Ibu bapa pelajar diberi pilihan terima atau tolak bantuan RM100 – Bernama


Ibu bapa pelajar diberi pilihan terima atau tolak bantuan RM100

2011/10/11

GEORGETOWN: Kementerian Pelajaran memberi pilihan kepada ibu bapa sama ada untuk menerima atau menolak bantuan RM100 untuk pelajar seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2012, Jumaat lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata bantuan berkenaan akan diberi kepada semua 5.3 juta pelajar sekolah rendah dan menengah namun bagi keluarga pelajar yang berpendapatan tinggi, mereka diberi pilihan sama ada untuk menerimanya atau tidak.

Katanya, dalam Belanjawan 2012, kerajaan memperuntukkan RM530 juta bagi tujuan pemberian bantuan berkenaan.

“Saya berpendapat bahawa pelajar dari keluarga yang berpendapatan tinggi tidak perlu mengambil bantuan tersebut jika tidak memerlukannya kerana tumpuan seharusnya diberikan kepada pelajar daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah.

“Saya yakin dengan cara begitu, kementerian dapat menjimatkan perbelanjaan yang dikeluarkan bagi menampung bantuan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Literasi Pembelajaran Bahasa Asia 2011 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bantuan RM100 untuk setiap pelajar yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan Belanjawan 2012 Jumaat lalu.

Mohd Puad berkata, cara bantuan itu disalurkan kepada pelajar terbabit akan ditentukan tidak lama lagi dan peruntukan berkenaan akan diagihkan sebelum akhir tahun ini.
“Kementerian akan turut membincangkan mengenai pemberian baucer RM200 kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta yang turut membabitkan Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya.

Beliau berkata, bantuan itu sebagai pendekatan berinovasi yang diketengahkan Perdana Menteri dalam membantu meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah.

Sementara itu, Mohd Puad berkata kerajaan akan tetap memansuhkan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) walaupun terdapat permintaan daripada ibu bapa pelajar untuk meneruskan sistem itu.

Bagaimanapun, katanya, permintaan itu akan dikemukakan kepada Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan ia akan dikaji dengan teliti. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s