Lima lagi jadi mangsa histeria
utusankelantan@utusan.com.my
KOTA BHARU 4 Okt. – Kejadian histeria yang berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Kubor 1, Tumpat berterusan hari ini apabila lima lagi murid perempuan sekolah itu tidak sedarkan diri selepas diserang histeria.
Seorang bapa mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi selepas dia terdengar jeritan murid perempuan yang ketakutan dari dewan peperiksaan di tingkat bawah bangunan sekolah tersebut.
“Suara tersebut datang dari murid perempuan darjah empat dan lima yang menjerit dan keadaan bertambah kecoh apabila ia berjangkit kepada murid lain. Suasana menjadi kelam kabut apabila mangsa meracau dan juga ada yang tidak sedarkan diri,” katanya kepadaUtusan Malaysia hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, sebuah sekolah rendah di Pengkalan Kubor gempar apabila 20 muridnya diserang histeria apabila dikatakan melihat lembaga hitam di dalam dewan peperiksaan sekolah itu.
Kejadian berlaku selepas waktu rehat iaitu kira-kira pukul 10.30 pagi setelah murid terbabit yang rata-rata terdiri daripada pelajar tahun empat dan lima mendakwa melihat lembaga hitam yang menakutkan.
Tambah bapa murid itu pengamal perubatan tradisional yang sama dipanggil untuk membantu mengatasi masalah tersebut.