Tangguh UPSR akibat penyakit
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAHutusankedah@utusan.com.my

RABAYAH Awang Kechik (kiri) menemani Nurul Najwa Mohd. Saad ketika ditemui di Kampung Keda Bukit Ular, Padang Terap, Kedah, semalam. – UTUSAN/Halim Khalid
PADANG TERAP 3 Okt. – Ketika rakan-rakan sebayanya berdebar-debar menanti keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi, seorang kanak-kanak dari Kampung Keda Bukit Ular di sini terpaksa menangguhkan hasrat untuk menduduki peperiksaan itu akibat penyakit yang dideritainya sejak dua tahun lalu.
Nurul Najwa Mohd. Saad, 12, mula dikesan menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) pada pertengahan tahun lalu menyebabkan dia terpaksa melupakan alam persekolahan meskipun terlalu ingin berjaya dalam pelajaran.
Sejak itu, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar seolah-olah menjadi rumah kedua bagi murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Kubang Palas mendapatkan rawatan penyakit yang mengakibatkan pelbagai masalah termasuk buah pinggang, bengkak hati dan darah tinggi.
Ibu kanak-kanak tersebut, Rabayah Awang Kechik, 43, memberitahu, akibat penyakit berkenaan, anak bongsunya daripada empat beradik itu tidak dapat hadir ke sekolah kerana kerap pengsan dan perlu mendapatkan rawatan.
Menurutnya, sebelum disahkan menghidap penyakit berkenaan, anaknya itu aktif di sekolah selain maju dalam pelajaran.
Beliau menambah, setiap kali dirawat, Nurul Najwa yang lebih mesra dipanggil Wawa terpaksa berada di wad hospital sekurangnya-kurang selama tiga hari dan pernah berlarutan sehingga sebulan.
“Sebab itu Wawa tidak dapat hadir ke sekolah sekali gus menjejaskan persediaannya untuk menghadapi UPSR.
“Atas nasihat pelbagai pihak termasuk doktor, kami setuju supaya Wawa tidak menduduki peperiksaan itu pada tahun ini kerana masalah kesihatannya yang tidak mengizinkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Keda Bukit Ular di sini hari ini.
Rabayah berkata, keadaan Nurul Najwa kini bertambah baik dan keluarganya berharap anaknya itu dapat menduduki UPSR pada tahun depan secara persendirian seperti yang dihasratkan oleh kanak-kanak tersebut.
Katanya, walaupun sakit dan tidak dapat hadir ke sekolah, Nurul Najwa begitu bersemangat untuk menduduki peperiksaan tersebut dengan membuat ulang kaji di rumah dengan bimbingan kakak-kakaknya.
“Wawa kini kian stabil dan sekiranya keadaan berjalan lancar, kami akan mendaftarkannya di tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Terap tahun depan.
“Pada masa sama, kami harap Wawa dapat menduduki UPSR secara persendirian bagi memenuhi hasratnya selain membolehkan kami menguji sejauhmana kemampuannya dalam pelajaran selepas menghidap penyakit,” katanya.
Like this:
Like Loading...