Baucer buku RM200 tidak boleh ditukar tunai – Bernama


Baucer buku RM200 tidak boleh ditukar tunai

09/10/2011 7:58pm

 

KUALA LUMPUR 9 Okt. – Baucer buku bernilai RM200 untuk penuntut institusi pengajian tinggi yang dimum dalam Belanjawan 2012 tidak boleh ditukar dengan wang tunai.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata penuntut mesti menggunakan sepenuhnya pemberian itu untuk pembelian buku dan bahan rujukan.

Beliau berkata, langkah itu merupakan sikap prihatin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana sesetengah buku agak mahal dan ia boleh membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah.

“Ia juga untuk menggalakkan tabiat membaca di kalangan pelajar dan menggalakkan mereka membeli buku luar daripada sukatan pelajaran mereka,” katanya ketika ditemui selepas Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini, hari ini.

Najib ketika membentangkan Belanjawan 2012 Jumaat lepas mengumumkan pemberian baucer buku bernilai RM200 kepada semua penuntut warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, matrikulasi dan pelajar Tingkatan Enam. – Bernama

Bangunan sekolah rosak teruk diselesaikan hujung 2012 – Bernama


Bangunan sekolah rosak teruk diselesaikan hujung 2012

09/10/2011 2:04pm

 

JITRA 9 Okt. – Peruntukan RM1 bilion melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Belanjawan 2012 Jumaat lepas, dijangka dapat menyelesaikan masalah bangunan atau blok sekolah yang rosak teruk menjelang hujung 2012.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sebagai Pengerusi Audit Fizikal di kementerian, pihaknya telah mengenal pasti 2,209 sekolah yang mempunyai blok seperti asrama, rumah guru serta bangunan pengajaran dan pembelajaran yang mengalami rosak teruk.

Beliau berkata 5,555 blok sekolah berkenaan didapati mengalami rosak teruk daripada segi struktur, manakala 6,600 blok mengalami masalah pendawaian elektrik yang boleh menyebabkan kebakaran.

“Kementerian memerlukan kira-kira RM500 juta untuk menyelesaikan semua masalah ini dan untuk menjimatkan kos, satu task force telah ditubuhkan untuk membuat penilaian sendiri kerana jika menggunakan konsultan kos lebih mahal,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bangunan asrama SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, di sini hari ini.

Katanya, dengan adanya tabung berkenaan, maka isu bangunan sekolah yang mengalami kerosakan teruk dan masalah pendawaian, terutama di kawasan luar bandar seperti di Sabah dan Sarawak akan dapat diselesaikan segera. – Bernama

Belanjawan 2012 pacu pendidikan negara, capai negara maju 2020 – Bernama


Belanjawan 2012 pacu pendidikan negara, capai negara maju 2020

2011/10/09

TEMERLOH: Pelbagai insentif untuk bidang pendidikan pada pembentangan Belanjawan 2012 diharap dapat memacu pendidikan negara lebih berdaya maju dalam usaha memantapkan modal insan untuk menuju negara maju 2020.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata peruntukan yang besar dalam bidang pendidikan membuktikan bahawa kerajaan sentiasa bersungguh-sungguh untuk memacu bidang pendidikan negara ini.

“Pelajar di institut pengajian tinggi, perlulah memanfaatkan segala peruntukan dan kemudahan yang disediakan kerajaan dan dalam menghadapi dunia yang mencabar. Kita memerlukan ilmu serta kemahiran yang luas dalam pelbagai bidang,” katanya selepas merasmikan Karnival Ikan Patin Temerloh, di sini.

Beliau berkata, Belanjawan 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri Jumaat lalu itu, selain dilihat meringankan bebanan rakyat, ia juga secara tidak langsung akan memacukan kreativiti dan inovasi di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini.

Pada perkembangan sama, beliau berkata, lulusan pengajian tinggi tidak seharusnya terlalu memilih pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Jika mereka bersedia menjalankan apa juga kerja, berinovasi, kreatif dan menggunakan segala ilmu, kepakaran dan latihan, ia boleh memberikan pendapatan lumayan.

“Tukang jahit dan pereka fesyen misalnya, mereka menggunakan kreativiti mereka untuk meraih pendapatan yang lumayan dan ada kalanya pendapatan mereka lebih tinggi dari golongan profesional,” katanya.
Ketika berucap di majlis berkenaan, Saifuddin berharap pengusaha ikan patin di daerah Temerloh bersatu dalam koperasi yang ditubuhkan baru-baru ini.

“Jika 120 penternak ikan patin di daerah ini bersatu dan menjadikan koperasi sebagai landasan untuk memasarkan ikan patin, maka masa depan ternakan ikan patin daerah ini akan lebih terjamin,” katanya. – BERNAMA

RM500 jika keluarga ada lima anak – Kosmo


RM500 jika keluarga ada lima anak

 

Oleh ZULKIFLI MANZOR,MOHD. ZAINI SAMSU HADI dan LILY YEAN
berita@kosmo.com.my

 

PELAJAR merupakan golongan bertuah kerana sentiasa mendapat perhatian kerajaan. – Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – Kira-kira 6.6 juta pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi awam serta swasta di negara ini akan mendapat habuan wang tunai berjumlah RM790 juta bermula sesi persekolahan tahun depan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM530 juta diperuntukkan kepada 5.3 juta pelajar sekolah dari tingkatan satu hingga lima yang akan menerima bantuan RM100 manakala sebanyak RM260 juta diperuntukkan untuk baucar buku bagi pelajar universiti.

Bantuan kewangan secara tunai itu yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2012 di Dewan Rakyat kelmarin turut melibatkan pemansuhan yuran tahunan bagi sekolah rendah sebanyak RM23.50 dan yuran sekolah menengah RM33.50 yang kesemuanya berjumlah RM150 juta.

Yang pasti, perkhabaran paling gembira buat ibu bapa ialah apabila kerajaan bersetuju memberikan wang tunai RM100 bagi setiap anak yang bersekolah dari darjah satu hingga tingkatan lima.

Ini bermakna jika sebuah keluarga mempunyai lima orang anak bersekolah, keluarga tersebut akan mendapat RM500.

SURAT EDARAN – PEMANJANGAN BAYARAN INSENTIF TAWARAN BARU DI BAWAH BIDANG KEBERHASILAN UTAMA NEGARA (NKRA) PENDIDIKAN DI SEKOLAH-SEKOLAH KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


SURAT EDARAN – PEMANJANGAN BAYARAN INSENTIF TAWARAN BARU DI BAWAH BIDANG KEBERHASILAN UTAMA NEGARA (NKRA) PENDIDIKAN DI SEKOLAH-SEKOLAH KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Sila rujuk lampiran di bawah :-

300 pelajar tempah risiko – Metro


300 pelajar tempah risiko

Oleh KASDI ALI
kasdi@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BATU KURAU: Hampir 300 murid sebuah sekolah rendah kategori A di daerah ini terpaksa bergadai nyawa apabila meneruskan pembelajaran di bangunan sekolah usang yang hangus terbakar sebelum ini.

Rata-rata pelajar Sekolah Kebangsaan Jelai (SKJ) di sini, terpaksa berdepan serangan penyakit denggi, tertimbus ketika belajar atau dihempap bangunan usang gara-gara bangunan utama sekolah yang terbakar sejak setahun lalu belum dibaik pulih hingga kini.
Tambah dikesali apabila bangunan sekolah yang hangus itu dibiarkan begitu saja tanpa usaha membaik pulih atau membina bangunan baru bagi keselesaan murid belajar.

 

Perkara ini mengecewakan masyarakat setempat, khasnya di kalangan ibu bapa kepada pelajar sekolah berkenaan, yang menyifatkan ia dipandang sebelah mata oleh pemimpin tempatan.
Rasa kesal itu diluahkan wakil penduduk yang juga Naib Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKJ, Zainal Abidin Mohd Kassim, 42, yang beranggapan tiba masanya permasalahan ini diketengahkan kepada Kementerian Pelajaran dan Menteri Besar Perak.
“Kami sedih dengan sikap acuh tak acuh beberapa pihak, termasuk individu harapan kami yang sepatutnya menjaga kebajikan serta kepentingan penduduk di daerah ini.

 

 

“Sedangkan ini masalah serius kerana ia membabitkan masa depan anak penduduk yang bakal menjadi pelapis generasi muda harapan negara satu hari nanti,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Zainal berkata, kesan buruk akibat masalah ini boleh dilihat apabila keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini diumumkan kelak.

 

Katanya, azab ditanggung murid SKJ menyebabkan sesi pembelajaran dan tumpuan mereka terjejas akibat terpaksa menggunakan rumah usang berhampiran sebagai bilik darjah sementara.
“Mungkin pihak berkenaan ‘menganak tiri’ sekolah di kawasan desa seperti kami kerana beranggapan bangunan yang musnah terbakar ini tidak penting.
“Sedangkan bangunan terbakar itu menempatkan Bilik Guru Besar, Penolong Kanan, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Kokurikulum, Pusat Sumber dan enam bilik darjah,” katanya.
Zainal berkata, sejak kebakaran berlaku pada 25 Ogos tahun lalu, sebahagian daripada 287 murid di SKJ terpaksa meneruskan sesi pembelajaran di bangunan papan usang berusia lebih 100 tahun berhampiran sekolah.
Katanya, pihak pentadbiran sekolah juga terpaksa ‘mengorbankan’ bilik komputer untuk dijadikan Bilik Guru Besar yang baru serta makmal sains diubah menjadi bilik guru.
“Kalau arwah datuk kami masih hidup, pasti dia sedih melihat anak kami menggunakan bangunan kayu asal sekolah ini yang dibina pada 1878.
“Saya berharap dengan tersiarnya perkara ini dapat membuka mata banyak pihak nasib sebenar penduduk di sini dan saya percaya, Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pasti terkejut,” katanya.
Sementara itu, bapa kepada seorang murid yang juga penduduk di sini, Mamat Abdullah, 51, hairan dengan cadangan dikemukakan pihak tertentu di daerah ini supaya bangunan yang musnah terbakar hanya perlu dibaik pulih.
Katanya, ia bertentangan dengan keputusan dibuat Jabatan Bomba dan Penyelamat Batu Kurau ketika membuat penilaian mengenai tahap kerosakan dan memutuskan ia tidak boleh digunakan lagi.
“Ia perlu dirobohkan dan bangunan baru dibina atas tapak asal. Justeru, saya tidak faham kenapa susah untuk pihak bertanggungjawab mengeluarkan peruntukan bagi membina bangunan baru.
“Kami bukannya mahu bangunan baru dibina untuk dijadikan premis hiburan tetapi ia adalah bangunan sekolah bagi memastikan murid serta guru di sekolah ini dapat belajar dan bertugas dengan selesa, sekali gus mencerahkan peluang kejayaan akademik masa depan pelajar,” tegasnya.

Selaras bayaran elak penetapan yuran sesuka hati – Berita Harian


Selaras bayaran elak penetapan yuran sesuka hati
Oleh Norakmah Mat Youb dan Nasuha Badrul Huzaini

2011/10/09

KUALA LUMPUR: Kadar yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) yang kini berbeza mengikut sekolah perlu diselaraskan di seluruh negara bagi mengelakkan kejadian menaikkan bayaran sesuka hati berikutan pemansuhan yuran persekolahan mulai tahun depan.

Sehubungan itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Prof Madya Dr Mohamad Ali Hassan, mahu satu garis panduan berhubung kadar yuran diwujudkan bagi mengelakkan ada pihak mengambil kesempatan sekali gus membebankan keluarga berpendapatan rendah.

Yuran PIBG dikutip bagi membantu kelancaran projek tambahan yang dijalankan pihak sekolah. Jadi, ia tidak seharusnya membebankan ibu bapa. Saya cadangkan jumlah itu tidak melebihi RM50 bagi sekolah rendah dan RM100 untuk sekolah menengah.

Bagaimanapun, sekiranya ada keluarga yang tidak mampu, mereka boleh membayarnya mengikut kemampuan tanpa ada paksaan. Kerajaan sendiri cuba mengurangkan bebanan mereka, jadi PIBG juga sepatutnya memahami, katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohamad Ali berkata, selain itu, pihaknya mencadangkan lebih banyak syarikat korporat dan persendirian menyumbang kepada PIBG dan tidak hanya menumpukan sumbangan ibu bapa kerana mereka boleh mendapat pengecualian cukai bagi tanggungjawab sosial.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, berkata kementerian masih menimbang mekanisma bersesuaian untuk memberikan bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Kita masih belum memutuskan sama ada duit itu akan diberikan ketika sesi sekolah tamat hujung tahun atau ketika penggal persekolahan bermula. Pastinya bantuan berkenaan untuk meringankan bebanan rakyat di negara ini, katanya.
Beliau berkata, dengan pemansuhan yuran sekolah dan bantuan RM100 kepada setiap pelajar, ia dapat mengurangkan kadar keciciran sekolah dan tiada alasan lagi sekiranya ibu bapa tidak menghantar anak mereka ke sekolah.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan Belanjawan 2012 mengumumkan pemansuhan yuran sekolah dan bantuan persekolahan RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara.

Pemansuhan itu membabitkan yuran tahunan kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan Insurans Takaful bagi pelajar sekolah rendah iaitu RM24.50 dan sekolah menengah RM33.50.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pemansuhan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM150 juta.