KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam, membenarkan permohonan 11 beradik untuk mendapat perintah interim ex parte (sebelah pihak), bagi menghalang bapa mereka yang juga pemilik syarikat bas ekspres membuat transaksi membabitkan harta sepencarian arwah ibu mereka bernilai jutaan ringgit.
Keputusan itu dibuat Hakim Syarie Abu Bakar Abdullah Kutty, sambil memerintahkan pemilik syarikat bas Ekspres Mutiara yang dinamakan sebagai responden, Che Ibrahim Che Ismail, 56, mendapatkan kebenaran bertulis daripada mahkamah sekiranya ingin menjual, melupus dan pindah milik harta berkenaan.
“Walaupun tidak mendapat izin daripada adik-beradik lain yang diberikan kepada pemohon ketiga dan kelima, mereka berkepentingan dan ada hak dalam kes ini.
“Dengan ini, mahkamah memerintahkan responden perlu dapatkan kebenaran bertulis daripada mahkamah sekiranya ingin menjual, melupus dan pindah milik harta yang menjadi pertikaian dalam kes ini,” hujahnya.
Pada 2 Oktober lalu, 11 plaintif, Amalina, 29, Khairul Adnin, 24, Khairul Anam, 26, Khairul Azhan, 28, Khalilullah, 31, Muhammad Amar, 11, Muhammad Atifuddeen, 16, Nurul Aufa, 13, Salsabila, 20, Siti Nahwan, 18 dan Tamtini, 30, mengemukakan notis permohonan untuk mendapatkan perintah berkenaan.
Mereka sebelum itu memfailkan tuntutan harta sepencarian arwah ibu mereka, Paizah Mohd Yusoff, bermula dari tarikh perkahwinan arwah dengan responden pada 22 Februari 1979 sehingga dia meninggal dunia pada 24 September 2008.
Semua tuntutan itu difailkan di mahkamah sama dan hari yang sama.