Pelatih juvana lari di R&R masih belum dikesan – Metro


Pelatih juvana lari di R&R masih belum dikesan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TAPAH: Lawatan sambil belajar ke bangunan Angkasapuri, Kuala Lumpur, diambil kesempatan oleh tiga pelatih juvana ‘culas’ untuk melarikan diri sebaik bas dinaiki berhenti seketika di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Tapah, di sini.

Suspek dipercayai menyusup lari ke dalam kebun getah berhampiran masih gagal dikesan sehingga semalam biarpun usaha memburu mereka sudah masuk hari ke-20.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 petang 22 September lalu, tiga remaja berkenaan Muhammad Aminuddin Muhamad Razali, 15, Abu Hurairah Mohd Safu, 16, dan Muhammad Hafizzul Mohd Nasir, 18, tiba-tiba lesap ketika bas mereka naiki bersama 25 pelatih lain berhenti seketika di hentian R&R, Tapah.

 

Difahamkan, rombongan pelatih itu dalam perjalanan pulang ke sekolah mereka selepas mengikuti lawatan ke Kuala Lumpur sebelum singgah di hentian berkenaan.
Kehilangan pelatih itu disedari selepas semua rombongan pelatih itu berkumpul menaiki bas untuk pulang ke sekolah mereka di Taiping, Perak.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Roslan Bek Ahmad berkata, pihaknya masih gagal menjejaki tiga pelatih berkenaan malah, mereka juga dikesan tidak pulang ke rumah keluarga masing-masing.

 

 

Beliau berkata, pihaknya sudah meminta kerjasama keluarga pelatih berkenaan untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai anak mereka itu.
“Kami sudah meminta kerjasama keluarga masing-masing untuk menyalurkan sebarang maklumat namun, sehingga kini semua pelajar diburu itu tidak pernah pulang ke rumah atau membuat panggilan bagi mendapatkan pertolongan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

 

Katanya, pihaknya berharap tiga pelatih berkenaan dapat menyerah diri kerana mereka tidak membawa apa-apa dokumen pengenalan diri.
Roslan berkata, ketiga-tiga pelatih berkenaan ditempatkan di sekolah terbabit atas pelbagai kesalahan juvana dan dijangka dibebaskan tidak lama lagi.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri dari penjagaan yang sah.
Mereka mempunyai maklumat mengenai pelatih itu diminta menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah Tapah melalui talian 05-4015 222.

Cikgu Parkinson cekal – Metro


Cikgu Parkinson cekal

Oleh Rosli Ilham
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

DUNGUN: “Saya tetap akan gagahkan diri demi kejayaan pelajar,” kata seorang guru, Edlin Ishak, 44, yang menghidap penyakit Parkinson menyebabkan pergerakannya terbatas sehingga terpaksa dipapah ketika ke sekolah selain sukar hendak bertutur.

Bagi memastikan pelajarnya cemerlang dalam pelajaran, Edlin yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Pulau Serai di sini, tetap meneruskan kerjaya biarpun terpaksa dipapah setiap hari oleh suaminya, Rosdi Hussin, 41, ke sekolah.
Katanya, dia disahkan menghidap Parkinson selepas menemui doktor pakar pada 2009 dan sering mengalami gangguan saraf yang menyebabkannya sukar bercakap.

 

“Biarpun tak dapat berdiri lama, saya tetap gagahkan diri demi kecemerlangan pelajar dan terpaksa menggunakan alat pembesar suara ketika mengajar,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan kerusi roda bertandas yang disumbangkan Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh di rumahnya di Kampung Pulau Serai di sini, kelmarin.
Edlin berkata, dia berterima kasih dengan sumbangan kerusi roda itu kerana ia dapat memudahkannya bergerak termasuk membuang air besar ketika mengajar di sekolah.
“Sebelum ini, saya sukar untuk membuang air dan terpaksa mendapatkan bantuan suami serta guru lain di sekolah,” katanya.

 

 

Dia terpaksa makan ubat diberikan doktor pakar untuk mengelak menggeletar dan sekiranya lambat mengambil ubat, akan membuatkan sukar untuk mengajar.
“Ketika ini, saya terpaksa berehat dua bulan selepas mengambil ubat doktor bertujuan mengembalikan semula kecergasan otak dan selepas itu barulah saya boleh mengajar semula,” katanya.

Polarisasi kaum: Kerajaan disaran hapus sekolah vernakular – Bernama


Polarisasi kaum: Kerajaan disaran hapus sekolah vernakular

12/10/2011 7:49pm

 

KUALA LUMPUR 12 Okt – Ahli Parlimen Bebas bagi Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim hari ini menyarankan supaya sistem pendidikan negara diolah semula dengan menghapuskan sistem sekolah pelbagai aliran atau vernakular yang didakwanya menyebabkan polarisasi kaum di negara ini.

Justeru, beliau meminta kerajaan mewujudkan semula sekolah wawasan bagi memastikan murid-murid dididik dalam persekitaran majmuk dan seterusnya melahirkan generasi akan datang yang lebih bersatu padu dan tidak hanya memikirkan kepentingan kaum masing-masing.

“Malaysia bukan negara Cina, Malaysia bukan negara India dan Malaysia juga bukan negara Arab. Malaysia kita adalah satu negara majmuk dan seharusnya sistem pendidikan kita diolah kembali,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 di Dewan Rakyat di sini.

Zahrain berkata, transformasi sistem persekolahan atau pendidikan peringkat sekolah rendah dan menengah kini pincang kerana sistem peninggalan penjajah menyebabkan kemunculan generasi yang rasis dan hanya memikirkan kepentingan kaum masing-masing.

Beliau juga merujuk kepada perbuatan pelakon dan penyanyi rap Wee Meng Chee atau Namewee yang didakwanya kurang ajar hingga mudah memaki hamun seorang wanita dalam klip video terbarunya.

“Saya pasti Namewee tidak akan bertindak sebegitu liar dan memaki hamun seorang wanita dalam klip video terbaru-nya jika beliau diasuh secara betul dalam persekitaran yang majmuk,” katanya. – Bernama

Boleh terus ke tingkatan 1 – Metro


Boleh terus ke tingkatan 1

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MURID Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil yang memperoleh sekurang-kurangnya gred C bagi mata pelajaran bahasa Melayu dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau Penilaian Kemajuan Berasaskan Sekolah (PKBS) di Tahap Dua boleh memasuki tingkatan satu tanpa melalui kelas peralihan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kumpulan murid itu juga perlu mampu berkomunikasi dengan baik dalam bahasa kebangsaan sebelum melayakkan mereka terus memperoleh pendidikan menengah.
Katanya, perkara itu diputuskan melalui surat KP/KPPM/5(64) bertarikh 14 Oktober 2010 bertajuk Kemasukan Murid-Murid SJKC dan SJKT ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tanpa Melalui Kelas Peralihan Bagi Sesi Persekolahan 2011. “(Sebelum ini) Akta Pendidikan dipinda dan berkuatkuasa mulai 1961 meletakkan semua murid SJK Cina dan Tamil dikehendaki mengikuti kelas peralihan selama satu tahun (sebelum boleh memasuki sekolah menengah).

 

“Keputusan mengadakan kelas peralihan pula adalah berdasarkan cadangan yang dikemukakan Laporan Rahman Talib (1960) yang kemudiannya diterima pakai,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Manogaran Marimuthu (DAP-Teluk Intan).
Manogaran meminta Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan sama ada kelas peralihan selama setahun bagi murid yang gagal peperiksaan UPSR dimansuhkan dan murid berkenaan dibenarkan terus ke tingkatan satu dengan perhatian dan pengajian rapi diberi kepada mereka.
Menjawab lebih lanjut, Muhyiddin berkata, kelas peralihan adalah satu rancangan khusus di sekolah menengah yang berfungsi sebagai perantaraan untuk melicinkan proses peralihan bahasa pengantar daripada bahasa ibunda di sekolah rendah kepada bahasa kebangsaan di sekolah menengah.

 

 

“Ia bertujuan membolehkan murid dari SJK mampu menguasai bahasa Malaysia dengan baik sebagai persediaan mengikuti pendidikan di sekolah menengah,” katanya.

Minda: Mengekang gejala salah laku pelajar – Metro


Minda: Mengekang gejala salah laku pelajar

Oleh M Jasni Majed
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KITA sering dikejutkan dengan pelbagai berita mengenai pelajar terbabit dengan salah laku sama ada di kawasan sekolah mahupun di luar kawasan sekolah.

Terbaru, kita dikejutkan dengan berita sekumpulan pelajar ponteng kemudian menonton VCD lucah di sebuah rumah di utara semenanjung.

Kejadian seperti ini tentunya bukan sekali dua kerana mungkin banyak lagi kes yang sama tidak dapat dikesan kerana kelicikan pelakunya. Apa pun kerjasama daripada orang ramai sehingga terbongkarnya kes ini patut diberi pujian supaya gejala seperti ini tidak menjadi nanah di kalangan anak-anak muda apatah lagi pelajar di negara kita.

Siapa pun tentu melihat masalah salah laku di kalangan pelajar kian membimbangkan. Pelbagai kes seperti murid melawan guru, pelajar menendang guru, pelajar merosakkan harta benda sekolah, ponteng sekolah, terlibat dengan pergaduhan dan pelbagai lagi sering menghiasi dada akhbar.

 
Kadang-kadang kita terfikir, apa lagi yang tidak cukup di sekolah sehinggakan pelajar bertindak sesuka hati? Dalam soal pendidikan formal, pelbagai subjek memandu pelajar ke arah nilai-nilai positif dalam menempuh kehidupan seharian untuk suatu jangka waktu panjang.
Umpamanya, mata pelajaran Agama Islam, Pendidikan Moral dan Komponen Sastera dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris telah menampilkan nilai-nilai yang menjadi teras dalam kehidupan seharian seperti beradab sopan, menghormati orang lain, menghormati negara dan undang-undang, malah menanam sikap bekerjasama, mementingkan kebersihan dan sebagainya.

Di sekolah juga sudah disediakan aktiviti kokurikulum yang terbahagi kepada beberapa bahagian seperti kelab, sukan dan pakaian seragam. Aktiviti ini jika disertai pelajar dengan komitmen tinggi akan menjinakkan mereka dengan kepelbagaian nilai positif seperti tabah, berani, bertanggungjawab dan berdikari.

Pelajar yang mempunyai kesedaran pentingnya mengikuti sebahagian daripada program di sekolah setidak-tidaknya akan dapat menghindarkan diri mereka daripada sebarang unsur tidak sihat. Kemungkinan mereka terjebak dengan kancah tidak sihat adalah bertolak daripada tiada pengisian dalam jiwa dan kegiatan harian mereka.

Mereka yang tidak berminat dengan pelajaran dan aktiviti kokurikulum di sekolah memudahkan mereka terjebak dengan rakan-rakan tidak baik di luar sekolah. Di sekolah pun, jika ada sekumpulan pelajar yang tidak berminat dengan pelajaran, mereka akan membentuk satu kumpulan yang mantap, berani dan mudah melakukan sebarang kegiatan tidak sihat.

Tidak kira guru mana sekalipun, setiap guru tidak pernah menggalakkan anak didik mereka melibatkan diri dalam aktiviti tidak sihat sama ada di sekolah atau di luar kawasan sekolah. Sebaliknya, guru cuba menanam sikap positif kepada pelajar supaya mereka menjadi insan yang mampu melonjakkan diri dalam pelbagai arena demi memajukan negara.

Tidak cukup dengan itu, sekolah juga mempunyai badan disiplin yang bertindak mengawal tingkah laku pelajar serta menekankan aspek yang perlu dijauhi pelajar sebagai pelengkap sahsiah. Kesan negatif pelanggaran disiplin atau akibat buruk yang bakal diterima jika kesalahan dilakukan di luar sekolah turut ditekankan kepada pelajar supaya imej mereka sebagai pelajar dan nama baik sekolah dijaga.

Tugas guru menjadi semakin rumit dalam usaha mengawal pelajar terutama selepas beberapa peperiksaan berakhir. Contohnya, di sekolah rendah, selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selesai, murid mempunyai masa lama di sekolah sebelum cuti panjang bermula.

Di sekolah menengah, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) juga berakhir sebulan sebelum cuti panjang. Mereka ini mempunyai masa panjang di sekolah dan mereka tidak akan berbuat apa-apa jika masa mereka tidak diisi oleh guru.

Menurut statistik, kes salah laku pelajar di semua sekolah di seluruh negara pada 2010 ialah 111,484 dan 72,657 daripadanya melibatkan pelajar sekolah menengah dan selebihnya 38,927 murid sekolah rendah. Daripada jumlah itu, 19,545 kes ponteng sekolah dicatatkan sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut statistik juga, tiga peratus daripada lima juta pelajar sama ada dari sekolah menengah mahupun rendah di seluruh negara terbabit dengan masalah disiplin pada 2010. Ada yang berpendapat angka ini tidak begitu tinggi kerana 97 peratus daripadanya tidak terlibat langsung dengan sebarang salah laku sepanjang sesi persekolahan tahun tersebut.

Apa pun, guru mesti lebih peka terhadap masalah disiplin terutama ponteng dengan cara berusaha mengikat pelajar supaya berada di sekolah walaupun pelajar sudah selesai menjalani peperiksaan penting. Pelbagai aktiviti bersifat kemasyarakatan boleh disertai pelajar yang bukan hanya di kawasan sekolah tetapi juga di luar.

Pelajar juga boleh dilatih dengan gotong-royong seperti menambah baik keceriaan kawasan sekolah, membina taman dan sebagainya. Pelajar juga mesti ditanam dengan rasa cinta kepada sekolah dengan cara melakukan pelbagai aktiviti yang boleh melonjakkan nama sekolah mereka.

Gejala ponteng berpunca daripada dua sebab. Pertama, pelajar memang tidak berminat untuk ke sekolah dan jika ke sekolah pun, tidak ada apa-apa yang hendak dibuat.

Hal ini membawa kepada gejala ponteng. Sebilangan pelajar merasakan dunia luar lebih seronok dan menjanjikan kepuasan kepada mereka. Bagi ibu bapa yang bekerja, sudah tentu pengawasan terhadap anak yang bersekolah tidak dapat dilakukan dengan sempurna kerana jika anak tidak ke sekolah pun, mereka tidak dapat mengesannya.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat membantu membendung gejala ponteng sekolah. Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rela dan pelbagai agensi berkaitan boleh membantu dengan lebih giat untuk membendung gejala ini daripada terus berleluasa.

Masyarakat mesti peka dan bijak menghidu sebarang tingkah laku negatif pelajar di luar kawasan sekolah pada hari persekolahan. Mereka mesti melaporkan aktiviti negatif pelajar sama ada berpakaian sekolah ataupun tidak terutama yang boleh menjerumuskan mereka ke lembah kehinaan.

Demi menjaga pelajar yang kita harap mampu mencorakkan negara pada masa depan, pelbagai pihak mesti berganding bahu mengekang mereka daripada terlibat dengan sebarang gejala yang merugikan mereka sendiri.

Penulis seorang guru

Sekat ancaman siber – Metro


Sekat ancaman siber

Oleh Shuhada Mansor
darmansor@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seramai sembilan daripada 10 kanak-kanak di negara ini pernah terdedah kepada perkara negatif ketika melayari Internet menyebabkan mereka berisiko dipengaruhi unsur tidak sepatutnya seperti buli dan pornografi.

Sehubungan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mewujudkan rangka kerja dasar dan perundangan bagi melindungi golongan terbabit daripada ancaman dunia siber.
Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kementerian komited bekerjasama dengan beberapa pihak berkepentingan bagi membincangkan mengenai rangka kerja itu yang dijangka akan diumumkan tidak lama lagi.

 

Antara organisasi terbabit adalah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pelajaran, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Polis Diraja Malaysia, CyberSecurity Malaysia dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu.
“Pelan mewujudkan rangka kerja dasar ini sejajar dengan persetujuan Malaysia menyertai Protokol Pilihan kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), September lalu yang mana merangkumi aspek perlindungan penjualan, pelacuran dan pornografi kanak-kanak.
“Sudah tiba masanya keperluan perundangan, peraturan dan polisi dikaji secara lebih terperinci dalam usaha memastikan generasi ini dilindungi sekali gus menjadi pelengkap Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara,” katanya pada Seminar Perlindungan Kanak-Kanak di Alam Siber, di sini, semalam.

 

 

Majlis turut menyaksikan pelancaran Buku Panduan Ke Arah Pengalaman Internet Mesra Keluarga khusus untuk ibu bapa dalam memacu penggunaan Internet oleh anak mereka secara lebih terkawal.
Hadir sama Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Lt Kol (B) Prof Datuk Husin Jazri.

 

Shahrizat berkata, laporan Norton Online Family 2010 menyatakan hanya empat daripada 10 ibu bapa di negara ini mengawasi kandungan laman web dilayari anak mereka.
“Secara purata, kanak-kanak dan remaja Malaysia berusia lapan hingga 18 tahun menghabiskan masa selama 19 jam setiap minggu untuk melayari Internet sedangkan ibu-bapa beranggapan anak mereka hanya menggunakan 11 jam,” katanya.
Oleh itu, beliau berkata, kementerian akan bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) melalui pelan strategik bagi menganjurkan program advokasi bertujuan memberi pengetahuan kepada ibu-bapa mengenai keadaan itu.
”Justeru, melalui pelancaran buku panduan ini, ia dilihat sebagai permulaan bagi pelan strategik sebelum kita melakukannya secara menyeluruh, “ katanya.

‘Saya tidak mengalah’ – Metro


‘Saya tidak mengalah’

Oleh Rosli Ilham
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

DUNGUN: “Saya tetap akan gagahkan diri demi kejayaan pelajar,” kata seorang guru, Edlin Ishak, 44, yang menghidap penyakit Parkinson menyebabkan pergerakannya terbatas sehingga terpaksa dipapah ketika ke sekolah selain sukar hendak bertutur.

Bagi memastikan pelajarnya cemerlang dalam pelajaran, Edlin yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Pulau Serai di sini, tetap meneruskan kerjaya biarpun terpaksa dipapah setiap hari oleh suaminya, Rosdi Hussin, 41, ke sekolah.
Katanya, dia disahkan menghidap Parkinson selepas menemui doktor pakar pada 2009 dan sering mengalami gangguan saraf yang menyebabkannya sukar bercakap.

 

“Biarpun tak dapat berdiri lama, saya tetap gagahkan diri demi kecemerlangan pelajar dan terpaksa menggunakan alat pembesar suara ketika mengajar,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan kerusi roda bertandas yang disumbangkan Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh di rumahnya di Kampung Pulau Serai di sini, kelmarin.
Edlin berkata, dia berterima kasih dengan sumbangan kerusi roda itu kerana ia dapat memudahkannya bergerak termasuk membuang air besar ketika mengajar di sekolah.
“Sebelum ini, saya sukar untuk membuang air dan terpaksa mendapatkan bantuan suami serta guru lain di sekolah,” katanya.

 

 

Dia terpaksa makan ubat diberikan doktor pakar untuk mengelak menggeletar dan sekiranya lambat mengambil ubat, akan membuatkan sukar untuk mengajar.
“Ketika ini, saya terpaksa berehat dua bulan selepas mengambil ubat doktor bertujuan mengembalikan semula kecergasan otak dan selepas itu barulah saya boleh mengajar semula,” katanya.

Suami kerap pukul ‘Adik’ – Metro


Suami kerap pukul ‘Adik’

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR GAJAH: Kematian Mohd Firdaus Mat Dan, 6, petang kelmarin mendedahkan kegiatan bapa tirinya yang dipercayai sering menjadikan kanak-kanak itu sebagai mangsa penderaannya sejak beberapa bulan lalu.

Ibu mangsa berusia 41 tahun mendakwa dia tidak mengetahui kejadian tragis menimpa anak bongsu daripada enam beradik hasil perkahwinan pertamanya itu.
“Suami membawa keluar anak saya (mangsa) bersamanya pergi bekerja pada pagi kejadian sebelum saya menyedari Mohd Firdaus tidak pulang bersamanya pada sebelah petang dan bertanyakan suami di mana Mohd Firdaus atau mesra dipanggil ‘Adik’.

 

“Suami beritahu dia menghantar Adik ke hospital namun tidak menjelaskan puncanya sebelum dia menghantar saya ke Hospital Alor Gajah,” katanya yang enggan dikenali ketika ditemui di sini, malam kelmarin.
Menurutnya, sebaik tiba di hospital, dia melihat anaknya terbaring kaku dan disahkan meninggal dunia beberapa minit sebelum ketibaannya.
Wanita yang masih dalam pantang selepas melahirkan anak ketujuh itu berkata, dia menjaga lima daripada enam anaknya itu sejak lima bulan lalu di rumah disewa di Kampung Padang Sebang, dekat sini, bersama suaminya itu.

 

 

“Saya nampak suami sering mengasingkan Adik daripada bercampur abang dan kakaknya. Kira-kira sebulan lalu, saya lihat sifat ceria dan girang Adik semakin tiada dan hampir sepanjang hari suami membawa adik ke mana sahaja dia pergi.
“Sebelum ini, saya pernah dengar Adik menjerit kesakitan ketika mandi dalam bilik air bersama suami dalam keadaan pintu bilik air berkunci sebelum saya mengetuk pintu bilik air minta dibuka kerana bimbangkannya.

 

“Bagaimanapun, saya terkejut melihat Adik dalam keadaan lemah terduduk di dinding bilik air dan setiap kali bertanya mengapa dia kerap memukul adik, suami memberi alasan Adik kerap membuang air besar dalam seluar,” katanya.
Menurutnya, sepanjang berkahwin dengannya, suami tidak pernah mengasari dirinya, namun dia tidak pasti kenapa Adik sering menjadi mangsa suami.
Dalam kejadian jam 4.30 petang kelmarin, Mohd Firdaus dihantar ke Hospital Alor Gajah oleh bapa tirinya dalam keadaan nyawa-nyawa ikan sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Pihak hospital yang menyedari terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh mangsa termasuk kedua-dua kakinya dipercayai akibat terkena benda panas.
Bapa tiri kepada anak-kanak malang itu bagaimanapun ditahan polis di sekitar hospital berkenaan tidak lama selepas kejadian.
Sementara itu, abang mangsa yang ingin dikenali sebagai Hisham, 20, mendakwa tidak berpeluang mendekati adik bongsunya itu malah sukar melihat adiknya itu tidak memakai baju.
“Setiap kali lepas mandi, Adik keluar sudah berpakaian dan apabila menyedari kesan luka atau lebam pada anggota badan yang terdedah, Adik hanya menjawab terjatuh atau terlanggar sesuatu.
“Adik tidak pernah mengadu sakit, malahan saya sebagai abang tidak berpeluang tidur bersamanya. Peliknya bapa tiri tidak pernah menunjukkan sikap berang seolah tiada apa berlaku dalam rumah,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka, semalam.
Nenek mangsa, Tumirah Mis, 58, berkata, sudah lebih setahun dia tidak bertemu ibu mangsa selepas anak perempuannya itu berkahwin baru.
“Mangsa yang sebelum ini saya pelihara diambil ibunya kira-kira lima bulan lalu.
“Sejak dia (anak perempuan) berkahwin, saya tidak lagi bertemu dengannya walaupun ketika itu semua enam anak mangsa ada bersama saya,” katanya yang turut memberitahu kakak sulung mangsa berusia 21 tahun dijaga olehnya di Rembau, Negeri Sembilan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak malang itu mati akibat kecederaan pada paru-paru dan pendarahan dalaman disebabkan dipukul menggunakan benda tumpul.
“Suspek yang juga bapa tiri mangsa direman tujuh hari bermula semalam untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan kerana kesalahan membunuh,” katanya.
Mayat mangsa dituntut keluarganya untuk dikebumikan, petang semalam.

90 peratus kanak-kanak ketagih layari internet – Berita Harian


90 peratus kanak-kanak ketagih layari internet
Oleh Suzalina Halid
suzalina@bharian.com.my
2011/10/12

Pelan strategik lindungi kesan negatif siber dirangka

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak dan remaja di negara ini dilaporkan melayari internet pada purata 19 jam seminggu, sehingga menyebabkan mereka terdedah dengan pengalaman negatif menerusi penggunaan teknologi itu termasuk buli, penipuan identiti dan pornografi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata situasi itu mewakili kira-kira 90 peratus daripada 8.5 juta kanak-kanak atau sembilan daripada 10 daripada mereka berusia lima hingga 18 tahun di negara ini yang dilaporkan terdedah dengan gejala negatif dunia siber, sekali gus mampu mempengaruhi emosi mereka.

Kementerian akan merangka satu pelan strategik merangkumi kajian sama ada perlunya undang-undang atau polisi untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak daripada terus menjadi mangsa kesan negatif internet. – Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Sehubungan itu, katanya, kementerian akan merangka satu pelan strategik merangkumi kajian sama ada perlunya undang-undang atau polisi untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak daripada terus menjadi mangsa kesan negatif internet.

“Data diperoleh daripada Norton Online Family Report 2010 juga melaporkan hanya empat daripada 10 ibu bapa mengetahui apa dilayari anak mereka dalam internet.

“Jadi, kementerian akan memimpin pihak berkepentingan, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), CyberSecurity dan DIGI mengolah pelan strategik bagi memberi perlindungan kepada golongan sasar kerana ini amat berbahaya dan sejajar dengan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak yang dipersetujui kerajaan pada 2009,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Seminar Perlindungan Kanak-kanak Dalam Alam Maya (Child Online Protection) dan pelancaran buku Guide to a family friendly internet experience, di sini semalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (B) Prof Datuk Husin Jazri.
Shahrizat berkata, selain penekanan aspek perundangan, kementerian melalui pelan strategik juga akan turun padang bagi menganjurkan program advokasi dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk memberi pengetahuan kepada ibu bapa mengenai situasi berkenaan.

Katanya, rangka kerja pelan strategik itu rentetan persetujuan kerajaan supaya negara menyertai ‘Optional Protocol to the Convention on the Rights of the Child on the Sale of Children, Child Prostitution and Child Pornography, September lalu.

“Jadi, dengan pelancaran buku ini, ia permulaan bagi pelan strategik itu sebelum kita melakukannya secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Husin berkata, CuberSecurity menerima aduan 11,930 insiden membabitkan jenayah siber sepanjang tahun ini sehingga September lalu yang dilaporkan kepada Pusat Bantuan Cyber999.

Beliau berkata, berdasarkan Statistik Insiden Keselamatan Siber, bilangan itu melonjak sehingga 130 peratus berbanding jumlah insiden pada tahun lalu, iaitu hanya 5,181.

Katanya, jenayah siber yang dilaporkan merangkumi penipuan (4,175), spam (3,452), pencerobohan (2,345), kod berbahaya (867), cubaan pencerobohan (525), gangguan siber (354), kelemahan laporan (87), gangguan perkhidmatan (77) dan kesalahan berkaitan kandungan (48).

Budak 6 tahun maut didera – Utusan


Budak 6 tahun maut didera

 

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
pengarang@utusan.com.my

 

Rosmah Pemadi (kanan) menangis sambil memangku seorang lagi anaknya yang berusia 10 hari, selepas mengecam mayat Mohd. Firdaus Mad. Dan di rumah mayat Hospital Melaka, semalam.

 

MELAKA 11 Okt. – Kanak-kanak malang Mohd. Firdaus Mad. Dan, 6, yang meninggal dunia semalam dipercayai berpunca akibat didera bapa tirinya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah.

“Siasatan awal polis mendapati, kecederaan utama berlaku di bahagian paru-paru, serta bawah lapisan kulit badan.

“Kecederaan dialami mungkin akibat ditendang atau dipukul dengan objek tumpul,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurut Umar, ekoran itu, polis turut memberkas suspek penderaan itu yang juga bapa tiri mangsa ketika menghantarnya ke hospital, semalam.

Suspek berusia 37 tahun itu direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang semalam, Mohd. Firdaus dihantar ke Hospital Alor Gajah oleh bapa tirinya itu dalam keadaan nazak sebelum meninggal dunia di hospital tersebut.