Remaja maut dipanah petir – Bernama


Remaja maut dipanah petir

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PENDANG: Seorang remaja lelaki maut dipanah petir ketika berteduh di bawah pokok kelapa, kira-kira 500 meter dari rumahnya ketika hujan di Kampung Alor Kumbang, Bukit Jenun di sini, petang semalam.

Kejadian pada jam 6.15 petang itu menyebabkan Mohd Helmi Omar, 17, mati di tempat kejadian.

Mohd Helmi dikatakan keluar rumah kira-kira pukul 4 petang untuk membantu bapa saudaranya di sawah dan pulang satu jam setengah kemudian sebelum keluar semula pada jam 6 petang semasa hujan untuk melihat bapa saudaranya di sawah.

“Tidak lama kemudian abang saya pulang memberitahu Mohd Helmi terkena petir di bawah pokok kelapa,” kata bapa remaja itu, Omar Daud, 45, kepada Bernama ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Yan.

 
Beliau berkata terdapat kesan melecur di bahagian perut anaknya dan baju yang dipakainya juga mempunyai kesan terbakar.
Omar berkata jenazah anaknya akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Nur Bukit Jenun di sini. – Bernama

Cadangan serap 30,000 guru KAFA ke jawatan tetap – Bernama


Cadangan serap 30,000 guru KAFA ke jawatan tetap

19/10/2011 9:59pm

 

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan untuk menyerap kira-kira 30,000 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) ke jawatan tetap bagi menjamin masa depan dan kerjaya yang lebih baik dalam profesion perguruan.

Datuk Md. Sirat Abu (BN-Bukit Katil) berkata, menerusi penyerapan ke jawatan tetap, kebajikan guru KAFA akan lebih terbela di samping memberi pengiktirafan kepada sumbangan mereka dalam pendidikan agama kepada kanak-kanak.

“Guru KAFA adalah warga pendidik yang memainkan peranan besar dalam pendidikan Islam di negara ini.

“Tugas mereka sangat mulia dalam melahirkan generasi cemerlang ilmu dunia dan akhirat, disamping membentuk akidah dan sahsiah murid-murid dalam membentuk modal insan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012.

Beliau berkata, kebajikan guru KAFA perlu diberi perhatian agar mereka mendapat kemudahan setaraf dengan guru-guru sekolah di bawah Kementerian Pelajaran.

Pada masa kini, guru KAFA berkhidmat menerusi ikatan kontrak dan mereka tidak layak mendapat faedah seperti mana penjawat awam yang mendapat kemudahan perubatan dan pinjaman perumahan. – Bernama

Laporan pertama semak sistem pendidikan negara siap akhir tahun – Bernama


Laporan pertama semak sistem pendidikan negara siap akhir tahun

19/10/2011 9:57pm

 

PUTRAJAYA 19 Okt. – Laporan pertama mengenai proses semakan ke atas sistem pendidikan negara sedia ada dijangka siap menjelang akhir tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, laporan itu akan diserahkan kepada Kabinet yang akan mengkaji dan menubuhkan pasukan khas untuk meneliti keseluruhan proses itu, termasuk pelaksanaan dasar-dasar pendidikan negara.

“Kita akan kaji apa yang telah kita lakukan selama ini daripada segi pelaksanaan dasar-dasar pendidikan kita dan apa yang perlu dilakukan untuk 10 atau 20 tahun akan datang. Tetapi ini akan mengambil masa,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Ke-23 dan Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa MSC Malaysia ke-14 di sini hari ini. Kedua-dua mesyuarat itu dipengerusikan oelh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. – Bernama

Dewan Rakyat kecoh – Metro


Dewan Rakyat kecoh

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SESI soal jawab di Dewan Rakyat semalam kecoh seketika apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang tidak puas hati dengan jawapan yang diberi Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berhubung isu pendidikan hingga memaksa campur tangan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Kekecohan bermula apabila Teresa Kok (DAP-Seputeh) mendakwa jawapan Dr Mohd Puad (BN-Batu Pahat) berhubung sekolah bantuan modal di ladang kepunyaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak benar dan memesongkan Dewan.
“Jawapan YB tidak benar dan memesongkan Dewan,” katanya sebelum diarahkan Pandikar supaya duduk.

Membentuk remaja berfikiran kreatif – Metro


Membentuk remaja berfikiran kreatif

Oleh Dr Aminudin Mansor
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PEMBANGUNAN akal budi di kalangan remaja amat penting bagi menangkis segala gejala sosial yang melanda gaya hidup, budaya dan kehidupan remaja. Pembangunan yang dialami sesebuah negara secara langsung dan tidak langsung akan mempengaruhi gaya hidup, nilai dan tingkah laku penduduk khususnya remaja.

Malaysia boleh dikatakan sudah mengalami satu proses pembangunan yang pesat. Pembangunan ini juga mempengaruhi gaya hidup penduduknya khususnya remaja. Dalam mengejar pembangunan tidak terkecuali remajanya terpengaruh dengan pelbagai gejala sosial yang boleh membantutkan pembangunan.
Di bawah kajian Rancangan Malaysia Ke-7 pada 1996, adalah dijangkakan dalam 2020, sebanyak 43 peratus penduduk Malaysia terdiri daripada golongan muda, iaitu golongan remaja berusia antara 15 hingga 39 tahun. Mereka yang berumur antara 15 hingga 24 tahun adalah dalam lingkungan 19.1 peratus.

 

Berdasarkan statistik ini, remaja sebagai penduduk Malaysia memainkan peranan penting sebagai sumber manusia ke arah kemajuan negara. Oleh itu, tumpuan kerajaan sewajarnya diberikan kepada golongan remaja bagi menjadikan mereka tenaga penting dalam merealisasikan pembangunan.
Melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua, kerajaan menyediakan latihan dan mewujudkan peluang pekerjaan. Daripada jumlah 163,000 peluang latihan dan pekerjaan yang akan diwujudkan sebanyak 100,000 adalah inisiatif usaha sama antara kerajaan dengan pihak majikan sektor swasta.
Melalui program ini, kerajaan menyediakan latihan sambil bekerja untuk siswazah menganggur. Seramai 1,000 graduan yang menganggur akan menyertai program ini. Di samping itu, 10,000 pelatih akan dilatih di bawah latihan kemahiran industri dan teknikal di pusat latihan kemahiran di semua negeri.

 

 

Dalam usaha pembangunan, sumber tenaga amat penting, khususnya remaja yang menjadi aset penting ke arah kemajuan. Pembentukan gaya hidup seimbang dan harmonis dengan akal budi yang sempurna wajar diberikan penekanan kepada golongan remaja.
Gaya hidup yang seimbang dan harmonis mestilah dilakukan melalui program yang terancang dan berterusan, antaranya mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran, akhlak dan keimanan yang kukuh, kekuatan nilai dan budaya, moral serta semangat patriotisme yang boleh dilakukan melalui Program Rakan Muda.

 

Menurut tokoh psikologi Barat, Prof SM Journard, Prof CR Roger dan Prof PG Zimbardo, beberapa perkara ke arah perubahan diri dan gaya hidup yang baik termasuk mesti yakin dan berkuasa menentukan imej diri sendiri.
Selain itu, jangan biarkan orang lain menentukan matlamat hidup serta kenal pasti matlamat hidup kita.
Menurut mereka lagi, bagi membentuk gaya hidup yang baik seseorang itu wajar membuang gaya hidup yang negatif. Berusaha mengukuhkan kekuatan dan keistimewaan diri. Melipatgandakan usaha memperbaiki diri. Belajar menjalin hubungan positif dengan orang lain.
Sementara itu, menurut tokoh pendidik, Prof Hassan Langgulung, pendidikan adalah proses mengubah dan memindahkan nilai kebudayaan kepada setiap individu. Proses pemindahan itu mestilah melalui cara berikut: Pertama, pengajaran iaitu pemindahan pengetahuan daripada seorang individu kepada individu yang lain. Kedua, latihan membiasakan diri membiasakan sesuatu bagi memperoleh kemahiran dan ketiga, indoktrinasi iaitu menjadikan seseorang dapat meniru apa yang dilakukan orang lain. Ketiga-tiga cara ini mestilah berjalan serentak bagi membentuk gaya hidup yang baik.
Justeru, hanya melalui pendidikan, perubahan dan pembangunan dapat membentuk gaya hidup yang seimbang dan harmonis dalam kalangan remaja. Pendidikan akal budi dan pembangunan jasmani, emosi, rohani dan intelek yang seimbang juga dapat merubah tingkah laku remaja ke arah kesempurnaan.
Pembentukan akhlak dan tingkah laku remaja yang baik akan menyumbang ke arah pembangunan negara yang rancak dan maju. Seseorang yang berpendidikan yang baik dan berilmu mampu memberi khidmat yang baik untuk masyarakat dan negara. Pembentukan akhlak yang mulia juga akan mengurangkan masalah seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam masyarakat.
Tokoh Islam, Imam Al-Ghazali menyatakan kuat dan jayanya sesuatu umat adalah kerana akhlaknya, apabila akhlaknya rosak maka binasalah umat itu. Tujuan memperbaiki akhlak adalah untuk membersihkan hati menjadi jernih bagaikan cermin yang dapat menerima cahaya Allah. Bagi membina keupayaan masa depan sesebuah negara, remajanya yang menjadi aset penting mestilah mampu bersaing merebut peluang disediakan oleh pihak kerajaan. Tanpa ilmu dan kemahiran yang tinggi remaja tidak akan berjaya membangunkan bidang-bidang tertentu.
Pada asasnya kekuatan ummah atau remaja mestilah kukuh akhlak dan keimanannya di samping ilmu dan kemahiran yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi. Bagi meningkatkan kefahaman dan kekuatan ini bidang pendidikan memainkan peranan penting bagi membentuk jati diri setiap remaja. Pendidikan akal budi yang mantap dapat membentuk jiwa remaja yang perkasa.
Akal atau minda ialah sumber intelek yang dapat menghasilkan pengetahuan melalui proses pemikiran dan penakulan minda (akal). Akal ialah tempat bersemadinya kearifan dan kebijaksanaan (hikmah). Melaluinya manusia boleh memahami pengajaran dan pembelajaran dan pelbagai kemahiran untuk memajukan diri.
Melalui pengajaran dan pembelajaran Kemahiran Berfikir Kreatif dan Kritis (KBKK) manusia, khususnya remaja dapat berfikir secara kritis dan berkesan menghasilkan idea dan buah fikiran serta reka cipta yang baharu. Pembangunan akal yang kreatif dan kritis dapat membantu seseorang dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Remaja yang terdidik akalnya akan dapat membuat analogi, membuat hipotesis, dalam memajukan diri ke arah pembangunan negara.
Manfaatnya kepada negara, akan dapat memacu kemajuan dan pembangunan yang dirancang. Pembangunan akal budi akan mengubah nilai seseorang ke arah kebaikan. Pendidikan yang seimbang dan berterusan mestilah dilakukan di peringkat awal remaja lagi.
Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu

Mayat 2 remaja lemas ditemui – Metro


Mayat 2 remaja lemas ditemui

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

GOMBAK: Dua remaja yang lemas dalam longkang besar di Taman Bolton, di sini ditemui di Taman Batu Muda kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian, kira-kira jam 7.50 pagi dan 12.13 tengah hari, semalam.

Mangsa pertama, Mohd Saiful Nasilan dan mangsa kedua, Mohd Ashraf Salihin, masing-masing berusia 16 tahun ditemui di luar dan dalam terowong jalan di Taman Batu Muda.
Ketua Operasi dan Menyelamat Balai Bomba Selayang, Pegawai Bomba Kanan Dua Alias Aziz Abdul Satar berkata, jarak kedudukan mangsa ketika ditemui adalah kira-kira 100 meter.

 

Katanya, ketika ditemui, kedua-dua mereka sudah meninggal dunia sebelum mayat mereka dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.
“Operasi menyelamat mangsa bermula jam 7 pagi sebelum dihentikan tengah hari selepas semua mangsa ditemui,” katanya di sini, semalam.
Katanya, operasi dan menyelamat itu disertai 72 orang termasuk 12 anggota bomba dari Balai Selayang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Harian Metro semalam, melaporkan kegembiraan empat sahabat berusia 16 hingga 20 tahun memancing di longkang besar di Taman Samudera, berakhir tragedi selepas dua daripada mereka dihanyutkan arus deras. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa dikatakan sedang memancing sebelum tiba-tiba tergelincir dan dihanyutkan arus deras.

Siasat segera ibu, bapa pembunuh bayi – Utusan


Siasat segera ibu, bapa pembunuh bayi

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta polis segera menyiasat kejadian pembunuhan kejam seorang bayi perempuan di Betong, Sarawak semalam bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab.

Sambil menyifatkan kejadian itu sebagai satu perbuatan jenayah yang amat kejam, tegasnya, sesiapa jua yang terbabit, sama ada wanita atau lelaki perlu dihadapkan ke muka pengadilan.

Menurutnya, ia perlu bagi memastikan pembelaan sewajarnya diberikan kepada keluarga terbabit yang terpaksa menanggung tekanan emosi akibat kejadian itu.

“Cuma saya terkilan bila ada kes seumpama ini, tumpuan hanya diberikan kepada wanita mengandung dan melahirkan bayi itu, sebaliknya di mana bapa atau lelaki atau pasangan rakan wanita ini.

“Saya minta polis melakukan siasatan secepat mungkin dan mencari siapa lelaki yang bertanggungjawab itu. Tidak kira siapa mereka, sama ada pelajar, ibu muda atau sesiapa jua perlu bertanggungjawab kerana telah melanggar undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan perutusan sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia ke -58 di Taska Permata Timang Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini, hari ini.

Semalam, seorang bayi yang baru dilahirkan ditemui mati dengan kesan kelar di lehernya dan tikaman di perut sehingga terburai.

Bayi perempuan itu yang baru dilahirkan dan mayatnya ditemui di bilik asrama perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Layar, dekat Betong, Sarawak.

Shahrizat berkata, kejadian menyayat hati itu bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, malah mencemarkan nama ibu bapa lain yang menyayangi dan membelai dengan penuh kasih sayang anak-anak mereka.

“Saya terkilan apabila ada kes seumpama ini, seolah-olah menggambarkan semua keluarga di negara ini mempunyai sifat tidak baik,” katanya.

Sementara itu, sempena sambutan Hari Kanak-Kanak pada Sabtu ini, Shahrizat berkata, kebajikan untuk kanak-kanak menjadi fokus utama di bawah program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Kar1sma) termasuk membela golongan itu daripada menjadi mangsa keganasan dan penganiayaan.

“Kita mahu semua anggota masyarakat terlibat sama, demi kebajikan kanak-kanak tanpa dipertanggungjawab sepenuhnya kepada kerajaan.

“Saya tidak mahu kanak-kanak teraniaya, mereka perlu diberikan sepenuh kasih sayang dan dijaga sebaik-baiknya kerana anak-anak diibaratkan seperti kain putih untuk kita mencorakkannya,” katanya.