Muhyiddin lancar serentak tiga IPG Sukan – Berita Harian


Muhyiddin lancar serentak tiga IPG Sukan 

2011/10/15

SEREMBAN: Tiga Institut Pendidikan Guru (IPG) Sukan, IPG Kampus Perlis, Kampus Raja Melewar dan Kampus Tun Abdul Razak Sarawak dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di IPG Sukan Kampus Raja Melewar, di sini sebentar tadi.

Wajibkan Bahasa Melayu langkah positif – Bernama


Wajibkan Bahasa Melayu langkah positif

2011/10/15

KUALA LUMPUR: Beberapa agensi kerajaan dan kementerian berpendapat langkah mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pentadbiran sebagai tindakan positif dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Mereka secara amnya sedang melaksanakan langkah itu yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Haizuhailie Baharuddin berkata JMM sedang melaksanakan penggunaan bahasa Melayu secara menyeluruh dalam urusan seperti mesyuarat jabatan, surat-menyurat dan seminar tanpa “merojakkan” bahasa berkenaan.

“Kita rasa Pekeliling yang akan dikeluarkan kerajaan berhubung penggunaan bahasa Melayu itu satu langkah positif bagi memantapkan penggunaan bahasa Melayu secara lebih meluas dalam kalangan agensi kerajaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

“Kebanyakan kita mencampur-adukkan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, dan ini tidak mencerminkan kita serius untuk menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi. Kalau sudah diwajibkan menggunakan bahasa Melayu, kita tidak boleh menggunakan bahasa Inggeris,” kata Haizuhailie.

Haizuhailie berkata, sebagai contoh, JMM akan menggunakan dwi-bahasa dalam sebarang kertas kerja melibatkan pihak antarabangsa, dan akan menterjemahkan kertas kerja yang diterima dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu.

Semalam, Muhyidin berkata Kabinet bersetuju dengan keputusan menggunakan bahasa kebangsaan bertujuan memantapkan peranan bahasa itu dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran kerajaan.
Satu Pekeliling Perkhidmatan berkaitan panduan penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam dijangka dikeluarkan untuk tujuan berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Kesihatan Harun Maddash pula berkata dasar itu wajar diperluas ke agensi bukan kerajaan.

“Sekiranya langkah itu dapat dilaksanakan di semua jabatan kerajaan dan sektor swasta, saya percaya bahasa Melayu mampu diangkat setanding dengan bahasa ibunda negara lain seperti di Jepun dan China,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan sesetengah perkataan perubatan dalam bahasa Inggeris sukar diterjemahkan ke bahasa Melayu, menyebabkan penggunaan bahasa Inggeris terpaksa diteruskan.

Tetapi, perkataan yang sudah diterjemah ke bahasa Melayu akan digunakan dalam urusan rasmi harian.

Sambil menganggap langkah yang diumumkan Muhyiddin itu sebagai rasional, Ketua Bahagian Komunikasi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Tarbiyah Bachik, berkata pihaknya telah mengadakan pelbagai bengkel dan kursus bagi memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi perbadanan.

Beliau menegaskan semua kakitangan kerajaan wajar menunjukkan contoh yang baik kepada agensi bukan kerajaan dengan menggunakan bahasa Melayu untuk segala urusan rasmi pentadbiran kerajaan. – BERNAMA

Padah enggan merokok – Metro


Padah enggan merokok

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: Sekumpulan enam murid lelaki darjah lima sebuah sekolah rendah, di sini layak digelar ‘gangster junior’ apabila sanggup bertindak membuli seorang murid sekolah sama dengan membuang air kecil ke atas badan kanak-kanak itu hanya kerana mangsa enggan menghisap rokok, petang kelmarin.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa yang juga murid darjah lima sekolah sama sedang bermain di padang permainan kawasan perumahan Taman Mega Jaya, di sini, sebelum dihampiri kumpulan kanak-kanak terbabit.
“Mereka yang melihat mangsa sedang bermain-main di padang berkenaan kemudian bertindak memanggilnya. Mangsa yang dipercayai sering dibuli kemudian menghampiri kumpulan itu.

 

“Kumpulan itu kemudian memaksa mangsa berbaring di tepi longkang. Namun mangsa enggan berbuat demikian menyebabkan dia dipukul dua ahli kumpulan itu dengan dua batang kayu beberapa kali,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang kesakitan kemudian terpaksa menurut perintah itu dengan berbaring di tepi longkang sambil dikelilingi ahli kumpulan itu.
Difahamkan, salah seorang ahli kumpulan itu turut merakam aksi buli mereka menggunakan telefon bimbit.

 

 

“Salah seorang daripada mereka kemudian bertindak memberi rokok kepada mangsa dan memaksanya menghisap rokok itu namun mangsa sekali lagi enggan.
“Kali ini, mereka bertindak lebih kejam apabila meletakkan rokok di mulut mangsa dan memaksanya menghisap rokok itu sambil memukulnya beberapa kali,” katanya.

Ditemui lemas – Metro


Ditemui lemas

Oleh Hamzah Osman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

LANGKAWI: Seorang bapa nekad terjun ke dalam kolam lombong pasir sedalam 3.5 meter untuk mencari anak lelakinya berusia 12 tahun yang dipercayai tergelincir ke dalam kolam itu di Kampung Gelam, Mukim Kedawang di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, Mohd Aiman, yang pendiam dan jarang keluar rumah, dikatakan terjatuh ke dalam kolam itu ketika bermain dengan dua rakannya.
Bagaimanapun, pencarian Ali Mat Akob, 49, berakhir kekecewaan apabila anak kelima daripada enam beradik itu ditemui lemas dalam kolam berkenaan selepas mencari kira-kira 15 minit.

 

“Ketika kejadian, saya sedang membuat kerja sekitar rumah apabila seorang rakan datang dalam tergesa-gesa memberitahu anak saya jatuh ke dalam kolam dan tidak timbul-timbul.
“Saya bergegas ke tempat kejadian yang jaraknya kira-kira 500 meter dari rumah dan mendapati tempat itu sunyi serta tiada sesiapa di situ,” kata Ali ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Langkawi (HL), di sini.
Berikutan itu, Ali terjun untuk mencari anaknya tetapi gagal kerana air kolam keruh dan dalam, memaksanya naik semula ke darat untuk meminta bantuan rakan.

 

 

“Beberapa minit kemudian, dua pekerja syarikat mengorek pasir berkenaan datang membawa tali untuk membantu usaha mencari sebelum seorang penduduk menemui mayat anak saya di dasar kolam.
“Saya sendiri yang menyambut mayat Mohd Aiman di tebing kolam dan mengesyaki dia sudah lama jatuh dan tenggelam dalam kolam itu selepas melihat keadaan matanya yang menonjol keluar,” katanya.

 

Ali berkata, tiada kelakuan ganjil ditunjukkan Mohd Aiman sebelum kejadian kecuali beria-ria mahu ke rumah abangnya di Sepang, Selangor pada cuti sekolah nanti.
“Arwah baru lepas mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan sebelum ini dia selalu memberitahu saya atau isteri kalau mahu ke mana-mana, tetapi hari ini, kami tidak tahu dia ke kolam itu.
“Mungkin ajalnya sudah sampai dan saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya yang turut meminta pengusaha projek gali pasir berkenaan membina pagar bagi mengelak kejadian sama berulang.
Rakan mangsa, Mohd Akif Danial Ridzuan, 10, berkata sebelum kejadian dia dan mangsa serta seorang lagi rakan mereka keluar berbasikal dan bermain berhampiran kolam tapak gali pasir berkenaan.
“Ketika berada di tebing kolam Mohd Aiman tiba-tiba hilang kawalan selepas cuba membersihkan bajunya yang terkena pasir lalu terjatuh ke dalam kolam dan tenggelam. Kawasan itu memang selalu jadi tempat kanak-kanak bermain,” katanya.
Jenazah Mohd Aiman yang juga pelajar Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Kedawang di sini, dibawa ke Bilik Mayat HL untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya jam 9.45 malam.
Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Anak ditemui melalui facebook – Metro


Anak ditemui melalui facebook

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KANGAR: “Nasib baik saya simpan kata laluan facebook milik Nurul Nursyawatie, memudahkan saya dan suami mengesannya berdasarkan maklumat rakan anak perempuan saya dalam laman sembang terbabit,” kata Norhafiza Nordin, 37, yang bersyukur dapat menemui semula anak sulungnya yang hilang dua hari lalu.

Berdasarkan maklumat daripada facebook itu, Nurul Nursyawatie Mohd Sabri, 14, ditemui semula ketika bersiar-siar bersama rakannya di pasar malam di Sungai Batu, Teluk Kumbar, Pulau Pinang, kira-kira jam 9 malam kelmarin selepas 36 jam dilaporkan hilang.
“Ketika berjumpa hati saya cukup gementar dan mengalir air mata kerana tidak dapat menahan sebak sebaik bertemu dengan Nurul bersama kawannya dikenali sebagai Amira di pasar malam itu.

 

“Nurul terkejut kerana tidak menjangka bertemu dengan saya dan bapanya (Mohd Sabri Samat) yang bergegas ke Pulau Pinang selepas memperoleh maklumat daripada rakan Nurul menerusi facebook miliknya.
“Saya memberi kebebasan kepada anak menggunakan Internet termasuk melayari facebook tetapi kata laluannya saya simpan bagi memudahkan pemantauan,” katanya.

Senyuman bernanah – Metro


Senyuman bernanah

Oleh Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Dosanya amat kecil – melemparkan senyuman ke arah sekumpulan gadis, namun hukuman diterima seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun terlalu berat apabila dia dibelasah sehingga bengkak bibir dan bernanah telinga.

Dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Jalan Jelatek di sini, pada jam 5.30 petang 7 Oktober lalu, mangsa yang berada di rumah neneknya dihubungi seorang rakan yang mengajaknya bertemu di tingkat 16 pangsapuri berkenaan.

Menurut sumber, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa memenuhi pelawaan rakan berkenaan dan sebaik tiba di tempat dijanjikan, pelajar tingkatan tiga itu terkejut apabila mendapati 10 remaja perempuan menunggu kedatangannya.

“Tiga daripada mereka meluru ke arahnya dalam keadaan marah dan mempersoalkan tindakannya yang tersenyum ketika melihat mereka beberapa hari lalu.

 
“Bagaimanapun, mangsa berdiam diri. Tindakan mangsa membisu mengundang marah kumpulan remaja terbabit lalu memukulnya beberapa kali di badan,” katanya.

Kenaikan gaji guru setimpal beban tugas: NUTP – Berita Harian


Kenaikan gaji guru setimpal beban tugas: NUTP

2011/10/15

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyifatkan kenaikan gaji kakitangan awam terutama guru pada pembentangan Bajet 2012 oleh kerajaan baru-baru ini adalah selaras dengan bebanan kerja dihadapi warga pendidik kini.

Presiden NUTP, Hashim Adnan, berkata jika dibandingkan negara maju, gaji warga pendidik mereka lebih tinggi berbanding gaji kakitangan awam di kementerian lain kerana guru adalah aset melahirkan modal insan cemerlang.

“Memang pengumuman Bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kali ini menyaksikan kenaikan gaji kakitangan awam yang mana guru mendapat sedikit kelebihan, namun, bagi saya ia bertepatan dengan tugas dan tanggungjawab guru kini.

“Jika kita lihat negara maju, Jepun, Sweden dan Korea, gaji warga pendidik mereka adalah tinggi. Begitu juga dengan negara jiran kita Singapura,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pengumuman bajet itu menyaksikan golongan guru yang meliputi kira-kira sepertiga daripada 1.2 juta penjawat awam mendapat kenaikan gaji terbesar menerusi Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Guru bukan siswazah menerima kenaikan sehingga 39 peratus, manakala guru siswazah menerima kenaikan 37.7 peratus. Sebagai contoh, gaji maksimum guru bukan siswazah gred DGA34 dinaikkan daripada RM3,860 di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) kepada RM5,370 mengikut SBPA. Bagi guru siswazah pula, gaji maksimum gred DG48, di bawah SSM ialah RM6,325 menjadi RM8,710 mengikut SBPA.

Sementara itu, Hashim turut menggesa pihak pentadbiran sekolah agar tidak menyekat warga pendidik berusia 47 tahun ke bawah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.
Kementerian Pelajaran katanya, sudah mengeluarkan pekeliling September lalu dengan membuka peluang kepada warga pendidik lepas diploma untuk menyambung pengajian.