Mati lemas bersama adik tunang – Berita Harian


Mati lemas bersama adik tunang
Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my
2011/10/17

pix_gal0

Kejadian sehari selepas majlis pertunangan diadakan di rumah bakal isteri

KUCHING: Ayat ‘cinta sampai mati’ dilafazkan seorang juruelektrik kepada bakal isterinya ketika majlis pertunangan mereka tengah hari kelmarin, menjadi kenangan abadi kepada gadis itu yang terpaksa melihat tunang dan adik bongsunya lemas ketika mandi di Sungai Landeh, Siburan, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Mohd Harzwanizan Ramli, 23, berasal dari Kampung Baru Hilir, Betong, dikatakan cuba menyelamatkan adik tunangnya, Nuradzrin Natasya Jolhi, 8, yang dihanyutkan namun gagal berikutan arus sungai terlalu deras.

Tunangnya, Nurul Nabila Jolhi, 17, yang turut bersama mereka hanya mampu menangis dan menjerit meminta pertolongan orang ramai ketika melihat tunang dan adik bongsunya terkapai-kapai dibawa arus.

Nurul berkata, sebelum kejadian dia sempat memberitahu Nuradzrin yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Landeh dan seorang lagi adiknya agar tidak mandi di kawasan dalam selain meminta Harzwanizan memerhatikan mereka.

“Nuradzrin bagaimanapun tiba-tiba ditarik arus ke kawasan tengah sungai dengan saya terpaksa menjerit meminta tunang menyelamatkannya namun dia gagal berbuat demikian kerana turut ditarik arus deras.

“Selepas majlis pertunangan kami semalam (kelmarin), Harzwanizan sempat membisikkan kepada saya bahawa dia mencintai saya sampai mati dan mahu sehidup semati,” katanya ketika ditemui di Wad Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS).
Pasangan yang melangsungkan pertunangan mereka di rumah Nurul di Kampung Landeh, Siburan, itu dijadualkan berkahwin awal November depan dengan persiapan untuk majlis berkenaan sedang dilakukan kedua-dua keluarga.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Siburan, Hashim Wahab ketika dihubungi, memaklumkan mayat dua mangsa lemas berkenaan ditemui penduduk kampung kira-kira jam 3 petang tersangkut pada dahan kayu di dasar sungai.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.15 petang dengan beberapa penduduk kampung yang tinggal berdekatan terlebih dulu membantu menyelamatkan mangsa lemas berkenaan.

“Pasukan perubatan cuba melakukan bantuan pernafasan kepada mangsa namun mereka berdua disahkan meninggal ketika tiba di HUS akibat lemas,” katanya.

Ahli keluarga kedua belah pihak yang hadir ketika majlis pertunangan kelmarin turut dilihat mengiringi jenazah dua mangsa berkenaan yang ditempatkan sementara ketika ini di Rumah Mayat HUS.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s