Lima lagi jadi mangsa histeria – Utusan


Lima lagi jadi mangsa histeria

 

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

 

KOTA BHARU 4 Okt. – Kejadian histeria yang berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Kubor 1, Tumpat berterusan hari ini apabila lima lagi murid perempuan sekolah itu tidak sedarkan diri selepas diserang histeria.

Seorang bapa mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi selepas dia terdengar jeritan murid perempuan yang ketakutan dari dewan peperiksaan di tingkat bawah bangunan sekolah tersebut.

“Suara tersebut datang dari murid perempuan darjah empat dan lima yang menjerit dan keadaan bertambah kecoh apabila ia berjangkit kepada murid lain. Suasana menjadi kelam kabut apabila mangsa meracau dan juga ada yang tidak sedarkan diri,” katanya kepadaUtusan Malaysia hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, sebuah sekolah rendah di Pengkalan Kubor gempar apabila 20 muridnya diserang histeria apabila dikatakan melihat lembaga hitam di dalam dewan peperiksaan sekolah itu.

Kejadian berlaku selepas waktu rehat iaitu kira-kira pukul 10.30 pagi setelah murid terbabit yang rata-rata terdiri daripada pelajar tahun empat dan lima mendakwa melihat lembaga hitam yang menakutkan.

Tambah bapa murid itu pengamal perubatan tradisional yang sama dipanggil untuk membantu mengatasi masalah tersebut.

Ibu bapa tiga murid sepakat teruskan saman – Utusan


Ibu bapa tiga murid sepakat teruskan saman

BINTANGOR 4 Okt. – Ibu bapa tiga murid yang dihalang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sepakat untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap guru yang dikatakan mengurung anak mereka daripada menduduki peperiksaan tersebut bulan lalu.

Meskipun gembira anak-anak mereka dibenarkan mengambil UPSR hari ini, ibu bapa terbabit tidak berhasrat untuk menarik balik tindakan mereka menyaman pihak yang terlibat dengan insiden berkenaan.

Bapa salah seorang murid terlibat, Ganyol Lubok berkata, pihaknya menyerahkan perkara tersebut kepada seorang peguam yang mewakili keluarga ketiga-tiga murid terbabit untuk meneliti tindakan undang-undang yang akan diambil.

“Kami semua sepakat akan meneruskan tindakan undang-undang ke atas guru yang menyebabkan anak kami dikurung serta dihalang menduduki UPSR.

“Tindakan ini dilakukan untuk memberi pengajaran supaya kejadian seumpama ini tidak berulang kepada ibu bapa serta anak-anak lain,” katanya ketika ditemui di hadapan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Meradong di sini, hari ini.

Terdahulu, Ganyol menemani anaknya, Idie manakala dua lagi murid iaitu Edward Ujoh Augustine dan Richmend Mangi masing-masingnya ditemani ibu mereka, Molly Nilau, 39, dan Bijik Jampi, 46, ke PPD Meradong untuk menduduki UPSR.

Ganyol berkata, dia lega apabila anaknya dapat menduduki semula UPSR dan berharap dia berpeluang menyambung pelajaran ke peringkat sekolah menengah.

“Meskipun anak saya dikatakan lemah dalam pelajaran, sekurang-kurangnya dia mencuba dan memperoleh sijil supaya boleh digunakannya untuk melanjutkan pelajaran atau mendapatkan pekerjaan satu hari nanti.

“Kita mana boleh jangka jika pada masa depan seseorang yang mahu menjadi tukang kayu pun kena memiliki sijil UPSR, maka ujian ini penting kepada anak saya,” katanya.

Mereka sendiri enggan duduki UPSR – Utusan


Mereka sendiri enggan duduki UPSR

 

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my

 

KOTA KINABALU 4 Okt. – Laporan awal mendapati lima murid Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Sira, Baling, Kedah sebenarnya tidak dilarang daripada menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), sebaliknya mereka sendiri enggan mendudukinya.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, hasil temu bual dengan murid terlibat juga mendapati mereka membuat pengakuan bahawa guru tidak pernah menghalang mereka menduduki peperiksaan itu.

Malah, menurut beliau, guru besar selalu mengingatkan mereka mengenai tarikh peperiksaan itu dan ia disusuli pula dengan kehadiran guru ke rumah mereka untuk memaklumkan mengenai perkara sama.

“Siasatan awal mendapati guru ini bukannya ke rumah murid terbabit untuk menghalang mereka menduduki peperiksaan ini. Bagaimanapun siasatan terperinci masih lagi berjalan dan ia belum siap sepenuhnya,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Gaya yang terbakar malam Khamis lalu dan menyerahkan waran segera bantuan khas malapetaka sebanyak RM20,000 bagi memperbaiki pendawaian elektrik yang rosak.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sabah, Maimunah Suhaibul.

Baru-baru ini, lima murid sekolah itu, Mohd. Fazli Md. Isa, Mohd. Zulfikar Mohd. Fauzi, Mohd. Zulhilmi Abd. Mizan, Mohd. Hakim Hasan dan Mohd. Zulidham Yusof dikatakan dilarang menduduki UPSR oleh guru kerana bimbang prestasi sekolah akan terjejas.

Kesemua murid itu juga mendakwa ada guru sekolah datang ke rumah supaya mereka tidak datang mengambil peperiksaan, sedangkan apabila pihak Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) membuat siasatan, guru pula menyalahkan murid kononnya mereka enggan datang mengambil peperiksaan.

Ditanya mengenai status siasatan kementerian terhadap pentadbiran SK Bandar Bintangor yang menghalang tiga muridnya daripada menduduki UPSR, Mohd. Puad berkata, keputusannya akan diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran.

Pelbagai gelagat, ragam pelajar duduki PMR – Utusan


Pelbagai gelagat, ragam pelajar duduki PMR

Sebahagian pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman Ipoh mengambil peperiksaan Pernilaian Menengah Rendah, Ipoh, Perak, semalam.

 

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Pelbagai gelagat dan ragam dapat dilihat apabila seramai 481,147 pelajar tingkatan tiga di seluruh negara menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 yang bermula hari ini dan akan berakhir 11 Oktober ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pelajar yang terlibat masih sempat membuat ulang kaji terakhir sebelum menduduki dewan peperiksaan.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Keramat, Pauziah Mahmood, 57, berkata, pihaknya membuat pelbagai persediaan untuk pelajarnya dengan membuat latih tubi, bengkel dan klinik serta ujian pra PMR yang diadakan sendiri.

“Kami harapkan seramai 284 calon PMR berdaftar di sini akan membuat yang terbaik dan menyasarkan 60 pelajar mendapat kesemuanya gred A.

“Sebelum peperiksaan ini, saya sendiri berjumpa setiap calon PMR yang berkesempatan untuk bertanya khabar dan memberi ‘lencana pin’ yang tertulis kata-kata semangat seperti ‘saya adalah terbaik’ dan ‘menjadi yang terbaik’ agar mereka yakin kepada diri sendiri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut memberi kata-kata perangsang kepada pelajar tingkatan tiga yang menduduki PMR.

Seramai 481,147 pelajar hari ini menduduki PMR dengan kertas pertama adalah Bahasa Melayu dan seterusnya Pendidikan Islam.

Tambah Pauziah, pihaknya juga menyediakan minuman pagi dan biskut bagi membekalkan sedikit tenaga kepada pelajar-pelajar yang tidak sempat bersarapan.

Sementara itu, salah seorang pelajar sekolah tersebut, Nazlin Adlina, 15, berkata, dia bersyukur kerana dapat menjawab kertas soalan pertama tersebut dengan baik ekoran persiapan dan latihan yang telah dibuat.

Jelasnya, dia berterima kasih kepada guru yang mengajarnya dan mendoakan agar semuanya berjalan dengan lancar.

Rakannya, Farah Wahida, 15, pula berkata, dia sedikit gementar apabila menduduki peperiksaan itu.

“Saya akan cuba menjawab soalan PMR sebaik mungkin untuk mendapat keputusan yang baik,” katanya.