Kanak-kanak 6 tahun maut disyaki didera bapa tiri – Bernama


Kanak-kanak 6 tahun maut disyaki didera bapa tiri

2011/10/11

MELAKA: Polis mengesahkan kematian kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun yang cedera di bahagian paru-paru adalah akibat didera, disyaki oleh bapa tirinya, di Kampung Padang Sebang, Alor Gajah, semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin, berkata bedah siasat mendapati kanak-kanak malang itu, Mohd Firdaus Md Dan, mengalami kecederaan serius di bahagian otot dan lebam pada paru-parunya.

“Bedah siasat mendapati kecederaan yang dialami mangsa merupakan kecederaan baru iaitu dalam tempoh 24 jam. Pemeriksaan luaran badannya mendapati terdapat pendarahan di lapisan bawah kulit dan calar akibat didera menggunakan objek tumpul,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Umar Ali Saifuddin berkata, mangsa meninggal dunia beberapa minit selepas menerima rawatan di Hospital Alor Gajah, dan jenazahnya kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Beliau berkata, suspek berusia 37 tahun yang bekerja sebagai pencari kayu api, direman tujuh hari mulai hari ini, selepas ditahan di kawasan Hospital Alor Gajah sejurus menghantar mangsa kira-kira 4.30 petang semalam.

“Suspek disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sehingga mati,” katanya.

Umar Ali Saifuddin berkata, kanak-kanak malang itu adalah anak bongsu daripada enam beradik hasil perkahwinan pertama ibunya.
Ketika ditemui di Hospital Melaka, ibu mangsa, Rosmah Pemadi, 41, yang masih berpantang selepas 10 hari melahirkan anak pertama hasil perkahwinan bersama suspek, tidak dapat menahan sebak dan berkata beliau tidak akan memaafkan perbuatan suaminya itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Melaka Datuk Norpipah Abdol berkata, pihaknya akan memberi bantuan segera kepada ibu mangsa bagi meringankan beban serta trauma yang dialami. – BERNAMA

Warga emas didakwa rogol, cabul pelajar OKU – Bernama


Warga emas didakwa rogol, cabul pelajar OKU

2011/10/11

KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan merogol seorang pelajar perempuan Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia 13 tahun.

Mohd Zubir Muda, 60, didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Murni Permai Tok Jembal dan Jalan Kem, Taman Perumahan Seberang Takir antara 10.30 pagi hingga 3 petang pada 6 Jun 2010, Mac 2011 dan 4 September lalu.

Tertuduh, yang bekerja sebagai tukang urut refleksologi dan pemandu yang bertanggungjawab menghantar mangsa ke sekolah, didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Bagaimanapun, Mohd Zubir terlepas hukuman sebatan atas faktor usia.

Dia turut didakwa melakukan seks luar tabii dengan mangsa yang cacat penglihatan pada 10.30 pagi, 6 Jun tahun lalu di sebuah rumah di Taman Murni Permai, mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mohd Zubir juga berdepan dua pertuduhan mencabul kehormatan mangsa yang sama pada 3 petang dan 12 tengah hari dalam bulan Mac dan 4 September lalu di Jalan Kem, Taman Perumahan Seberang Takir mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, atau denda, atau dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin menetapkan 21 November depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Zalina Awang menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Hakim Zainal Abidin menasihati Mohd Zubir supaya melantik peguam kerana dia bakal berdepan hukuman penjara maksimum 110 tahun, jika disabitkan kesalahan, serta mengarahkan tertuduh melapor diri di Balai Polis Gong Badak setiap bulan.

Selain tidak dibenarkan berada di luar daerah Kuala Terengganu tanpa kebenaran mahkamah, tertuduh dan warisnya dilarang mengganggu mangsa serta keluarganya. – BERNAMA

Ibu bapa pelajar diberi pilihan terima atau tolak bantuan RM100 – Bernama


Ibu bapa pelajar diberi pilihan terima atau tolak bantuan RM100

2011/10/11

GEORGETOWN: Kementerian Pelajaran memberi pilihan kepada ibu bapa sama ada untuk menerima atau menolak bantuan RM100 untuk pelajar seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2012, Jumaat lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata bantuan berkenaan akan diberi kepada semua 5.3 juta pelajar sekolah rendah dan menengah namun bagi keluarga pelajar yang berpendapatan tinggi, mereka diberi pilihan sama ada untuk menerimanya atau tidak.

Katanya, dalam Belanjawan 2012, kerajaan memperuntukkan RM530 juta bagi tujuan pemberian bantuan berkenaan.

“Saya berpendapat bahawa pelajar dari keluarga yang berpendapatan tinggi tidak perlu mengambil bantuan tersebut jika tidak memerlukannya kerana tumpuan seharusnya diberikan kepada pelajar daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah.

“Saya yakin dengan cara begitu, kementerian dapat menjimatkan perbelanjaan yang dikeluarkan bagi menampung bantuan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Literasi Pembelajaran Bahasa Asia 2011 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bantuan RM100 untuk setiap pelajar yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan Belanjawan 2012 Jumaat lalu.

Mohd Puad berkata, cara bantuan itu disalurkan kepada pelajar terbabit akan ditentukan tidak lama lagi dan peruntukan berkenaan akan diagihkan sebelum akhir tahun ini.
“Kementerian akan turut membincangkan mengenai pemberian baucer RM200 kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta yang turut membabitkan Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya.

Beliau berkata, bantuan itu sebagai pendekatan berinovasi yang diketengahkan Perdana Menteri dalam membantu meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah.

Sementara itu, Mohd Puad berkata kerajaan akan tetap memansuhkan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) walaupun terdapat permintaan daripada ibu bapa pelajar untuk meneruskan sistem itu.

Bagaimanapun, katanya, permintaan itu akan dikemukakan kepada Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan ia akan dikaji dengan teliti. – BERNAMA

Kanak-kanak, remaja Malaysia layari internet 19 jam seminggu – Bernama


Kanak-kanak, remaja Malaysia layari internet 19 jam seminggu 

2011/10/11

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak dan remaja Malaysia yang berusia lapan hingga 18 tahun didapati melayari internet pada purata 19 jam seminggu, menyebabkan mereka sentiasa terdedah kepada ancaman atau budaya negatif dunia siber seperti buli, penipuan identiti dan pornografi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata berdasarkan laporan antarabangsa, Norton Online Family Report 2010, hanya empat daripada 10 ibu bapa di negara ini yang mengawasi kandungan laman yang diakses oleh anak mereka.

Oleh yang demikian adalah amat penting bagi ibu bapa memberi lebih perhatian kepada anak-anak dengan turut mengawasi laman web yang diakses mereka, katanya selepas merasmikan seminar mengenai perlindungan kanak-kanak “Child Online Protection” di sini, hari ini.

Shahrizat berkata, kaji selidik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan kadar penembusan internet di negara ini mencatatkan 60 peratus daripada 28.6 juta jumlah penduduk Malaysia pada 2010, dan ia dijangka meningkat sehingga 70 peratus menjelang 2015.

“Senario ini menunjukkan rakyat Malaysia semakin ‘IT savvy’ setanding dan konsisten dengan arah aliran antarabangsa, dan kebarangkalian pengguna IT terdedah kepada ancaman dunia siber semakin tinggi termasuk kanak-kanak,” katanya.

Berikutan kebimbangan mengenai ancaman siber terhadap kanak-kanak dan remaja, katanya kementerian dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pelajaran, SKMM, Polis DiRaja Malaysia, CyberSecurity Malaysia dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) menganjurkan seminar hari ini bagi membincangkan rangka kerja dasar dan perundangan untuk melindungi mereka.

Menurutnya, langkah itu susulan persetujuan Malaysia menyertai Protokol Pilihan Kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) iaitu perlindungan penjualan, pelacuran dan pornografi kanak-kanak pada September lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Prof Datuk Husin Jazri, berkata CyberSecurity Malaysia menerima 11,930 insiden keselamatan siber pada Januari hingga September tahun ini dengan 4,175 daripadanya membabitkan penipuan.

Beliau berkata, jumlah itu meningkat 130 peratus berbanding 2010.

Bagi insiden keselamatan siber lain, beliau berkata spam mencatatkan 3,452 kes, pencerobohan (2,345), kod berbahaya (867), percubaan menceroboh (525), gangguan siber (354) dan kesalahan berkaitan kandungan (48).

“Pertambahan insiden keselamatan siber berkait rapat dengan peningkatan kadar penggunaan Internet yang menyaksikan pengguna Internet di seluruh negara kini berjumlah 17 juta orang. Jumlah ini terus meningkat kerana disokong oleh pembangunan pesat prasarana jalur lebar,” katanya. – BERNAMA

SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PELAJARAN DI PROGRAM KARNIVAL KERJAYA GURU ANJURAN UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS


SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PELAJARAN DI PROGRAM KARNIVAL KERJAYA GURU ANJURAN UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) akan menyertai Program Karnival Kerjaya Guru di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak  pada 19 dan 20 Oktober 2011 (Rabu dan Khamis).  Pameran akan diadakan di Bangunan Bitarasiswa, UPSI dan dibuka dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Taklimat Persediaan Bakal Guru Bersama SPP akan diadakan pada 19 Oktober 2011 dari pukul 11.00 pagi hingga 1.00 petang serta Dialog Isu Dan Cabaran Sebagai Guru akan diadakan pada 20 Oktober 2011 dari pukul 11.00 pagi hingga 1.00 petang yang bertempat di Auditorium Utama, UPSI.  Semua dijemput hadir ke program tersebut.

Benci melampau – Metro


Benci melampau

Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUCHING: Akibat tidak sebulu dengan pegawai bawahannya, seorang guru besar sekolah rendah di sini, didakwa menyalahgunakan kuasa dengan menceroboh sistem maklumat peribadi empat guru lain semata-mata mahu mengisi borang bagi membolehkan keempat-empat guru terbabit dipindahkan.

Perbuatan tanpa diketahui keempat-empat guru terbabit dipercayai bermula apabila guru besar berusia 53 tahun itu dikatakan memasukkan maklumat palsu dalam borang e-G (penukaran guru) selepas dikatakan mengarahkan guru yang bertugas di bahagian pangkalan data menukarkan kata laluan serta ID pengguna sistem maklumat peribadi mereka.

Kejadian berlaku sejak April lalu hanya diketahui seminggu kemudian selepas seorang daripada guru terbabit gagal memasuki sistem berkenaan.

Seorang guru terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Shiela, 36, berkata, guru besar itu dikatakan tidak menyukainya kerana dia gagal menghadiri tiga aktiviti sekolah pada Disember tahun lalu atas sebab tertentu.

 
“Guru besar memaki saya dalam mesyuarat hanya kerana tidak dapat hadir dalam tiga aktiviti berkenaan. Saya tidak pernah menyangka masalah itu menjadi punca dia tidak menyukai saya sehingga sanggup mengisi borang pindah sekolah tanpa pengetahuan,” katanya yang sudah sembilan tahun bertugas di sekolah rendah berkenaan.

Jiran selamat 2 beradik menangis ketakutan – Metro


Jiran selamat 2 beradik menangis ketakutan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR SETAR: Kesengsaraan dua beradik dipercayai sering didera ibu tirinya berakhir apabila jiran mereka memaklumkan kepada polis selepas melihat mangsa yang trauma menangis ketakutan.

Dalam kejadian jam 10 pagi Sabtu lalu di Jalan Tandop-Sungai Petani, di sini, kedua-dua mangsa berusia lapan dan lima tahun dipercayai ditampar pipi, dihentak kepala ke dinding, dicubit serta diconteng belakang badan dengan pen oleh ibu tiri mereka.
Difahamkan, suspek berusia 21 tahun yang sedang sarat mengandung tujuh bulan bertindak sedemikian apabila berang dengan perangai dua anak tirinya yang nakal.

 

Ketika kejadian itu, bapa mangsa berusia 30-an tiada di rumah kerana bekerja dan disedari jiran selepas mendengar kanak-kanak terbabit sering menangis dan menjerit akibat dipukul.
Jiran membawa kanak-kanak itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kerana mangsa ditinggalkan ibu bapa mereka sebelum anggota polis membawa dua beradik terbabit ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, untuk pemeriksaan kesihatan.
Sumber berkata, kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun manakala adik lelakinya berusia lima tahun dipercayai sering didera sejak seminggu lalu oleh ibu tiri ketika ketiadaan bapa mereka di rumah.

 

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
“Kita sedang menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kanak-kanak terbabit kini diletakkan di bawah jagaan JKM,” katanya.

Operasi mencari dihenti – Metro


Operasi mencari dihenti

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BANTING: Pihak berkuasa kelmarin menghentikan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja Orang Asli, Nizam Roslan, 14, yang dikhuatiri lemas apabila bot yang dinaiki bersama bapanya terbalik akibat dipukul ombak, 20 batu nautika dari jeti Kampung Sungai Kurau, di sini, 6 Oktober lalu.

Ketua Balai Polis Teluk Panglima Garang, Sub Inspektor Mohamad@Zulkiflee Mohd Amin ketika dihubungi, berkata operasi itu dihentikan selepas menemui jalan buntu dan gagal menjejaki remaja itu. Menurutnya, keadaan cuaca buruk menyukarkan pihak berkuasa melakukan operasi sejak hari kejadian.

10 hari derita didera bapa tiri – Metro


10 hari derita didera bapa tiri

Oleh Yusmawati Mhd Yusof dan Ariffin Salleh
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MANGSA BAPA TIRI...polis mengangkat mayat mangsa  untuk dibedah siasat, semalam.
MANGSA BAPA TIRI…polis mengangkat mayat mangsa untuk dibedah siasat, semalam.

ALOR GAJAH: Keji dan tidak berperikemanusiaan! Itulah perkataan layak dihamburkan kepada seorang bapa tiri yang dipercayai mendera anak tirinya menggunakan besi panas dan seterika sepanjang 10 hari ibu kanak-kanak itu dirawat di hospital selepas melahirkan anak.

Selain kedua-dua tapak kaki kanak-kanak itu berlubang, dipercayai terkena besi panas atau seterika, ada juga kesan lebam kehitaman pada seluruh tubuh mangsa.

Mohd Firdaus Mat Dan, 6, dikatakan sudah nyawa-nyawa ikan ketika dibawa suspek ke Hospital Alor Gajah (HAG), di sini, jam 4.30 petang semalam dan riak wajahnya ketika itu seolah-olah menahan kesakitan sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Bapa tiri berusia 37 tahun itu menghantar kanak-kanak terbabit ke hospital selepas membawa isterinya berusia 41 tahun pulang ke rumah mereka di Kampung Padang Sebang, dekat sini, sebaik wanita itu dibenarkan keluar dari hospital.

 
Menurut sumber, mangsa yang bertubuh kurus diberikan bantuan kecemasan hampir satu jam oleh pegawai perubatan sebaik dibawa ke HAG, tetapi kanak-kanak itu gagal diselamatkan.

Emak gian jual 4 anak – Metro


Emak gian jual 4 anak

Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

CHUKAI: Bukan saja tergamak ‘menjual’ empat daripada tujuh anaknya kepada keluarga lain untuk dijaga, seorang wanita yang terdesak mendapatkan sumber kewangan selepas berpisah dengan suaminya kira-kira empat tahun lalu, tergamak memperdagangkan tubuhnya bagi mendapatkan wang untuk menyara keluarganya.

Sumber berkata, lebih menyedihkan apabila ibu tunggal berusia 37 tahun terbabit yang turut menagih pelbagai jenis dadah bertindak keterlaluan apabila menurunkan ilmu dan pengalamannya menjual tubuh kepada anak gadisnya yang berusia 16 tahun.

“Selain mengajar anak perempuannya menjual tubuh, wanita terbabit menjadikan gadis itu yang berhenti sekolah ketika di tingkatan satu sebagai rakan penagih apabila mereka melepaskan gian dadah bersama ketika di rumah.

“Sebagai jalan mudah mendapatkan bekalan dadah, dua beranak terbabit menerima bahan terlarang itu sebagai menggantikan bayaran perkhidmatan seks ketika bersama pasangan masing-masing,” kata sumber itu.

 
Kegiatan dua beranak terbabit terbongkar apabila rumah mereka diserbu sepasukan anggota polis yang menjalankan Ops Tapis di Kampung Dusun Nyior, dekat sini, hujung minggu lalu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Asisten Superintendan Hamzah Awang Dollah, berkata serbuan ke atas kediaman milik wanita itu di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Dusun Nyior dilakukan pada jam 2 petang.