Terima kasih atas sokongan anda.


Terima kasih atas sokongan anda.

Laman web http://www.eyesnews.wordpress.com kini ramai mengunjungi.

AL-KISAH MURID, PELAJAR, GURU, SEKOLAH, DAN KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA…

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kementerian kaji cara atasi masalah keciciran murid – Bernama


Kementerian kaji cara atasi masalah keciciran murid

10/10/2011 2:42pm

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran sedang menjalankan kajian bagi mengatasi masalah keciciran murid daripada sistem pendidikan negara pada masa depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, kajian ”Reaching The Unreached Children: Student Tracking System” bertujuan menyediakan data murid tercicir daripada sistem pendidikan bagi murid warganegara, bukan warganegara dan tiada negara.

“Kajian itu dijangka siap pada akhir 2012. Kementerian yakin langkah itu dapat mengatasi keciciran murid di semua peringkat sekolah di seluruh negara,” katanya ketika menjawab soalan Loke Siew Fook (DAP-Rasah) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini. – Bernama

Belanjawan 2012 kurangkan keciciran pelajar – Bernama


Belanjawan 2012 kurangkan keciciran pelajar

10/10/2011 3:36pm

 

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Peruntukan RM50.02 bilion untuk sektor pendidikan dalam Belanjawan 2012 dilihat mampu mengurangkan keciciran pelajar, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Beliau berkata, ini kerana faktor kemiskinan dan ketidakmampuan keluarga bukan lagi alasan tidak ke sekolah memandangkan kerajaan melaksanakan pendidikan percuma untuk semua.

“Langkah yang diambil kerajaan boleh bukan sahaja ”education for all” malah ”free education for all”,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini hari ini. – Bernama

Perlanjutan Tarikh Permohonan ke Program Matrikulasi KPM 2012/13


Perlanjutan Tarikh Permohonan ke Program Matrikulasi KPM 2012/13

Bahagian Matrikulasi KPM melanjutkan tarikh tutup permohonan Program Matrikulasi dari 10 Oktober 2011 kepada 30 November 2011. Pembelian nombor pengenalan individu (NPI) boleh dibuat di mana – mana cawangan BSN dengan membayar RM6.00 bagi permohonan melalui internet.
Semua pelajar SPM 2011 boleh membuat permohonan melalui laman ini.
Talian bantuan Bahagian Matrikulasi 03-8884 4036 / 4040 boleh dihubungi dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang (hari bekerja sahaja).

Anjakan paradigma jadikan Malaysia hab pendidikan tinggi global – Bernama


Anjakan paradigma jadikan Malaysia hab pendidikan tinggi global

2011/10/10

KUALA LUMPUR: Paradigma dunia akademik negara perlu dianjak bagi menyahut hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi yang bersifat global, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ahli akademik mestilah lebih terkehadapan dalam mempelopori penyelidikan berimpak tinggi dan menjadikan inovasi sebagai paksi budaya berprestasi tinggi di universiti.

Beliau berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2012 yang menjadikan 2012 sebagai tahun Gerakan Inovasi Nasional perlu disahut oleh setiap ahli akademik melalui penterjemahan hasil penyelidikan dan pembangunan menjadi produk yang bernilai komersial.

“Dalam konteks ini, ahli-ahli akademik perlu sentiasa berada di barisan paling hadapan dalam mencetuskan idea-idea baru yang bernilai komersial dan berdaya maju.

“Saya berharap ahli akademik yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang merebut peluang keemasan ini dan menjadi pelopor kepada Gerakan Inovasi Nasional yang diumumkan Perdana Menteri,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Akademik Negara 2009/2010 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. – BERNAMA

Pelajar trauma ditampar guru – Kosmo


Pelajar trauma ditampar guru

MANGSA menunjukkan laporan polis berhubung dakwaannya ditampar guru ketika datang ke pejabat Kosmo! di Kuala Lumpur semalam.

 

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini trauma untuk ke sekolah itu selepas mendakwa ditampar sehingga bengkak di pipi kirinya oleh guru sekolah berkenaan hanya kerana membuat bising di surau sekolah.

Mangsa, 17, turut mendakwa guru lelaki tersebut yang dipanggil ustaz kemudiannya menarik kolar baju mangsa di hadapan kira-kira 90 pelajar lelaki yang berada di surau berkenaan.

Akibat kejadian itu, pendengaran di telinga kiri mangsa sedikit terjejas selain rasa kebas beberapa hari di pipinya dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam iaitu sejurus selesai solat Maghrib, 7 September lalu.

RM1 bilion atasi kes sekolah rosak – Kosmo


RM1 bilion atasi kes sekolah rosak

 

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
syahir.kassim@kosmo.com.my

 

MOHD. PUAD (kanan) dan Johari meninjau kemudahan asrama selepas majlis penyerahan bangunan asrama SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman di Jitra semalam.

 

JITRA – Peruntukan RM1 bilion untuk Tabung Khas Pembangunan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah yang diumumkan dalam Bajet 2012 mampu menyelesaikan masalah kerosakan teruk bangunan di 2,209 buah sekolah di seluruh negara.

Anak makan nasi empat pinggan sebelum lemas – Metro


Anak makan nasi empat pinggan sebelum lemas

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KEPALA BATAS: Seorang bapa tidak menyangka selera makan luar biasa anak lelakinya yang menghabiskan nasi sehingga empat pinggan tengah hari kelmarin, petanda dia akan kehilangan anak ke-11 itu akibat lemas ketika mandi di muara Sungai Muda, Penaga, dekat sini.

Mangsa, Mohd Hafiz Mustapa dan rakannya, Muhamad Harraz Bukhori, kedua-duanya berusia 13 tahun lemas ketika mandi bersama 13 rakan lain di sungai berkenaan, jam 5 petang kelmarin.

Bapa mangsa, Mustapa Mohd Akhir, 58, nelayan dari Taman Seri Damai, berkata kali terakhir berjumpa anaknya itu ketika pulang ke rumah jam 1 tengah hari kelmarin.

“Ketika saya di rumah, dia (Mohd Hafiz) tidak beritahu akan ke sungai bersama rakannya. Yang saya tahu dia makan nasi sehingga empat pinggan.

“Waktu itu saya tidak nampak ia sebagai luar biasa walaupun agak terkejut apabila diberitahu mengenai seleranya itu.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 6 petang, saya terkejut apabila dimaklumkan dia (Mohd Hafiz) lemas ketika mandi di Sungai Muda,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

 

Dalam kejadian petang kelmarin, Mohd Hafiz, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Tok Labu, Muhamad Harraz dan 13 rakan mereka ke muara sungai berkenaan selepas menjalani latihan silat.

Mereka dikatakan mandi pada jarak 10 meter dari tebing sungai tanpa disedari terdapat curam selain arus kuat walaupun ketika itu air laut ‘mati’.

 

Rakan mangsa, Mohd Fakri Shamsudin, 12, berkata mulanya dia nampak Mohd Hafiz hampir lemas dan cuba menyelamatkannya, tetapi gagal.

“Saya tarik tangannya untuk ke tepi tetapi dia (Mohd Hafiz) suruh saya melepaskannya kerana kakinya mengalami kekejangan. “Hanya beberapa minit kemudian saya terus dapati dia terus tenggelam seperti ditarik sesuatu,” katanya. Difahamkan, Muhamad Harraz yang melihat kejadian itu cuba menyelamatkan Mohd Hafiz, tetapi dia sendiri turut tenggelam.

Seorang lagi rakan mangsa, Amirul Hakimi Mohd Fauzi, 12, berkata dia cuba mencari kayu sebaik menyedari Mohd Hafiz hampir lemas tetapi tidak berhasil menyelamatkan rakannya itu.

“Saya menjerit meminta tolong sebaik ternampak orang di tepi pantai, namun sudah terlewat kerana Mohd Hafiz dan Muhamad Harraz sudah hilang.

“Kami sedih dengan kejadian ini dan tidak sangka akan kehilangan dua rakan serentak. Saya dan rakan lain sudah serik dan tidak mahu mandi sungai lagi,” katanya. Bapa Muhamad Harraz, Bukhori Mohamad, 48, berkata anak lelaki tunggal daripada empat beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian.

“Setahu saya dia boleh berenang, tetapi dalam air apa pun boleh berlaku,” katanya sambil menahan sedih. Sementara itu, operasi mencari bermula jam 6 petang kelmarin, membabitkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat diketuai Pegawai Operasi, Yusmin Mohd Yusof, polis marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta 20 bot nelayan Kuala Muda.

Bahasa ibunda wadah terbaik pendidikan – Berita Harian


Bahasa ibunda wadah terbaik pendidikan
Oleh Muhamad Razak Idris

2011/10/10

Desakan untuk kaji semula pemansuhan PPSMI tidak wajar diteruskan

ADA satu berita gembira dan penting dibawa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika berkunjung dan bertemu dengan warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 23 September lalu, terutama untuk seluruh pencinta dan pejuang bahasa kebangsaan.

Muhyiddin membuat penegasan yang jelas mengenai sikap dan pendirian peribadi dan kementerian pimpinannya terhadap agenda memperkasa kedudukan bahasa Melayu sebagai landasan pembangunan bangsa.

Organisasi antarabangsa seperti UNESCO sendiri yang terbabit dalam penyeliaan aspek kebahasaan dan kebudayaan dunia memperakui, iaitu bahasa ibunda adalah bahasa terbaik untuk murid mengikuti pembelajaran, terutama pada peringkat awal persekolahan

Saya berpendapat sikap dan pendirian ini harus dipertegaskan semula oleh beliau bagi menjawab beberapa kritikan dan desakan sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan langkah pihak kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan pada 2002.

Menurut Muhyiddin, keputusan memansuhkan dasar itu dilakukan atas dua tujuan, iaitu pertama bagi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan kedua bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

Sebenarnya, dua asas tujuan ini adalah sejajar dengan hujah yang digunakan pejuang bahasa kebangsaan ketika mereka bangun mendesak pemansuhan dasar PPSMI bila ia mula diperkenalkan. Pejuang bahasa mengkritik dasar ini kerana sudah membayangkan kesan dan akibatnya ini terlalu besar terhadap proses pembinaan negara bangsa.

Pengenalan dasar PPSMI dilihat dari sudut psikologi sudah merendahkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Ia juga jelas menunjukkan sikap ketidakyakinan bangsa sendiri terhadap keupayaan bahasanya, sedang keupayaan dan kemampuan bahasa Melayu dalam mengungkapkan konsep dan pemikiran tinggi terbukti sekiranya kita merujuk teks klasik.
Sejarah pertumbuhan bahasa Melayu juga bersikap dinamik dan terbuka untuk menerima apa juga sumber bahasa lain sekiranya diperlukan bagi menjelaskan konsep tertentu yang belum wujud dalam ruang kebahasaannya seperti bahasa Melayu menerima istilah daripada bahasa Arab dan Inggeris pada hari ini.

Oleh itu, hujah yang mengatakan bahawa bahasa Melayu tidak memiliki keupayaan untuk mempercepatkan proses penguasaan ilmu dalam bidang Sains dan Matematik ialah sesuatu yang tidak boleh diterima. Dengan sikap dinamik dan keterbukaannya, bahasa Melayu memiliki kesediaan budaya yang mencukupi untuk menerima cabaran kebahasaan bagi mendepani tuntutan ilmu baru yang pelbagai.

Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Melayu untuk membangunkan istilah baru yang sesuai dan wajar dari apa juga sumber bahasa yang dikenal pasti bagi memastikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu terus setanding dan meyakinkan.

Sebenarnya, landasan pemikiran ini bukanlah suatu yang asing dalam konteks perjuangan bahasa Melayu. Ia sudah disepakati sekian lama dan usaha memartabat dan mengkayakan istilah baru dalam bahasa Melayu sudah dilakukan dengan bersungguh dan rancak oleh ahli bahasa.

Menurut sumber Dewan Bahasa dan Pustaka, sehingga kini sudah ada sebanyak 114, 698 istilah baru dalam bidang Sains dan Matematik sudah dibina sejak 1960. Dengan sejumlah istilah ini, bahasa Melayu sebenarnya bersedia dan berupaya sebagai bahasa ilmu dalam bidang Sains dan Matematik.

Berkaitan dengan perkara ini juga, kita semua harus sedar, iaitu pengenalan dasar PPSMI sebenarnya menjadikan pelajar pencapaian pelajar dalam menguasai bidang Sains dan Matematik bertambah mundur.

Kajian saintifik membuktikan perkara ini dan bukti ini sekali lagi menolak hujah sesetengah pihak yang mengatakan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dua subjek itu akan membuatkan seseorang pelajar bertambah cepat penguasaan ilmunya.

Hal ini dapat dilihat di dalam kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS). Ia mendedahkan, iaitu skor purata pencapaian pelajar Malaysia menurun secara signifikan dalam bidang Sains dan Matematik pada 2003 berbanding 2007. Skor subjek Matematik menurun 34 mata daripada 508 kepada 474, manakala skor subjek Sains menurun 40 mata daripada 510 kepada 471. Penurunan skor ini menunjukkan pelajar tidak berkemampuan memahami ilmu Sains dan Matematik yang diajar menerusi bahasa asing.

Hakikatnya, kita tidak perlu menunggu tempoh begitu lama bagi mendapatkan bukti ini. Sudah banyak kajian dilakukan ahli bahasa mengenai bagaimana peranan bahasa ibunda dalam mempercepatkan proses pemahaman sesuatu konsep tinggi seperti ilmu Sains dan Matematik.

Malah, organisasi antarabangsa seperti UNESCO sendiri yang terbabit dalam penyeliaan aspek kebahasaan dan kebudayaan dunia memperakui, iaitu bahasa ibunda adalah bahasa terbaik untuk murid mengikuti pembelajaran, terutama pada peringkat awal persekolahan. Namun, kerana ‘kedegilan’ sikap sesetengah pihak, sejumlah pelajar harus menanggung kemunduran ilmu dalam dua bidang ilmu Sains dan Matematik semata-mata bagi memberi masa kepada satu eksperimen bahasa yang sememangnya diketahui bakal menemui kegagalan.

Kita amat berharap agar dengan penegasan sikap dan pendirian Muhyiddin ini, polemik penggunaan bahasa Inggeris bagi pengajaran Sains dan Matematik dapat dihentikan dengan segera.

Desakan untuk pihak kerajaan mengkaji semula pemansuhan PPSMI tidak wajar diteruskan lagi. Pada kita, tuntutan pihak yang pro bahasa Inggeris bagi pengajaran dua subjek itu boleh dianggap tidak memahami realiti. Perjuangan mereka hanya bagi memenuhi sekelompok masyarakat minoriti.

Penulis ialah bekas Presiden ABIM yang kini pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM