Sistem saraan baru diperkenal – Kosmo


Sistem saraan baru diperkenal

SKIM Saraan Baru Perkhidmatan Awam bakal merangsang produktiviti kakitangan kerajaan. – Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – Kira-kira 1.3 juta kakitangan awam negara ini menerima berita gembira apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang menawarkan kenaikan gaji lebih baik.

Ketika membentangkan Bajet 2012 bertajuk, Dasar Transformasi Nasional: ‘Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara’, Perdana Menteri berkata, skim tersebut akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) bertujuan mentransformasikan perkhidmatan awam negara supaya lebih dinamik.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, menerusi SBPA, kenaikan gaji tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred bermula tahun depan.

Beliau menambah, penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA akan mendapat faedah kenaikan gaji di antara 7 hingga 13 peratus.

“Dengan pelaksanaan SBPA, lebih 600,000 pesara kerajaan akan menikmati pelarasan pencen yang melibatkan peruntukan RM600 juta.

“Mulai tahun 2013 nanti, kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

Bonus untuk penjawat awam Disember ini – Kosmo


Bonus untuk penjawat awam Disember ini

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan pemberian bonus tambahan setengah bulan gaji atau minimum RM500 seorang kepada 1.3 juta penjawat awam pada bulan Disember ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah itu bertujuan mengiktiraf sokongan penjawat awam dalam pembangunan negara.

“Langkah tersebut akan menjadikan jumlah bonus yang diberikan kepada penjawat awam pada tahun ini bersamaan dengan sebulan gaji atau bayaran minimum RM1,000.

“Bayaran ini akan memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam,” katanya pada pembentangan Bajet 2012 di Dewan Rakyat semalam.

Pelajar dakwa ditampar guru – Metro


Pelajar dakwa ditampar guru

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA BHARU: Seorang pelajar tingkatan empat mendakwa ditampar seorang guru wanita enam kali dan ditolak kepala tanpa sebarang alasan di hadapan beberapa guru lain selepas waktu rehat di sebuah sekolah, pada Rabu lalu.

Difahamkan, seminggu sebelum kejadian, pelajar itu, Nik Nor Syazwani Nik Anuar, 16, dipanggil bersama bapanya untuk berjumpa guru disiplin berhubung masalah, kononnya dia menjadi punca pergeseran antara guru di sekolah terbabit dan masalah itu dianggap selesai.
Menurut Nik Nor Syazwani, dia sekali lagi dipanggil bersama empat rakan lain ke bilik kesihatan sekolah, Rabu lalu.

 

“Saya bersama rakan dipanggil ke bilik itu dan ada guru menyuarakan perasaan tidak puas hati kerana mendakwa saya melaga-lagakan guru di situ.
“Selepas itu, ada seorang guru wanita yang berada dalam bilik itu memanggil saya dan terus menampar di bahagian kedua-dua pipi selain menolak kepala,” katanya, semalam.
Katanya, dia tidak tahu punca sebenar guru wanita itu bertindak sedemikian, apatah lagi guru itu juga tiada kaitan dengan kejadian dipanggil bertemu guru disiplin sebelum itu.

 

 

“Saya tidak tahu apa kesalahan yang saya lakukan sehingga guru itu menampar dan menolak kepala saya di hadapan beberapa guru lain,” katanya.
Ibu Nik Nor Syazwani, Fatimah Berahim, 57, berkata, dia cuba mendapatkan penjelasan guru berkenaan namun gagal.

 

“Saya cuma mahu tahu mengapa guru itu bertindak kasar terhadap anak saya, tetapi dia tidak mahu memberi penjelasan,” katanya.
Pelajar terbabit membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada hari kejadian.

KWSP sokong daftar haji guna Akaun 2 – Metro


KWSP sokong daftar haji guna Akaun 2

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2012 yang memberi kebenaran kepada pencarumnya untuk mendaftarkan haji menggunakan Akaun 2 sekiranya mempunyai simpanan minimum RM1,300.

Ketua Ekonomi KWSP, Norasikin Abd Hamid berkata, pengumuman itu dilihat akan memberi peluang lebih cerah kepada golongan berpendapatan rendah untuk memperoleh giliran bagi mengerjakan haji.
“Kini, bagi mereka yang mahu menyempurnakan haji, mereka tidak lagi perlu bergantung kepada akaun Tabung Haji yang memerlukan simpanan sekurang-kurangnya RM1,300 untuk memperoleh giliran ke Makkah.

 

“Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan simpanan pencarum untuk tujuan pesaraan berikutan simpanan RM1,300 itu akan kekal dalam Akaun 2 terbabit sehingga mereka berumur 55 tahun dan melayakkan wang itu dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.
Beliau mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Belanjawan 2012 mengenai perubahan yang dilakukan pada sistem kelayakan mengerjakan haji yang memberi tumpuan dalam membantu golongan berpendapatan rendah.

SBPA ganti SSM – Metro


SBPA ganti SSM

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dalam usaha melakukan transformasi perkhidmatan awam di negara ini supaya lebih dinamik, responsif serta berorientasikan prestasi.

Sistem itu menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) bagi membawa perubahan lebih radikal dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya penjawat awam dengan teras pengekalan atau penamatan perkhidmatan mereka berasaskan prestasi kerja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat, semalam berkata, antara elemen yang terkandung dalam SBPA termasuk mewujudkan dasar pemisah bagi penjawat awam berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan jawatan.

 

Selain itu, beliau berkata, melalui SBPA, ia dapat menambah baik struktur gaji penjawat awam menerusi pembentukan gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya mereka mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh lama selain gaji maksimum bagi gred yang lebih tinggi.
“Dengan itu, gaji maksimum bagi sesuatu gred adalah lebih tinggi berbanding sekarang. Contohnya, jika di bawah SSM, bagi seorang guru pada gred DG48, gaji maksimum RM6,325.39, kelak di bawah SBPA, gaji maksimum meningkat 37.7 peratus kepada RM8,710.
“Bagi guru bukan siswazah pula, jika di bawah SSM kini, yang berada pada gred DG34, gaji maksimum adalah RM3,860.52, kelak nanti di bawah SBPA akan meningkat 39 peratus kepada RM5,370,” katanya.

 

 

Beliau turut mengumumkan kenaikan gaji tahunan penjawat awam antara RM80 hingga RM320 selain faedah kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus bagi mereka yang menerima opsyen SBPA itu.
“Dengan pelaksanaan SBPA ini, 600,000 pesara kerajaan menikmati pelarasan pencen membabitkan peruntukan RM600 juta. Mulai 2013, kerajaan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelaksanaan gaji,” katanya.

 

Najib turut memberi khabar gembira kepada penjawat awam yang berada pada tahap usia persaraan apabila mengumumkan kerajaan bersetuju melanjutkan usia persaraan wajib daripada 58 kepada 60 tahun.
Katanya, ia bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam dan tidak menjejaskan peluang pekerjaan generasi muda kerana sektor awam dan swasta terus mewujudkan peluang pekerjaan.

RM50.2b pacu pendidikan – Metro


RM50.2b pacu pendidikan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR; Pada pembentangan Belanjawan 2012 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen semalam, sektor pendidikan menerima peruntukan besar sehingga RM50.2 bilion bagi menjayakan pelbagai pelan pembangunan pendidikan sepanjang tahun depan dalam usaha menuju aspirasi negara maju berpendapatan tinggi.

Sebahagian peruntukan disalurkan ke Kementerian Pelajaran yang memperuntukkan RM1.9 bilion untuk semua jenis sekolah terdiri daripada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT), Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.
Sebagai tambahan, peruntukan RM1 bilion akan diwujudkan melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaikpulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan.

 

Daripada peruntukan itu, RM500 juta disediakan kepada Sekolah Kebangsaan manakala SKJC, SKJT, Sekolah Mubaligh, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) masing-masing menerima peruntukan RM100 juta.
Pada masa sama, bayaran berjumlah RM24.50 bagi pelajar sekolah rendah dan RM33.50 bagi pelajar sekolah menengah untuk yuran kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan Insuran Takaful, dimansuhkan sepenuhnya, membolehkan semua rakyat mendapat pendidikan secara percuma.
Selain itu, sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran dan memenuhi peraturan yang ditetapkan diberi galakan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus ke atas perbelanjaan modal dalam tempoh lima tahun, potongan dua kali bagi perbelanjaan promosi di luar negara bagi menarik lebih ramai kemasukan pelajar asing dan pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas semua peralatan pembelajaran.

 

 

Bagi menggalakkan orang ramai menyumbang kepada sekolah, sumbangan itu akan menerima potongan cukai dan kemudahan berkenaan dipanjangkan kepada semua tempat ibadat berdaftar. Kerajaan akan menyegerakan kelulusan pengecualian cukai bagi institusi pendidikan dan semua rumah ibadat dalam tempoh masa yang singkat.
Di samping itu, bagi menggalakkan sektor swasta berganding bahu memantapkan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, kerajaan bercadang memberi potongan dua kali ke atas perbelanjaan yang dilakukan syarikat dalam melaksanakan program ‘Internship’, potongan dua kali ke atas pemberian biasiswa dan potongan dua kali ke atas perbelanjaan bagi menyertai pameran kerjaya di luar negara.

 

Bajet kali ini turut memberi kelebihan kepada golongan guru apabila kenaikan pangkat dipercepatkan daripada 10 tahun ke lapan tahun melalui skim baru ‘time-based’ Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Kenaikan Gaji Tahunan penjawat awam turut akan ditingkatkan antara 80 hingga 320 ringgit mengikut gred di samping penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, di antara 7 hingga 13 peratus.
Selain itu, bantuan sebanyak RM500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah diberi bagi meringankan beban sara hidup dan persekolahan anak.
Bantuan persekolahan RM100 turut diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari tahun satu hingga tingkatan lima di seluruh negara. Tidak ketinggalan, kerajaan turut memperuntukkan RM260 juta dalam bentuk pemberian baucar buku bernilai RM200 kepada semua pelajar warga Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan.

Persekolahan percuma – Metro


Persekolahan percuma

Oleh Tuan Asri Tuan Hussein, Nasharuddin Muhammad, Norsham Salleh, Husain Jahit, Badrila Jamlus, Izawan Baharin, Abdullah Wahab, Faizatul Farlin Farush Khan, Helmy Abd Rahman, Intan Mas Ayu Shahimi, Afiq Hanif, Syarifah Dayana Syed Bakri, Sri Ayu Kartikawati Amri, Shanty Nur Shaffizan Shafee, Yusmizal Dolah Aling, Rosyahaida Abdullah, Hafiz Ithnin, Muhammad Saufi Hassan, Rabiatul Adawiyah Ismail, Shuhada Mansor dan Mohd Hafizee Mohd Arop
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2012 yang dibentangkan Datuk Seri Najib Razak semalam mencipta beberapa sejarah apabila mengumumkan beberapa insentif wang tunai serta pemansuhan bayaran persekolahan yang memberi impak besar dalam menangani kos sara hidup rakyat.

Paling ketara, bermula tahun depan rakyat negara ini akan menikmati sesi persekolahan secara percuma apabila bayaran yuran RM24.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 dimansuhkan, selain pemberian bantuan sebanyak RM500 ringgit kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ringgit dan ke bawah. Ini jelas membuktikan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengambil kira kepentingan rakyat pelbagai peringkat dalam belanjawan berjumlah RM232.8 bilion itu yang membabitkan belanja mengurus sebanyak RM181.6 bilion dan perbelanjaan pembangunan RM51.2 bilion.
Dalam ucapannya selama dua jam 10 minit itu, Najib turut mengumumkan Dasar Transformasi Nasional (DTN) bagi menaungi program transformasi yang sudah dan akan dilaksanakan ke arah menjayakan cita-cita mewujudkan bangsa Malaysia bersatu dan maju menjelang tahun 2020.

 

Bertemakan ‘Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara’ itu, Belanjawan 2012 menggariskan strategi merangsangkan ekonomi, sambil menyarankan program inklusif yang peka terhadap kesejahteraan rakyat dalam menangani kos sara hidup yang meningkat. “Pada masa ini, pelajar masih dikenakan bayaran RM24.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah untuk bayaran kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah Malaysia dan Insuran Takaful. “Ingin dimaklumkan, mulai sesi persekolahan 2012, bayaran ini akan dimansuhkan. Buat pertama kali dalam sejarah, pendidikan rendah dan menengah di sekolah kerajaan disediakan dengan percuma. Pemansuhan semua bayaran ini akan membabitkan peruntukan sebanyak RM150 juta,” katanya.
Selain itu, Najib turut mengumumkan pemberian bantuan persekolahan RM100 kepada semua murid sekolah rendah dan menengah daripada tahun satu hingga tingkatan lima.
“Memandangkan bantuan ini disasarkan kepada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, atas dasar kebertanggungjawaban sosial, terpulanglah kepada budi bicara penjaga atau ibu bapa berkemampuan untuk menerima atau tidak,” katanya. Menurutnya, bantuan membabitkan peruntukan RM5.3 juta dan dijangka memberi manfaat kira-kira 5.3 juta pelajar itu akan dilaksanakan melalui akaun Bank Simpanan Nasional.

 

 

Kepada pelajar peringkat menengah tinggi dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) pula, beliau berkata kerajaan akan memberi baucar buku bernilai RM200 ringgit kepada semua penuntut warga Malaysia di IPT awam dan swasta, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam.
“Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta pelajar dan membabitkan peruntukan RM260 juta,” katanya.

 

Beliau berkata, pemberian bantuan sebanyak RM500 ringgit kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah yang julung kali dilakukan membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan berpendapatan rendah akibat kenaikan kos sara hidup. “Seramai 3.4 juta isi rumah atau 53 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah dijangka mendapat manfaat daripada bantuan ini. Pemberian ini melibatkan peruntukan RM1.8 bilion.
“Untuk menerima bantuan ini, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos,” katanya.
Kepada kakitangan awam, berita gembira yang mereka tunggu menjadi kenyataan apabila Najib mengumumkan tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 dan bayaran bantuan RM500 kepada pesara kerajaan akan dibuat bersekali dengan gaji Disember 2011. “Ini menjadikan jumlah bonus bagi 2011 bersamaan sebulan gaji dengan bayaran minimum RM1,000 bagi penjawat awam dan bantuan RM1,000 bagi pesara kerajaan,” katanya.
Belanjawan 2012 juga akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam atau SBPA yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia atau SSM. Najib berkata, mulai 2012, kenaikan gaji tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred dan penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, di antara 7 hingga 13 peratus.
“Dengan pelaksanaan SBPA, lebih 600,000 pesara kerajaan akan menikmati pelarasan pencen dan bermula 2013 kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji,” katanya.
Menyedari kepentingan golongan sebagai generasi yang menyumbang dan merealisasi wawasan negara, kata Najib, generasi muda perlu diperlengkap dengan latihan dan kemahiran bagi mempastikan peranan mereka dalam pembangunan negara. “Untuk ini, kerajaan akan memperuntukkan RM320 juta bagi menjalankan pelbagai aktiviti termasuk latihan kemahiran, program kepimpinan, daya tahan dan keusahawanan di peringkat daerah dan negeri termasuk sumbangan kepada Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah,” katanya.
Bagi kesejahteraan penduduk di luar bandar pula, kerajaan memperkenalkan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebagai pelengkap program transformasi menyeluruh negara. “RTP akan mentransformasikan kawasan luar bandar supaya mampu menarik pelaburan swasta, menyediakan peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi serta menggalakkan generasi muda kembali berkhidmat,” katanya.

Dua beradik berbirat tiru aksi lesbian


Dua beradik berbirat tiru aksi lesbian

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JASIN: Gara-gara dipercayai meniru aksi pasangan lesbian dalam video lucah yang pernah ditonton, dua beradik dikesan melakukan aksi ghairah itu di rumah mereka di Asahan, di sini.

Bagaimanapun, dua beradik berusia sembilan dan tujuh tahun itu yang didakwa pernah melakukan perbuatan terbabit sejak setahun lalu tidak bernasib baik apabila perbuatan mereka dilihat ibunya Rabu minggu lalu.
Ketika ditemui ibu mereka, dua beradik itu asyik bergomol umpama pasangan sejenis tanpa seurat benang dalam sebuah bilik di rumahnya.

 

Nasib malang menimpa dua kanak-kanak itu apabila menerima pembalasan daripada bapa angkatnya yang berusia 28 tahun selepas dimaklumkan ibu kandungnya Sabtu lalu.
Bapa angkat kanak-kanak itu yang baru pulang daripada bekerja di Pahang pada Sabtu lalu merotan dua kanak-kanak berkenaan sebagai hukuman terhadap perbuatan melampau mereka sehingga didakwa lebam di tangan, kaki dan belakang.
Bagaimanapun, kesan lebam pada kanak-kanak berkenaan dilihat beberapa penduduk yang mengesyaki mereka didera lalu membuat aduan kepada Pusat Perkhidmatan BN (Pembela) supaya perkara itu dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang kemudian berkunjung ke rumah ibu tunggal berkenaan, malam kelmarin. Penolong Pengarah Warga Tua dan Keluarga JKM negeri, Zamzuri Mohamad, berkata siasatan awal mendapati ibu kanak-kanak itu menghubungi bapa angkat anak sulungnya itu yang bertugas di Pahang selepas terkejut melihat perbuatan lucah dua anaknya.

 

 

Katanya, lelaki terbabit merotan sehingga lebam di beberapa bahagian tubuh dua kanak-kanak berkenaan sebagai pengajaran. “Berdasarkan siasatan, dua beradik itu mendakwa pernah menonton video lucah yang ditayangkan sepupu mereka ketika mendiami rumahnya di Selangor.
“Mungkin disebabkan terpengaruh atau teringat apa yang pernah ditonton, pasangan kanak-kanak itu cuba aksi terbabit sebelum disedari ibu mereka,” katanya, di sini, semalam.

 

Hadir sama dalam siasatan terhadap kes berkenaan Pengarah Pembela, Amir Hamzah Aziz dan Pengerusi Jawatankuasa dan Keselamatan Kampung (JKKK) Asahan, Abdul Ghani Abdullah.
Menurut Zamzuri, anak sulung ibu tunggal itu diserahkan kepada satu pasangan untuk dijadikan anak angkat secara sah kepada lelaki berusia 28 tahun dan isterinya berusia 25 tahun itu sejak setahun lalu.
Katanya, ketika kejadian, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu pulang ke rumah ibu kandungnya selepas ibu angkatnya itu ke Pahang untuk menemui suaminya yang bertugas di negeri itu.
“Saya dimaklumkan, adik-beradik itu bukan pertama kali melakukan perkara sumbang itu dan keluarganya pernah melihat mereka berdua-duaan dengan keadaan mengghairahkan,” katanya.

Dedah 50 kanak-kanak proses bahan mentah di kilang – Metro


Dedah 50 kanak-kanak proses bahan mentah di kilang

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

RAWANG: Usaha membentuk generasi pelapis khasnya kanak-kanak di peringkat umur prasekolah ke arah mewarisi akhlak mulia, berkemahiran dari segi pertuturan, berfikir secara positif dan berpotensi menjadi warga prihatin apabila besar kelak, bukan perkara mudah.

Kanak-kanak golongan paling mudah bagi membentuk akhlak mulia, bak kata pepatah, jika melentur buluh, hendaklah dari rebungnya.
Sehubungan itu, Tadika Al-Farabi Pra Tahfiz (TAFPT) Bandar Tasik Puteri (BTP), dekat sini, menganjurkan lawatan sambil belajar membabitkan 50 muridnya ke dua kilang perusahaan iaitu Kilang Kek High 5 di Shah Alam dan Kilang Coklat Berryls di Seri Kembangan, Serdang, Selangor, baru-baru ini. Lawatan sehari itu bertujuan mendedahkan kepada muridnya cara kilang berkenaan memproses barangan mentah seperti tepung, gula, garam dan koko sebelum menjadi barang makanan dijual di pasar tempatan.

 

Lawatan itu dibimbing empat tenaga pengajar TAFPT iaitu Azizah Mohammad, Norzira Hassan, Norasyifa Abdul Aziz dan Nordina Mohd Ariffin. Turut serta ialah wakil ibu bapa, Nora Mohammad.

Anak hilang jatuh laut – Metro


Anak hilang jatuh laut

Oleh Mohamad Naufal Mohamad Idris
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PILU...Roslan tidak dapat menahan kesedihan.
PILU…Roslan tidak dapat menahan kesedihan.

BANTING: “Sebelum ini anak saya nak ikut ke laut untuk menangkap ikan, tetapi saya berkeras tak benarkan. Tetapi, pada hari kejadian itu saya membenarkannya mengikuti saya tanpa banyak soal.

“Tak sangka itu petanda kami akan menghadapi nahas,” kata seorang Orang Asli Pulau Carey, Roslan Seam, 40-an, menceritakan kejadian botnya dipukul ombak hingga menyebabkan anaknya Nizam, 14, terhumban ke laut dalam kejadian jam 7 malam Khamis lalu.
Nizam, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Carey, belum ditemui selepas dilaporkan terhumban di lokasi kira-kira 20 kilometer perairan utara Banting dari tempat mereka berlepas di Jeti Kampung Sungai Kurau, Pulau Carey, di sini.

 

Roslan yang ditemui menyatakan terlalu sedih dengan kehilangan anak lelakinya dan menyalahkan dirinya kerana membenarkan remaja itu mengikutinya ke laut.
Menurutnya, pada hari kejadian mereka keluar ke laut jam 5 petang.
“Kami menangkap ikan. Tiba-tiba saya terlihat awan mendung dan semakin gelap dengan angin bertiup kencang.

 

 

“Saya mengambil keputusan untuk berteduh di boya (tempat nelayan selalu berteduh di laut sekiranya cuaca buruk) tidak jauh dari tempat kami menangkap ikan.
“Ketika menghampiri boya itu, secara tiba-tiba gelombang ombak kuat sebelum saya melihat bot kami hampir terlanggar boya itu,” katanya.

 

Menurutnya, dia segera mengawal botnya untuk mengelak boya berkenaan bagi mengelakkan pelanggaran yang berisiko menyebabkan bot itu karam.
Tetapi selepas itu, katanya, apabila dia memandang ke belakang bot tempat anaknya berdiri dia dapati Nizam sudah tiada.
“Saya tiada pilihan terpaksa memusingkan bot. Saya dapat elak melanggar boya, namun tak sangka tindakan itu menyebabkan anak yang berada di belakang bot terhumban ke laut.
“Saya tengok anak sudah tak ada. Saya cuba memanggil dan mencari di sekitar bot, namun tak menyahut. Nak menyelam tak boleh sebab ombak besar dan angin kuat.
“Selepas beberapa minit mencari, saya putus harapan sebelum berpatah balik ke jeti Sungai Kurau untuk meminta bantuan,” katanya.
Menurutnya, sejak kejadian itu dia menjadi sangat sedih, tak boleh tidur dan tiada selera makan kerana terganggu merasakan kejadian berpunca daripada kesilapannya.
Sementara itu, Ketua Balai Polis Teluk Panglima Garang, Inspektor Mohamad @ Zulkiflee Mohd Amin, berkata pihaknya menerima laporan kejadian jam 9 malam pada hari kejadian.
Menurutnya, gerakan operasi mencari dan menyelamat mangsa giat dijalankan membabitkan tiga bot sesi pagi dan sembilan bot sesi petang.