600 pelajar dapat dana RM32j – Bernama


600 pelajar dapat dana RM32j

2011/10/05

NAZRI bergambar bersama Che Lodin, Abu Bakar, G Palanivel,  Subramaniam serta pelajar yang menerima Geran Akademik 1MDB 2011 di  Bangi, semalam.

NAZRI bergambar bersama Che Lodin, Abu Bakar, G Palanivel, Subramaniam serta pelajar yang menerima Geran Akademik 1MDB 2011 di Bangi, semalam.

Geran Akademik 1MDB disedia bantu keluarga miskin lanjut pelajaran

BANGI: Seramai 600 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 semalam menerima Geran Akademik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah kira-kira RM32 juta bagi tempoh empat tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata pemberian geran buat kali kedua pada tahun ini adalah bantuan kewangan kepada pelajar yang cemerlang dalam SPM tahun lalu untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dalam negara pada peringkat ijazah pertama.

Katanya, mereka adalah daripada keluarga yang berpendapatan rendah yang terdiri daripada 300 pelajar Bumiputera, 150 pelajar Cina dan 150 pelajar India.

“Majlis ini adalah satu daripada beberapa perkara yang dilakukan oleh kerajaan untuk membantu rakyat dalam usaha untuk mengurangkan bebanan dari segi kos kehidupan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat tawaran geran itu kepada pelajar berkenaan di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah; Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk G Palanivel dan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam.

Kadar bantuan tahunan yang diberikan pada tahun ini ialah sebanyak RM8,000 bagi kursus kritikal dan RM7,500 bagi kursus bukan kritikal kepada pelajar yang mengikuti pengajian di IPTA.
Kadar bantuan tahunan bagi kursus kritikal di IPTS adalah sebanyak RM16,000 dan kursus bukan kritikal sebanyak RM10,000.

Pemberian geran akademik itu adalah idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang bertujuan mewujudkan peluang kepada generasi muda untuk menerokai dan membangunkan potensi diri mereka.

Mengenai pengambilalihan tanah untuk Projek MRT Lembah Klang Jajaran Sungai Buloh-Kajang di Jalan Sultan dan Jalan Bukit Bintang, Nazri berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Co dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Prasarana Sdn Bhd pada Isnin ini. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s