindakan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun memakai baju dan seluar sukan secara terbalik ketika bergegas pulang ke rumah selepas dihubungi kakaknya menerusi telefon bimbit membongkar rahsianya yang cuba melakukan hubungan seks dengan teman lelaki dalam kejadian di Kampung Pengkalan Nyireh, di sini, Ahad lalu.

Menurut sumber, kejadian bermula apabila kakak remaja terbabit berusia 28 tahun terjaga daripada tidur dan mendapati remaja itu tiada di biliknya di rumah mereka di kampung berkenaan pada jam 4 pagi.
“Mengesyaki remaja itu keluar bertemu teman lelakinya di sebuah resort di daerah ini, wanita itu menghubungi telefon bimbit adiknya, namun tiada jawapan.

 

“Wanita berkenaan yang mengenali teman lelaki adiknya yang berusia 21 tahun menghubungi telefon bimbit lelaki terbabit, tetapi diberitahu dia tidak mengetahui di mana remaja itu berada sebelum remaja berkenaan tiba di rumah beberapa minit kemudian,” katanya.
Sumber berkata, bimbang rahsianya terbongkar, remaja terbabit mencipta pelbagai helah memperdaya kakaknya yang mengesyaki dia bertemu teman lelaki selepas pelik melihat pakaian dipakai terbalik.
Selepas didesak, remaja berkenaan yang juga pelajar sekolah menengah di bandar ini akur dan mengaku bertemu teman lelaki sebelum kakaknya membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja, di sini, jam 11 pagi hari sama.

 

 

Sumber berkata, ekoran laporan itu, remaja wanita terbabit dihantar ke Hospital Besut, di sini, untuk pemeriksaan dan mendapati tiada kesan koyakan lama sebaliknya hanya kesan merah pada luar kemaluannya.
Polis percaya remaja terbabit tidak sempat melakukan seks kerana terkejut panggilan telefon kakaknya ketika berada di kolam renang resort berkenaan.

‘Tangan adik terkapai-kapai’ – Metro


‘Tangan adik terkapai-kapai’

Oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

YAN: “Saya hanya nampak dia tenggelam timbul sambil tangannya terkapai-kapai. Saya cuba untuk membantu, tetapi tak berani kerana tali air itu dalam,” kata Muhammad Farhan Zamri, 10, abang kepada Muhammad Fardinie, 5, yang lemas selepas terjatuh ke dalam tali air di Kampung Sungai Lintang, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Muhammad Fardinie tergelincir ke dalam tali air sedalam hampir dua meter itu ketika melihat Muhammad Farhan bersama dua rakannya memancing di tali air terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka.
Muhammad Farhan ketika ditemui berkata, sebelum kejadian dia nampak adiknya itu menaiki basikal dan berhenti di atas titi konkrit tidak jauh dari tempat dia memancing.

 

“Ketika menghentikan basikalnya, Muhammad Fardinie cuba meletakkan kakinya di atas tebing titi konkrit itu, tetapi gagal menyebabkan dia tergelincir dan terjatuh ke dalam tali air itu beserta sekali dengan basikalnya.
“Saya hanya nampak tangannya terkapai-kapai sebelum hilang dibawa arus yang agak deras ketika itu. Saya yang panik terus berlari ke rumah meminta bantuan,” katanya.
Nenek mangsa, Halimah Din, 68, berkata, sebaik diberitahu cucunya itu terjatuh ke dalam tali air, dia bergegas ke tempat kejadian dan terus terjun dan menyelam mencari cucunya itu.

 

 

Katanya, dia menyelam beberapa kali tetapi tetap gagal menemui Muhammad Fardinie kecuali selipar milik cucunya itu.
“Waktu itu hati saya terdetik mengatakan dia sudah tiada, tetapi walaupun sudah tiada kudrat, saya nekad menyelam lagi. Dalam masa yang sama saya turut meminta bantuan penduduk kampung yang melalui kawasan itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

 

Halimah berkata, mayat Muhammad Fardinie yang juga murid prasekolah Sekolah Kebangsaan Ulu Sedaka, di sini, itu hanya ditemui penduduk kampung yang melakukan gerakan mencari kira-kira jam 6.15 petang semalam, 30 meter dari tempat dia terjatuh.
Mayat mangsa dibawa polis ke Hospital Yan, di sini.
Sementara itu, ibu mangsa, Saridah Harun, 36, berkata, anak ketiganya itu meminta kebenaran untuk melihat abangnya memancing kira-kira jam 5 petang. “Hampir jam 6 petang, kedua-dua anak saya masih tidak pulang dan ketika itu secara kebetulan seorang rakan Muhammad Farhan lalu di depan rumah dan saya memintanya memanggil dua beradik itu pulang.
“Namun, tidak sampai 10 minit, dia kembali ke rumah memberitahu Muhammad Fardinie terjatuh dalam tali air. Saya yang terkejut bergegas ke sana bersama ibu (Halimah),” katanya. Saridah berkata, sejak Aidilfitri lalu Muhammad Fardinie sudah menunjukkan perubahan sikap apabila dia kerap bersendirian dan bersikap tidak acuh berbanding sikap sebenarnya yang periang.
“Paling ketara ialah ketika saya menghantarnya ke sekolah Ahad lalu. Selepas turun dari motosikal dia tidak bersalam dengan saya seperti biasa, sebaliknya khusyuk memerhatikan sekolahnya sambil bertanya sama ada dia pernah bersekolah di situ atau tidak.
“Malah, dia juga menyatakan hasratnya untuk bercuti sekolah selama sebulan,” katanya.
Jenazah Muhammad Fardinie dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Thohiriah, Kampung Kubang Lintang pagi semalam.

‘Hormati’ jasad si mati – Metro


‘Hormati’ jasad si mati

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA KANGSAR: Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, meminta keluarga Nur Shafiqa Ismail, 11, yang dilaporkan hilang sebelum disyaki mati dibunuh kejam supaya ‘menghormati’ jasad si mati terutamanya jika ia benar-benar milik mangsa.

Shukri berkata, polis hanya boleh mengesahkan mayat hampir reput ditemui kelmarin adalah mangsa selepas mendapat sampel bagi ujian Deoxyribonucleic acid (DNA) yang dilakukan tengah hari semalam dan dijangka diketahui tiga hari lagi.
Katanya, sekalipun keluarga mangsa yakin ia adalah mayat Nur Shafiqa atau mesra dipanggil ‘adik’, mereka sepatutnya bersedih, bukannya ‘berperang’ menyalahkan antara satu sama lain kerana selain dilihat tidak beradab, ia juga boleh mengganggu siasatan polis.

 

“Saya difahamkan ada berlaku sedikit perselisihan faham antara keluarga ibu mangsa dan bekas suaminya selepas bertemu di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar pagi tadi (semalam) selepas ada antara mereka dipanggil untuk diambil keterangan,” katanya, semalam. “Saya menasihatkan mereka supaya banyak istigfar atau sekurang-kurangnya bersabar sehingga jenazah selamat dikebumikan dan kes selesai bagi kesejahteraan semua pihak selain dibimbangkan boleh mengganggu siasatan,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Mahu pijak sampai mati – Metro


Mahu pijak sampai mati

Oleh Kasdi Ali dan Mohd
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA KANGSAR: “Ikutkan hati saya mahu memijak-mijaknya sehingga mati, tetapi sebagai umat Islam, saya percaya dia akan mendapat balasan setimpal atas perbuatan kejam ini di akhirat kelak,” kata Nisa Abdul Karim, 47, ibu kepada Nur Shafiqa Ismail, 11, yang dijumpai mati dibunuh di kawasan ladang sawit Kampung Langkor, Kati, dekat sini, semalam.

Biarpun keputusan ujian deoxyribonucleic acid (DNA) hanya akan diketahui tiga hari lagi, Nisa berkata, selain pengecaman awal melalui pakaian mangsa, naluri ibunya kuat mengatakan mayat hampir reput ditemui kelmarin adalah jasad anak bongsunya.
“Saya mengecam pakaian baju kurung berwarna putih corak bunga berwarna merah dan hijau, kain hijau dan selendang merah dipakai mangsa adalah milik ‘adik’ kerana saya yang memakaikan pakaian itu pada pagi hari sama dia dilaporkan hilang.

 

“Biarpun hanya ujian DNA dapat memastikan mayat itu anak saya berikutan pengecaman fizikal tidak dapat dibuat kerana sudah reput, naluri saya sebagai ibu mengatakan ia adalah adik,” katanya sebak.
Dia ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar selepas sampel darahnya diambil untuk menjalani ujian DNA bagi pengesahan identiti mayat.
“Saya berserah kepada Allah jika takdir menentukan mayat itu adalah anak saya dan reda menerimanya. Tetapi, saya tidak boleh bayangkan, kalau dapat (pembunuhnya), memang saya tidak akan maafkan. “Adik budak lagi, apa yang dia tahu,” katanya sebak sambil ditenteramkan beberapa ahli keluarga termasuk empat lagi anaknya.

 

 

Nisa berkata, hatinya hancur luluh terutama apabila membayangkan penderitaan dan kesakitan terpaksa ditanggung anak bongsunya daripada lima beradik itu sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.
Justeru, biarpun reda dan anggap apa yang berlaku satu ujian Allah, Nisa berkata, hanya satu hukuman boleh dijatuhkan terhadap suspek iaitu gantung sampai mati.

 

“Hanya itu saja hukuman layak dijatuhkan kepada individu tidak berperikemanusiaan ini,” katanya. Nisa berkata, arwah yang tinggal bersama ibu saudara sebelah bekas suaminya di Kampung Talang Masjid, tidur di rumahnya di Kampung Chuar, Kati pada 10 September sebaik tiba dari Butterworth, Pulau Pinang selepas berjumpa bapa kandungnya yang bekerja sebagai pemandu lori di negeri itu.
Katanya, arwah kembali ke Kampung Talang Masjid pada petang Ahad, tetapi kira-kira jam 7.30 pagi keesokan harinya kembali ke Kampung Chuar dengan membawa jam dinding sebagai hadiah sambil meluahkan perasaan sedih dengan layanan ibu saudara yang seperti membencinya.
“Adik cakap dia membelikannya kerana rumah saya tiada jam dinding. Kedatangannya pada pagi itu mengejutkan saya dan kira-kira dua jam kemudian saya memintanya kembali ke Kampung Talang Masjid kerana dia perlu pergi ke sekolah hari itu,” katanya.

Ibu tiri ibu ayam – Metro


Ibu tiri ibu ayam

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Terseksa akibat dilacurkan ibu tiri sendiri, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun menderita kesakitan di kemaluannya hingga terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan merayu doktor agar menyelamatkannya.

Sehubungan itu, doktor terbabit membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, untuk siasatan dan mangsa ditahan di wad hospital berkenaan untuk rawatan susulan.

Bagaimanapun, belum sempat pihak berkuasa merakamkan percakapannya, mangsa menghilangkan diri, dipercayai dilarikan ibu tirinya.

Sumber polis berkata, mangsa yang tinggal bersama ibu tirinya berusia lewat 30-an selepas kematian bapa enam bulan lalu mendakwa dia dipaksa wanita itu melayan nafsu buas puluhan lelaki sejak lebih sebulan lalu.

 
Menurutnya, mangsa dipaksa melayan lelaki sama ada di rumahnya atau di hotel sekitar Lembah Klang mengikut permintaan pelanggan hingga dia menderita kesakitan di kemaluan.

Pelaksanaan LINUS beri impak positif – Berita Harian


Pelaksanaan LINUS beri impak positif
Oleh Azran Jaffar

2011/09/28

MEMASUKI tahun kedua pelaksanaannya, Program Literasi dan Numerasi (LINUS) yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran (KPM) bagi meningkatkan kadar kemahiran membaca dan mengira di kalangan murid tahap satu di sekolah rendah, menampakkan impak yang memberangsangkan.

Berdasarkan dua saringan yang dijalankan iaitu pada Mac dan Jun lalu, murid Tahun 2 melepasi sasaran 95 peratus yang ditetapkan dengan kadar literasi mencatatkan 95 peratus, manakala numerasi berada pada kadar 97 peratus.

Murid Tahun 1 juga menunjukkan prestasi membanggakan dengan mencapai 83 peratus untuk literasi dan 90 peratus untuk numerasi.

LINUS adalah program yang dirangka sebagai sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi menyediakan asas kukuh kemahiran literasi dan numerasi bagi kanak-kanak di negara ini untuk tempoh tiga tahun pertama pendidikan rendah.

Literasi adalah kebolehan membaca, menulis dan memahami perkataan, ayat tunggal dan ayat majmuk mudah (dengan menggunakan kata hubung dan) serta mengaplikasikan pengetahuan berkenaan dalam pembelajaran serta komunikasi harian.

Numerasi pula adalah apa yang dikatakan sebagai kebolehan melakukan operasi asas matematik serta memahami idea matematik yang mudah dan mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran matematik dalam kehidupan harian.

Melalui program ini, setiap murid menjalani proses saringan tiga kali setahun bagi mengenal pasti mereka yang menghadapi masalah membaca, menulis dan asas pengiraan yang kemudian diletakkan di dalam kelas pemulihan khas untuk meningkatkan prestasi mereka sementara yang mempunyai masalah pembelajaran akan mengikuti program Pendidikan Khas.
Untuk itu, kerajaan melatih 15,500 guru LINUS untuk mengajar di kelas pemulihan khas, manakala FasiLINUS (fasilitator yang memberikan sokongan profesional) ditugaskan di semua sekolah untuk memantau, membantu dan memberi sokongan kepada guru LINUS.

Objektif utama pengenalan program LINUS adalah untuk mengenal pasti pelajar yang menghadapi masalah dalam menguasai kemahiran berkenaan pada peringkat awal dan memulihkan mereka sebelum tertinggal lebih jauh berbanding rakan sebaya.

Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) LINUS berhasrat memastikan semua murid menguasai kemahiran literasi dan numerasi apabila memasuki Tahun 3. Untuk tahun 2010 sasaran KPM adalah pencapaian sebanyak 90 peratus untuk murid Tahun 1 (kohort 1), 95 peratus pada tahun 2011 dan 100 peratus untuk murid-murid kohort 1 ini yang akan memasuki Tahun 3 pada 2012.

Bagi murid kohort 1 ini yang membabitkan kira-kira 450,000 di seluruh negara, mereka menghadapi saringan tiga kali dan pada September 2010, sebanyak 380,440 atau 85 peratus lulus saringan asas literasi manakala 407,094 murid atau 91 peratus lulus saringan asas numerasi.

Proses saringan membabitkan dua bahagian iaitu lisan yang dijalankan secara individu antara guru dan murid manakala ujian bertulis dijalankan secara serentak. Saringan literasi dan numerasi juga dijalankan secara berasingan membabitkan guru Bahasa Malaysia dan Matematik.

Pada tahun 2010, saringan dijalankan untuk semua murid kohort 1 dan tahun ini ia diadakan untuk murid Tahun 1 (kohort 2) dan Tahun 2 (kohort 1).