Peraturan perlu diteliti sebelum tukar status sekolah – Bernama


Peraturan perlu diteliti sebelum tukar status sekolah

18/10/2011 7:05pm

 

KUALA LUMPUR 18 Okt . – Kementerian Pelajaran perlu meneliti beberapa peraturan dalam Akta Pendidikan 1996 sebelum membenarkan status sekolah bantuan modal ditukar kepada sekolah bantuan penuh kerajaan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, antara peraturan yang perlu penelitian ialah kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tanah tapak sekolah yang bukan milik sekolah itu, melainkan pemilik tanah berkenaan menyerahkan secara sukarela.

“Di samping itu, banyak aspek lain perlu diberikan perhatian seperti persetujuan semua pihak ibu bapa, lembaga pengelola dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), penyediaan tapak dan pemilihan lokasi yang sesuai serta kos pembinaan infrastruktur,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Koo Ham ingin mengetahui sama ada semua sekolah bantuan modal di ladang kepunyaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersedia dijadikan sekolah bantuan penuh kerajaan.

Puad berkata selain itu, kemampuan kewangan kerajaan untuk mengambil alih sekolah itu juga perlu diteliti.

“Perlu dijelaskan bahawa masih banyak sekolah kerajaan khususnya di luar bandar dan pedalamanan sangat memerlukan perhatian khususnya dari segi pembangunan dan kemudahan fizikal.

“Namun demikian, kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap pembangunan sekolah, sama ada sekolah kerajaan ataupun sekolah bantuan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata walau bagaimanapun kementerian tetap memberi peruntukan kepada semua jenis aliran sekolah. – Bernama

PENEMPATAN LEPASAN KPLI AMBILAN JUN 2010 SEBAGAI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS)


PENEMPATAN LEPASAN KPLI AMBILAN JUN 2010 SEBAGAI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS)

Sukacita dimaklumkan bahawa maklumat PENEMPATAN LEPASAN KPLI AMBILAN JUN 2010 SEBAGAI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS) yang telah lulus temu duga boleh disemak di sini bermula 18 Oktober 2011. Tuan/puan yang membuat semakan diminta untuk menghubungi Jabatan/Bahagiansebagaimana yang tertera di ruang MAKLUMAN untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan penempatan tuan/puan.
Harap Maklum

Polis diminta siasat segera kes bayi dibunuh kejam – Bernama


Polis diminta siasat segera kes bayi dibunuh kejam

18/10/2011 7:16pm

 

 

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta polis segera menyiasat kejadian pembunuhan kejam seorang bayi perempuan di Betong, Sarawak semalam bagi mengesan orang yang bertanggungjawab.

Beliau berkata tindakan itu perlu bagi memastikan pembelaan sewajarnya diberikan kepada keluarga terbabit yang terpaksa menanggung tekanan emosi.

“Cuma saya terkilan bila ada kes seumpama ini, tumpuan hanya diberikan kepada wanita mengandung dan melahirkan bayi itu sebaliknya di mana bapa atau lelaki atau partner rakan wanita ini.

“Kita tidak boleh biar perkara ini berlaku sebab kalau tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Bagaimanapun, sesiapa jua, lelaki atau wanita yang bertanggungjawab atas pembunuhan kejam ini mesti dihadapkan ke mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan sempena sambutan hari Kanak-Kanak Sedunia ke-58 di Taska Permata Timang Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini hari ini.

Dalam kejadian semalam, seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui mati dengan kesan kelar di lehernya dan tikaman di perut sehingga terburai di bilik asrama perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Layar, di Betong. – Bernama

Penggunaan bahasa Melayu dianggap mampu perkasakan martabat bahasa kebangsaan – Bernama


Penggunaan bahasa Melayu dianggap mampu perkasakan martabat bahasa kebangsaan

2011/10/18

KANGAR: Persatuan Melayu Perlis (PEMANIS) menyifatkan langkah mewajibkan penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pentadbiran sebagai langkah memperkasakan martabat bahasa kebangsaan.

Timbalan Yang Dipertua PEMANIS, Rejab Ismail, berkata apa yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 pada 13 Oktober lalu adalah sejajar dengan perjuangan persatuan itu.

“Selepas 54 tahun merdeka, ada pihak yang meminggirkan Bahasa Melayu. Kami berpendapat penjajahan bahasa amat besar akibatnya,” katanya.

Rejab berkata pembangunan ekonomi, sains dan teknologi tanpa diseimbangkan dengan pembangunan budaya termasuk bahasa akan turut memincangkan masyarakat. – BERNAMA

Cuepacs mohon kerajaan timbang lanjut perkhidmatan penjawat awam berstatus kontrak – Bernama


Cuepacs mohon kerajaan timbang lanjut perkhidmatan penjawat awam berstatus kontrak

2011/10/18

KUANTAN: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan mempertimbang untuk melanjutkan perkhidmatan penjawat awam berstatus kontrak yang akan ditamatkan perkhidmatan pada 31 Disember ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada penjawat awam di jabatan, agensi dan badan berkanun berstatus kontrak yang diberikan surat tidak dilanjutkan perkhidmatan mereka.

“Cuepacs akan menghantar surat secara rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memohon jasa baik beliau untuk melanjutkan kontrak pekerja berkenaan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya selepas menyampaikan taklimat isu semasa di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, hari ini.

Beliau berkata, tempoh berkenaan bagi membolehkan penjawat awam berkenaan yang kebanyakannya daripada kumpulan pengurusan dan profesional memohon perjawatan tetap atau mencari pekerjaan lain bagi meneruskan kehidupan.

Katanya, kerajaan seboleh-bolehnya diminta agar menyerap penjawat awam berstatus kontrak terbabit untuk memenuhi jawatan kosong yang wujud dalam perkhidmatan awam ketika ini.

“Ada antara mereka yang berkhidmat selama 15 tahun dan kalau ditamatkan begitu saja, sudah pasti akan menyusahkan kehidupan mereka yang mempunyai pelbagai bebanan dan tanggungan,” katanya.

Omar berkata, terdapat kira-kira 45,000 pekerja berstatus kontrak pada masa ini, namun beliau difahamkan bukan kesemua mereka tidak dilanjutkan kontrak pada hujung tahun ini.
Sementara itu, beliau mengingatkan para graduan agar tidak berasa bimbang berhubung had umur persaraan yang dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun kerana ia tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan dalam sektor awam.

Katanya, bukan kesemua penjawat awam akan berkhidmat sehingga usia 60 tahun dan hanya mereka yang mempunyai kesihatan serta masih mampu menyumbang idea dan inovasi bakal diberikan keutamaan. – BERNAMA

2 remaja dikhuatiri lemas – Utusan


2 remaja dikhuatiri lemas

KUALA LUMPUR 17 Okt – Kegembiraan empat remaja memancing ikan di sebuah longkang besar berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras di Taman Samudera di Gombak hari ini.

Mangsa, Muhammad Saiful Nasihin, 16, dan Muhammad Asharaf Salimin, 16, dipercayai hanyut dibawa arus setelah tergelincir bersama dua lagi rakan mereka di dalam longkang di hadapan stesen minyak Petronas Taman Samudera.

Dua lagi rakan mereka yang dikenali sebagai Daniel, 18 dan Suhaimi Rashid, 20 berjaya diselamatkan oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu berlaku ketika remaja terbabit memancing di longkang tersebut.

“Berdasarkan makluman awal, kesemua mereka tergelincir dan dua daripada mereka sempat diselamatkan oleh orang ramai yang berada di situ.

“Bagaimanapun, dua lelaki remaja berusia 16 tahun masih belum dijumpai. Gerakan mencari oleh polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sedang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, salah seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Syah Lokman, 24, berkata, dia sempat melihat dua daripada empat remaja itu meminta tolong.

“Mereka sempat diselamatkan dan selepas itu barulah kami tahu, dua lagi rakan mereka dihanyutkan namun tidak menemui kesan mereka setelah puas mencari,” katanya.

Dalam pada itu jurucakap bomba berkata, operasi akan diteruskan sehingga kesemua mangsa dijumpai.

Bapa tunai hasrat derma organ – Utusan


Bapa tunai hasrat derma organ

 

Oleh AZIZI MAJID
pengarang@utusan.com.my

 

JOHOR BAHRU 17 Okt. – Seorang bapa bertindak mendermakan injap jantung, hati dan buah pinggang anak perempuannya demi memenuhi hasrat arwah untuk memberikan organnya kepada mereka yang memerlukan.

Meskipun sedih, namun Azli Mohamed, 47, bersyukur kerana hasrat terakhir Farhah Fakhira, 17, berjaya dimakbulkan.

Menurut Azli, anak gadisnya itu meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Pasir Gudang dekat sini Julai lalu.

Menurutnya, anak kedua daripada tiga beradik itu melahirkan hasrat untuk menderma organ awal tahun lalu ketika berbual dengan ibunya, Raja Fauziah Raja Yaacob, 46 tahun.

“Dia ada tanya kepada ibunya macam mana nak derma organ dan isteri saya beritahu salah satunya membabitkan pendermaan organ daripada individu yang mati otak. Anak saya kemudian melahirkan hasrat untuk mendermakan organnya,” katanya semasa berkongsi cerita pada Minggu Kesedaran Pendermaan Organ peringkat negeri di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu di sini hari ini.

Azli memberitahu, pada Julai lalu anak gadisnya itu terlibat dalam kemalangan jalan raya dan koma selama beberapa hari sebelum disahkan doktor sebagai mati otak.

Menurutnya, ketika doktor memaklumkan anaknya itu mati otak, dia teringat kata-kata gadis itu yang ingin mendermakan organ dan dia sekeluarga mengambil keputusan mendermakan injap jantung, hati dan buah pinggang anaknya.

Meskipun sedih dengan kehilangan Farhah Fakhira, namun dia reda dengan ketentuan Ilahi dan menganggap pengorbanan anaknya itu tidak ternilai harganya dalam membantu penerima organ menjalani kehidupan lebih sempurna.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Izam Suleiman berkata, Johor adalah penyumbang utama pendermaan organ sejak awal tahun lalu dengan lima daripada 35 penderma dari negeri itu.

Katanya, dari 1997 hingga September lalu, seramai 33,644 orang mendaftar sebagai penderma organ iaitu yang kedua tertinggi selepas Selangor.

Menurutnya, Minggu Kesedaran Pendermaan Organ yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini bertujuan memberi penerangan dan pendedahan mengenai pentingnya menderma organ bagi membantu pesakit yang memerlukan.

Laporan Prestasi Sumbangan Kakitangan KPM ke Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM)


Laporan Prestasi Sumbangan Kakitangan KPM ke Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM)

Laporan Prestasi Sumbangan Kakitangan KPM ke Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) melalui potongan gaji.

Semakan Keputusan Panggilan MTeST KPLI-SR jQAF Ambilan Januari 2012


Semakan Keputusan Panggilan MTeST KPLI-SR jQAF Ambilan Januari 2012

Adalah dimaklumkan Semakan Keputusan Panggilan MTeST KPLI-SR jQAF Ambilan Januari 2012 boleh dibuat melalui saluran-saluran berikut:
1- Portal Rasmi KPM atau;

2- Khidmat Pesanan Ringkas mySMS 15888

Berikut adalah langkah-langkah semakan melalui mySMS:

Taip MOE  MTEST  NOKP dan hantar ke 15888

Contoh:  MOE MTEST 780201296390 dan hantar ke 15888
Semakan di kedua-dua saluran boleh dibuat mulai 18 Oktober 2011 (Selasa).

 

Sekian, terima kasih.

Tahanan reman suspek bunuh anak tiri disambung lagi – Metro


Tahanan reman suspek bunuh anak tiri disambung lagi

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR GAJAH: Tempoh tahanan reman terhadap seorang jurujual yang menjadi suspek kes bunuh anak tirinya, Mohd Firdaus Mat Dan, 6, disambung enam hari lagi bagi membolehkan polis melakukan siasatan dengan lebih terperinci.

Majistret Siti Suriatey Mohamad Yusoff, membenarkan lelaki itu ditahan reman hingga 23 Oktober ini selepas tempoh reman suspek berusia 37 tahun itu berakhir semalam.
Ia tahanan reman kedua terhadap suspek berkenaan bagi membantu polis meneruskan siasatan berhubung kematian Mohd Firdaus pada 10 Oktober lalu.

 

Sebelum ini, suspek dibenarkan ditahan reman selama tujuh hari bermula 11 Oktober lalu oleh mahkamah sama.
Suspek yang memakai baju lokap dibawa menaiki van polis dan tiba di Mahkamah Majistret Alor Gajah kira-kira jam 9.30 pagi.
Dia dibawa masuk melalui pintu belakang mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

 

 

Akhbar ini pada 12 Oktober lalu melaporkan Mohd Firdaus yang dihantar bapa tirinya ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan nyawa-nyawa ikan sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Hospital yang menyedari terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh mangsa termasuk kedua-dua kakinya dipercayai akibat terkena benda panas.