Pelajar perempuan hilang selepas sekolah – Bernama


Pelajar perempuan hilang selepas sekolah

13/10/2011 3:44pm

 

KANGAR 13 Okt. – Seorang pelajar perempuan yang berbasikal ke sekolah pagi semalam dilaporkan hilang setelah tidak pulang ke rumah sehingga hari ini.

Bagaimanapun Nurul Nursyawaltie Mohd Sabri, 14, yang menetap di Taman Bukit Kayangan dekat sini dikatakan tidak berada di sekolahnya semalam dan basikalnya ditemui di sebuah kawasan perumahan berhampiran.

Bapanya, Mohd Sabri Samat, 35, yang ditemui di sini berkata, beliau menunggu anak sulungnya di lokasi basikal ditemui sehingga petang semalam namun kelibat anaknya tidak kelihatan.

Eksekutif produksi sebuah syarikat menjahit pakaian itu berkata, beliau telah membuat laporan polis awal hari ini.

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Putra itu dikatakan mempunyai sejumlah besar sahabat dalam laman sosial facebook.

Mohd. Sabri tidak menolak kemungkinan anaknya ke Pulau Pinang kerana mempunyai ramai kawan di negeri itu apatah lagi sebelum ini mereka sekeluarga menetap di sana.

Katanya, gambar Nurul Nusyawaltie telah disebar kepada rakan-rakannya melalui telefon bimbit sebagai langkah untuk mengesan anaknya. – Bernama

Susu PS1M selamat untuk diminum – Bernama


Susu PS1M selamat untuk diminum

2011/10/13

KUALA LUMPUR: Susu yang diedarkan di bawah Projek Susu Sekolah 1Malaysia (PS1M) oleh syarikat tenusu terkenal Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady) adalah selamat untuk diminum oleh murid sekolah.

Ketua Jabatan Korporat dan Hal Ehwal Kawal Selia Dutch Lady, Rohana Safinah Abdul Hamid, berkata pengedaran susu PS1M ke seluruh negara oleh syarikat itu sentiasa dikawal rapi bagi mengelakkan berlakunya kerosakan, terutama ke kawasan luar bandar.

Di bawah projek PS1M yang bermula April lalu, seramai 1.5 juta murid dari 8,000 sekolah di seluruh negara mendapat manfaatnya.

Beliau juga berkata, pihaknya sentiasa memantau proses pengedaran itu dan setiap sekolah akan dibekalkan dengan ‘pallet’ untuk meletak karton susu bagi mengelakkan kerosakan.

” Sementara guru akan diajar oleh pegawai kami yang turun padang mengenai cara untuk melindungi susu daripada tercemar,” katanya pada majlis lawatan dan penerangan media ke syarikat itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, setiap bungkusan yang dihantar ke sekolah luar bandar khususnya pedalaman diselia dengan rapi dan pengedaran ditapis berulang kali untuk mengelakkan berlaku sebarang kerosakan.

Menyentuh mengenai pemberhentian sementara syarikat itu dalam projek susu sekolah pada 2007, ini adalah kerana untuk menambah baik pelaksanaan projek itu dan bukannya disebabkan isu keracunan susu seperti yang diwar-warkan.
“Pihak kami sudah menganalisis isu yang timbul dan sehingga kini, kami masih belum menerima sebarang kes keracunan berpunca daripada susu keluaran syarikat kami,” katanya,

Rohana berkata, kualiti susu PS1M yang diedarkan kepada murid sekolah itu adalah sama dengan kualiti susu yang dijual di pasaran.

Bagi program kali ini, pelbagai usaha penambah baik telah dilakukan termasuk mendidik guru dan murid sekolah luar bandar mengenai khasiat susu dan cara pengambilannya sebagai satu corak amalan hidup yang sihat.

Sementara itu, pakar jaminan pengurusan kualiti Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd Rina Yeo berkata bungkusan susu yang digunakan untuk PS1M itu mengandungi enam lapisan bagi setiap kotak dan selagi bungkusan dijaga dengan baik, susu adalah selamat untuk diminum.

“Sebelum bungkusan itu diedarkan, ia akan disemak berulang kali termasuklah produk tenusu selain bungkusannya,” katanya. – BERNAMA

Anak menangis papa ditembak – Metro


Anak menangis papa ditembak

Oleh Adnan Mohamad dan Jauhariatul Akmal Johar
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PASIR MAS: “Suami menjerit memanggil nama saya dan sebaik keluar, saya lihat dia dalam keadaan lemah dan berlumuran darah.

“Anak sulung pula menangis tidak henti-henti sambil memberitahu papanya (suami) kena tembak,” kata Miss Mati Mat Rashid, 29, isteri kepada Mohd Anuar Mat Nor, 31, yang ditembak kenalannya selepas bertengkar, dipercayai kerana masalah hutang.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam di Cabang Empat Salam, Rantau Panjang, di sini, kelmarin, Mohd Anuar bernasib baik kerana hanya terkena sebutir peluru daripada beberapa das tembakan yang dilepaskan rakannya.

 

Tembakan itu terkena pada bahagian pinggang kiri dan menembusi dada kanannya.
Walaupun cedera parah, Mohd Anuar sempat menunggang motosikal sejauh kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian ke rumahnya di Taman Wahyu, Rantau Panjang, di sini, untuk membawa pulang anaknya, Mohd Hifni Hamka, 6, yang dibawa bersama ketika bertemu dua kenalannya itu.
Mangsa dikatakan berjumpa dan berbincang dengan kenalannya sebelum bertengkar dipercayai berkaitan masalah hutang.

 

 

Seorang daripada kenalan mangsa mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa.
Menurut Miss Mati, dia terkejut dengan ‘kepulangan berdarah’ suami bersama anak sulungnya, namun bersyukur anaknya selamat.

 

“Suami beritahu dia ditembak. Saya panik dan tidak tahu untuk berbuat apa-apa sebelum suami sendiri yang menelefon rakannya untuk mendapatkan bantuan.
“Suami dibawa ke Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rantau Panjang dan anggota JPAM menghantarnya ke Hospital Pasir Mas sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik kecemasan Hospital Pasir Mas, di sini, malam kelmarin.
Miss Mati berkata, sebelum kejadian, suaminya yang bekerja sendiri, keluar bersama anak sulungnya kira-kira jam 8 malam dengan menunggang motosikal tanpa memaklumkan arah tujuannya.
Katanya, dia hanya sempat mendengar anak dan suaminya itu bersembang dan kemudian anaknya mengajak suaminya keluar ke kedai.
“Saya tidak tahu motif suami ditembak. Anak sulung yang turut berada di tempat kejadian masih trauma dan hanya mampu memberitahu papanya (suami) ditembak di kawasan semak,” katanya.
Abang mangsa, Azhar Mat Nor, 35, pula berkata dia terkejut apabila mendapat panggilan telefon yang memaklumkan adiknya ditembak dan langsung tidak menyangka kejadian seperti berlaku kepada ahli keluarganya.
Katanya, walaupun ada masalah atau bergaduh sekalipun, sepatutnya ia tidak diselesaikan dengan cara melepaskan tembakan.
“Saya tidak tahu motif kejadian ini, tetapi terkilan dengan apa yang berlaku,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, dua suspek kenalan mangsa berusia 30-an dan mereka adalah penduduk tempatan.
Katanya, suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan mangsa, dipercayai berkaitan masalah hutang dan selepas bertengkar, salah seorang suspek mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa.
“Salah satu tembakan yang dilepaskan itu terkena mangsa di bahagian pinggang kiri dan menembusi di bahagian dada kanan. Mangsa sempat pulang ke rumah bersama anaknya yang turut dibawa ketika bertemu suspek sebelum dirawat di Hospital Pasir Mas. “Berikutan keadaan mangsa yang parah, dia dipindahkan ke HRPZII, Kota Bharu untuk rawatan lanjut. Buat masa sekarang mangsa masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan keadaannya masih kritikal tetapi stabil,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kelantan, Kota Bharu, semalam.
Menurut Mazlan, setakat ini dua suspek itu masih belum ditahan dan polis termasuk dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Mas dan IPPK akan menjalankan operasi mengesan suspek berkenaan.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun,” katanya.

Baca Yasin di pusara – Metro


Baca Yasin di pusara

Oleh Rosli Ilham
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

DUNGUN: Hasrat seorang anak untuk memperdengarkan bacaan Yasin buat kali pertama kepada ibu bapanya tidak kesampaian apabila mereka terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 48.7, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, di sini, pagi kelmarin.

Shafiq Syarifuddin Khairul Azhar, 7, menjadi anak yatim piatu apabila ibu bapanya, Khairul Azhar Mohammed, 31, dan ibunya, Masitah Omar Zokry, 26, terbunuh apabila lori sayur yang dinaiki mereka melanggar belakang treler membawa muatan kayu di tempat kejadian pada jam 5 pagi.
“Arwah umi (ibu) sebelum ini sering berpesan kepada saya supaya menghafal surah Yasin kerana ia surah penting yang perlu dikuasai semua umat Islam.

 

“Hasil bantuan nenek dan ustaz di sekolah, saya sudah pandai membaca surah itu.
“Pada malam sebelum kejadian, saya beritahu umi bahawa saya sudah boleh membaca surah itu dan ibu sekadar tersenyum sambil berkata Alhamdulillah,” katanya ketika ditemui pada upacara pengebumian ibunya di Tanah Perkuburan Kampung Wa, di sini, semalam.
Menurutnya, meskipun terkilan kerana tidak sempat memperdengarkan bacaan Yasin kepada ibunya, hatinya tetap bangga kerana dapat membaca surah itu di kubur ibu dan bapanya yang terletak bersebelahan.

 

 

Dalam kemalangan itu, Khairul Azhar dari Batu 48, di sini, mengalami kecederaan parah di kepala dan badan serta patah kaki kanan apabila lori dipandunya merempuh belakang treler membawa muatan kayu.
Dia yang dikejarkan ke Hospital Bentong disahkan meninggal dunia pada jam 6.50 pagi, kelmarin.

 

Isterinya yang mengalami kecederaan parah di kepala pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh, pada jam 8.20 malam, kelmarin.
Ketika kemalangan, peniaga sayur itu dan isterinya dalam perjalanan menghantar petai ke Klang.
Syafiq berkata, pada malam sebelum kejadian, dia beberapa kali menghalang ibunya daripada mengikuti bapanya ke Klang, namun ibunya enggan mematuhi gesaannya sebaliknya memintanya masuk tidur.
“Malam itu juga saya ditinggalkan ayah dan umi di rumah nenek, Wan Esah Wan Abdullah, 52, di Kampung Balai Besar kerana mereka berdua hendak menghantar petai ke Klang.
“Saya sangat sedih kerana mereka tempat saya bermanja sudah pulang ke pangkuan Ilahi dan saya kini terpaksa menumpang kasih nenek serta ibu dan bapa saudara.
“Memang Syafiq sayang umi dan ayah, tapi nak buat macam mana, Tuhan lebih sayangkan mereka,” katanya yang akan dijaga Wan Esah selepas ini.
Syafiq berkata, dia yang belajar di Sekolah Kebangsaan Balai Besar, di sini, bertekad belajar bersungguh-sungguh dan bercita-cita menjadi pegawai tinggi bomba.
Sementara itu, adik ipar Khairul Azhar, Mohd Hisham Omar Zokry, 27, berkata, dia panik apabila mendapati muka abang iparnya tertusuk kayu selepas lori yang dipandu melanggar belakang treler berkenaan.
Menurutnya, sebelum kejadian, dia memandu bersama rakannya mengekori lori yang dinaiki mangsa tetapi kemudian ketinggalan agak jauh di belakang.
“Saya hendak menghantar mesin ke Kuala Lumpur, manakala abang ipar dalam perjalanan menghantar petai ke pasar di Klang dan sepanjang perjalanan itu, saya dan dia sentiasa berhubung antara satu sama lain.
“Pada jam 4.30 pagi, saya sekali lagi menghubungi arwah dan dia memberitahu sudah sampai di Karak dan 30 minit selepas itu, saya beberapa kali gagal menghubunginya sebelum melihat lori arwah berlanggar dengan treler apabila sampai di situ,” katanya.

Kurang peruntukan, personel punca aktiviti kokurikulum kurang bermaya – Utusan


Kurang peruntukan, personel punca aktiviti kokurikulum kurang bermaya

PUTRAJAYA 12 Okt. – Kementerian Pelajaran mendedahkan isu kekurangan peruntukan kewangan dan personel dilihat sebagai faktor yang menjadikan aktiviti kokurikulum di sekolah amat kurang bermaya atau setakat ala kadar.

Masalah tersebut berlaku bukan hanya di peringkat kementerian bahkan membabitkan peringkat jabatan pelajaran negeri (JPN), pejabat pelajaran daerah (PPD) dan sekolah.

Ia didedahkan dalam satu kertas kerja yang dibentangkan oleh Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian (BBK), Muhamet Roli Hassan pada Seminar Transformasi Kokurikulum Kebangsaan 2011 di sini hari ini.

“Berdasarkan tinjauan oleh BBK mengenai status pelaksanaan kokurikulum kalangan murid pada tahun ini mendapati aspek murid bukan penghalang untuk menjadikan aktiviti itu lebih baik.

“Mereka mengetahui dan menghayati kepentingan aktiviti itu sama ada untuk kesihatan diri mahupun untuk melanjutkan pelajaran masing-masing,” kata Muhamet Roli.

Mengulas lanjut perkara itu, beliau berkata, usaha melatih guru kokurikulum pula sering tidak menepati jumlah sasaran akibat peruntukan kursus yang diluluskan tidak menentu.

“Ini menyebabkan ramai guru yang terbabit menjadi guru ‘pemerhati’ kerana tiada kepakaran dan ilmu yang diperlukan.

“Jumlah peruntukan tahunan yang tidak menentu juga memberi kesan kepada bilangan aktiviti dan akhirnya mengurangkan peluang lebih ramai murid untuk terlibat sama,” katanya.

Di peringkat JPN, Muhamet Roli berkata, perjawatan sedia ada yang berjumlah lima orang tidak mampu menampung beban pengurusan antara 130 hingga 150 aktiviti peringkat negeri dalam setahun.

Malah, beliau menambah, keadaan itu menjadi lebih teruk apabila pengetua atau guru besar enggan melepaskan guru-guru bertugas di luar sekolah.

”Isu peruntukan tahunan yang tidak menentu menjejaskan perancangan peringkat negeri dan ini menyebabkan aktiviti yang dirancang itu sering tergendala atau dibatalkan.

“Sebagaimana JPN, peringkat PPD menghadapi isu sama yang berkaitan perjawatan dan peruntukan kewangan,” katanya.

Di peringkat sekolah, beliau berkata, isu penguatkuasaan peraturan dan pemantauan yang tidak mantap dianggap penyebab utama kepada kebanyakan pengurusan sekolah melaksanakan aktiviti itu seadanya sahaja.

“Tanpa menafikan faktor kekurangan tenaga mahir atau pakar, kegagalan guru-guru melaksanakan aktiviti itu lebih kepada kegagalan pihak pengurusan sekolah mewujudkan budaya kokurikulum di sekolah,” katanya.