300 pelajar tempah risiko – Metro


300 pelajar tempah risiko

Oleh KASDI ALI
kasdi@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BATU KURAU: Hampir 300 murid sebuah sekolah rendah kategori A di daerah ini terpaksa bergadai nyawa apabila meneruskan pembelajaran di bangunan sekolah usang yang hangus terbakar sebelum ini.

Rata-rata pelajar Sekolah Kebangsaan Jelai (SKJ) di sini, terpaksa berdepan serangan penyakit denggi, tertimbus ketika belajar atau dihempap bangunan usang gara-gara bangunan utama sekolah yang terbakar sejak setahun lalu belum dibaik pulih hingga kini.
Tambah dikesali apabila bangunan sekolah yang hangus itu dibiarkan begitu saja tanpa usaha membaik pulih atau membina bangunan baru bagi keselesaan murid belajar.

 

Perkara ini mengecewakan masyarakat setempat, khasnya di kalangan ibu bapa kepada pelajar sekolah berkenaan, yang menyifatkan ia dipandang sebelah mata oleh pemimpin tempatan.
Rasa kesal itu diluahkan wakil penduduk yang juga Naib Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKJ, Zainal Abidin Mohd Kassim, 42, yang beranggapan tiba masanya permasalahan ini diketengahkan kepada Kementerian Pelajaran dan Menteri Besar Perak.
“Kami sedih dengan sikap acuh tak acuh beberapa pihak, termasuk individu harapan kami yang sepatutnya menjaga kebajikan serta kepentingan penduduk di daerah ini.

 

 

“Sedangkan ini masalah serius kerana ia membabitkan masa depan anak penduduk yang bakal menjadi pelapis generasi muda harapan negara satu hari nanti,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Zainal berkata, kesan buruk akibat masalah ini boleh dilihat apabila keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini diumumkan kelak.

 

Katanya, azab ditanggung murid SKJ menyebabkan sesi pembelajaran dan tumpuan mereka terjejas akibat terpaksa menggunakan rumah usang berhampiran sebagai bilik darjah sementara.
“Mungkin pihak berkenaan ‘menganak tiri’ sekolah di kawasan desa seperti kami kerana beranggapan bangunan yang musnah terbakar ini tidak penting.
“Sedangkan bangunan terbakar itu menempatkan Bilik Guru Besar, Penolong Kanan, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Kokurikulum, Pusat Sumber dan enam bilik darjah,” katanya.
Zainal berkata, sejak kebakaran berlaku pada 25 Ogos tahun lalu, sebahagian daripada 287 murid di SKJ terpaksa meneruskan sesi pembelajaran di bangunan papan usang berusia lebih 100 tahun berhampiran sekolah.
Katanya, pihak pentadbiran sekolah juga terpaksa ‘mengorbankan’ bilik komputer untuk dijadikan Bilik Guru Besar yang baru serta makmal sains diubah menjadi bilik guru.
“Kalau arwah datuk kami masih hidup, pasti dia sedih melihat anak kami menggunakan bangunan kayu asal sekolah ini yang dibina pada 1878.
“Saya berharap dengan tersiarnya perkara ini dapat membuka mata banyak pihak nasib sebenar penduduk di sini dan saya percaya, Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pasti terkejut,” katanya.
Sementara itu, bapa kepada seorang murid yang juga penduduk di sini, Mamat Abdullah, 51, hairan dengan cadangan dikemukakan pihak tertentu di daerah ini supaya bangunan yang musnah terbakar hanya perlu dibaik pulih.
Katanya, ia bertentangan dengan keputusan dibuat Jabatan Bomba dan Penyelamat Batu Kurau ketika membuat penilaian mengenai tahap kerosakan dan memutuskan ia tidak boleh digunakan lagi.
“Ia perlu dirobohkan dan bangunan baru dibina atas tapak asal. Justeru, saya tidak faham kenapa susah untuk pihak bertanggungjawab mengeluarkan peruntukan bagi membina bangunan baru.
“Kami bukannya mahu bangunan baru dibina untuk dijadikan premis hiburan tetapi ia adalah bangunan sekolah bagi memastikan murid serta guru di sekolah ini dapat belajar dan bertugas dengan selesa, sekali gus mencerahkan peluang kejayaan akademik masa depan pelajar,” tegasnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s