Proses P&P boleh guna dwibahasa kecuali tahun satu – Bernama


Proses P&P boleh guna dwibahasa kecuali tahun satu

20/10/2011 7:15pm

 

KUALA LUMPUR 20 Okt. — Proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) mata pelajaran Sains dan Matematik kecuali Tahun Satu boleh dilakukan dalam dwibahasa iaitu sama ada Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia di semua sekolah kebangsaan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Beliau berkata, proses itu bagaimanapun bergantung kepada kemampuan guru dan murid di sekolah berkenaan.

“Namun, dengan pendekatan ‘soft landing’ melalui dasar Memartabat Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), penggunaan dalam dwibahasa ini akan digerakkan secara beransur-ansur mengikut fasa MBMMBI sehingga penggunaan bahasa Malaysia dilaksanakan sepenuhnya,” katanya menjawab soalan Che Uda Che Nik (Pas-Sik) mengenai arahan tidak jelas proses P&P di peringkat sekolah di kawasan luar bandar di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd. Puad berkata, langkah itu bagi memastikan dasar baru dapat dilakukan secara terancang selain meminimumkan permasalahan P&P yang sedang dilaksanakan.

“Bagaimanapun, bagi P&P Sains dan Matematik bagi Tahun Satu, mulai kohort pada tahun ini, murid-murid tersebut telah menggunakan bahasa Malaysia sepenuhnya selaras dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR),” katanya sambil menambah kerajaan sentiasa memantau pelaksanaan dasar itu bagi memastikan ia berjalan lancar dan teratur. — Bernama

Perkhidmatan awam jangan ‘seronok sendiri’: Muhyiddin – Bernama


Perkhidmatan awam jangan ‘seronok sendiri’: Muhyiddin

2011/10/20

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan awam tidak seharusnya diulit perasaan ‘seronok sendiri’ ketika merealisasikan semua sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ditetapkan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata sebagai penjawat awam yang mendokong dan menjayakan dasar kerajaan, adalah penting untuk mereka sentiasa memikirkan soalan-soalan seperti apakah rakyat faham tentang usaha yang kerajaan lakukan selama ini.

“Kenapakah rakyat tidak bersama-sama menyertai untuk menjayakan usaha-usaha itu?, apakah impaknya cukup besar kepada rakyat untuk mereka menghargai apa yang dilakukan kerajaan selama ini? dan di manakah silapnya apabila rakyat masih tidak berpuas hati dengan segala usaha dan pencapaian kita?” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perkhidmatan Awam ke-16 di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di sini hari ini.

Persidangan dua hari bermula hari ini turut melibatkan 20 tokoh tersohor negara dalam sektor awam, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) yang akan berkongsi pendapat mereka dalam usaha memperkukuh lagi penyampaian perkhidmatan awam.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Malaysia Tan Sri Abu Bakar Abdullah, Pemangku Presiden Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik, Datuk Dr Mohd Azhar Yahaya dan Pengarah Intan, Dr Aminuddin Hassim.

Muhyiddin berkata kaghairahan memacu usaha-usaha pemerkasaan NKRA tidak seharusnya melekakan penjawat awam daripada memerhati hasil sampingan ketara yang terpaksa ditanggung rakyat masa kini iaitu kos sara hidup yang membebankan.
“Dalam hal ini, sektor awam perlu berada di barisan hadapan dengan mempelopori perkongsian pintar antara kerajaan dan rakyat bagi mengatasi kenaikan kos sara hidup menerusi pelaksanaan tindakan-tindakan yang efisien dan efektif.

“Ingin saya ingatkan sekali lagi bahawa rakyat sedang memerhati dan menilai usaha kita, kita tidak boleh alpa kerana sebarang kealpaan akan menyebabkan perkhidmatan awam diberikan penilaian negatif dan ditafsir sebagai tidak releven lagi dalam pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata dalam memastikan setiap tindakan bagi mengutamakan kepentingan rakyat itu berjaya, pertemuan dan interaksi dengan rakyat adalah perlu untuk membolehkan suara dan rintihan rakyat didengar dan diberi perhatian.

“Juga penting, kerajaan perlu memastikan rakyat turut dilibatkan dan bersama-sama dalam proses penghasilan sesuatu dasar bagi mengelak ketidakpuasan hati yang boleh menimbulkan bangkangan dan penentangan,” katanya.

Mengenai sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), Muhyiddin berkata berkata ia akan menjadi landasan utama kepada transformasi pengurusan bakat perkhidmatan awam yang akan meyaksikan perubahan radikal dalam pembangunan kerjaya itu.

Bagi menjayakan SBPA secara menyeluruh, budaya berprestasi tinggi hendaklah diwujudkan dalam perkhidmatan awam, katanya. – BERNAMA

Van putih muncul lagi – Metro


Van putih muncul lagi

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: Tragedi kes culik dan pembunuhan kejam Nurin pada 20 Ogos 2007 hampir berulang apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun hampir diculik dua lelaki menaiki van putih persis kenderaan yang didakwa melarikan Nurin.

Menggunakan taktik hampir sama seperti kes penculikan sebelum ini, kanak-kanak lelaki terbabit diculik dan dibawa lari beberapa meter sebaik berjalan keluar dari sekolahnya berhampiran Kampung Melayu Ampang, Jumaat lalu.
Bagaimanapun, mangsa terselamat apabila sempat melarikan diri sebaik pintu van berkenaan terbuka akibat tindakannya yang meronta-ronta ketika ditahan.

 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa baru tamat waktu persekolahan dan mahu pulang ke rumahnya yang terletak berhampiran.
“Ketika sedang berjalan tiba-tiba seorang lelaki tempatan memakai kemeja-T terus keluar dari van putih diletakkan di tepi jalan lalu menghampiri kanak-kanak berkenaan yang baru keluar dari pintu utama sekolah.
“Lelaki itu dikatakan memeluk lalu menangkap mangsa dari belakang. Akibat terkejut dengan tindakan itu, mangsa meronta dan cuba melepaskan diri,” katanya ketika dihubungi semalam.

 

 

Namun, mangsa dibawa masuk menaiki van dipandu seorang lagi lelaki tempatan dipercayai untuk dibawa lari.
“Dalam perjalanan itu, mangsa terus meronta-ronta melepaskan diri. Disebabkan keadaan van yang bergegar, pintu van itu terbuka.

 

“Mangsa segera melompat keluar dari van itu dan melarikan diri. Kedua-dua suspek yang panik dengan tindakan mangsa kemudian memecut van berkenaan,” katanya.
Berikutan itu, mangsa pulang ke rumahnya dan menceritakan kejadian itu kepada ibu bapanya sebelum dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk membuat laporan.
Amiruddin berkata, polis kini sedang giat memburu suspek dan menasihati orang awam supaya peka keadaan sekeliling dan memaklumkan polis sekiranya melihat keadaan mencurigakan menggunakan van putih.
Dalam kejadian sebelum ini, Nurin Jazlin Jazimin, 8, diculik selepas mengunjungi pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju pada 20 Ogos, 2007. Mayat mangsa ditemui disumbat dalam beg berhampiran PJS1, Petaling Jaya. Dua bulan selepas itu, seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun nyaris diculik berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju tidak jauh dari tempat Nurin dilaporkan hilang. Dalam kejadian itu, mangsa yang cuba ditarik masuk ke dalam van sempat melawan sebelum dilepaskan penjenayah yang terkejut dengan jeritan ibu mangsa. Kejadian sama berulang apabila seorang lagi kanak-kanak perempuan, Sharlinie Mohd Nashar, 5, turut dilaporkan hilang pada awal Januari 2008 selepas didakwa turut dilihat bersama seorang suspek dalam sebuah van di Cheras. Mangsa gagal ditemui sehingga kini.

Remaja ditahan seludup 10 PATI – Utusan


Remaja ditahan seludup 10 PATI

 

Oleh ZAINU’L AZHAR ASH’ARI
pengarang@utusan.com.my

 

Supritendan Mohd. Nadzri Hussain memeriksa tempat duduk belakang sebuah kereta yang membawa sepuluh PATI di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau di Arau, Perlis, semalam.

 

ARAU 19 Okt. – Walaupun usianya baru 15 tahun, namun seorang remaja lelaki telah ditahan kerana menyeludup 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar, semalam.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Nadzri Hussain memberitahu, remaja tersebut ditahan ketika berhenti rehat di sebuah stesen minyak di Pauh, pukul 12.30 tengah hari.

Sebelum itu, kata beliau, pihak polis yang menjalankan rondaan jenayah terserempak dengan sebuah kereta Proton Wira Aeroback dalam keadaan mencurigakan berhenti di stesen minyak itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam kereta itu terdapat 10 PATI terdiri daripada daripada tujuh lelaki, dua wanita dan seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan.

“Polis mendapati kusyen di belakang kereta itu telah dikeluarkan supaya ia dapat memuatkan lebih ramai penumpang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya PATI tersebut dibawa dari sebuah kawasan tersembunyi di sempadan Padang Besar-Thailand sebelum mereka dihantar ke Perhentian Bas Changlun, Kedah untuk menaiki bas ke Kuala Lumpur.

Katanya, suspek bersama 10 PATI kemudian ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut.

Kata beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 26 A Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2010.

Mohd. Nadzri berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan cubaan menyeludup PATI itu didalangi sindiket tertentu.

Remaja berteduh bawah pokok disambar petir – Utusan


Remaja berteduh bawah pokok disambar petir

PENDANG 19 Okt. – Seorang remaja maut akibat disambar petir ketika berteduh di bawah pokok kelapa di Kampung Alor Kumbang, Bukit Jenun di sini, semalam.

Kejadian pukul 6 petang itu berlaku ketika mangsa, Mohd. Hilmi Omar, 17, melihat bapa saudaranya, Awang Daud, 58, membajak sawah kira-kira 300 meter dari rumahnya.

Awang berkata, sebelum itu, mangsa keluar dari rumahnya pukul 4 petang untuk membantunya di sawah dan kemudian pulang semula ke rumah kerana hujan lebat.

“Setengah jam kemudian kami keluar semula ke sawah kerana hujan sudah berhenti. Ketika itu, arwah berdiri di bawah pokok kelapa manakala saya pergi membajak sawah.

“Ketika kejadian, hujan renyai-renyai dan pada masa saya membajak sawah saya sempat menoleh ke arah Mohd. Hilmi dan melihat dia masih berdiri di bawah pokok kelapa itu.

“Selang beberapa minit kemudian kedengaran bunyi petir dan apabila saya menoleh ke arahnya, saya dapati arwah jatuh tertiarap dalam sawah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Tambah Awang, dia bergegas ke tempat kejadian dan mendapati anak saudaranya masih bernafas dalam pangkuannya.

“Saya kemudian memangku mangsa dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah, tetapi mangsa sudah meninggal dunia akibat melecur teruk di bahagian pinggang,” katanya.

Beliau kemudian memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapa mangsa, Omar Daud, 46, dan Sarimah Osman, 38, serta penduduk kampung.

Omar berkata, mayat anaknya dihantar ke Hospital Yan dan hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan melecur di perut manakala baju yang dipakainya terbakar.

“Arwah anak sulung daripada empat beradik itu rajin bekerja mencari wang saku selain membantu menyara keluarga. Kami reda walaupun kehilangan seorang anak yang baik,” katanya.

Jenazah Mohd. Hilmi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Nur Bukit Jenun di sini, semalam.

Laporan awal sistem pedidikan siap akhir tahun – Utusan


Laporan awal sistem pedidikan siap akhir tahun

PUTRAJAYA 19 Okt. – Laporan awal kajian mengenai sistem pendidikan negara dijangka siap menjelang akhir tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, laporan tersebut seterusnya dibawa ke Kabinet yang akan membuat keputusan mengenai penubuhan pasukan khas bagi menilai sistem pelajaran secara lebih menyeluruh.

”Pasukan ini antaranya akan berperanan melihat apa yang perlu ada dalam sistem pendidikan negara dalam 10 hingga 20 tahun akan datang.

”Kita secara rasminya telah mengumumkan bahawa Malaysia perlu melihat semula sistem pelajaran sedia ada untuk memastikan ia menyemai pemikiran kreatif di kalangan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) Koridor Raya Multimedia (MSC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Mesyuarat tersebut yang dihadiri pakar-pakar antarabangsa dalam bidang digital mengutarakan mengenai keperluan untuk menyemai budaya inovasi dan pemikiran kreatif bermula dari sekolah.

Seorang ahli IAP, Cordelia Chung yang juga merupakan Pengurus Besar Serantau IBM berkata, ahli-ahli panel telah mengutarakan beberapa perkara utama mengenai perubahan yang diperlukan dalam sistem pendidikan.

Beliau berkata, perkara pertama yang dibincangkan ialah keperluan untuk mengubah pendekatan pengajaran dan minda pelajar.

”Selain itu, jumlah graduan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah menurun dan Malaysia perlu meningkatkan minat terhadap bidang ini bagi memastikan bakat yang berterusan.

”Malaysia juga perlu meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam pelbagai disiplin sebelum diadunkan untuk membekalkan inovasi yang berterusan kepada negara,” katanya.