Guru kerugian RM6,000 rumah dimasuki pencuri – Bernama


Guru kerugian RM6,000 rumah dimasuki pencuri

2011/10/16

PEKAN: Seorang guru wanita di sebuah sekolah rendah kerugian kira-kira RM6,000 apabila rumahnya di Taman Tanah Putih Baru di sini dimasuki pencuri hari ini.

Mangsa, Khairatul Azlina Abdul Karim, 33, hanya menyedari kejadian berkenaan pada jam 9 pagi setelah pulang ke rumah selepas bermalam di rumah ibunya.

Katanya, dia bersama empat anak lelakinya yang berusia antara lima bulan dan lima tahun meninggalkan rumah kira-kira jam 11.30 malam semalam untuk tidur di rumah ibunya yang terletak kira-kira 2 kilometer dari situ berikutan ketiadaan suaminya yang berkursus di Perlis sejak minggu lalu.

“Ketika membuka pintu rumah, saya terkejut kerana keadaan di dalam rumah berselerak dan pintu di bahagian tepi rumah terbuka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Hasil pemeriksaan, dia mendapati sebuah komputer riba, kamera digital, sebentuk cincin emas dan tiga tabung duit syiling milik anaknya yang keseluruhan bernilai kira-kira RM6,000 hilang.

Khairatul Azlina berkata, dia kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan.

“Mujur saya anak-beranak tergerak hati untuk tidur di rumah ibu, siapa tahu apa akan terjadi pada kami,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pekan Deputi Superintinden Amran Sidek mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. – BERNAMA

Ajal gadis sunti – Metro


Ajal gadis sunti

Laporan dan foto SITIE NURHAJATULZIEMAH MOHD NOR
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PARAH... mangsa dibantu pasukan penyelamat.
PARAH… mangsa dibantu pasukan penyelamat.

REMBAU: Hasrat seorang remaja menghabiskan cuti hujung minggu bersama rakan dipercayai teman lelakinya meragut nyawanya selepas dia terbunuh dihempap dahan pokok pulai seberat lapan tan di Hutan Lipur Gunung Datuk, di sini, semalam.

Nor Syahira Mat Edde, 14, dari Kem Terendak, Melaka dikejarkan ke Hospital Tampin kerana cedera parah di badan, tangan dan kaki, namun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di bilik kecemasan.
Rakannya, Mohammad Zul Afiq Abdullah, 22, turut dihempap pokok berkenaan namun hanya cedera di kepala.

 

Difahamkan, dalam kejadian jam 11.40 pagi, kedua-dua mangsa baru meletakkan motosikal yang ditunggangi berhampiran pokok berkenaan.
Menurut saksi yang juga penyelia hutan lipur itu, Abdul Rahman Idrus, 40, ketika kejadian, dianggarkan lebih 200 pengunjung dan pendaki berada di kawasan tapak kaki gunung itu.
“Difahamkan dua remaja dari Kampung Melekai, Johol, itu baru meletakkan motosikal berhampiran pokok berkenaan.

 

 

“Kami kemudian terdengar jeritan kuat dan terkejut melihat seorang lelaki dan perempuan cedera di kepala dan kaki selepas dihempap pokok. Selain itu beberapa kenderaan dan motosikal turut dihempap dahan pokok,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurutnya, kejadian itu pertama kali berlaku di hutan lipur berkenaan sepanjang menyelia kawasan itu sejak November tahun lalu.

 

Sementara itu, seorang lagi saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad, 45, berkata ketika kejadian dia mencari tempat letak kenderaan selepas menurunkan empat anaknya untuk mandi di kawasan jeram itu.
Menurutnya, sebaik meletakkan kereta, dia dikejutkan dengan bunyi kuat seperti benda jatuh.
“Saya terperanjat mendapati dahan pokok jatuh dan terkena bahagian depan kereta, mujur ketika itu hanya saya di dalamnya,” katanya. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Zamrus Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.58 pagi dan enam anggota serta sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
“Pasukan bomba mengambil masa 30 minit untuk membersihkan laluan yang terhalang dengan dahan pokok.
“Siasatan mendapati pokok pulai dipercayai berusia 200 tahun seberat lapan tan itu sudah reput, menyebabkan ia tumbang,” katanya.
Kejadian itu menyebabkan kecederaan dan kerosakan pada kenderaan lain membabitkan dua kereta, dua motosikal dan satu basikal.

Saya maafkan – Metro


Saya maafkan

Oleh SHAMRAN SARAHAN
shamss@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Yang lepas tu… lepaslah. Cukuplah dengan apa yang berlaku, saya tidak mahu ia berlanjutan,” kata pelajar berusia 15 tahun yang dilaporkan dikeroyok 10 gadis gengster sehingga bibir bengkak dan telinga bernanah.

Menurutnya, kumpulan gadis berkenaan menyesali tindakan dilakukan hingga menyebabkannya cedera di beberapa bahagian badan.
“Mereka juga tampil untuk meminta maaf. Bagi saya, ia sudah memadai,” katanya ketika dihubungi.

 

Gadis yang tidak mahu namanya didedahkan itu turut berharap perkara seumpama itu tidak akan berlaku lagi dan rakan yang memukulnya sedar perbuatan mereka.
Katanya, keluarga masing-masing turut tampil dan campur tangan, tetapi ia dapat diselesaikan dengan cara baik.
“Kami dinasihatkan supaya tidak timbulkan pergaduhan lagi.

 

 

“Semua yang berlaku menjadi pengajaran buat saya dan pada masa sama saya tidak mahu memikirkannya lagi.
“Saya juga memaafkan perbuatan mereka terhadap saya.

 

“Saya tidak ambil hati lagi,” katanya yang juga anak sulung daripada tiga beradik.
Dalam laporan akhbar ini semalam, gadis yang menjadi mangsa ini bukan saja cedera teruk dipukul, malah dipaksa merokok dan menelan bara rokok, pada 7 Oktober lalu.
Mangsa yang tidak mempedulikan arahan kumpulan terbabit terus dipukul dan diterajang selain ditampar di pipi sehingga jatuh ke lantai.
Difahamkan, mangsa dipukul hanya kerana dia melemparkan senyuman yang membuatkan kumpulan gadis terbabit tersinggung beberapa hari sebelum kejadian berlaku.
Mangsa dibawa oleh ibunya untuk menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 13 Oktober lalu selepas bibir mangsa membengkak dan telinganya bernanah.
Bimbang kumpulan remaja itu mengulangi perbuatan mereka, mangsa turut membuat laporan polis di Pondok Polis HKL.

‘Bayaran RM100 lebih awal’ – Berita Harian


‘Bayaran RM100 lebih awal’
Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my
2011/10/16

Usaha ringankan beban ibu apa sebelum sesi persekolahan 2012

PORT DICKSON: Kerajaan akan cuba membayar bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Belanjawan 2012 pada Disember ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pembayaran lebih awal itu bertujuan meringankan beban ibu bapa sebelum musim persekolahan tahun depan bermula.

Katanya, kerajaan pada mulanya hendak membayar pada Januari depan, tetapi Perdana Menteri yang ditemui kelmarin bersetuju memberi kelonggaran kerana bantuan itu dapat membantu ibu bapa membeli pelbagai kelengkapan sekolah.

“Kementerian Pelajaran dan Kewangan akan berusaha sebaik mungkin merealisasikan pembayaran lebih awal kepada kira-kira 5.3 juta pelajar,” katanya selepas majlis penyerahan dokumen hak milik di Kampung Paya dekat sini, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bantuan kepada setiap pelajar membabitkan perbelanjaan lebih RM500 juta.

Mengulas mekanisme pembayaran, katanya pemberian wang secara tunai itu dibuat melalui setiap sekolah di bawah Kementerian Pelajaran dan tidak membabitkan sekolah persendirian atau swasta.
Sementara itu, katanya kerajaan mempertimbangkan untuk mencari beberapa negara lain bagi memenuhi keperluan pembantu rumah di negara ini, selain mungkin memperkenalkan program latihan untuk rakyat tempatan untuk bekerja di sektor itu.

“Ada banyak kemungkinan untuk memenuhi permintaan itu, kita tunggu dan lihat,” katanya ketika mengulas keputusan kerajaan Kemboja melarang penghantaran pembantu rumah dari negara itu ke negara ini yang dikatakan menghadapi penderaan, termasuk dipukul dan dirogol.

Beliau berkata, kerajaan memahami bahawa pembantu rumah sangat penting dalam sesetengah keluarga, tetapi pengharaman penghantaran pembantu rumah Indonesia ke negara ini juga belum diselesaikan, tetapi yakin dapat dileraikan atas semangat ASEAN.

Pelajar miskin wajar dikecuali yuran PIBG – Berita Harian


Pelajar miskin wajar dikecuali yuran PIBG 

2011/10/16

MOHD PUAD sambil diperhatikan Hussain  (kiri) bertanyakan sesuatu kepada peserta Smart Remaja  selepas majlis perasmian program berkenaan di Sekolah Kebangsaan Berangan 2,  di Tumpat, semalam.

MOHD PUAD sambil diperhatikan Hussain (kiri) bertanyakan sesuatu kepada peserta Smart Remaja selepas majlis perasmian program berkenaan di Sekolah Kebangsaan Berangan 2, di Tumpat, semalam.

TUMPAT: Ibu bapa pelajar sekolah yang kurang berkemampuan perlu diberi pengecualian membayar yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi mengelakkan mereka dibebankan bayaran untuk anak masing-masing.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata keputusan menetapkan sejumlah bayaran oleh PIBG kepada ibu bapa pelajar sekolah perlulah dilakukan secara muafakat dan mengikut keutamaan.

“Bukan mudah untuk menetapkannya (bayaran PIBG di sekolah) kerana ada ibu bapa di Kuala Lumpur dan Damansara Utama sanggup membayar lebih, jadi susah nak hadkan.

“Bagi saya, biarlah PIBG buat keputusan secara muafakat dengan ahlinya untuk menentukan sesuatu yuran tambahan, saya sudah sebut banyak kali supaya tumpukan kepada yang utama, jika ibu bapa tak mampu sepatutnya dikecualikan,” katanya selepas Majlis Perasmian Smart Remaja di Sekolah Kebangsaan (SK) Berangan 2 di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang.

Sebelum ini, akhbar melaporkan PIBG diminta berunding dengan ibu bapa mengenai yuran yang mahu dikenakan kepada pelajar bagi mengelak timbul kekeliruan berikutan pemansuhan yuran sekolah seperti diumumkan dalam Bajet 2012.

Berikutan itu, Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling kepada semua sekolah supaya setiap keputusan yang mahu dijalankan PIBG mesti mendapat persetujuan ibu bapa dan guru besar atau pengetua bagi mengelak berlaku sebarang masalah.
Mengulas mengenai peruntukan tambahan RM1 bilion melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah dalam Bajet 2012, Dr Mohd Puad berkata, pihaknya menjangkakan masalah membabitkan bangunan 2,209 sekolah di seluruh negara yang rosak teruk dapat diselesaikan tahun depan.

“Apabila dapat peruntukan tambahan menerusi tabung yang diumum Perdana Menteri, kita yakin boleh selesaikan tahun depan. Kebanyakan sekolah yang mengalami masalah berkenaan ialah di Sabah dan Sarawak, oleh itu, kita berharap dapat selesaikan secepat mungkin,” katanya.

Ramai pelajar habiskan masa layari laman sosial – Bernama


Ramai pelajar habiskan masa layari laman sosial

2011/10/16

KANGAR: Ahli Parlimen Arau, Datuk Ismail Kasim melahirkan rasa bimbang dengan fenomena masa kini yang menunjukkan ramai pelajar di negara ini menghabiskan masa melayari laman sosial tanpa kawalan dan mendapatkan maklumat yang diragui daripadanya.

Ada kajian menunjukkan lebih 60,000 pelajar menghadap komputer lebih empat jam sehari semata-mata untuk melayari laman sosial termasuk facebook, katanya tanpa menyatakan sumber kajian itu.

Bercakap kepada para pemberita selepas menyampaikan hadiah pertandingan karaoke 1Malaysia di Kampung Kebun, Arau dekat sini malam tadi, beliau bimbang fenomena itu akan merugikan masa depan mereka.

Ismail berkata, ada pelajar yang berterusan membuang masa dengan laman sosial meskipun di saat menghadapi peperiksaan penting.

Antara kesan negatif melayari laman sosial tanpa kawalan termasuk ada kes pelajar lari daripada rumah kerana ingin bertemu rakan barunya yang dikenali dalam laman itu selain kemerosotan pelajaran, katanya.

Ismail yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian Arau juga bimbang dengan sikap orang ramai yang gemar mendapatkan maklumat mengenai perkara terkini melalui sumber yang diragui di internet.

Menurutnya, mereka sepatutnya mematangkan diri dengan mendapatkan maklumat sebenar mengenai negara dan sesuatu perkara melalui media arus perdana dan sumber yang sebenarnya. – BERNAMA

Wajibkan BM langkah positif – Bernama


Wajibkan BM langkah positif

KUALA LUMPUR 15 Okt. — Beberapa agensi kerajaan dan kementerian berpendapat langkah mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pentadbiran sebagai tindakan positif dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Mereka secara amnya sedang melaksanakan langkah itu yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Muzium Malaysia (JMM) Haizuhailie Baharuddin berkata, JMM sedang melaksanakan penggunaan bahasa Melayu secara menyeluruh dalam urusan seperti mesyuarat jabatan, surat-menyurat dan seminar tanpa “merojakkan” bahasa tersebut.

“Kita rasa Pekeliling yang akan dikeluarkan kerajaan berhubung penggunaan bahasa Melayu itu satu langkah positif bagi memantapkan penggunaan bahasa Melayu secara lebih meluas dalam kalangan agensi kerajaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Kesihatan Harun Maddash pula berkata, dasar itu wajar diperluas ke agensi bukan kerajaan.

“Sekiranya langkah itu dapat dilaksanakan di semua jabatan kerajaan dan sektor swasta, saya percaya bahasa Melayu mampu diangkat setanding dengan bahasa ibunda negara lain seperti di Jepun dan China,” katanya.

Sambil menganggap langkah yang diumumkan Muhyiddin itu sebagai rasional, Ketua Bahagian Komunikasi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Tarbiyah Bachik berkata, pihaknya telah mengadakan pelbagai bengkel dan kursus bagi memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi perbadanan.

Beliau menegaskan semua kakitangan kerajaan wajar menunjukkan contoh yang baik kepada agensi bukan kerajaan dengan menggunakan bahasa Melayu untuk segala urusan rasmi pentadbiran kerajaan. — BERNAMA

Bantuan pelajar diagih Disember – Utusan


Bantuan pelajar diagih Disember

 

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
pengarang@utusan.com.my

 

TELUK KEMANG 15 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberitahu pemberian wang bantuan RM100 kepada 5.3 juta pelajar sekolah menengah dan rendah seperti diumumkan dalam Bajet 2012, akan disalurkan pada Disember ini.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan selepas kerajaan menimbangkan bantuan tersebut perlu diberikan kepada ibu bapa atau keluarga pelajar terbabit sebelum sesi persekolahan bermula.

Untuk itu, katanya, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kewangan akan berbincang mencari kaedah sesuai bagi memastikan peruntukan kira-kira RM500 juta itu sampai kepada golongan sasar.

”Pada mesyuarat Kabinet semalam saya memberitahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam hal sebegini kita minta satu kelonggaran supaya wang bantuan ini diberikan sebelum masuk tahun hadapan.

”Perkara ini bukan satu luar biasa walaupun kita tahu Bajet 2012 perlu dimulakan pada tahun depan. Pertimbangan kita berdasarkan pada kebiasaannya ibu bapa atau keluarga akan membeli kelengkapan persekolahan pada bulan Disember,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Kampung Paya di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad serta pemimpin-pemimpin BN peringkat bahagian.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, pemberian bantuan tersebut adalah dalam bentuk tunai dan ia akan dibayar di sekolah.

”Mekanisme yang terbaik adalah di sekolah kerana di sini (sekolah) mempunyai rekod yang lengkap mengenai setiap data pelajar. Dengan pemberian bantuan ini bermakna semua pelajar berhak menerima peruntukan itu tidak kira daripada kumpulan mana sekalipun,” katanya lagi.

Menjawab satu soalan, beliau berkata, bantuan tersebut hanya untuk pelajar dalam sistem persekolahan di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran.

”Diharap pemberian daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) ini akan dapat mengurangkan beban ibu bapa serta keluarga mereka terutama yang mempunyai ramai anak bersekolah,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan tidak berhasrat melaksanakan cadangan mengenakan syarat 80 peratus kehadiran para pelajar sebelum dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata, ini kerana pelajar-pelajar tersebut mempunyai sebab tertentu menyebabkan mereka tidak hadir ke sekolah dalam tempoh yang panjang antaranya menghadapi masalah kesihatan.

”Siapa sahaja yang berada di tingkatan lima berhak untuk menduduki SPM dan kita tidak boleh menghalang mereka. Lulus atau tidak itu terpulang kepada mereka tetapi mereka tetap boleh mengambil peperiksaan,” katanya.

TPM: Sains, Matematik ke bahasa Melayu langkah tepat – Utusan


TPM: Sains, Matematik ke bahasa Melayu langkah tepat

MUHYIDDIN Yassin dan Mohamad Hasan bersama sebahagian kanak-kanak terlibat aktiviti sukan menunjukkan isyarat 1Malaysia di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

 

SEREMBAN 15 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan peralihan pembelajaran subjek Sains dan Matematik daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu sebagai satu langkah tepat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan itu seiring dengan usaha kerajaan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di negara ini.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil pandangan semua pihak dan majoriti rakyat mahukan kedua-dua mata pelajaran berkenaan diajar dalam bahasa Melayu.

“Kita juga mendapati peratusan golongan yang mahukan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah terlalu kecil,” katanya menjawab satu soalan pada Majlis Dialog Warga Pendidik di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar (IPGRM) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdul Razak Mansor; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud dan Pengarah IPGRM, Musa Abdullah.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, selepas enam tahun PPSMI dilaksanakan pihak kementerian mendapati ia tidak mencapai sasaran.

Menurutnya, antara masalah yang timbul ialah bilangan pelajar yang menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar amat rendah.

“(Daripada segi guru) Kita belum mempunyai keupayaan dan kebolehan, sebagai contoh ada guru yang mahir dalam bahasa Inggeris tetapi tidak mahir untuk mengajar subjek Matematik dan Sains.

“Begitu juga guru yang mahir dalam subjek Matematik dan Sains tidak pula mempunyai kepakaran mengajar kedua-dua subjek ini dalam bahasa Inggeris,” jelas beliau.

Terdahulu berucap pada majlis pelancaran Institut Perguruan Kebitaraan Sukan (IPKS) di padang IPGRM, beliau memaklumkan tiga institut perguruan iaitu Institut Perguruan Kampus Perlis, Institut Perguruan Kampus Tun Abdul Razak dan IPGRM dipilih menjadi IPKS.

Katanya, tiga kampus itu dipilih bagi memberi tumpuan dalam aspek pembudayaan sukan dalam masyarakat sekali gus memenuhi objektif dasar 1Murid 1Sukan yang diperkenalkan oleh kerajaan.

“Pengiktirafan ini merupakan satu penghormatan kepada institut perguruan dalam usaha memartabatkan sukan di Malaysia,” katanya.