Susu PS1M selamat untuk diminum – Bernama


Susu PS1M selamat untuk diminum

2011/10/13

KUALA LUMPUR: Susu yang diedarkan di bawah Projek Susu Sekolah 1Malaysia (PS1M) oleh syarikat tenusu terkenal Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady) adalah selamat untuk diminum oleh murid sekolah.

Ketua Jabatan Korporat dan Hal Ehwal Kawal Selia Dutch Lady, Rohana Safinah Abdul Hamid, berkata pengedaran susu PS1M ke seluruh negara oleh syarikat itu sentiasa dikawal rapi bagi mengelakkan berlakunya kerosakan, terutama ke kawasan luar bandar.

Di bawah projek PS1M yang bermula April lalu, seramai 1.5 juta murid dari 8,000 sekolah di seluruh negara mendapat manfaatnya.

Beliau juga berkata, pihaknya sentiasa memantau proses pengedaran itu dan setiap sekolah akan dibekalkan dengan ‘pallet’ untuk meletak karton susu bagi mengelakkan kerosakan.

” Sementara guru akan diajar oleh pegawai kami yang turun padang mengenai cara untuk melindungi susu daripada tercemar,” katanya pada majlis lawatan dan penerangan media ke syarikat itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, setiap bungkusan yang dihantar ke sekolah luar bandar khususnya pedalaman diselia dengan rapi dan pengedaran ditapis berulang kali untuk mengelakkan berlaku sebarang kerosakan.

Menyentuh mengenai pemberhentian sementara syarikat itu dalam projek susu sekolah pada 2007, ini adalah kerana untuk menambah baik pelaksanaan projek itu dan bukannya disebabkan isu keracunan susu seperti yang diwar-warkan.
“Pihak kami sudah menganalisis isu yang timbul dan sehingga kini, kami masih belum menerima sebarang kes keracunan berpunca daripada susu keluaran syarikat kami,” katanya,

Rohana berkata, kualiti susu PS1M yang diedarkan kepada murid sekolah itu adalah sama dengan kualiti susu yang dijual di pasaran.

Bagi program kali ini, pelbagai usaha penambah baik telah dilakukan termasuk mendidik guru dan murid sekolah luar bandar mengenai khasiat susu dan cara pengambilannya sebagai satu corak amalan hidup yang sihat.

Sementara itu, pakar jaminan pengurusan kualiti Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd Rina Yeo berkata bungkusan susu yang digunakan untuk PS1M itu mengandungi enam lapisan bagi setiap kotak dan selagi bungkusan dijaga dengan baik, susu adalah selamat untuk diminum.

“Sebelum bungkusan itu diedarkan, ia akan disemak berulang kali termasuklah produk tenusu selain bungkusannya,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s