Ibu bapa rayu anak dibenar ambil UPSR
Oleh AZMAN MD. NOOR
utusanperlis @utusan.com.my

Md. Isa Che Teh (kanan) dan isterinya, Rosmida Fuzir bersama Mohd. Fazli yang dilarang menduduki peperiksaan UPSR di rumahnya di Kampung Teluk Sira, Baling, Kedah, semalam.
BALING 30 Sept. – Ibu bapa lima murid yang dilarang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) merayu kepada Kementerian Pelajaran agar anak mereka dibenarkan mengambil semula peperiksaan berkenaan demi masa depan murid terbabit.
Jika rayuan itu tidak dilayan, mereka terpaksa menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit yang menafikan peluang anak mereka menduduki UPSR sebelum ini.
Seorang bapa, Md. Isa Che Teh, 43, berkata, dia berharap sangat agar anaknya, Mohd. Fazli dibenarkan menduduki semula peperiksaan yang boleh dianggap penting dalam menguji pembelajaran anaknya selama enam tahun di sekolah rendah.
“Sebagai bapa, saya berharap anak saya dibenarkan mengambil semula peperiksaan itu demi masa depannya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Baru-baru ini, lima murid Sekolah Kebangsaan Teluk Sira iaitu Mohd. Fazli Md. Isa, Mohd. Zulfikar Mohd. Fauzi, Mohd. Zulhilmi Abd. Mizan, Mohd. Hakim Hasan dan Mohd. Zulidham Yusof dilarang menduduki UPSR oleh guru kerana bimbang prestasi sekolah akan terjejas.
Kesemua murid itu juga mendakwa ada guru sekolah datang ke rumah supaya mereka tidak datang mengambil peperiksaan, sedangkan apabila pihak Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) membuat siasatan, pihak guru pula menyalahkan murid kononnya mereka enggan datang mengambil peperiksaan.
Tambah Md. Isa, dia kesal kerana pihak berkenaan masih menyalahkan ibu bapa atas ketidakhadiran lima murid kerana sebenarnya guru sekolah itu yang tidak membenarkan anak mereka hadir mengambil peperiksaan itu.
“Sekiranya anak saya gagal menduduki semula peperiksaan itu, saya tidak teragak-agak akan membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan undang-undang dibuat.
“Walaupun pihak sekolah memberi jaminan lima murid berkenaan akan dibenarkan mengambil peperiksaan, namun saya masih keliru dengan jaminan itu,” katanya.
Roziah Yahaya, 50, dan Norziah Wateh, 42, menaruh harapan besar agar anak-anak mereka diberi peluang mengambil semula peperiksaan itu untuk kebaikan mereka pada masa akan datang.
“Ini bukan masalah anak kami tidak mahu ke sekolah tetapi soalnya mereka dilarang menduduki peperiksaan kononnya bodoh. Kami mahu siasatan lebih telus dan berharap kementerian memandang serius kes itu,” kata mereka.
Like this:
Like Loading...