Anak makan nasi empat pinggan sebelum lemas – Metro


Anak makan nasi empat pinggan sebelum lemas

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KEPALA BATAS: Seorang bapa tidak menyangka selera makan luar biasa anak lelakinya yang menghabiskan nasi sehingga empat pinggan tengah hari kelmarin, petanda dia akan kehilangan anak ke-11 itu akibat lemas ketika mandi di muara Sungai Muda, Penaga, dekat sini.

Mangsa, Mohd Hafiz Mustapa dan rakannya, Muhamad Harraz Bukhori, kedua-duanya berusia 13 tahun lemas ketika mandi bersama 13 rakan lain di sungai berkenaan, jam 5 petang kelmarin.

Bapa mangsa, Mustapa Mohd Akhir, 58, nelayan dari Taman Seri Damai, berkata kali terakhir berjumpa anaknya itu ketika pulang ke rumah jam 1 tengah hari kelmarin.

“Ketika saya di rumah, dia (Mohd Hafiz) tidak beritahu akan ke sungai bersama rakannya. Yang saya tahu dia makan nasi sehingga empat pinggan.

“Waktu itu saya tidak nampak ia sebagai luar biasa walaupun agak terkejut apabila diberitahu mengenai seleranya itu.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 6 petang, saya terkejut apabila dimaklumkan dia (Mohd Hafiz) lemas ketika mandi di Sungai Muda,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

 

Dalam kejadian petang kelmarin, Mohd Hafiz, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Tok Labu, Muhamad Harraz dan 13 rakan mereka ke muara sungai berkenaan selepas menjalani latihan silat.

Mereka dikatakan mandi pada jarak 10 meter dari tebing sungai tanpa disedari terdapat curam selain arus kuat walaupun ketika itu air laut ‘mati’.

 

Rakan mangsa, Mohd Fakri Shamsudin, 12, berkata mulanya dia nampak Mohd Hafiz hampir lemas dan cuba menyelamatkannya, tetapi gagal.

“Saya tarik tangannya untuk ke tepi tetapi dia (Mohd Hafiz) suruh saya melepaskannya kerana kakinya mengalami kekejangan. “Hanya beberapa minit kemudian saya terus dapati dia terus tenggelam seperti ditarik sesuatu,” katanya. Difahamkan, Muhamad Harraz yang melihat kejadian itu cuba menyelamatkan Mohd Hafiz, tetapi dia sendiri turut tenggelam.

Seorang lagi rakan mangsa, Amirul Hakimi Mohd Fauzi, 12, berkata dia cuba mencari kayu sebaik menyedari Mohd Hafiz hampir lemas tetapi tidak berhasil menyelamatkan rakannya itu.

“Saya menjerit meminta tolong sebaik ternampak orang di tepi pantai, namun sudah terlewat kerana Mohd Hafiz dan Muhamad Harraz sudah hilang.

“Kami sedih dengan kejadian ini dan tidak sangka akan kehilangan dua rakan serentak. Saya dan rakan lain sudah serik dan tidak mahu mandi sungai lagi,” katanya. Bapa Muhamad Harraz, Bukhori Mohamad, 48, berkata anak lelaki tunggal daripada empat beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian.

“Setahu saya dia boleh berenang, tetapi dalam air apa pun boleh berlaku,” katanya sambil menahan sedih. Sementara itu, operasi mencari bermula jam 6 petang kelmarin, membabitkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat diketuai Pegawai Operasi, Yusmin Mohd Yusof, polis marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta 20 bot nelayan Kuala Muda.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s