Bayi baru lahir ditemui mati dengan kesan kelaran di asrama sekolah – Metro


Bayi baru lahir ditemui mati dengan kesan kelaran di asrama sekolah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BETONG: Seorang bayi perempuan yang dipercayai dilahirkan kurang daripada 24 jam lalu, ditemui mati dengan kesan kelaran di bilik asrama perempuan sebuah sekolah menengah, di sini hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Betong ASP Hendry Nyuhai berkata susulan kejadian itu, polis menahan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun pada 9.15 pagi tadi bagi membantu siasatan.

“Selepas menerima laporan daripada pihak sekolah, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Betong ke lokasi kejadian dan menemui seorang bayi perempuan yang sudah meninggal dengan beberapa kesan luka di bahagian leher, perut dan belakang badan,” katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau berkata mayat bayi malang itu ditemui terbaring bersebelahan katil pelajar perempuan berkenaan.

 
Katanya polis turut merampas sebilah pisau yang ditemui disorokkan dalam selimut di tempat kejadian.
Pelajar perempuan itu dihantar ke Hospital Umum Betong bagi mendapat rawatan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama

Pengesahan oleh JPN/PPD bagi Permohonan Kemasukan Ke Sekolah Berasrama Penuh Tingkatan 4


Pengesahan oleh JPN/PPD bagi Permohonan Kemasukan Ke Sekolah Berasrama Penuh Tingkatan 4

 

Untuk keterangan lanjut lawat http://apps.moe.gov.my/sbpt4/2011_jpn/login_sah.cfm

Permohonan ke Program Pensiswazahan Guru (PPG) Ambilan 2012 bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma


Permohonan ke Program Pensiswazahan Guru (PPG) Ambilan 2012 bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma

Sukacita dimaklumkan bahawa permohonan ke Program Pensiswazahan Guru (PPG) Ambilan 2012 telah dibuka bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma di bawah lantikan SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PELAJARAN (SPP). Sila baca terma dan syarat-syarat permohonan dengan teliti sebelum memohon di sini. Sebarang pertanyaan dan masalah boleh hubungi Bahagian Pendidikan Guru (BPG) di 03-88841269 / 1166 / 1323 /1271 / 1272 / 1270.

Guru dari KL dicekup khalwat di Teluk Intan – Metro


Guru dari KL dicekup khalwat di Teluk Intan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TELUK INTAN: Seorang guru wanita sanggup mengharungi perjalanan dari Setapak, Kuala Lumpur ke rumah kekasihnya di Kampung Baru Batu 9, Changkat Jong, di sini, semata-mata mahu memadu kasih.

Paling mengejutkan, guru berusia 25 tahun dari Terengganu itu sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu di rumah bakal mentuanya ketika ibu bapa pasangannya tiada di rumah.
Bagaimanapun, tembelang pasangan itu dikesan penduduk kampung apabila mereka dicekup dalam serbuan dilakukan beberapa Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Hilir (PAIDHP) selain dibantu anggota polis pada malam Khamis lalu.

 

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, serbuan yang turut disertai imam, pegawai masjid serta beberapa Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menemui pasangan itu di dalam rumah berkenaan.
Difahamkan, pasangan itu enggan membuka pintu menyebabkan penguat kuasa terpaksa memecahkan pintu hadapan rumah itu.
Sumber berkata, sebaik berjaya masuk ke dalam rumah, pasangan itu dilihat sedang berbaring di atas tilam di dalam sebuah bilik.

 

 

Katanya, pihaknya mendapati wanita berkenaan yang kini mengajar di sebuah sekolah di Setapak ditemui berselimut di katil, manakala pasangannya yang juga seorang kontraktor dari Changkat Jong hanya memakai tuala mandi.
“Mereka gagal menunjukkan dokumen untuk mengesahkan mereka sudah menjadi suami isteri apabila pegawai PAIDHP meminta berbuat demikian,” katanya.

 

Katanya, pihaknya sudah lama mengintai aksi tidak bermoral pasangan itu sejak dua minggu lalu sebelum mengambil keputusan untuk membuat serbuan.
Difahamkan, pasangan itu sering berdolak-dalik apabila diminta menyegerakan perkahwinan.
Sumber itu berkata, serbuan itu susulan intipan dua minggu dilakukan penduduk terhadap gerak geri pasangan itu yang dikatakan menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat bermadu kasih.
“Difahamkan ibu bapa lelaki itu sering menasihatkan anak lelaki mereka segera bernikah, tetapi tidak mendapat tindak balas. Ketika serbuan dilakukan ibu bapa lelaki itu tidak ada di rumah,” katanya.
Ketua kampung, Ahmad Noor Selamat kesal dengan kejadian itu dan mengucapkan terima kasih kepada pegawai PAIDHP dan polis kerana mencegah perkara mungkar itu.
“Ini kes khalwat pertama berlaku di kampung ini dan saya harap ia tidak akan berulang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Mohd Kamal Mohd Noor yang dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas guru dan pasangannya kerana berkhalwat.

11 beradik dibenar halang bapa buat transaksi harta – Metro


11 beradik dibenar halang bapa buat transaksi harta

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam, membenarkan permohonan 11 beradik untuk mendapat perintah interim ex parte (sebelah pihak), bagi menghalang bapa mereka yang juga pemilik syarikat bas ekspres membuat transaksi membabitkan harta sepencarian arwah ibu mereka bernilai jutaan ringgit.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie Abu Bakar Abdullah Kutty, sambil memerintahkan pemilik syarikat bas Ekspres Mutiara yang dinamakan sebagai responden, Che Ibrahim Che Ismail, 56, mendapatkan kebenaran bertulis daripada mahkamah sekiranya ingin menjual, melupus dan pindah milik harta berkenaan.
“Walaupun tidak mendapat izin daripada adik-beradik lain yang diberikan kepada pemohon ketiga dan kelima, mereka berkepentingan dan ada hak dalam kes ini.

 

“Dengan ini, mahkamah memerintahkan responden perlu dapatkan kebenaran bertulis daripada mahkamah sekiranya ingin menjual, melupus dan pindah milik harta yang menjadi pertikaian dalam kes ini,” hujahnya.
Pada 2 Oktober lalu, 11 plaintif, Amalina, 29, Khairul Adnin, 24, Khairul Anam, 26, Khairul Azhan, 28, Khalilullah, 31, Muhammad Amar, 11, Muhammad Atifuddeen, 16, Nurul Aufa, 13, Salsabila, 20, Siti Nahwan, 18 dan Tamtini, 30, mengemukakan notis permohonan untuk mendapatkan perintah berkenaan.
Mereka sebelum itu memfailkan tuntutan harta sepencarian arwah ibu mereka, Paizah Mohd Yusoff, bermula dari tarikh perkahwinan arwah dengan responden pada 22 Februari 1979 sehingga dia meninggal dunia pada 24 September 2008.

 

 

Semua tuntutan itu difailkan di mahkamah sama dan hari yang sama.

Mati lemas bersama adik tunang – Berita Harian


Mati lemas bersama adik tunang
Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my
2011/10/17

pix_gal0

Kejadian sehari selepas majlis pertunangan diadakan di rumah bakal isteri

KUCHING: Ayat ‘cinta sampai mati’ dilafazkan seorang juruelektrik kepada bakal isterinya ketika majlis pertunangan mereka tengah hari kelmarin, menjadi kenangan abadi kepada gadis itu yang terpaksa melihat tunang dan adik bongsunya lemas ketika mandi di Sungai Landeh, Siburan, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Mohd Harzwanizan Ramli, 23, berasal dari Kampung Baru Hilir, Betong, dikatakan cuba menyelamatkan adik tunangnya, Nuradzrin Natasya Jolhi, 8, yang dihanyutkan namun gagal berikutan arus sungai terlalu deras.

Tunangnya, Nurul Nabila Jolhi, 17, yang turut bersama mereka hanya mampu menangis dan menjerit meminta pertolongan orang ramai ketika melihat tunang dan adik bongsunya terkapai-kapai dibawa arus.

Nurul berkata, sebelum kejadian dia sempat memberitahu Nuradzrin yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Landeh dan seorang lagi adiknya agar tidak mandi di kawasan dalam selain meminta Harzwanizan memerhatikan mereka.

“Nuradzrin bagaimanapun tiba-tiba ditarik arus ke kawasan tengah sungai dengan saya terpaksa menjerit meminta tunang menyelamatkannya namun dia gagal berbuat demikian kerana turut ditarik arus deras.

“Selepas majlis pertunangan kami semalam (kelmarin), Harzwanizan sempat membisikkan kepada saya bahawa dia mencintai saya sampai mati dan mahu sehidup semati,” katanya ketika ditemui di Wad Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS).
Pasangan yang melangsungkan pertunangan mereka di rumah Nurul di Kampung Landeh, Siburan, itu dijadualkan berkahwin awal November depan dengan persiapan untuk majlis berkenaan sedang dilakukan kedua-dua keluarga.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Siburan, Hashim Wahab ketika dihubungi, memaklumkan mayat dua mangsa lemas berkenaan ditemui penduduk kampung kira-kira jam 3 petang tersangkut pada dahan kayu di dasar sungai.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.15 petang dengan beberapa penduduk kampung yang tinggal berdekatan terlebih dulu membantu menyelamatkan mangsa lemas berkenaan.

“Pasukan perubatan cuba melakukan bantuan pernafasan kepada mangsa namun mereka berdua disahkan meninggal ketika tiba di HUS akibat lemas,” katanya.

Ahli keluarga kedua belah pihak yang hadir ketika majlis pertunangan kelmarin turut dilihat mengiringi jenazah dua mangsa berkenaan yang ditempatkan sementara ketika ini di Rumah Mayat HUS.

11 murid dijangkiti virus kencing tikus – Utusan


11 murid dijangkiti virus kencing tikus

 

Oleh RADHUAN HUSSAIN
utusanterengganu@utusan.com.my

 

KUALA TERENGGANU 16 Okt. – Tujuh murid perempuan dan empat murid lelaki Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Berua, Hulu Terengganu dimasukkan ke hospital akibat virus air kencing tikus.

Selain kesemua 11 murid tahun satu hingga lima itu, 16 orang lagi penduduk Orang Asli kawasan berkenaan turut dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan Hospital Hulu Terengganu setelah terkena virus Leptospirosis itu.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada penggunaan air sungai di Sungai Berua berhampiran sekolah itu yang berkemungkinan dicemari air kencing tikus.

Kesemua mereka dimasukkan ke wad di dua hospital berkenaan secara berperingkat bermula 10 Oktober lalu sebelum dibenarkan pulang semalam.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Razali Daud ketika mengesahkan perkara itu berkata, berikutan kejadian itu, sekolah berkenaan telah diarah dikuarantinkan pada hari pertama virus itu dikesan.

Beliau memberitahu, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri dan daerah turut mengadakan gotong-royong bagi mengawal wabak berkenaan daripada menular.

“Buat masa ini, kesemua murid dan penduduk yang terkena virus air kencing tikus di Sungai Berua sudah dibenarkan pulang dan keadaan setakat ini adalah terkawal,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu selepas menyempurnakan program Pengarah Pelajaran Terengganu Bersama Warga Orang Asli Negeri Terengganu di pekarangan JPNT, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Sungai Berua, Marzilaini Muhammad ketika ditemui meminta penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan khususnya ibu bapa murid jangan khuatir kerana keadaan adalah terkawal.

Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa mengadakan pemantauan dengan kerjasama pihak-pihak bertanggungjawab termasuk Jabatan Kesihatan bagi memastikan wabak itu dicegah dan dikawal.

“Kesemua 11 murid kita (SK Sungai Berua) bertambah pulih dan mereka telah dibenarkan pulang, tapi kita masih berwaspada bagi memastikan tiada murid lain turut terkena virus berbahaya ini,” ujarnya.

Katanya, kini terdapat seramai 109 murid Orang Asli yang menduduki tahun satu hingga lima di SK Sungai Berua dan kawasan itu didiami 384 Orang Asli membabitkan 88 buah keluarga.

Ramai mahu PPSMI diteruskan – Dr. Mahathir – Utusan


Ramai mahu PPSMI diteruskan – Dr. Mahathir

 

Oleh FIRDAUS ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

 

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Semua pihak perlu menghormati keputusan yang dibuat kerajaan berhubung peralihan pembelajaran subjek Sains dan Matematik daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, pihak-pihak tertentu yang masih mempertahankan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) perlu berhenti berbuat demikian kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak terutamanya pelajar.

” Saya terkilan kerana masih ada kumpulan- kumpulan yang mempertikaikan langkah ini termasuklah akhbar berbahasa Inggeris.

“Ini kerana langkah memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasa bahasa Inggeris merupakan keputusan tepat. Kita tidak mahu selepas 13 tahun belajar, pelajar kita tidak tahu berbahasa Inggeris malahan ilmu sains dan matematik juga tidak diserap dengan baik,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan pembelajaran kedua-dua subjek berkenaan dalam bahasa Melayu adalah tepat.

Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, tindakan pihak berkenaan yang mahu membuat pungutan suara sebagai “tidak manis” kerana kerajaan telah membuat kajian teliti sebelum keputusan itu diambil.

“Mereka ini mahu melaga-lagakan serta berniat memecah belah rakyat dan mempertikai keputusan tersebut walaupun sudah dibuat sesi meja bulat dan mendapatkan pandangan pelbagai pihak.

“Mereka perlu sedar, sekolah kebangsaan di negara-negara maju di dunia seperti Jepun, Korea dan Jerman tidak pernah memberi pilihan kepada pelajar untuk memilih bahasa yang perlu digunakan dalam pembelajaran dan hasilnya tetap membanggakan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha 1, Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, keputusan itu akan memberi ruang kepada semua pelajar pelbagai kawasan menguasai kedua-dua subjek berkenaan dengan lebih baik.

“Sebelum ini, hanya segelintir sahaja pelajar yang mendapat kesan positif iaitu mereka yang belajar di sekolah-sekolah kawasan bandar.

“Gapena melihat langkah ini sebagai pendemokrasian sistem pendidikan kita.

” Lagipun, seperti yang didedahkan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi, hanya empat peratus sahaja pelajar yang mendapat manfaat daripada perlaksanaan PPSMI,” katanya.

Hormati keputusan peralihan bahasa – Utusan


Hormati keputusan peralihan bahasa

PARIT 16 Okt. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad percaya banyak pihak mahu dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diteruskan kerana ia mampu meningkatkan prestasi murid termasuk di kawasan luar bandar.

Menurut beliau, kekurangan guru bahasa untuk ditempatkan di sekolah-sekolah terutamanya di luar bandar tidak seharusnya menjadi alasan kerajaan tidak meneruskan PPSMI.

”Saya berpendapat ramai orang yang mahukan PPSMI ini dikekalkan, tetapi saya tidak tahulah, tekanan yang datang ini mungkin daripada orang yang bukan belajar Sains dan Matematik, tetapi dalam bidang sastera.

”Kita bukan hendak belajar bahasa Inggeris melalui Sains dan Matematik. Kita hanya mahukan ilmu daripada kedua-dua bidang ini dan ia boleh didapati hanya melalui bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau yang juga Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP) berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke-11 UTP di Seri Iskandar di sini, hari ini.

Hadir sama Pro Cancelor UTP, Datuk Shamsul Azhar Abbas dan Naib Canselornya, Datuk Dr. Zainal Abidin Kasim.

Dr. Mahathir yang memperkenalkan PPSMI sembilan tahun lalu pada era pentadbirannya berkata, beliau masih percaya pelaksanaan dasar tersebut tidak akan menjejaskan pembelajaran murid di luar bandar.

“Saya tidak percaya orang kampung kononnya tidak boleh (menguasai) bahasa Inggeris, itu tidak benar. Sekarang ramai daripada mereka yang memegang jawatan tinggi bercakap (bahasa) orang putih pun macam ‘orang putih’ juga,” katanya.

Terdahulu, sewaktu berucap pada majlis tersebut, beliau menegaskan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu terutamanya dalam penguasaan Sains dan Matematik yang sentiasa berkembang hampir setiap hari.

Sambil menegaskan ia bukan membelakangkan bahasa kebangsaan, beliau berkata, pemahaman bahasa Inggeris penting kerana setiap hasil kajian terkini dalam kedua-dua bidang berkenaan ditulis dalam bahasa tersebut.

“Hasil kajian selidik datang bertalu setiap hari dan mustahil kita dapat menterjemahkannya dalam bahasa kita.

“Untuk menterjemahkannya pula, kita memerlukan tiga kepakaran iaitu fasih dalam bahasa ibunda, bahasa Inggeris dan pakar dalam bidang tersebut,” tambah beliau.

Mengambil contoh bahasa Arab yang pernah menjadi bahasa ilmu pada abad ke-15, Dr. Mahathir menjelaskan, orang Eropah ketika itu berlumba-lumba mempelajarinya kerana pelbagai ilmu ditulis dalam bahasa berkenaan dan disimpan di khutub khanah di Baghdad dan Cardoba.

Namun katanya, malang sekali, orang Arab sendiri memilih untuk tidak lagi mengejar ilmu sekali gus menyebabkan penguasaan orang Eropah yang menterjemahkan ilmu yang dipelajari ke dalam bahasa Latin dan bahasa lain.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai tindakan Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe secara terbuka meminta presiden parti itu, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon supaya tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang, beliau berkata, Tsu Koon perlu mengambil kira pandangan daripada orang di sekelilingnya setelah diminta secara terbuka supaya tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, jika mana-mana parti komponen Barisan Nasional (BN) mahu melakukan ‘pembersihan’, ia patut dilakukan sekarang, bukannya sebelum pilihan raya umum.

”Setiap orang mesti sentiasa mendengar pandangan orang lain. Saya beri satu petunjuk, semasa saya menjadi Perdana Menteri, mereka mula bercakap bila orang tua ini hendak pergi,” katanya.