Program Pensiswazahan Guru (PPG) Mod PJJ bagi PPPLD Ambilan 2012 di bawah RMK ke – 10
Surat siaran seperti lampiran:
Surat siaran seperti lampiran:
GENTING HIGHLANDS: Kota keriangan, Genting Malaysia Berhad sekali lagi menceriakan hari 500 penghuni rumah anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) sempena sambutan Hari Kemerdekaan serta Aidilfitri, di sini, kelmarin.
Ketua Pegawai Eksekutif Genting Berhad, Puan Sri Cecilia Lim berkata, pihaknya juga mempelawa kanak-kanak dan 100 sukarelawan dari 24 rumah kebajikan sekitar Selangor dan Pahang untuk berkunjung ke taman tema untuk mencuba sendiri permainan yang ada selepas majlis jamuan berkenaan.
“Sudah lazimnya, Genting menunaikan tanggungjawab sosialnya untuk terus membantu golongan yang memerlukan terutamanya kanak-kanak. Semoga dengan aktiviti ini dapat menceriakan lagi hari mereka,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Majlis yang dirasmikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, turut dihadiri isteri Menteri Besar Pahang, Datin Seri Junaini Kassim serta beberapa ahli Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).
Sementara itu, Rosmah berkata, beliau difahamkan Genting menubuhkan pasukan “We care” khusus untuk memberi khidmat bakti kepada sekolah dan rumah kebajikan sekitar Pahang yang berlandaskan pendidikan, interaksi serta komunikasi.
“Ia selaras dengan aspirasi negara yang ingin melihat golongan OKU terus diberi peluang melalui pendidikan, latihan dan kemahiran bagi membolehkan mereka mampu berdikari sekali gus boleh keluar dari kepompong kehidupan lama ke arah yang lebih baik lagi,” katanya.
Selain berpeluang merasai sendiri kehebatan taman tema di Genting, kanak-kanak dan golongan OKU ini turut mendapat hamper dan duit raya sebagai tanda kenangan di sini.
KOTA TINGGI: “Anak saya dimarahi seorang lelaki ketika menghubungi saya sebelum talian terputus. Kejadian itu benar-benar membimbangkan saya sekeluarga,” kata Ibrahim Ahmad, 47, bapa kepada seorang remaja perempuan berusia 13 tahun tidak pulang ke rumah sejak Khamis lalu.
Beliau berkata, panggilan telefon itu dibuat anaknya, Aisyah, petang Jumaat lalu dan anak sulungnya itu hanya sempat memberitahu nama, sebelum seorang lelaki memarahi anaknya dan talian telefon dimatikan.
“Khamis lalu, Aisyah ke sekolah agama seperti biasa dengan menunggang basikal kira-kira jam 12 tengah hari, ketika itu saya menghantar anak kedua daripada empat beradik ke sekolah sama, saya melihat basikal anak saya masih di sekolah, manakala kelas digunakan untuk pengajaran haji.
“Saya beranggapan Aisyah mengikuti kelas haji dan terus pulang, namun berasa pelik apabila anak sulung saya belum pulang menyebabkan saya kembali ke sekolah agama beberapa jam kemudian dan ke sekolah menengah di Jalan Bukit Seri Lalang di sini, untuk bertanya guru dan rakan sekelas sama ada Aisyah hadir ke sekolah atau tidak,” katanya ketika ditemui di Kampung Tembioh di sini, semalam.
Menurutnya, dia dimaklumkan Aisyah tidak hadir ke sekolah dan kali terakhir dilihat di Taman Aman kira-kira tiga kilometer dari sekolahnya bersama seorang rakan sekolah agama, namun bersekolah menengah di Kota Kecil.
Katanya, bimbang dengan keselamatan anaknya itu, dia bergegas ke Taman Aman bersama beberapa saudara-mara dan rakan serta meronda di kawasan sekitar bagi mencari anaknya itu tetapi gagal.
“Saya menunggu di jambatan berhampiran rumah jam 6 petang dengan harapan anak saya itu pulang bersama pelajar lain. Mungkin anak saya menghadapi masalah hingga tidak ke sekolah, namun bersedia mendengar penjelasannya.
“Selepas Maghrib, anak saudara saya menghubungi dan memaklumkan tahu kediaman rakan anak saya yang dilihat bersama di Taman Aman, menyebabkan saya dan isteri, Rohani Tek, 36, bergegas ke rumah berkenaan,” katanya.
Menurutnya, mereka bertemu ibu pelajar berusia 14 tahun itu dan wanita berkenaan memberitahu anaknya juga belum pulang tetapi enggan membuat laporan polis.
“Kami membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi,” katanya.
Rohani berkata, ketika keluar rumah anaknya yang berambut pendek dengan ketinggian 110 sentimeter hanya ada RM1 sebagai bekal ke sekolah agama.
KOTA KINABALU: Seorang murid tahun dua maut selepas terjatuh dalam lubang yang tidak mempunyai penutup sedalam kira-kira lima meter di tepi Jalan Batu 7, Jalan Tuaran Lama, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, mangsa, Chua Soon Lee, 8, bersama ibunya, Chua Mui Tse, 30, dikatakan sedang berjalan mencari besi buruk sekitar tempat kejadian sebelum terjatuh dalam lubang berkenaan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat lemas.
Sebelum tragedi malang itu, mangsa yang juga anak sulung bersama ibunya keluar rumah kira-kira jam 2 petang untuk mencari besi buruk, namun ketika kejadian, mangsa berada di belakang manakala ibunya berada di depan.
Menurut Chua, sebelum kejadian, dia sempat melihat anaknya berjalan sambil membaling batu ke dalam parit.
“Ketika itu, saya terus berjalan untuk mencari besi buruk sebelum tiba-tiba terdengar suara meminta tolong dari belakang. “Saya terus menoleh dan terkejut apabila mendapati anak saya tiada. Ketika itu, saya begitu takut dan terus berlari mencari suara jeritan itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam Katanya, dia terkejut apabila mendapati anaknya berada dalam lubang berkenaan dengan tangannya masih terkapai-kapai meminta tolong, namun tidak mampu berbuat apa-apa kerana lubang itu terlalu dalam.
“Ketika itu, saya hanya mampu melihat tangannya terkapai-kapai meminta tolong sebelum hilang daripada permukaan air.
“Saya terus meminta bantuan orang ramai menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat meminta bantuan.
“Selepas itu, sepasukan anggota jabatan itu tiba dan menjalankan kerja menyelamat termasuk mengepam air keluar sebelum beberapa minit kemudian anak saya ditemui terbaring dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya. Katanya, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku kerana ia begitu cepat hingga tidak mampu berbuat apa-apa.
“Saya membawanya keluar untuk mencari besi buruk kerana hari ini, dia tidak bersekolah. ‘’Lagipun, semalam (kelmarin) dia meminta supaya dibelikan basikal baru bagi memudahkannya ke sekolah, namun hari ini (semalam) dia sudah tiada,” katanya sebak.
Sementara itu, Penolong Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohamad Nor Amit, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.40 petang sebelum tiba di tempat kejadian jam 3.53 petang.
MELAKA: Akibat menjalin hubungan terlarang dan tergamak menodai rakan perempuannya, seorang pelajar sebuah sekolah menengah di Sungai Udang, dekat sini, menerima padah apabila dibelasah hingga parah oleh bapa mangsa yang menemuinya di dalam bilik tidur anak gadisnya itu.
Dalam kejadian antara jam 10.30 malam hingga 11.30 malam itu, pelajar berusia 16 tahun itu cedera hampir di seluruh badan terutama di perut, muka, leher selain kaki dan tangan lebam serta bengkak akibat dibelasah termasuk menggunakan kayu.
Difahamkan, pelajar itu kini masih dirawat di Hospital Melaka (HM) akibat kecederaan dialaminya.
Menurut sumber polis, kejadian berpunca apabila dia menjalin hubungan cinta dengan anak seorang pegawai anggota keselamatan berusia 13 tahun tanpa pengetahuan keluarganya.
Katanya, kemuncaknya, pelajar terbabit memperkosa kekasihnya di belakang tangga rumah mangsa di sebuah taman di Sungai Udang pertengahan September lalu, kira-kira jam 2 pagi.
Sumber itu berkata, pelajar terbabit kerap menyelinap ke dalam rumah kekasihnya tanpa pengetahuan ibu bapanya.
Begitupun katanya, bapa gadis itu berusia 40-an akhirnya menghidu perbuatan terkutuk itu.
“Pada jam 10.30 malam, 27 September lalu, pelajar lelaki itu sekali lagi menyelinap masuk ke bilik tidur kekasihnya.
“Tindakan itu disedari bapa mangsa yang berang melihat pelajar itu berselimut di atas katil anak gadisnya lalu berlaku pertelingkahan antara mereka sebelum lelaki itu memukul pelajar terbabit.
“Dia turut menghubungi tiga rakannya yang turut membelasah mangsa hingga parah,” katanya.
Sumber itu berkata, pelajar terbabit membuat laporan di Balai Polis Sungai Udang berhubung kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye yang dihubungi di sini mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan, namun tidak dapat mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.
BINTANGOR 2 Okt. – Tiga murid Sekolah Kebangsaan Bandar Bintangor yang dihalang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada awal bulan lalu, tidak sabar untuk menduduki ujian berkenaan Selasa ini.
Edward Ujoh Ausgutine, Idie Ganyol serta Richmend Mangi yang ketiga-tiganya menyimpan cita-cita untuk menjadi anggota bomba, kelihatan bersemangat mengulangkaji pelajaran meskipun berada dalam keadaan serba kekurangan.
Wartawan Utusan Malaysia yang tiba di Rumah Panjang Selat di sini mendapati dua daripada tiga murid berkenaan sedang menelaah buku pelajaran sebagai persiapan untuk menduduki peperiksaan tersebut.
Idie memberitahu, dia banyak mengulang kaji pelajaran pada waktu siang berbanding pada sebelah malam disebabkan tiada kemudahan elektrik dan terpaksa menggunakan cahaya pelita.
”Di sekolah pula, guru ada membantu dalam melakukan ulang kaji pelajaran manakala di rumah saya belajar sendiri sebagai persiapan Selasa ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.
Edward pula memberitahu, dia berasa gembira kerana diberi peluang untuk menduduki peperiksaan tersebut dan berusaha mengulangkaji pelajaran sebagai persiapan nanti.
”Saya tahu membaca serta menulis dan saya mahu mengambil ujian ini walaupun dikatakan lemah dalam pelajaran,” ujarnya.
Sementara itu, Richmend yang turut tiba di Rumah Panjang Selat petang ini berkata, dia telah membuat ulang kaji mata pelajaran yang akan didudukinya Selasa ini.
”Selasa ini akan ada ujian untuk Bahasa Malaysia diikuti Matematik Rabu dan Bahasa Inggeris serta Sains pada Khamis ini,” katanya.
Sementara itu, ibu bapa kepada tiga murid berkenaan mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana membenarkan anak mereka menduduki semula peperiksaan itu.
Ganyol Lubok, 39, berkata, dia terharu apabila mengetahui Muhyiddin begitu peka dengan insiden tersebut sekali gus mengembalikan semula hak anaknya untuk menduduki UPSR.
”Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri kerana memberi peluang kepada anak saya, Idie Ganyol mengambil UPSR sekali gus mengembalikan maruah kami sekeluarga.
”Saya harap anak saya itu boleh membuat yang terbaik pada ujian nanti meskipun saya sedar dia lemah dalam pelajaran. Yang penting hak dia untuk mengambil ujian itu tidak dinafikan,” katanya.
Molly Nilau, 39, ibu kepada Edward Ujoh Augustine juga gembira apabila mengetahui Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran sendiri melahirkan keprihatinan terhadap masalah yang menimpa anaknya itu.
”Pada mulanya saya sangat kecewa dan marah dengan apa yang berlaku ke atas anak saya namun setelah mendapat tahu Timbalan Perdana Menteri sendiri mengambil berat masalah ini, saya berasa lega dan sangat senang hati.
”Saya menaruh harapan anak saya mempunyai masa depan yang baik meskipun dia dianggap lemah dalam pelajaran kerana dia juga mempunyai cita-cita,” ujarnya.
Mangi Ancha, 57, pula memberitahu, keprihatinan Muhyiddin terhadap insiden itu membolehkan anak mereka menduduki semula UPSR dan telah mengembalikan maruah keluarga mereka.
”Pertama sekali, saya meminta maaf kepada Timbalan Perdana Menteri yang telah bersusah payah disebabkan insiden ini dan pada masa sama berterima kasih kepada beliau kerana memberi semula sinar harapan kepada anak-anak ini.
”Sepatutnya hal seumpama ini tidak boleh berlaku meskipun anak- anak ini lemah dalam pelajaran, namun mereka mempunyai hak untuk mencuba serta memperoleh apa yang terbaik,” katanya.
Pada 13 September lalu, tiga murid lelaki SK Bandar Bintangor tidak dibenarkan menduduki UPSR kerana mereka dianggap lemah dan dibimbangi boleh menjejaskan prestasi keseluruhan sekolah itu.